Francais Virtua Fighter telah lama menjadi tonggak besar dalam genre 3D fighting game, dan Virtua Fighter 5 R.E.V.O. meneruskan legasi itu dengan pengalaman yang lebih canggih dan moden.
Dibangunkan oleh Ryu Ga Gotoku Studio dan diterbitkan oleh Sega, versi terbaru ini dibina di atas asas Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown—yang merupakan versi remaster Final Showdown dari 2021—dengan pelbagai penambahbaikan.
Dengan grafik yang dipertingkatkan, keseimbangan gameplay yang lebih baik, serta ciri baharu yang direka untuk pemain kompetitif dan pendatang baharu, Virtua Fighter 5 R.E.V.O. berusaha memastikan francais ini terus relevan dalam dunia fighting game yang semakin berkembang.
Selepas beberapa minggu mencuba game ini, berikut adalah ulasan kami.
Teras Gameplay
Sistem pertempuran Virtua Fighter 5 R.E.V.O. masih mengekalkan kawalan tiga butang—Punch, Kick, dan Guard. Ia berasaskan konsep Gunting-Batu-Kertas, di mana serangan dikalahkan oleh pertahanan, pertahanan ditewaskan oleh lontaran, dan lontaran boleh diganggu dengan serangan.

Peraturan asas ini tidak berubah dan memberikan asas gameplay boleh dipercayai—di mana pemain sentiasa tahu strategi mana yang lebih berkesan dalam setiap situasi. Had masa 45 saat dalam setiap pusingan pula mencipta perlawanan yang sengit dan pantas, memerlukan keputusan segera serta kemahiran pelaksanaan yang tepat.

Walaupun hanya mengambil kira-kira 30 minit untuk mempelajari pergerakan asas dalam mod training, menguasai game ini sepenuhnya memerlukan berbulan-bulan latihan. Inilah yang membuatkan game ini kekal menarik—walaupun setelah bertahun-tahun bermain, pemain veteran masih boleh menemui teknik dan kombinasi baharu.
Grafik dan Prestasi Teknikal
Seperti saya sebut tadi, Virtua Fighter 5 R.E.V.O. dibina berasaskan Ultimate Showdown, dengan visual yang dipertingkatkan Dragon Engine dari RGG Studio—enjin yang sama digunakan dalam francais Like a Dragon.
Game ini menyokong resolusi 4K dengan grafik yang ditambah baik untuk perkakasan berkemampuan tinggi, tetapi ia juga mempunyai keperluan prestasi yang agak “demanding”.

Konsistensi 60FPS amat penting untuk pengalaman online play yang lancar. Jika pemain menyertai perlawanan online tanpa mengubah grafik mereka dengan betul, ia boleh menyebabkan masalah yang menjejaskan keseluruhan pengalaman—walaupun sistem pemain lain berjalan dengan lancar.

Dari segi visual, game ini masih mengekalkan identiti unik Virtua Fighter, tetapi sesetengah pemain mungkin merasakan gayanya agak ketinggalan berbanding fighting game moden. Model watak dan interface pun tidak banyak berubah daripada Ultimate Showdown, hanya sedikit perubahan untuk PC.
Perubahan kepada Roster Watak
R.E.V.O. menampilkan pelbagai fighter dengan gaya perlawanan yang merangkumi seni bela diri realistik serta teknik yang lebih dramatik.
Pemain boleh memilih watak yang mengamalkan seni bela diri sebenar seperti Jacky Bryant dengan Jeet Kune Do dan Jean Kujo dengan Karate, atau memilih gaya yang lebih bergaya seperti Ninjutsu Kage-Maru dan gusti profesional Wolf.

Update terbaru telah membawa perubahan besar kepada meta kompetitif. Ini merupakan rombakan terbesar dalam mekanik gameplay dalam tempoh kira-kira 12 tahun, dengan beberapa serangan klasik dikembalikan, sifat serangan diubah, serta sistem berat watak disemak semula.
Hasilnya, versi terbaru VF5 ini dianggap sebagai yang paling seimbang setakat ini. Watak-watak masih mengekalkan pesona klasik SEGA AM2, menggabungkan personaliti serius dengan karakter yang lebih eksentrik—walaupun ada yang mungkin merasakan reka bentuk dan lakonan suara sesetengah watak agak ketinggalan zaman.

R.E.V.O. juga memperkenalkan perubahan mekanik yang mengubah dinamik perlawanan. Salah satu perubahan terbesar ialah serangan tumbukan asas (P) kini secara automatik bergerak ke hadapan tanpa memerlukan input arah, menjadikan serangan asas lebih mudah digunakan.
Sistem berat, yang mempengaruhi air combo, turut mengalami perubahan besar. Kini ada lima kategori berat utama:
- Super Heavyweight – Taka-Arashi
- Heavyweight – Wolf, Jeffry
- Midweight – Akira, Lau, Jacky, dan lain-lain
- Lightweight – Sarah, Shun, Pai, Lion, Vanessa
- Super Lightweight – Aoi, Eileen, Blaze
Beberapa watak mengalami perubahan berat ketara, seperti Wolf dan Jeffry yang kini lebih ringan, manakala Aoi, Eileen, dan Blaze menjadi lebih berat. Pelarasan ini bertujuan memastikan keseimbangan yang lebih baik dalam kombo udara untuk semua watak.
Selain itu, mekanik pertempuran telah dikemas kini dengan counter hit window yang diperluaskan. Kini, gerakan yang sebelum ini hanya menghasilkan serangan biasa semasa recovery boleh mencetuskan counter hit, menambahkan risiko kepada serangan yang dahulunya lebih selamat.
Ciri Online dan Netcode
Pengenalan rollback netcode membawa peningkatan besar kepada siri, memastikan perlawanan online lebih lancar di peringkat global. Pemain boleh bertarung dengan lawan dari seluruh dunia—saya sendiri berjaya bermain dengan pemain Filipina dan Jepun.

Namun, pengalaman online masih mempunyai kekurangan. Walaupun ada pilihan untuk melaraskan jumlah rollback frame, masalah matchmaking sering berlaku, termasuk penunjuk kualiti sambungan yang tidak tepat serta tetapan yang kerap kembali ke lalai.

Dari segi mod onlione, game ini menawarkan Ranked Match dan Private Lobby, selain kejohanan hujung minggu untuk pemain yang ingin bersaing secara kompetitif. Private Lobby membolehkan pemain membina komuniti serta menganjurkan kejohanan santai tanpa perlu risau tentang perubahan ranking.
Sementara itu, kejohanan rasmi hujung minggu menyediakan platform kompetitif yang lebih tersusun untuk pemain dari semua peringkat kemahiran.

Namun, beberapa isu teknikal masih berterusan, seperti bug skrin hitam ketika membatalkan matchmaking serta sambungan yang tidak stabil walaupun penunjuk sambungan menunjukkan warna hijau.
Walaupun pelaksanaan rollback ini merupakan peningkatan besar berbanding versi terdahulu, kestabilannya masih belum mencapai tahap yang setanding dengan fighting game moden lain.
Mod Single-Player dan Sistem Customization
Dari segi kandungan single-player, pilihan yang disediakan agak terhad, dengan hanya mod asas seperti Arcade, Training, dan VS CPU. Mod ini lebih berperanan sebagai platform latihan sebelum bertarung online , bukannya memberikan pengalaman solo yang benar-benar mendalam.

Salah satu aspek yang mengecewakan ialah sistem character customization, yang kini sebahagian besarnya dikunci di sebalik DLC berbayar.
Jika dibandingkan dengan versi terdahulu Virtua Fighter 5 yang menawarkan pelbagai pilihan customization dalam game asas, R.E.V.O. hanya menyediakan pilihan asas seperti menanggalkan aksesori atau tatu.

Sedangkan DLC Yakuza Series Collaboration menawarkan lebih 650 item customization, termasuk pilihan warna baharu dan pakaian khas daripada francais Yakuza.
Namun, keputusan untuk mengunci sebahagian besar kandungan ini di sebalik pembelian tambahan agak mengecewakan, terutama bagi peminat lama siri ini yang biasa dengan sistem customization lebih terbuka.
Pendapat
Virtua Fighter 5 R.E.V.O. membawa banyak penambahbaikan, tetapi masih ada kelemahan yang sukar diabaikan. Peningkatan visual dan rollback netcode menunjukkan kemajuan teknikal yang jelas, namun keperluan prestasi yang tinggi serta beberapa isu kestabilan online boleh menjejaskan pengalaman bermain.

Dari segi gameplay, sistem pertempuran kekal sangat seimbang, dengan perubahan paling menyeluruh dalam lebih satu dekad. Namun, kandungan single-player yang terhad serta pilihan customization yang dikunci di sebalik DLC pasti mengecewakan sesetengah pemain.

Game ini paling sesuai untuk mereka yang berminat dengan fighting game kompetitif dan sanggup meluangkan masa untuk menguasai mekaniknya yang kompleks. Namun, pemain perlu memastikan sistem mereka cukup berkuasa untuk mendapatkan pengalaman terbaik.
Sebagai game yang berfokuskan online, masih ada ruang untuk penambahbaikan melalui kemas kini masa depan, menjadikannya pilihan yang berbaloi, terutama jika dibeli ketika promosi.
Jika berminat, dapatkan game ini sekarang di Steam.
@gamersantaimy
The Review
Virtua Fighter 5 R.E.V.O.
Game ini paling sesuai untuk mereka yang berminat dengan game "competitive fighting" dan sanggup meluangkan masa untuk menguasai mekanik kompleksnya. Namun, pemain perlu memastikan sistem mereka dioptimumkan untuk mendapatkan pengalaman terbaik. Sebagai game yang berfokuskan online, masih ada potensi untuk penambahbaikan melalui kemas kini masa depan, menjadikannya pilihan yang berbaloi, terutama ketika promosi.
PROS
- Versi Virtua Fighter 5 yang paling seimbang dengan sistem berat yang dikemas kini
- Rollback netcode memastikan perlawanan online yang lebih lancar
- Menyokong resolusi 4K dengan visual yang dipertingkatkan menggunakan Dragon Engine
- Kejohanan hujung minggu secara berkala menyokong pemain kompetitif
- Barisan watak yang bervariasi, merangkumi gaya pertarungan realistik dan bergaya
- Penyesuaian mekanik dan butiran teknikal meningkatkan dinamik berlawan
CONS
- Matchmaking tidak stabil dengan kualiti sambungan yang tidak konsisten
- Sebahagian besar customization watak terkunci di sebalik DLC
- Kandungan single-player lebih terhad berbanding versi terdahulu
Discussion about this post