Selepas mengikuti perkembangannya menerusi tiga previu yang lalu, kini tiba masanya untuk Sonic Racing: CrossWorlds melintasi garisan penamat. Walaupun banyak game lumba kart lain berpuas hati dengan hanya menggilap mekanik drift, judul yang bercita-cita tinggi ini menyasar untuk memecahkan realiti trek perlumbaan itu sendiri.

Dengan senarai watak terbesar dalam sejarah Sonic, customization kenderaan yang mendalam, serta mod parti yang inovatif, skalanya memang tidak dapat dinafikan. Kini, dengan versi akhir, kami bersedia untuk memberikan keputusan muktamad: adakah game ini benar-benar mampu membawa kelainan kepada genre kart racer?
Memecah Realiti Litar Lumba

Seperti namanya, Sonic Racing: CrossWorlds menawarkan pengalaman lumba kart yang merentasi pelbagai dimensi. Ia bukan sahaja tentang senarai watak yang menampilkan kolaborasi dengan francais-francais besar termasuk milik SEGA sendiri, tetapi juga tentang kepelbagaian litar yang boleh anda masuki di tengah-tengah perlumbaan.
Ini bermakna setiap perlawanan terasa segar dan tidak dapat dijangka—pemain di tempat pertama boleh tiba-tiba menukar laluan dengan memasuki portal, yang mungkin membawa ke litar alternatif.

Pada mulanya, saya risau konsep ini mungkin akan merosakkan rentak perlumbaan, mungkin menyebabkan kelengahan loading atau stutter semasa menukar trek. Namun yang mengejutkan, setiap kali anda memasuki portal, game serta-merta beralih ke dunia baharu.
Saya bermain di PlayStation 5, dan walaupun ia terasa laju sebab SSD konsol tersebut, penting untuk diingat bahawa Sonic Racing: CrossWorlds turut dilancarkan di konsol generasi lama (PlayStation 4 dan Xbox One).
Ini menunjukkan pembangun telah menemui teknik bijak untuk menyembunyikan masa loading dan mengekalkan ilusi perlumbaan merentasi dunia yang berbeza tanpa terlalu bergantung pada kuasa perkakasan.

Dari segi transisi litar, game ini membahagikannya kepada dua jenis: laluan lebih panjang yang berfungsi sebagai peta utama yang boleh dipilih, dan laluan khas yang hanya boleh diakses melalui portal di pertengahan perlumbaan.
Pilihannya sangat padat, dan walaupun selepas menamatkan game dan membuka hampir semua kandungan, saya masih menemui laluan portal baharu yang belum pernah saya lalui. Setiap transisi juga akan menukar muzik latar, jadi anda tidak akan mendengar lagu yang sama sepanjang perlumbaan.
Pada pusingan terakhir, muzik akan menjadi lebih pantas dan rancak, menambahkan lagi kehangatan persaingan.

Pusingan terakhir juga merupakan masa di mana anda akan melihat perubahan besar pada trek—perangkap baharu muncul, jalan pintas dibuka semula, dan item berganda tersedia. Elemen-elemen ini mencipta banyak peluang untuk membuat comeback, sesuatu yang sering berlaku dalam game ini.
Tidak seperti kebanyakan game lumba kart di mana pemain mahir boleh mendominasi secara konsisten, Sonic Racing: CrossWorlds rasa jauh lebih huru-hara. Tidak kira tahap kemahiran anda, detik-detik tidak dijangka pasti akan berlaku, dan nasib (sama ada adil atau tidak) memainkan peranan besar dalam setiap perlumbaan.

Ini berkait rapat dengan sistem item permainan, yang terasa lebih seimbang berbanding semasa ujian Open Network sebelum ini. Anda kurang berkemungkinan untuk terus-menerus mendapat item berkuasa tinggi, sebaliknya anda akan lebih kerap melihat item boost dan serangan biasa.
Ini menangani salah satu aduan terbesar dari fasa ujian, di mana kekerapan item biasa dan super terasa hampir sama. Dalam versi akhir, keseimbangannya terasa lebih lancar.
Walaupun anda menggunakan gadget untuk meningkatkan peluang mendapatkan item tertentu, kadar penemuannya masih dikawal supaya anda tidak boleh spam kuasa yang sama—kadangkala anda masih memerlukan item yang berbeza, terutamanya yang bersifat defensif, untuk bertahan daripada serangan musuh.

Bagi kawalan gameplay, ia lancar dan responsif, tetapi sebahagian besar rasa kawalan bergantung pada parameter kenderaan anda. Sesetengah kenderaan mungkin lebih kaku atau sukar dikawal jika ia lebih mengutamakan Speed atau Power berbanding Handling.
Menguasai teknik drift adalah sangat penting, kerana ia cara paling berkesan untuk mengambil selekoh tajam sambil membina momentum boost. Jika anda cuba memandu seperti dalam game lumba biasa, anda tidak akan mendapat pengalaman yang sepatutnya dan mungkin akan kecewa.
Namun begitu, belokan biasa masih berguna dalam senario tertentu—contohnya, semasa beralih antara darat, air, atau udara. Dalam kes ini, sesetengah selekoh tajam lebih mudah (atau hanya boleh) diambil dengan stereng biasa.
Gajet Ialah Senjata Rahsia Anda di Litar

Siapa sangka sistem gadget dalam game ini akan menjadi salah satu ciri terbaiknya? Ia merupakan satu lapisan customiation tambahan yang memberikan anda pelbagai kelebihan istimewa semasa berlumba.
Pilihan yang ada sangat banyak, dan saya sudah boleh bayangkan ramai pemain akan meneroka sistem ini secara mendalam—terutamanya mereka yang ingin bermain secara lebih kompetitif.
Antara contohnya termasuk stat boosts kenderaan, pengecasan lebih pantas semasa drift untuk ganjaran boost yang lebih kuat, item bonus tambahan, pilihan kit khas (termasuk pakej naik taraf yang meningkatkan prestasi kenderaan berdasarkan parameter tertentu), dan banyak lagi.

Ia adalah sistem yang terasa sangat luas, menawarkan pelbagai cara untuk menjadikan game lebih seronok untuk dimainkan sambil meningkatkan peluang untuk menang.
Jadi, apabila anda menghadapi situasi yang tidak adil atau mengecewakan—seperti tidak dapat menukar item di pertengahan perlumbaan tanpa membuang item sedia ada—terdapat gadget bernama Inventory Swap yang (seperti namanya) membolehkan anda menukar item dengan lebih fleksibel dengan menekan butang Segi Tiga (pada PS5).
Contoh lain: apabila anda melanggar tepi trek dan kehilangan cincin, kelajuan anda akan jatuh mendadak. Untuk senario itu, anda boleh melengkapkan gadget Bumper Guard untuk mengelakkannya daripada berlaku.

Daripada semua gadget yang saya uji, jelas sekali pembangun benar-benar memahami apa yang diperlukan oleh pemain—walaupun dalam senario yang paling kecil dan spesifik. Sistem ini terasa seperti satu penyelesaian pintar untuk pemain yang mungkin sukar untuk menikmati pengalaman atau kecewa dengan isu tertentu.
Dan kerana gadget ini berkuasa, ada had untuk berapa banyak yang boleh anda bawa: anda mendapat enam slot secara keseluruhan, dan sesetengah gadget menggunakan lebih daripada satu atau dua slot bergantung pada kekuatan kesannya.

Sebagai contoh, oleh kerana item peningkat Speed sentiasa menjadi rebutan, gadget yang meningkatkan kadar penemuannya memerlukan tiga slot. Sebaliknya, kerana peluang untuk comeback sangat biasa dalam game ini dan kelajuan semata-mata tidak selalunya menjamin keselamatan, item defensif sering kali lebih penting.
Dalam kes itu, gadget yang meningkatkan kadar penemuannya hanya memerlukan dua slot. Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan sistem ini dan amat mengesyorkan pemain untuk menerokanya secara mendalam—ia adalah salah satu ciri paling menarik dan paling memuaskan dalam game ini.
Membina Kart Idaman

Satu lagi aspek yang segera menarik minat saya ialah sistem customization, yang kini datang dengan jumlah pilihan yang banyak. Khusus untuk kenderaan, anda boleh membina kenderaan mengikut kehendak anda menggunakan tiga bahagian utama, masing-masing dengan statistiknya sendiri.
Tetapi walaupun ia menawarkan personalisasi yang mantap, ada beberapa had utama yang perlu diingat.

Bermula dengan pemilihan alat ganti, ramai pemain secara natural akan cuba mencipta kenderaan dengan statistik terbaik, tetapi game ini direka untuk mengekalkan keseimbangan customization. Ini bermakna setiap kali anda menaikkan satu statistik, statistik yang lain akan menurun.
Semuanya kekal seimbang, jadi daripada memaksimumkan semua statistik, anda perlu memutuskan parameter mana yang ingin anda utamakan.

Satu lagi had ialah kenderaan hanya boleh dibina mengikut parameter yang telah ditetapkan untuknya. Contohnya, jika ada alat ganti yang hebat daripada kenderaan jenis Power yang anda ingin gunakan pada kenderaan jenis Speed, anda tidak akan dapat melakukannya—setiap jenis parameter terhad kepada alat gantinya sendiri.
Saya faham mengapa pembangun mereka bentuknya begini, kerana ia menghalang manipulasi statistik sambil menjadikan customization lebih ringkas.
Namun, ia terasa seperti satu potensi yang disia-siakan, kerana aspek ini boleh diterokai dengan lebih mendalam dan tidak terikat begitu ketat pada keseimbangan statistik—terutamanya kerana sistem gadget sudah pun mengendalikan fleksibiliti sedemikian dengan jauh lebih berkesan.
Dari Grand Prix Ke Pengalaman Online

Jumlah kandungan yang ditawarkan sudah cukup padat. Jika anda bermain secara offline, ada tujuh Grand Prix utama serta satu Secret Grand Prix tambahan yang menampilkan peringkat daripada game Sonic terkini.
Game ini juga menyertakan acara Grand Prix bonus khusus untuk kolaborasi DLC dengan francais lain, yang bermakna kandungan berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan.
Setiap Grand Prix akan menemukan anda dengan watak Rival yang lebih kuat daripada lawan CPU biasa, dengan tahap kesukaran mereka meningkat seiring kemajuan anda—walaupun anda sentiasa boleh menurunkan tahap kesukaran jika keadaan menjadi terlalu mencabar.
Sebaik sahaja anda mengalahkan semua Rival (yang bermakna menyelesaikan lebih 20 Grand Prix secara keseluruhan), anda akan membuka watak bonus istimewa: tidak lain dan tidak bukan, Super Sonic.

Selepas menamatkan semua Grand Prix dan melihat kredit, anda akan membuka kandungan tambahan, termasuk Race Park, yang dipenuhi dengan pelbagai mod permainan—sesetengahnya memerlukan kerjasama.
Saya telah mencuba kesemuanya, dan setiap satu membawa keunikan tersendiri, menawarkan kelainan yang menyeronokkan di luar senario perlumbaan standard. Kegemaran saya pastinya Extreme Match, di mana hanya item super tersedia, menjadikan perlumbaan sangat huru-hara dan tidak menentu.
Pilihan lain termasuk mencipta perlawanan custom dengan peraturan anda sendiri, serta Time Trials yang membolehkan anda bersaing dengan rekod pemain dari seluruh dunia.
Untuk Time Trials, saya sangat suka kesan ‘ghost racer’, di mana rekod lampau anda muncul sebagai lawan bayangan—yang terasa seperti anda berlumba dengan diri sendiri.

Dan bagaimana pula dengan mod online? Saya berpeluang menguji beberapa perlawanan bilik crossplay dengan pengulas lain, dan sambungannya sangat stabil semasa perlumbaan, tanpa sebarang kelengahan atau isu yang ketara.
Walau bagaimanapun, saya menghadapi masalah di lobi, di mana sambungan terputus dan memaksa kami untuk mencipta bilik baharu.
Mungkin masih terlalu awal untuk menilai aspek ini secara muktamad, tetapi memandangkan game ini telah melalui ujian Open Network beberapa minggu lalu, diharapkan pembangun akan membuat penambahbaikan lanjut untuk memastikan pengalaman online yang lebih lancar semasa pelancaran.
Pendapat

Selepas pengalaman yang menyeronokkan semasa Ujian Open Network, versi akhir game ini ternyata lebih memuaskan—padat dengan kandungan dan lebih kemas.
Dengan konsep lumba rentas dimensi dan sistem Gadget yang direka dengan bijak, ini adalah game lumba kart yang hampir sempurna, selain beberapa kritikan kecil seperti had yang masih ketara dalam customization.
Saya ada mengalami satu ralat semasa bermain online, yang saya harap bukan petanda kepada isu yang lebih besar apabila server dibuka kepada umum. Selain itu, pembangun jelas mengambil serius maklum balas pemain, terutamanya mengenai keseimbangan item, yang kini terasa jauh lebih baik.

Di samping itu, tema kolaborasi membuka pintu kepada sokongan jangka panjang dengan potensi yang tidak terhad.
Walaupun genre ini mungkin tidak begitu popular apabila digabungkan dengan model live-service, saya percaya Sonic Racing: CrossWorlds mempunyai potensi untuk mencapai audiens yang lebih luas dalam arena lumba kart—dan kualiti keluaran akhir ini sudah membuktikannya.

Sonic Racing: CrossWorlds akan dilancarkan bermula 25 September 2025, untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S, PC (Steam, Epic Games Store, Microsoft Store), dan Nintendo Switch. Versi untuk Nintendo Switch 2 dijadualkan untuk dilancarkan pada tarikh yang akan datang.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Sonic Racing: CrossWorlds
Sonic Racing: CrossWorlds ialah sebuah game lumba kart yang hampir sempurna dan berjaya membawa inovasi kepada genrenya. Ciri utamanya, mekanik "CrossWorld", yang membawa pemain merentasi dimensi di tengah perlumbaan, mencipta pengalaman yang sentiasa segar dan tidak dapat dijangka. Ini disokong pula oleh sistem Gadget, yang menambah lapisan strategi serta menyelesaikan masalah-masalah lazim dalam game. Dipenuhi dengan senarai watak yang besar, kandungan yang padat termasuk sokongan crossplay, serta sistem item yang kini lebih seimbang, game ini adalah satu kejayaan. Walaupun terdapat kritikan kecil seperti customization kenderaan yang agak terhad, ia tidak menjejaskan pakej keseluruhan, yang berjaya memberikan definisi baharu kepada apa yang mampu ditawarkan oleh sebuah game lumba kart moden.
PROS
- Kandungan padat dengan nilai main semula yang tinggi
- Aliran perlumbaan yang segar dan tidak dapat dijangka
- Senarai watak, kereta dan trek yang luas dan hebat
- Kandungan endgame yang kaya, terutamanya melalui Play Park dan usaha Grand Prix untuk watak bonus tambahan
- Mod online kini menyokong crossplay
- Sistem Gadget yang bijak
CONS
- Had yang tidak perlu untuk customization kereta
- Isu teknikal rawak masih berlaku dalam mod online









Discussion about this post