Berita terkini mengenai anime ikonik “One Piece” yang akan menghentikan siaran mingguan selepas 26 tahun untuk beralih kepada jadual berasaskan musim pada 2026 membawa makna yang lebih besar; ia merupakan isyarat bahawa zaman siaran anime mingguan sepanjang tahun kini telah sampai ke penghujungnya.

Selama puluhan tahun, dunia anime dikuasai oleh model siaran mingguan, satu proses penerbitan tanpa henti yang memastikan siri-siri paling popular sentiasa ke udara. Format ini menjadi amalan biasa bagi adaptasi anime daripada manga terlaris Shonen Jump.
Antara contoh utamanya ialah siri Naruto dan kesinambungannya Naruto Shippuden yang bersiaran hampir tanpa rehat selama 15 tahun, manakala Bleach juga menggunakan jadual mingguan bagi sebahagian besar tempoh lapan tahun siaran awalnya.

Walau bagaimanapun, model ini mempunyai banyak kelemahan. Demi memastikan jalan cerita anime tidak memintas manga asalnya, siri mingguan sering kali mempunyai rentak penceritaan yang tidak menentu, babak-babak tambahan (filler) yang meleret, serta episod dengan kualiti animasi yang kurang memuaskan.
Beban kerja yang ditanggung oleh studio produksi juga sangat berat, yang sering mengakibatkan keletihan melampau (burnout) dalam kalangan staf dan mewujudkan persekitaran kerja yang tidak lestari.

Sebagai jawapan, industri anime memperkenalkan format bermusim. Melalui kaedah ini, anime diterbitkan dalam bahagian yang lebih ringkas, seperti 12 atau 24 episod, diselangi dengan tempoh rehat yang panjang.
Ini membolehkan studio menghasilkan mutu penerbitan yang lebih premium, kualiti animasi setaraf filem, dan penceritaan yang lebih setia kepada karya asal.
Model ini telah diterima pakai oleh siri-siri popular generasi kini seperti Jujutsu Kaisen dan My Hero Academia, yang telah mencipta satu penanda aras kualiti baharu dan berjaya menawan hati penonton di seluruh dunia.

Kelebihan format bermusim ini terbukti dengan jelas apabila francais-francais lama turut beralih kepadanya. Contoh terbaik ialah Bleach, yang muncul semula selepas 10 tahun bukan sebagai siri mingguan, tetapi sebagai siri bermusim dengan bajet besar, Bleach: Thousand-Year Blood War.
Diterbitkan dalam beberapa bahagian berasingan, siri sekuel ini menerima pujian tinggi daripada peminat kerana kualiti visualnya yang mengagumkan dan aliran cerita yang padat—sesuatu yang mustahil dicapai semasa siaran mingguannya dahulu.

Kini, One Piece—simbol terakhir dari kaedah produksi lama—kini turut mengambil langkah serupa. Selepas lebih 1,000 episod, siri ini akan beralih kepada jadual bermusim dengan 26 episod setahun bermula pada 2026.
Tindakan untuk meletakkan mutu melebihi jumlah episod bagi saga terakhirnya membuktikan bahawa francais yang paling kukuh sekalipun perlu beradaptasi dengan persekitaran semasa.
Peralihan ini menandakan satu transformasi signifikan dalam kaedah penerbitan dan corak tontonan anime.
Populariti di peringkat antarabangsa dan platform penstriman telah mengubah harapan para penonton, menjadikan penerbitan bermusim yang berkualiti tinggi dan eksklusif lebih dihargai berbanding siaran mingguan yang berterusan tetapi tidak konsisten.
Walaupun peminat mungkin merindui zaman dahulu di mana siri kegemaran mereka sentiasa disiarkan, masa depan industri anime kini menjanjikan keadaan yang lebih baik, lebih mampan, dan mutu yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.









Discussion about this post