Selepas menunjukkan preview pendek permainan pada beberapa minggu lepas, ini adalah temu ramah eksklusif saya bersama “Lead Game Designer” untuk Riders Republic, Manfred Neber! Beberapa ujian beta akan dikeluarkan menjelang pelancarannya pada 2 September, jadi saya yakin ramai peminat sukan di luar sana pasti tidak sabar untuk mencuba permainan sendiri. Sementara semua masih setia menunggu, mari baca dan lihat jika ada soalan penting yang terjawab mengenai permainan!
*Harap maklum, temu ramah ini telah di-edit supaya lebih jelas difahami.*
Proses membangunkan permainan
Dalam kata-kata sendiri, apa yang membuatkan Riders Republic berbeza dengan siri Trials?
Manfred Neber: Walaupun kami berdua menampilkan jentera dua roda, Riders Republic sama sekali berbeza di mana ia menjadi dunia terbuka yang boleh dijelajahi dengan bebas bersama 5 sukan unik, bersendirian atau bersama rakan. Di dunia terbuka ini dengan tujuh wilayahnya yang unik, pemain akan menemui banyak taman permainan terbuka atau litar untuk dikuasai semasa acara, pertandingan, atau mod permainan multiplayer unik seperti Tricks Battle atau perlumbaan massa 50+ pemain.
Siri Trials adalah permainan yang hebat dan menyeronokkan, jadi saya harap pemain Trials akan menyukai Riders Republic juga!
Apa yang anda pelajari selepas mengembangkan Steep?
MN: Kami banyak mendengar komuniti, dan mengumpulkan pendapat. Sebagai pemaju, kami bereksperimen di sana sini, melakukan kesilapan, dan memperoleh kejayaan besar dengan penambahan seperti roket atau X-Games yang membantu membentuk beberapa aspek dari Riders Republic. Sebagai contoh, kereta salji ada di dalam permainan kerana ini adalah salah satu penambahan yang paling diminta. Kami telah menyaksikan bagaimana pemain berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, sosial dan multiplayer menjadi tonggak utama di mana kami memutuskan untuk membina Riders Republic. Kami mahu permainan ini menjadi lebih menerima, untuk membiarkan sesiapa sahaja masuk, mengetahui kawalan dan pilih untuk bermain dalam cara yang dianggap sesuai.
Pembangunan dunia persekitaran
Anda memberi tumpuan kepada taman-taman di Amerika Syarikat semasa pelancaran permainan. Mengapa tidak memilih dari negara lain?
MN: Saya rasa ada dua bahagian dalam keputusan ini. Semasa kami memutuskan senarai sukan dan memperkenalkan basikal gunung, banyak kisah ikonik dan rujukan berasal dari Amerika Syarikat. Taman-taman nasional menjadi tempat untuk pertandingan yang paling berprestij dan rakaman video yang luar biasa, sebagai teater bagi adegan sukan yang paling mendebarkan.
Semasa mendekati reka bentuk dunia baru, kami ingin memiliki sesuatu yang terasa indah, kaya, bervariasi dan menjadi satu tempat untuk semua sukan, serta tidak mahu banyak peta. Beberapa tempat di Bumi boleh menawarkan pelbagai lokasi di kawasan geografi yang sama – gunung bersalji, kawasan berbatu, gaung yang sempit, hutan luas dan lain-lain. Banyak orang telah melihat gambar Half Dome (Taman Negara Yosemite), Angels Landing (Taman Negara Zion), Thor’s Hammer (Taman Negara Bryce Canyon). Kami mempunyai teknologi untuk menghasilkan semula tempat-tempat ini, jadi untuk membawa kegembiraan kepada pemain, kami menjadikan Taman Negara Amerika Syarikat sebagai pilihan jelas.
Seperti yang saya faham, dunia ini cukup luas dan anda akan bertemu pemain lain di sepanjang jalan. Jadi, adakah ia sentiasa dalam talian? Tidak ada mod “single player” luar talian?
MN: Permainan ini dirancang untuk berada dalam talian, di mana anda akan mendapat pengalaman sebenar Riders Republic. Terdapat mod luar talian bernama Zen Mode untuk anda meneroka peta dengan bebas dan memandu ke mana sahaja, tetapi semua aktiviti dan kemajuan akan dimatikan.
Berapa besar peta-peta ini? Sejauh mana kawasannya?
MN: Kami mempunyai satu peta yang menampilkan 7 wilayah berbeza: Zion, Canyonland, Yosemite, Gunung Mammoth, Taman Sequoia, Grand Teton. Semua wilayah dibuat semula dari data topologi dan GPS, supaya ia benar-benar menyerupai versi sebenar lengkap dengan pemandangan yang tidak dapat dilupakan dan mercu tanda terkenal. Masing-masing menawarkan pengalaman permainan yang unik untuk 5 sukan kami.
Sudah tentu, kami telah menyatukan semua dan ini tidak benar dengan dunia sebenar, tetapi dilakukan untuk tujuan gameplay, bagi memadatkan taman permainan untuk menawarkan gameplay di mana sahaja.
Bolehkah anda mengulas lebih lanjut mengenai penerokaan? Contoh: mencari mercu tanda, menuju ke titik permulaan litar.
MN: Kami benar-benar mahu pemain berhubung dengan dunia, jadi bagi kami, penerokaan adalah unsur utama dari keseluruhan permainan. Anda akan mengembara untuk mencapai acara, dan dengan melakukannya, mungkin tertarik dengan tanda-tanda di sekeliling untuk mencari rahsia tersembunyi di peta. Terdapat banyak perkara untuk dijumpai semasa meneroka – aksi, aktiviti yang mencabar, mercu tanda sebagai tempat menarik, malah peralatan khas yang tersembunyi! Semua ini adalah insentif untuk pemain mengembara dan merupakan tempat untuk berseronok.
Fast travel hanya disebut untuk Riders Ridge. Adakah ia tersedia di titik-titik permulaan?
MN: Setiap acara mempunyai titik fast travel yang berdekatan, dan banyak juga berada di puncak. Oleh itu, anda akan menemui banyak tempat untuk memulakan penjelajahan.
Kemajuan cerita
Apa yang boleh ditawarkan oleh Riders Republic kepada mereka yang menginginkan tahap linear seperti: “mod jalan cerita”?
MN: Kami memperkenalkan “Career” untuk membimbing perkembangan pemain. Terdapat lima. Satu untuk setiap sukan iaitu: perlumbaan basikal, gaya bebas basikal, gaya bebas salji, perlumbaan salji dan sukan udara. Dalam setiap Career, anda akan menjelajah peta, mengambil bahagian dalam acara untuk memperoleh EXP dan membuka lebih banyak acara sehingga mencapai pertandingan besar, seperti Red Bull Joyride. Akhirnya, matlamat anda adalah untuk mencapai pertandingan terakhir dalam karier, seperti X-Games untuk gaya bebas salji atau Red Bull Rampage untuk gaya bebas basikal. Memajukan Career akan membuka peralatan baru: basikal, ski, papan salji dan lain-lain … dan juga penaja untuk membuka pakaian dan peralatan eksklusif.
Bolehkah anda menerangkan sejauh mana penglibatan Brett (NPC)?
MN: Brett adalah salah satu pengasas Riders Republic, seorang berjiwa tua yang mewujudkan komuniti dan latar belakang ini. Dia bukan lagi pemuda yang berlumba di litar dan menghadapi cabaran yang paling sengit di Republic, dan juga bukan “lelaki bergaya” yang mengasaskan trend baru, tetapi dia adalah semangat Republic yang berinkarnasi.
Apabila pemain tiba, dia akan membimbing kita sepanjang perjalanan ke Rider’s Ridge Invitational. Walaupun Brett adalah OG, Suki adalah watak yang akan mengikuti perjalanan kita sebagai rakan pelumba. Dia kawan Brett, mirip dengan jenis “kakak bergaya” dalam keluarga, manakala Brett mewakili era sukan yang hampir berlalu, sebagai pelopor.
Mekanik dalam permainan
Bagaimana aksi trik dilakukan? Contoh: nama trik dan pemarkahan?
MN: Setiap putaran yang dilakukan mempunyai nama yang berbeza bergantung pada paksi yang terlibat dan bilangan darjah yang dilakukan. Bergantung pada sukan, nama-nama ini boleh berubah. Selain itu, pemain boleh menambah trik seperti “grabs” atau trik basikal yang akan ditambahkan pada nama putaran.
Fizik adalah perkara penting dalam permainan seperti ini. Bolehkah anda menerangkannya?
MN: Kami mempunyai 3 versi fizik dalam permainan:
- Menunggang di permukaan. Contoh: basikal
- Terapung “di” atau “ke” permukaan. Contoh: sukan salji
- Sukan udara
Semua ini berfungsi bersama untuk navigasi, kawalan udara, penyerapan semasa pendaratan dan pelanggaran peralatan. Kemudian, statistik peralatan berubah dalam cara yang menggunakan parameter fizikal untuk menawarkan kemajuan nyata dari segi prestasi.
Ini adalah permainan sukan yang ekstrem, tetapi adakah ia mudah untuk diakses oleh pemain yang ingin mencuba sesuatu yang baru? Contoh: pilihan “accessibility”, pendaratan automatik.
MN: Amat penting bagi kami untuk memastikan semua orang dapat menikmati permainan dalam cara yang mereka sukai, jadi kami merancang banyak pilihan untuk membiarkan pemain menyesuaikan pengalaman mengikut kemahiran atau keinginan. Anda boleh memilih dari pelbagai skema kawalan yang telah ditentukan atau ubahsuai sepenuhnya kawalan, pilihan kesukaran yang berbeza dan “assist” selepas melakukan trik untuk memudahkan mereka bermain dan menerokai sistem dengan selamat. Semakin banyak anda beralih ke kawalan manual/mod sukar, semakin banyak bonus pemarkahan dan kemajuan yang diperolehi. Anda boleh bereksperimen dan mencari tetapan terbaik, serta boleh mengubahnya bila-bila masa.
Kerana peralatan mempunyai statistik dan dapat ditingkatkan, bagaimanakah keseimbangannya dan metrik pemarkahan?
MN: Untuk acara solo, pemain boleh memilih dari empat kesukaran: Standard / Pro / Expert / Elite, yang disesuaikan dengan empat kualiti berbeza bagi setiap peralatan. Sudah tentu, kemahiran anda membentuk perbezaannya. Contohnya, apabila anda menggunakan peralatan Expert dalam acara kesukaran Expert, ini adalah permulaan yang baik. Sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk mencapai peringkat tinggi, ini bermakna anda perlu melatihkan kemahiran. Sebaliknya, jika anda selalu menduduki tempat pertama, ini bermakna anda terlalu bagus untuk kesukaran itu, dan perlu bermain di Elite untuk mendapat ganjaran yang lebih baik.
Dalam mod multiplayer – Tricks Battle, Free-For-All – sistem pembahagian digunakan untuk menentukan kelas kemahiran anda. Setiap sesi akan meningkatkan atau menurunkan jumlah mata kelas. Setiap matchmaking adalah berdasarkan peringkat kelas pemain untuk memastikan anda menghadapi pihak lawan pada tahap yang sama.
Aspek sosial
Saya rasa ada jenis keseronokan spesifik semasa melakukan trik dalam Riders Republic. Bolehkah anda bercakap sedikit tentang bahagian mana yang anda benar-benar berharap peminat akan suka?
MN: Ini adalah soalan yang sukar kerana saya fikir ada banyak peluang untuk berseronok dalam permainan! Macam ini, ia bergantung pada jenis pemain. Ada yang menyukai permainan ini kerana ia mempunyai sukan kegemaran mereka di mana mereka dapat bersaing dengan peralatan sendiri dan menghasilkan semula trik yang mereka tahu. Yang lain menghabiskan berjam-jam menjelajah di peta untuk mengalami dunia permainan.
Kami teruja untuk melihat bagaimana ia akan berkembang, untuk melihat bagaimana pemain berinteraksi sosial secara kreatif. Emote sudah digunakan sebagai sejenis bahasa, dan pemain mungkin mencari tempat paling sukar untuk mendarat semasa matchmaking sementara orang lain menonton mereka. Anda mungkin beratur di Mass Race dan melihat sekumpulan orang melakukan emote tarian yang seragam. Dengan kreativiti itu, saya rasa kita akan mendapat banyak momen yang menyeronokkan daripadanya!
Untuk semua permainan dengan elemen perlumbaan, bermain dengan rakan tidak menjadi seronok apabila mereka terlalu jauh dari anda. Bagaimana Riders Republic akan memastikan semua pemain terlibat dalam permainan?
MN: Itu benar, dan kami akan memantau dengan teliti selepas pelancaran. Kami mempunyai dinamik yang sangat positif dalam pendekatan. Contohnya, anda baru bermula, dan rakan adalah pemain berpengalaman. Dengan menjemput anda ke dalam kumpulan, anda dapat mencuba mod Versus untuk mana-mana acara yang telah dibuka oleh rakan, jadi anda boleh bermain acara yang belum dibuka lagi. Dengan berbuat demikian, anda boleh maju dan membuka kandungan tersebut untuk diri sendiri semasa bermain di kemudian hari. Sebagai alternatif, anda boleh menjelajah bersama dan meminta rakan menunjukkan tempat menarik di peta, serta boleh teleport kepada ahli kumpulan dengan serta-merta.
Bolehkah anda menerangkan playlist PVP? Contoh: perubahan, musim, playlist peribadi untuk PVP?
MN: Buat masa ini, tujuan kami adalah mempunyai playlist utama yang akan selalu wujud, seperti Tricks Battle, Freestyle FFA, Racing FFA. Kemudian, kami memperkenalkan playlist eksperimental baru untuk masa yang terhad secara berkala, dan menyesuaikannya dengan maklum balas komuniti. Kami sudah mempunyai idea untuk playlist masa terhad bagi bulan-bulan pertama permainan!
PVP peribadi adalah Mod VS, di mana anda boleh berkumpulan dengan pemain lain dan bermain mod VS untuk mana-mana acara, di mana ada lebih dari 100 perlumbaan atau acara trik.
Mass Race dikatakan berlaku setiap jam di lokasi yang berbeza. Adakah ada kapasiti maksimum untuk peserta? Bagaimana jika mereka berhenti di pertengahan jalan?
MN: Ya, kapasiti maksimum sama dengan jumlah pemain di skrin, jadi 50+ untuk platform generasi seterusnya dan 25 pada gen semasa. Jelas sekali, kami tidak mengesyorkan anda untuk berhenti kerana anda akan kehilangan semua ganjaran, dan Mass Race cukup murah hati. Ini berlaku sekali selang satu jam, jadi jika anda menyertainya, lebih baik bertahan hingga habis!
Aspek teknikal
Bolehkah anda bercakap mengenai aspek teknikal untuk menghasilkan judul ini pada konsol gen semasa, bagi perkakasan yang kurang berkuasa? Contoh: 50+ pelumba hanya untuk konsol generasi seterusnya.
MN: Kami harus berkompromi, tetapi inti permainannya sama. Kami memastikan pengalaman gen semasa sama menyeronokkan walaupun dengan kurang pemain dan 30 FPS, di mana Mass Race dikurangkan kepada 24 pemain. Ya, jumlah pemain menyumbang kepada perasaan komuniti, menjadikannya huru-hara, sengit, gila dan pengalaman sosial yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Tetapi, berapa banyak permainan yang memaparkan 24 pemain di skrin setiap saat? Ia sudah menjadi dunia sebenar yang unik untuk anda mendalami.
Bagaimana dengan penciptaan litar?
MN: Kami mempunyai alat penciptaan acara dalam permainan. Pada asasnya, setiap kali anda menerokai permainan, kami akan menghasilkan jejak dalam sistem. Sekiranya jejak ini sesuai dengan syarat untuk membuat acara, ia tersedia di editor. Di sana, anda dapat menjumpai semua jejak sah yang dirakam, jadi pilihlah satu, pilih garis penamat, kedudukan titik pemeriksaan, peraturan acara, acara masa atau acara skor. Beri nama dan poster dan kemudian kongsikan kepada komuniti.
Anda boleh melakukannya dengan mana-mana sukan, apa-apa peralatan dan juga mencampurkan sukan untuk sebuah acara gila, jadi kami tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh pemain kreatif! Saya tidak kata ia senang untuk digunakan, tetapi ia menghilangkan banyak kekurangan editor “klasik”, kerana kita memulakan perjalanan yang sudah dilalui. Ini boleh menjadi peluang besar di mana anda melakukan aksi yang luar biasa, dan dengan segera menjadikannya acara untuk komuniti. Kami mempunyai browser dalam permainan untuk mencari semua ciptaan komuniti ini supaya pemain lain boleh mencuba dan mengalahkannya.
Adakah terdapat penciptaan trik?
MN: Tidak, tetapi kami akan mendengarkan komuniti dan melihat selepas pelancaran jika ia adalah sesuatu yang mereka mahukan.
Apa yang boleh anda katakan mengenai kemaskini kandungan akan datang? Adakah DLC ini akan memasukkan lebih banyak taman Amerika Syarikat, atau dari negara lain?
MN: Kami telah mengumumkan beberapa kandungan Year 1, dengan penambahan BMX di masa hadapan, taman trik baru, dan lain-lain. Kami memberi tumpuan kepada pelancaran permainan buat masa sekarang, dan tidak lama lagi, akan membincangkan peta jalan selepas pelancaran. Matlamat kami adalah untuk kekal dengan Taman Negara Amerika Syarikat buat masa ini.
Sekali lagi, terima kasih banyak kepada Manfred Neber kerana meluangkan masa untuk temu ramah Riders Republic ini! Mudah-mudahan, ia akan memuaskan hati peminat sehingga mereka akhirnya dapat mencuba permainan ini untuk diri sendiri. Jangan lupa untuk membaca preview awal kami bagi permainan di SINI dan sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post