Francais Warriors sudah lama sinonim dengan pertarungan berskala besar, di mana pemain menewaskan ratusan musuh dengan aksi yang dramatik. WARRIORS: Abyss, spin-off terbaru daripada Omega Force, mengekalkan formula ikonik itu tetapi menambah elemen roguelite, memberikan nafas baharu kepada gaya gameplay Musou yang dikenali ramai.
Dilancarkan sejak 13 Februari 2025 untuk PlayStation, Xbox, dan PC, serta diikuti oleh versi Nintendo Switch sehari kemudian, game ini menguji pemain untuk mengawal pahlawan legenda, merekrut sekutu, dan menyesuaikan diri dengan cabaran pertempuran yang sentiasa berubah.
Namun, adakah gabungan aksi hack-and-slash dengan elemen roguelite ini mencipta satu pengalaman yang segar dan mencabar, atau ia sekadar percubaan yang kurang berjaya?
Gameplay Warriors yang Dikenali, Kini dengan Elemen Roguelite
WARRIORS: Abyss mengekalkan aksi pertempuran pantas dan dramatik yang menjadi identiti francais ini, tetapi dengan sentuhan roguelite yang unik.
Game ini dimainkan dari sudut pandangan atas tetap pada 45 darjah, di mana pemain boleh mengawal pahlawan legenda daripada Dynasty Warriors dan Samurai Warriors untuk menewaskan gelombang musuh yang tidak berkesudahan.

Salah satu ciri utama ialah mekanik Hero Summoning, yang membolehkan pemain menyeru rakan sekutu semasa pertarungan, lalu membentuk pasukan sehingga tujuh pahlawan.
Sistem ini menambah elemen strategi dan variasi, tetapi pada masa yang sama boleh terasa agak terhad, kerana menguruskan sekumpulan pahlawan di tengah kekacauan pertarungan memerlukan keputusan yang pantas dan tepat.

Setiap dungeon terdiri daripada empat tingkat, dan setiap tingkat mempunyai lapan kawasan yang dijana secara rawak. Kawasan-kawasan ini merangkumi pertarungan mencabar, zon penyembuhan, dan kedai untuk mendapatkan upgrade.
Kemajuan pemain dipacu oleh elemen rawak roguelite, memastikan setiap percubaan memberikan pengalaman yang berbeza.

Di penghujung setiap tingkat, pemain akan berdepan pertarungan bos, dengan perlawanan akhir menentang Gouma, antagonis utama game ini. Pertarungan bos memerlukan serangan agresif dan strategi, kerana pemain perlu memecahkan perisai musuh terlebih dahulu sebelum dapat memberikan damage yang besar.
Sistem ini menggalakkan eksperimen dengan pelbagai kombinasi pahlawan dan playstyle, menjadikan setiap usaha untuk menakluki Abyss lebih dinamik dan tidak dapat dijangka.
Tahap Customization Watak dan Build yang Tinggi
Agak tidak dijangka, tetapi WARRIORS: Abyss menawarkan 100 pahlawan boleh main, masing-masing dengan stats, abiliti pasif, dan kesan sinergi unik. Kepelbagaian ini membolehkan pemain menyusun pasukan dengan strategi tersendiri, menjadikan setiap percubaan terasa berbeza.

Satu lagi mekanik utama ialah Warrior Bonds, di mana gabungan watak tertentu membuka bonus khas. Contohnya, menggunakan Liu Bei, Guan Yu, dan Zhang Fei mengaktifkan buff “Oath of the Peach Garden”, yang meningkatkan kekuatan mereka secara drastik.
Pemain juga boleh menukar formasi pasukan untuk memaksimumkan kecekapan dan sinergi di medan perang.

Selain itu, “Emblem” dan “Enhancement” membolehkan peningkatan statistik seperti serangan lebih kuat, pertahanan lebih kukuh, atau efek elemental khas. Emblem boleh diperoleh melalui merekrut pahlawan atau sebagai ganjaran rawak dalam pertarungan, memberi peluang kepada pemain untuk mengoptimumkan build mereka.
Pemilihan enhancement yang tepat boleh memberi kelebihan besar dalam meningkatkan had kekuatan pasukan.

Sebagai roguelite, game ini memastikan setiap percubaan harus berbeza dengan susun atur dungeon, kedudukan musuh, dan pilihan upgrade yang rawak. Ini memaksa pemain untuk menyesuaikan strategi secara berterusan, membuatkan setiap cabaran terasa unik.
Variasi Gameplay Terhad, Tapi Efek Visual Berlebihan
Walaupun WARRIORS: Abyss memperkenalkan mekanik roguelite yang menarik, sesetengah elemen terasa kurang berkembang, menyebabkan rasa repetitif dalam jangka panjang.
Walaupun susun atur dungeon berubah, bilangan jenis musuh yang terhad dan kumpulan bos yang kecil membuatkan setiap percubaan terasa serupa, mengurangkan impak kepelbagaian.

Masalah keseimbangan juga menjadi isu, kerana watak tertentu seperti Lü Bu jauh lebih kuat daripada yang lain. Ini mencipta meta yang terlalu jelas, di mana pemain cenderung memilih pahlawan terkuat, sekali gus mengehadkan variasi strategi yang sepatutnya menjadi tarikan utama permainan.

Selain itu, efek visual yang terlalu berlebihan boleh menjadi penghalang dalam pertempuran. Pertempuran sering dipenuhi dengan efek yang “keterlaluan”, menyukarkan pemain untuk melihat serangan musuh—terutamanya di peringkat akhir, apabila pelbagai pahlawan dan musuh melepaskan abiliti mereka serentak.
Ini boleh membawa kepada situasi menjengkelkan di mana pemain menerima damage hanya kerana serangan musuh sukar dikesan di tengah-tengah efek yang bersepah.

Satu lagi kelemahan besar ialah kamera tetap pada sudut 45 darjah dari atas, yang tidak boleh dilaraskan. Walaupun perspektif ini memberikan gambaran jelas tentang medan perang, ia menjadi masalah dalam pertarungan intensif—terutamanya ketika melawan kumpulan musuh besar atau bos dengan serangan berskala luas.
Kekangan ini menyukarkan pergerakan strategik, menjadikan mengelak dan menyesuaikan posisi lebih menjengkelkan daripada yang sepatutnya.
Pendapat
Secara keseluruhan, WARRIORS: Abyss ialah percubaan solid untuk menggabungkan aksi hack-and-slash dari francais Warriors dengan mekanik Roguelite.
Dengan senarai watak yang luas, elemen team-building yang strategik, dan pertempuran pantas, game ini menawarkan nilai ulangan yang tinggi serta membawa nafas baharu kepada formula asal. Namun, pola gameplay yang berulang, isu keseimbangan watak, dan variasi musuh yang terhad menghalangnya daripada mencapai potensi penuh.

Jika Koei Tecmo memperkayakan game dengan lebih banyak jenis musuh, bos tambahan, dan mekanik kemajuan yang lebih mendalam, WARRIORS: Abyss berpotensi menjadi salah satu tajuk terbaik dalam francais ini.
Buat masa ini, ia kekal sebagai pengalaman yang menyeronokkan tetapi agak cetek—sesuai untuk peminat siri Warriors dan genre Roguelite, sekurang-kurangnya buat seketika.
Bagi yang berminat, game ini tersedia di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, dan Windows PC melalui Steam, serta Nintendo Switch. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
WARRIORS: Abyss
Secara keseluruhan, WARRIORS: Abyss ialah percubaan solid untuk menggabungkan aksi hack-and-slash dari francais Warriors dengan mekanik Roguelite. Dengan senarai watak yang luas, elemen team-building yang strategik, dan pertempuran pantas, game ini menawarkan nilai ulangan yang tinggi serta membawa nafas baharu kepada formula asal. Namun, pola gameplay yang berulang, isu keseimbangan watak, dan variasi musuh yang terhad menghalangnya daripada mencapai potensi penuh.
PROS
- 100 pahlawan boleh direkrut dan diubah suai dengan pelbagai abiliti unik
- Elemen Roguelite mengekalkan variasi dengan dungeon rawak dan upgrade
- Pertempuran pantas dan mendebarkan digandakan dengan pembinaan pasukan yang strategik
CONS
- Efek visual terlalu berlebihan, menyukarkan pandangan dalam pertempuran yang padat
- Ketidakseimbangan watak, sesetengah pahlawan jauh lebih kuat daripada yang lain
Discussion about this post