Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Virtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage – Pembaharuan Yang Peminat Tegar Mahukan!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
October 29, 2025
in Artikel, Berita, Fighting, Game Review, Nintendo Switch 2, PC, PS5, Review, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Virtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage – Pembaharuan Yang Peminat Tegar Mahukan!
Share on FacebookShare on Twitter

Bagi peminat setia siri Virtua Fighter, nama World Stage mungkin membawa harapan baharu. Berikutan pelancaran R.E.V.O. yang sebelum ini hanya tertumpu di PC pada awal 2025, Virtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage kini tiba di semua platform utama, membawa misi untuk menyatukan seluruh komuniti pemain.

Dengan kepulangan kostum yang dirindui, pengenalan fungsi cross-platform, serta perubahan keseimbangan terbesar dalam tempoh sedekad, kini tiba masanya untuk menguji sama ada francais legenda ini masih mempunyai taringnya.

Apa yang Baharu dalam World Stage?

World Stage membezakan dirinya daripada versi R.E.V.O. menerusi beberapa penambahan signifikan yang meningkatkan pengalaman gameplay secara menyeluruh.

Inovasi utamanya adalah sokongan penuh untuk fungsi cross-platform, yang membolehkan pemain dari PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC untuk bersaing sesama sendiri tanpa sebarang halangan.

Ciri ini bukan sahaja meluaskan lagi kelompok pemain sedia ada, malah memendekkan masa mencari perlawanan kepada kurang dari seminit—satu peningkatan besar yang memastikan pemain terus beraksi tanpa perlu menunggu lama.

Pemain PC yang sudah pun memiliki versi R.E.V.O. asal juga kini mendapat akses kepada ekosistem multiplayer yang lebih besar ini.

Pengenalan rollback netcode untuk versi konsol merupakan satu ciri yang sudah sekian lama diidamkan oleh para pemain. Kini, perlawanan dalam talian kekal lancar walaupun kualiti sambungan internet berada pada tahap sederhana (bar kuning), meskipun sesekali masalah kelambatan mungkin berlaku jika sambungan terlalu lemah.

Secara keseluruhannya, prestasi netcode ini amat menyakinkan dan berjaya melonjakkan pengalaman dalam talian Virtua Fighter di konsol setaraf dengan standard industri moden.

Bagi peminat veteran, salah satu penambahan yang paling dialu-alukan ialah kepulangan Costume Type E, yang kali terakhir dilihat dalam Virtua Fighter 5 Final Showdown.

Pakaian ikonik ini tidak disertakan dalam Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown (2021) mahupun dalam keluaran R.E.V.O. yang pertama, satu keputusan yang sebelum ini mengecewakan ramai peminat yang meminatinya.

Ciri eksklusif yang menjadi sorotan utama World Stage sudah tentulah mod singleplayer baharunya yang turut dinamakan ‘World Stage’.

Boleh diakses di semua platform termasuk PC, mod berkonsepkan kempen ini membolehkan pemain berlawan dengan watak CPU dalam satu struktur yang direka untuk meniru pengalaman seorang pemain kompetitif yang menjelajah ke pusat-pusat arked SEGA, mirip dengan pendekatan dalam siri-siri terdahulu.

Paling penting, kewujudan mod ini secara langsung menjawab kritikan utama terhadap versi R.E.V.O. sebelum ini, iaitu kekurangan kandungan untuk pemain solo.

Mekanik Asas Gameplay

Sistem combat asas yang diadaptasi oleh World Stage daripada R.E.V.O. masih mengekalkan falsafah tiga butang Virtua Fighter, yang berpusat pada aksi “guard, strike, dan throw”. Asas ini menghasilkan dinamik “batu-kertas-gunting: guard menewaskan strike, strike membatalkan throw, dan throw mengatasi guard.

Setiap pusingan dihadkan kepada 45 saat, menjadikan setiap perlawanan terasa pantas serta memerlukan pemain membuat keputusan sepantas kilat. Kemenangan boleh dicapai sama ada dengan menghabiskan nyawa lawan atau dengan menolak mereka keluar dari arena.

Faktor yang menjadikan Virtua Fighter unik dalam landskap fighting game semasa adalah ketiadaan sepenuhnya mekanik moden seperti meter super, sistem X-factor, atau sebarang mekanik ‘comeback’. Kejayaan seseorang pemain bergantung seratus peratus pada kemahiran menjaga jarak, ketepatan masa, dan pemahaman tentang ‘frame data’.

Keadaan ini mewujudkan sebuah persekitaran yang berasaskan kemahiran, di mana setiap kemenangan adalah hasil usaha dan pengetahuan pemain, bukan kerana manipulasi sistem permainan.

Walaupun set gerakan asas seorang watak boleh dipelajari dalam masa sekitar 30 minit di mod training, ia mengambil masa berbulan-bulan untuk benar-benar mahir. Malah, pemain veteran yang telah bertahun-tahun bersama siri ini juga masih menemui selok-belok dan teknik baharu.

Senarai Watak dan Keseimbangan Gameplay

World Stage menampilkan kesemua 17 watak yang boleh dimainkan dari edisi terkini Virtua Fighter 5, termasuk dua watak tambahan dari DLC yang diperkenalkan dalam versi R-pada tahun 2009.

Senarai petarung ini merangkumi pelbagai seni bela diri, dari yang realistik seperti Jeet Kune Do (Jacky Bryant) dan Karate (Jean Kujo), hinggalah ke gaya yang lebih dramatik seperti Ninjutsu (Kage-Maru) dan gusti profesional (Wolf).

Setiap watak mempunyai gaya pertarungan tersendiri yang dilengkapi dengan pelbagai strategi untuk menangani hampir semua senario dalam perlawanan.

Edisi ini menandakan rombakan gameplay terbesar pertama dalam kira-kira dua belas tahun. Pasukan pembangun telah mengembalikan beberapa serangan dari judul-judul lama, mengubahsuai sifat gerakan sedia ada, dan melakukan penyesuaian menyeluruh pada sistem berat watak.

Hasilnya, ramai pemain menganggap versi ini sebagai edisi Virtua Fighter 5 yang paling seimbang pernah dihasilkan.

Sistem berat telah disusun semula kepada lima kelas yang berbeza, yang memberi kesan langsung kepada potensi kombo di udara: kelas super heavyweight (Taka-Arashi), heavyweight (Wolf, Jeffry), midweight (termasuk Akira, Lau, Jacky, dan lain-lain), lightweight (Sarah, Shun, Pai, Lion, Vanessa), dan super lightweight (Aoi, Eileen, Blaze).

Bagi pemain-pemain lama, kemas kini keseimbangan ini menawarkan pelbagai perubahan untuk diterokai dan dipelajari, menjadikan setiap pertembungan watak terasa jauh lebih unik berbanding versi-versi sebelumnya.

Kandungan Singleplayer dan Aspek Visual

Di luar mod World Stage yang baharu, kandungan untuk pemain solo masih lagi terhad, sama seperti versi R.E.V.O. asal yang lebih mengutamakan mod kompetitif multiplayer.

Game ini menyediakan mod Arcade, mod Training, dan perlawanan menentang CPU, namun kesemuanya lebih berfungsi sebagai tempat latihan untuk persediaan ke perlawanan dalam talian, bukannya sebagai mod solo.

Mod Arcade sekadar menawarkan perlawanan menentang AI secara berturutan tanpa sebarang penceritaan atau cabaran yang istimewa.

Dari segi visual, identiti game ini sebahagian besarnya tidak berubah daripada Ultimate Showdown dan versi R.E.V.O. asas; model watak dan rekaan UI hanya menerima sedikit sentuhan kosmetik.

Sesetengah pemain mungkin akan berpendapat bahawa estetikanya kelihatan agak lapuk jika dibandingkan dengan fighting game era kini yang cenderung ke arah rekaan seni yang lebih moden atau bergaya. Kualiti animasi, walaupun sangat praktikal untuk tujuan kompetitif, dilihat sedikit kurang licin berbanding fighting game yang lebih baharu.

Kelemahan dan Isu

Salah satu kelemahan paling ketara yang diwarisi daripada versi R.E.V.O. asal ialah cara sistem customzation watak dikendalikan. Kebanyakan ciri dan item kosmetik telah dijadikan kandungan DLC, yang bermaksud pemain perlu membuat pembelian tambahan untuk mengaksesnya.

Ini adalah satu langkah mundur jika dibandingkan dengan Virtua Fighter 5 Final Showdown, di mana ciri customization yang luas merupakan sebahagian daripada pakej asas permainan dan bukannya dijual secara berasingan.

UI dalam World Stage juga hampir keseluruhannya diambil dari game asas, dengan hanya sedikit penggilapan visual.

Susun atur menu, skrin pemilihan watak, dan paparan HUD semasa perlawanan masih menggunakan reka bentuk yang sama sejak beberapa edisi VF5, menunjukkan kurangnya evolusi untuk menepati piawaian fighting game moden.

Selain itu, pergerakan sesetengah watak boleh kelihatan agak kaku atau robotik, terutamanya sewaktu peralihan antara satu animasi ke animasi yang lain.

Pendapat

World Stage amat disarankan untuk pemain fighting game kompetitif yang tidak teragak-agak untuk melaburkan masa bagi menguasai sistem combat yang amat kompleks.

Mekanik yang berasaskan kemahiran, keseimbangan cemerlang, dan senarai watak yang unik menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang inginkan teknikal dan persaingan yang adil.

Pemain veteran pula pasti akan menghargai perubahan keseimbangan yang besar serta penemuan teknik-teknik baharu, manakala infrastruktur dalam talian yang ditambah baik dengan fungsi cross-platform menjadikannya lebih mudah untuk mencari perlawanan pada bila-bila masa.

Walau bagaimanapun, game ini mungkin kurang memikat hati pemain kasual atau mereka yang mahukan kandungan singleplayer yang lebih meluas selain daripada apa yang ditawarkan oleh mod World Stage.

Tahap kesukaran yang tinggi, pilihan custpmization terhad tanpa DLC, dan gaya visual yang ketinggalan zaman mungkin akan menghalang minat pemain yang mencari pengalaman yang lebih santai atau moden.

Sifat gameplay yang sangat menuntut kemahiran juga bermakna pemain yang tidak sanggup berlatih secara tekun akan menghadapi kesukaran untuk bersaing secara efektif dalam talian.

Namun begitu, World Stage masih adalah versi definitif bagi Virtua Fighter 5 R.E.V.O.. Ia berjaya melaksanakan ciri-ciri cross-platform yang amat penting sambil menangani isu kekurangan kandungan singleplayer melalui mod World Stage yang baharu.

Bagi mereka yang telah membeli versi R.E.V.O. asal di PC, World Stage menawarkan penambahbaikan yang meningkatkan lagi nilai jangka panjang melalui ekosistem pemain yang lebih luas dan kandungan solo yang segar.

Game ini dilancarkan pada 30 Oktober 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam), diikuti oleh Nintendo Switch 2 pada tarikh lain. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.

The Review

Virtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage

8 Score

Kami menganggap Virtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage sebagai versi definitf game ini, yang membawakan penambahbaikan kritikal seperti fungsi cross-platform penuh, rollback netcode di konsol, dan mod singleplayer "World Stage" yang sangat diperlukan. Ia juga adalah edisi paling seimbang setakat ini dengan mekanik combat teknikal yang mendalam yang akan dihargai oleh pemain kompetitif dan veteran. Walau bagaimanapun, game ini masih kekurangan kerana kandungan solonya yang terhad di luar mod baharu, amalan mengunci kebanyakan item kosmetik di sebalik DLC berbayar, serta persembahan visual dan UI yang kelihatan ketinggalan zaman. Kesimpulannya, ia adalah pakej yang hebat untuk peminat tegar, tetapi mungkin kurang menarik bagi pemain kasual kerana tahap kesukarannya yang tinggi.

PROS

  • Versi VF5 yang paling seimbang setakat ini dengan pelarasan sistem berat yang komprehensif
  • Game utama pertama dalam 12 tahun dengan serangan yang diperkenalkan semula dan ciri-ciri gerakan yang diubah suai
  • Rollback netcode dan cross-platform kini menyediakan perlawanan dalam talian yang lancar
  • Mod kempen singleplayer World Stage baharu yang menyerupai pertandingan arked
  • Kejohanan hujung minggu yang kerap menyokong permainan kompetitif
  • Senarai watak yang pelbagai dengan gaya seni bela diri yang realistik dan bergaya

CONS

  • Kebanyakan pilihan customization watak dikunci di sebalik pembelian DLC
  • Kandungan singleplayer yang masih terhad di luar mod World Stage baharu

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: reviuVirtua Fighter 5 R.E.V.O. World Stage
ShareTweetSend
Previous Post

Reviu DRAGON QUEST I & II HD-2D Remake – Satu Wira, Satu Pasukan, Dua Pengembaraan!

Next Post

Resident Evil Requiem Tersedia Untuk Pre-Order! Inilah Semua Edisi Khas, Kolaborasi Khas & Banyak Lagi!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi
Berita

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi

June 6, 2026
Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars
Berita

Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars

June 6, 2026
Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri
DLC

Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri

June 6, 2026
Next Post
Resident Evil Requiem Tersedia Untuk Pre-Order! Inilah Semua Edisi Khas, Kolaborasi Khas & Banyak Lagi!

Resident Evil Requiem Tersedia Untuk Pre-Order! Inilah Semua Edisi Khas, Kolaborasi Khas & Banyak Lagi!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd