Awal pagi ini, kami disajikan dengan pembentangan khas selama 92 minit bagi Stranger Than Heaven, iaitu projek game terbaharu oleh SEGA dan Ryu Ga Gotoku (RGG) Studio.
Walaupun sudah diumumkan sebelum ini, acara hari ini memberikan gambaran yang jauh lebih mendalam tentang plot cerita, sistem combat yang unik, serta barisan pelakon antarabangsa yang cukup mengejutkan.
Game ini akan dikeluarkan pada musim sejuk tahun ini (sekitar Disember hingga Mac) dan bakal tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC (melalui Steam dan Microsoft Store). Berita baik, ia juga disenaraikan sebagai judul “Day One” dalam Xbox Game Pass.
Kisah Kelangsungan Hidup Selama 50 Tahun
Stranger Than Heaven membawa kita ke perjalanan hidup Makoto Daito (lakonan Yu Shirota), seorang pemuda kacukan Jepun-Amerika yang bergelut mencari identiti dan tempat tinggal dalam dunia yang meminggirkannya.
Cerita bermula di San Francisco pada tahun 1915, di mana Makoto nekad melarikan diri ke Jepun selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat penindasan kaum yang kejam.

Namun, harapan untuk mencari ketenangan di tanah air ibunya tidaklah semudah yang disangka. Pemain akan mengembara melalui lima bandar ikonik yang diolah semula mengikut garis masa sejarah sebenar:
- 1915 (Kokura, Fukuoka): Kota industri yang dipenuhi kilang besi gergasi.
- 1929 (Kure, Hiroshima): Bandar pelabuhan tentera laut yang dikuasai oleh pengaruh yakuza.
- 1943 (Minami, Osaka): Pusat hiburan yang meriah namun dibayangi Perang Dunia Kedua.
- 1951 (Atami, Shizuoka): Destinasi pelancongan tepi pantai yang melambangkan kebangkitan Jepun selepas perang.
- 1965 (Shinjuku, Tokyo): Daerah hiburan paling ikonik yang menjadi simbol kemodenan Jepun.
Barisan Pelakon dan Kolaborasi Muzik
Antara tarikan utama game ini adalah barisan pelakonnya yang menggabungkan bintang filem, ikon muzik, dan suara veteran:
- Makoto Daito: Yu Shirota
- Orpheus: Snoop Dogg
- Tae Matsumoto: Moeka Hoshi
- Suzy Day: Tori Kelly
- Dean Fujioka: Yu Shinjo
- Heigo Yashima: Akio Otsuka
- Kiyoshi Otsuru: Tokuma Nishioka
- Takashi: Satoshi Fujihara (Official Hige Dandism)
- The Veiled Stranger: Cordell Broadus
- Keiko Shirai: Ado

Satu kejutan ialah kemunculan mendiang Bunta Sugawara sebagai watak Genzo Iwaki. Dengan keizinan keluarga dan kerjasama Toei Company, wajah beliau dihidupkan semula menggunakan teknologi CG berdasarkan arkib filem tahun 60-an, manakala suaranya dipinjamkan oleh pelakon veteran Takashi Ukaji.

Lagu tema game ini, yang juga bertajuk “STRANGER THAN HEAVEN,” merupakan hasil kolaborasi unik antara Snoop Dogg, Satoshi Fujihara, Ado, dan Tori Kelly.
“Extreme Violence” dan Kerjaya Sebagai Showman

RGG Studio turut memperkenalkan sistem combat. Pemain bukan sekadar mengawal gerakan watak, malah boleh menggerakkan sisi kiri dan kanan badan Makoto secara berasingan. Ini membolehkan pemain melakukan aksi seperti menepis serangan dengan tangan kiri sambil melancarkan tumbukan dengan tangan kanan secara serentak.
Pelbagai senjata tradisional dan moden seperti katana, tukul, dan pisau juga boleh digunakan mengikut kesesuaian zaman.

Selain bertarung, pemain akan menguruskan kerjaya Makoto sebagai seorang Showman. Elemen pengurusan ini merangkumi:
- Mengumpul maklumat di jalanan untuk mengesan penyanyi dan penghibur berbakat.
- Menggunakan mekanik rakaman untuk mengambil sampel bunyi persekitaran (seperti bunyi kereta api, dengkuran jiran, atau bunyi bising di jalanan) untuk dijadikan lagu asal.
- Mengatur segala-galanya daripada senarai lagu, pemilihan ahli kugiran, hinggalah ke susunan lampu dan reka bentuk pentas.









Discussion about this post