Baru-baru ini Sony telah menarik semula keputusan untuk menutup perkhidmatan PlayStation Store bagi PlayStation 3 dan Vita. Anda boleh baca liputan kami mengenainya disini. Tetapi, perkhidmatan PS Store bagi PSP akan tetap ditutup bermula 2 Julai, jadi tiada lagi penjualan kandungan video seperti filem dan rancangan TV. Namun, Sony telah pun menyediakan alternatif baru untuk peminat konsol mereka.
Pada awal hari ini, laman web rasmi Sony Poland tanpa sengaja membocorkan maklumat mengenai PS Plus Video Pass, yang hanya tersedia bermula 22 April tahun ini sehingga 22 April tahun depan untuk pengguna PS Plus sahaja. Perkhidmatan eksklusif ini sama seperti PS Plus Collection, cuma ia menyediakan akses untuk filem. Namun, belum dapat dipastikan sama ada ia berfungsi seperti PS Plus, dimana pelanggan akan dapat memuat turun dan menyimpan filem selagi mereka mengekalkan langganan.
Banner yang disertakan bersama keterangan di laman Sony menampilkan filem dari Sony Pictures, iaitu Venom, Zombieland: Double Tap, dan Bloodshot. Ini menunjukkan perkhidmatan PS Plus Video Pass hanya akan menawarkan filem dari Sony sahaja, tetapi masih tiada sebarang maklumat diberikan mengenai filem apa yang akan disediakan.
Selain itu, Sony juga mempunyai banyak siri TV popular, serta perkhidmatan anime streaming di Funimation, jadi mungkin PS Video Pass ini akan menyediakan perkhidmatan siaran rancangan TV dan anime. Walaupun hanya terhad untuk filem sahaja, ianya pasti dapat menambah lagi banyak tawaran di PS PLus supaya lebih ramai ingin mendaftar perkhidmatan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post