ROG Phone 9, telefon pintar gaming terkini daripada ROG, akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ia dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8 Elite dengan CPU Qualcomm Oryon dan GPU Adreno, direka khas untuk memberikan pengalaman gaming terbaik dalam kelasnya.
Dengan peningkatan ketara pada paparan, prestasi, dan sistem penyejukan berbanding model sebelumnya, ROG Phone 8, telefon ini adalah pilihan utama untuk pengalaman gaming tanpa gangguan.
Kami berpeluang mencuba Pro Edition, yang menampilkan 648 lampu Mini-LED untuk AniMe Vision (berbanding 85 pada model biasa), kapasiti RAM dan storan lebih besar, serta kamera telefoto yang dipertingkatkan.
Tetapi, bagaimana ROG Phone 9 Pro berprestasi erbanding model terdahulu, dan sejauh mana penambahbaikannya tahun ini? Jom kita lihat dalam reviu ini.
Rekaan
ROG Phone 9 Pro meneruskan tradisi ASUS dengan reka bentuk berani dan penuh gaya yang sesuai untuk gamer, sambil meningkatkan aspek praktikalnya. Panel belakangnya dihiasi dengan kemasan matte premium yang menggunakan tekstur nano kristal, memberikan rasa yang selesa di tangan dan bebas daripada kesan cap jari.
Reka bentuk penutup belakang ini turut menampilkan ikon Fearless Eye serta corak slash ikonik ROG yang digabungkan dengan harmoni.
Fungsi AniMe Vision kembali dalam ROG Phone 9 Pro. Diperkenalkan pertama kali pada ROG Phone 8 Pro, AniMe Vision adalah paparan mini-LED di bahagian belakang telefon yang membolehkan anda menyesuaikan serta memaparkan apa sahaja mengikut citarasa anda.
Ciri ini menerima sambutan hangat pada model sebelumnya, dan tahun ini, dengan 648 LED, ASUS menambah sokongan untuk teks lebih kompleks termasuk bahasa seperti Cina dan Jepun, selain membolehkan penggunaan GIF tersuai untuk pengalaman penyesuaian yang lebih menyeronokkan (mungkin ini masanya untuk memaparkan meme kucing kegemaran anda!).
Eksklusif untuk ROG Phone 9 Pro, AniMe Play diperkenalkan, membolehkan anda bermain beberapa mini-game retro secara terus di paparan AniMe Vision. Anda juga boleh mengawal game tersebut menggunakan butang AirTrigger untuk pengalaman gaming yang unik.
Paparan
ROG mengekalkan paparan AMOLED Samsung E6 bersaiz 6.78” dengan teknologi LTPO seperti model sebelumnya. Namun, kali ini ROG Phone 9 Pro menyokong kadar segar ultra tinggi sehingga 185Hz, berbanding 165Hz sebelum ini. Fungsi ini boleh diaktifkan melalui aplikasi Game Genie untuk game yang menyokongnya.
Selain kadar segar ultra tinggi ini, spesifikasi lain masih sama seperti pada ROG Phone 8 Pro: resolusi 2400×1080, kecerahan puncak mencapai 2500 nits, 1600 nits dalam mod HBM, serta perlindungan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2.
Walaupun bahagian paparan ROG Phone 9 Pro tidak banyak berubah berbanding model sebelumnya, peningkatan pada kadar segar ultra tinggi adalah tambahan yang menarik, terutama untuk meningkatkan pengalaman gaming. Teknologi LTPO yang menyokong kadar segar dinamik masih sangat mengesankan, dan paparan ini secara visual benar-benar luar biasa – elemen penting untuk pengalaman gaming yang memukau.
Bateri
ROG Phone 9 Pro hadir dengan bateri berkapasiti 5800mAh, sedikit lebih besar berbanding 5500mAh pada model sebelumnya. Peningkatan 300mAh ini dicapai tanpa menambah saiz fizikal, dengan kepadatan bateri ditingkatkan sebanyak 3.5%. ASUS turut menyatakan bahawa jangka hayat bateri kini lebih baik, mampu mengekalkan 80% kapasiti walaupun selepas 1,000 kitaran pengecasan.
Kelajuan pengecasan kekal pada 65W, membolehkan bateri dicas penuh dari 0% hingga 100% dalam masa 46 minit menggunakan adapter ROG HyperCharge. Telefon ini juga menyokong pengecasan tanpa wayar standard Qi 1.3 sehingga 15W, menambahkan lagi kemudahan untuk pengguna.
Prestasi
ROG Phone 9 Pro dikuasakan oleh chipset Snapdragon 8 Elite, yang menggunakan seni bina CPU Qualcomm Oryon dengan konfigurasi 2+6. Ia terdiri daripada dua teras Oryon berprestasi tinggi yang beroperasi pada 4.3GHz, serta enam teras kecekapan pada 2.8GHz.
Telefon ini turut dilengkapi GPU Adreno 830 terkini, menawarkan lonjakan prestasi yang ketara berbanding generasi sebelumnya untuk memastikan kelajuan luar biasa dan pengalaman multitasking yang lancar.
Sistem Penyejukan GameCool 9 baharu diperkenalkan pada ROG Phone 9 Pro, dengan reka bentuk 5-bahagian yang mengintegrasikan SoC berpusat serta Sistem Penyejukan SoC 360° Gen 4. Struktur lembaran grafit yang diperbesar dalam GameCool 9 membantu menyejukkan telefon hingga 4.5°C lebih sejuk, terutama ketika bermain game intensif seperti Wuthering Waves dan Zenless Zone Zero.
Jadi, sejauh mana hebatnya prestasi telefon ini? Kami telah menguji menggunakan AnTuTu Benchmark dan Geekbench 6, serta memainkan beberapa game popular yang terkenal dengan keperluan sistem tinggi seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Zenless Zone Zero, dan Wuthering Waves. Semua ujian dijalankan dalam mod X untuk prestasi maksimum.
AnTuTu Benchmark: 2970227 (v10)
Geekbench 6: 2941 (CPU Single-Core), 9392 (CPU Multi-Core), 19408 (GPU OpenCL), 25696 (GPU Vulkan)
- Genshin Impact berjalan stabil pada 60 FPS dengan tetapan grafik tertinggi dan FPS dikunci pada 60 FPS. Tiada isu penurunan bingkai, walaupun dalam situasi kompleks seperti pergerakan di dunia terbuka atau aksi watak dengan animasi berat. Jika versi Android game ini menyokong 120 FPS, kami yakin telefon ini mampu menjalankannya dengan stabil.
- Honkai Star Rail pada tetapan maksimum dan 60 FPS mengekalkan FPS sekitar 58-60 semasa pertarungan. Namun, ketika melibatkan watak atau musuh dengan kesan visual kompleks seperti Acheron, Feixiao, atau Jiaoqiu, FPS boleh turun hingga ~47 FPS. Dalam kawasan sibuk seperti Golden Hour di Penacony, prestasi biasanya sekitar ~60 FPS tetapi boleh turun hingga ~41 FPS ketika memuatkan model dan tekstur.
- Zenless Zone Zero pada tetapan High atau Ultra menawarkan prestasi stabil 56-60 FPS semasa menjelajah kawasan seperti Lumina Square. Namun, semasa memuatkan model dan tekstur, FPS boleh turun seketika hingga 37 FPS. Pertarungan pula kurang stabil kerana terdapat gangguan mikro (micro stutters), dengan FPS sering berubah-ubah.
- Wuthering Waves, yang terkenal dengan port mobile yang mencabar, menunjukkan prestasi stabil pada 60 FPS dengan tetapan maksimum dalam kemas kini terbaru (1.4). Prestasi hanya menurun semasa animasi ultimate Changli, dengan FPS jatuh ke 33, manakala watak lain mengekalkan 60 FPS. Ultimate Changli jelas memberikan cabaran besar kepada peranti ini.
Secara keseluruhan, ujian kami dengan peranti ini bersama aplikasi dan game sangat memuaskan. Dengan bantuan Snapdragon 8 Elite, ROG Phone 9 Pro menetapkan penanda aras baharu untuk mobile gaming premium, terutamanya untuk game yang semakin menuntut dari segi spesifikasi.
Kamera
Walaupun ROG Phone 9 Pro lebih menumpukan pada pengalaman gaming, ia tetap memberikan sedikit peningkatan dalam bahagian kamera berbanding model sebelumnya, ROG Phone 8 Pro. Tetapan tiga kameranya masih mengekalkan kamera telefoto 32MP dengan zoom 3x dan kamera ultra-lebar 13MP pada 0.7x.
Namun, kali ini, ia menggunakan kanta utama Sony Lytia 700 50MP, menggantikan Sony IMX890 50MP yang digunakan sebelum ini. Kanta baharu ini turut disertakan dengan penambahbaikan pada 6-axis Hybrid Gimbal Stabilizer 4.0, memberikan peningkatan prestasi hingga 66%.
Walaupun spesifikasi perkakasan kamera pada kedua-dua model hampir sama, ROG Phone 9 Pro menampilkan kelebihan melalui teknologi AI yang lebih canggih. Ini termasuk ciri seperti AI Panning, AI Object Sense, dan AI Portrait Video, yang meningkatkan kemampuan fotografi dan videografi peranti ini.
Utama
Telefoto
Wide
Aksesori
ASUS terus memperluaskan ekosistem aksesori mereka dengan memperkenalkan AeroActive Cooler X Pro dan ROG Chill Case.
AeroActive Cooler X Pro direka untuk menambah baik penyejukan pada ROG Phone sambil menyediakan kawalan fizikal tambahan seperti butang AirTrigger, menjadikan pengalaman gaming lebih intuitif. Berbanding model sebelumnya, AeroActive Cooler X, bilah kipasnya kini 12.5% lebih besar, aliran udara dipertingkatkan, dan keupayaan penyejukan meningkat sehingga 29%.
Chill Case, pula, berfungsi sebagai sarung pelindung yang tidak hanya melindungi telefon, tetapi juga meningkatkan penyebaran haba. Dengan ruang wap komposit yang disertakan, haba dari kawasan paling panas peranti dapat diagihkan secara sekata ke bahagian pinggir.
Ini membantu mengelakkan haba tertumpu di satu tempat dan memperbaiki pengurusan suhu secara keseluruhan. Chill Case mampu mengurangkan suhu bahagian belakang telefon hingga 17%, menjadikannya pilihan ideal untuk sesi gaming yang panjang tanpa mengorbankan perlindungan.
ROG Tessen
Walaupun bukan aksesori eksklusif untuk siri ROG Phone 9, ROG Tessen merupakan controller untuk peranti Android yang direka dengan ciri unik. Salah satu daya tarikannya adalah engsel lipat yang bukan sahaja memudahkan ia dibawa ke mana-mana tetapi juga melindungi port Type-C daripada kerosakan.
Tessen turut dilengkapi butang khas ROG Button untuk menetapkan tindakan satu sentuhan, button mapping yang boleh disesuaikan, kesan pencahayaan yang menarik, serta dua paddle belakang yang boleh diprogram untuk menjalankan arahan kompleks dalam game.
Dari segi cengkaman, ia agak memadai, tetapi mungkin tidak ideal untuk mereka yang mempunyai tangan bersaiz besar. Reka bentuknya yang kecil boleh menyebabkan pengguna terasa kurang selesa dan perlu menggenggamnya dengan lebih erat, malah sesetengah mungkin terpaksa menggunakan cengkaman claw, terutamanya untuk game yang memerlukan pergerakan joystick yang pantas.
Salah satu aspek terbaik reka bentuk Tessen adalah kesesuaiannya dengan pelbagai jenis sarung telefon. Anda tidak perlu menanggalkan sarung telefon semasa menggunakannya, berbeza dengan beberapa controller lain. Dengan tambahan pelapik getah, Tessen mampu memuatkan telefon dengan sarung setebal 7mm hingga 14.5mm, menjadikannya sangat praktikal.
Walaupun ada beberapa kekurangan, ROG Tessen tetap berada di antara controller terbaik dalam julat harganya. Faktor bentuknya yang padat dan reka bentuk mesra sarung telefon memberikan nilai tambah yang menjadikannya pilihan hampir setanding dengan controller premium.
Pendapat
ROG Phone 9 sememangnya berada di puncak sebagai raja mobile gaming, dengan gabungan paparan 185Hz yang mengagumkan, cipset berprestasi tinggi, sistem penyejukan canggih, serta ciri inovatif seperti AirTrigger dan aksesori penyejukan tambahan.
Ia merupakan peranti idaman bagi pemain mobile pada tahun 2024, dan potensinya untuk kekal relevan hingga 2025 menjadikannya pelaburan yang menarik bagi mereka yang mahukan pengalaman gaming terbaik.
Walaupun harganya mungkin tidak cukup menarik bagi pemilik ROG Phone 8 Pro atau pemain yang lebih berhati-hati dalam perbelanjaan, ia tetap menjadi pilihan unggul untuk mereka yang mengutamakan prestasi dan ciri premium tanpa kompromi.
Siri ROG Phone 9 akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Ikuti perkembangan terkini di laman web rasmi ASUS ROG untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
Discussion about this post