Seperti yang anda semua tahu, Pokémon Legends: Z-A baru-baru ini dilancarkan di Nintendo Switch, dan merupakan entri terbaharu dalam siri Pokémon berlatarkan Lumiose City di wilayah Kalos.
Walaupun ia adalah sekuel kepada Pokémon Legends: Arceus, ceritanya tidak menyambung secara langsung. Sebaliknya, alur kisahnya lebih terikat rapat dengan Pokémon X & Y, dengan latar masa lima tahun selepas insiden di Lumiose City.
Berikutan kejayaan besar Pokémon Legends: Arceus, game ini memikul harapan yang tinggi, bukan sekadar sebagai sebuah prekuel atau cerita sampingan, tetapi sebagai evolusi seterusnya untuk konsep open world Pokémon. Selepas memainkannya selama seminggu lebih, inilah ulasan penuh kami.
Naratif dan Misteri Z-A (AMARAN SPOILER)

Pengembaraan bermula apabila pemain tiba di Lumiose City. Di sini, kita bertemu dengan Urbain, seorang penduduk tempatan yang juga kakitangan Hotel Z. Dia menghulurkan bantuan selepas beg kita diragut oleh seekor Pancham.
Urbain kemudiannya memberi kita peluang untuk memilih satu daripada tiga starter Pokémon: Chikorita, Totodile, atau Tepig. Tidak lama selepas itu, kita terlibat dalam Z-A Royale, sebuah pertandingan battle royale antara trainer Pokémon yang berlangsung pada waktu malam di zon khas yang dikenali sebagai Battle Zone.
Atas pelawaan Urbain, kita mula menetap di Hotel Z dan kemudian diterima masuk ke dalam pasukan Pokémon miliknya, iaitu Team MZ. Nama pasukan ini adalah gabungan daripada ‘M’ untuk Mega Evolution dan ‘Z’ untuk Hotel Z.
Di sana, kita turut berkenalan dengan Naveen dan Lida, dua lagi ahli Team MZ yang juga penghuni hotel, serta AZ, pemilik Hotel Z penuh misteri, yang dikatakan berumur 3000 tahun. AZ sering memberikan petunjuk samar dan selalu kelihatan bersama Floette kesayangannya.
Pada masa ini, bandar tersebut berada di bawah pengurusan Quasartico Inc, syarikat di sebalik pembangunan Holo Tech yang digunakan untuk mendirikan penghadang istimewa bagi mewujudkan Battle Zone dan Wild Zone.
Wild Zone pula adalah kawasan yang membenarkan Pokémon liar berkeliaran bebas di dalam bandar, satu inisiatif yang diambil berikutan peningkatan mendadak populasi Pokémon liar.

Sepanjang permainan, kita akan bertanding dalam Z-A Royale, berusaha meningkatkan kedudukan untuk diiktiraf sebagai trainer terunggul.
Dalam perjalanan, kita akan berinteraksi dengan pelbagai puak seperti:
- DYN4MO (peminat setia streamer bernama Canari)
- Fist of Justice (kumpulan yang memperjuangkan agar manusia menjadi lebih kuat untuk wujud seiring dengan Pokémon)
- Rust Syndicate (kumpulan yang pada mula kelihatan seperti penjenayah yang terlibat dalam kegiatan ah long, tetapi terbukti sebagai individu baik yang mungkin tersilap haluan)
- Society of Battle Connoisseurs (golongan elit kaya-raya yang amat mendalami strategi pertarungan Pokémon)
- Team Flare Nouveau (generasi baharu Team Flare yang berusaha memulihkan nama baik mereka)
Sambil mendaki ranking, kita sering berhadapan dengan Rogue Mega Evolved Pokémon, iaitu Pokémon yang mengalami Mega Evolution secara liar tanpa kawalan. Disebabkan Pokémon ini berada dalam keadaan menderita, Team MZ diberi tanggungjawab untuk menenangkan mereka.
Di Wild Zone juga wujudnya Alpha Pokémon, iaitu Pokémon bersaiz luar biasa yang jauh lebih kuat. Kebanyakan misi menentang Pokémon Mega Evolved ini berjaya dengan pertolongan Zygarde, yang kini terperangkap dalam bentuk 10%-nya. Zygarde secara misteri membimbing pemain dengan tujuan untuk menyelamatkan bandar.
Ada juga bayangan bahawa Quasartico Inc mungkin mempunyai kaitan dengan kemunculan Pokémon Mega Evolved ini.
Tidak lama kemudian, Zygarde ditemani oleh L, seorang lelaki misteri yang menceritakan perkara-perkara penuh teka-teki, seperti Zygarde sedang berjuang untuk melindungi bandar dan dia hanya mengikut bimbingan Zygarde.

Akhirnya, rahsia terbongkar bahawa AZ memang benar-benar berusia 3000 tahun.
Dahulu, dia telah mencipta sebuah alat untuk menyerap tenaga Pokémon bagi menghidupkan semula Floette kesayangannya yang telah mati, satu tindakan yang memberikan keabadian kepada Floette tersebut dan menyebabkannya tidak boleh berevolusi menjadi Florges.
Alat itu kemudian diubah suai menjadi Ultimate Weapon, yang mengakibatkan malapetaka besar di seluruh negara sebagai tanda kemarahannya terhadap kematian Pokémon.
Dibelenggu rasa kesal, dia mencipta sebuah lagi peranti bernama Ange, bertujuan untuk berkongsi keabadian Floette bagi melindungi Kalos, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana zaman itu adalah zaman yang aman. Kini, Ange terletak di Prism Tower di pusat bandar.
Peranti tersebut tidak pernah diusik selama ribuan tahun, sehinggalah Team Nova menggunakannya untuk mencetuskan kekacauan di Lumiose City lima tahun yang lalu.
Penggunaan Ultimate Weapon itu telah membangkitkan Ange, dan kini, kuasa Mega Evolved Floette diperlukan untuk mengawal lebihan Mega Energy yang menyebabkan Pokémon-pokémon menjadi ganas.

Semasa Urbain dan Mega Floette cuba menenangkan menara itu, Ange justeru memberikan tentangan dan mencetuskan huru-hara di seluruh bandar. Kita terpaksa berganding bahu dengan musuh-musuh lama, yang kini dipersatukan oleh semangat cinta terhadap Pokémon dan Lumiose City.
Dengan kerjasama ini, kita akhirnya berjaya menggunakan Mega Evolved Zygarde untuk menghentikan amukan Ange. Game diakhiri dengan Ange yang berjaya dikawal, manakala AZ menghembuskan nafas terakhirnya, menyebabkan Floette memilih untuk tinggal bersama Urbain.
Selepas itu, kita bekerjasama dengan semua puak untuk memulihkan dan membina semula bandar.

Selepas tamatnya cerita utama, pemain boleh menyertai Infinite Z-A Royale untuk terus menikmati cabaran pertempuran. Setelah melengkapkan 15 perlawanan dalam mod ini, satu misi khas diberikan untuk menangkap Legendary Pokémon: Xerneas, Yveltal, dan Zygarde.
Kejayaan dalam tugasan ini menandakan penamat sebenar pengembaraan dalam game ini.

Walaupun pada permulaannya game ini membawakan nada yang ringan, ia sebenarnya mengangkat beberapa tema-tema serius.
Ini dapat dilihat melalui pelbagai elemen, seperti watak AZ yang hidup dalam penyesalan kerana melanggar pantang larang dengan menggunakan pati hayat Pokémon untuk menghidupkan semula Floette kesayangannya.
Selain itu, penceritaan mengenai pelbagai kumpulan seperti Team MZ, Rust Syndicate, dan Team Flare Nouveau yang bergelut mencari identiti dalam masyarakat tetapi bersatu hati untuk melindungi bandar yang mereka sayangi turut menyentuh perasaan.

Game Freak telah berjaya menyampaikan pelbagai tema yang berat dengan begitu baik, termasuk kehilangan (AZ yang kehilangan Floette 3000 tahun lalu), penyesalan (Lysandre/L yang dihantui jenayahnya 5 tahun lalu), serta isu kekurangan sokongan keluarga (Naveen yang ingin menceburi bidang fesyen tetapi tidak direstui ibu bapanya).
Isu-isu ini tidak diperlekehkan atau dijadikan sekadar selingan, sebaliknya ia digunakan secara berkesan untuk memacu perkembangan dan pendewasaan watak-watak tersebut.

Kaitan cerita dengan Pokémon X dan Y juga merupakan satu sentuhan yang bijak, dan bukannya sekadar pilihan latar yang dibuat secara malas. Lumiose City diberi penghormatan yang tinggi, di mana plot utamanya dijalin ke dalam sejarah bandar tersebut, bukannya dipaksa secara melulu.
Dengan memasukkan kesan daripada peristiwa dalam Pokémon X dan Y, pemain veteran pastinya akan merasa lebih terhubung secara emosi dengan jalan cerita ini.
Meneroka Lumiose dari Lorong Sempit ke Puncak Menara

Oleh kerana keseluruhan game berpusat di Lumiose City, aspek penerokaan memberikan penekanan kepada pergerakan menegak. Pemain bukan sahaja boleh menaiki tangga, malah mampu memanjat dinding-dinding tertentu untuk sampai ke kawasan yang lebih tinggi, terutamanya di atas bumbung bangunan di sekitar bandar.
Telefon Rotom juga memainkan peranan penting; ia berfungsi sebagai penyelamat jika pemain jatuh dari tempat tinggi dan membolehkan pemain melakukan Rotom Glide, satu lompatan kecil yang berguna untuk menyeberangi jarak tertentu bagi mencapai bumbung atau struktur lain.

Konsep open world yang dibawakan terasa lancar, walaupun skopnya agak terhad kerana hanya tertumpu di dalam sebuah bandar. Namun, pengalaman gameplay diperkaya dengan adanya elemen pergerakan menegak, biom berasaskan bandar yang unik, serta arena pertarungan yang sentiasa berubah lokasi.
Pemain juga boleh menjumpai peti harta karun berbentuk Pokéball yang tersembunyi di sekitar bandar.

Dari segi perkembangan pemain, game ini pada awalnya banyak memberikan tunjuk ajar, tetapi setelah mengajar mekanik asas yang perlu, ia melepaskan pemain untuk belajar sendiri selebihnya. Contohnya, sistem kelemahan jenis Pokémon (seperti Pokémon api yang lemah kepada air) perlu ditemui dan dipelajari sendiri oleh pemain.
Sebagai ganjaran, pemain akan diberikan starter Pokémon Generasi 1 setelah menyelesaikan misi sampingan. Pemain juga akan sering bertemu NPC dengan kotak dialog berwarna kuning, yang menandakan mereka mempunyai item atau maklumat untuk dikongsikan.

Jika dibandingkan dengan judul-judul Pokémon sebelumnya, aspek penerokaan dalam game ini terasa sangat responsif dan berprestasi cemerlang, walaupun dengan kepadatan bangunan dan NPC, semuanya berkat keupayaan konsol Nintendo Switch 2.
Kuasa Pokémon di Tangan Anda

Berbeza daripada Pokémon Legends: Arceus, Pokémon Legends: Z-A menggantikan sistem combat turn-based dengan sistem combat aktif, yang membolehkan pemain memberi arahan kepada Pokémon dan terlibat secara langsung dalam pertarungan masa nyata.
Setiap Pokémon boleh dibekalkan dengan maksimum empat serangan, manakala pemain boleh membawa sehingga enam Pokémon yang boleh ditukar ganti pada bila-bila masa ketika pertarungan.

Ketika berhadapan dengan Pokémon liar, pemain perlu sentiasa mengelak dan bergerak untuk mengelakkan serangan, kerana jika pemain menerima terlalu banyak damage, watak akan pengsan. Namun, ini tidak berlaku dalam pertarungan menentang trainer lain, kerana Pokémon mereka tidak akan menyasar serangan kepada trainer musuh.
Game ini turut memperkenalkan Plus Moves, iaitu serangan khas yang menggunakan satu bar Mega Power. Serangan yang dipertingkatkan ini amat berguna ketika menentang musuh-musuh kuat seperti Rogue Mega Pokémon dan Alpha Pokémon. Ia juga bermanfaat untuk Pokémon yang masih belum atau tidak mempunyai keupayaan Mega Evolve.

Bagi rentak combat, banyak serangan memerlukan Pokémon untuk mengubah posisi sebelum dilancarkan, contohnya serangan Dig yang membuatkan Pokémon bergerak ke bawah tanah sebelum menyerang.
Mekanik ini secara tidak langsung membantu Pokémon mengelak serangan musuh, memandangkan pergerakan fizikal Pokémon tidak dapat dikawal secara terus oleh pemain.

Semasa bertarung, pemain boleh menghentikan seketika permainan selepas Pokémon selesai melakukan animasi pengenalan atau serangan. Dalam keadaan ini, pemain boleh menggunakan satu item penyembuhan.
Sebaik sahaja item digunakan, satu pemasa akan muncul di bahagian bawah skrin, dan item penyembuhan seterusnya hanya boleh digunakan selepas pemasa tersebut tamat. Ini kadangkala boleh mengganggu kelancaran combat, terutamanya jika anda tergesa-gesa mencari item untuk menghilangkan status debuff.

Mekanik Mega Evolution kembali dan kali ini menjadi sorotan utama penceritaan. Game ini turut memperkenalkan bentuk Mega Evolution baharu seperti Mega Meganium, Mega Feraligatr, dan Mega Emboar.
Oleh kerana Mega Evolution lebih mudah diperoleh, ia menjadi elemen penting dalam gameplay, terutamanya kerana Rogue Mega Evolved Pokémon hanya boleh dihadapi dengan efektif oleh Pokémon yang turut menggunakan Mega Evolution.
Ini menggalakkan pemain untuk sentiasa membawa beberapa Pokémon yang dilengkapi dengan Mega Stone.

Jika dibandingkan dengan Pokémon Legends: Arceus, game ini menawarkan pengalaman yang berbeza melalui sistem combat yang serba baharu. Sistem combat aktif benar-benar meletakkan pemain di tempat seorang trainer, memerlukan mereka untuk sentiasa berfikir secara strategik sebelum terjun ke medan pertempuran.
Dengan sistem ini, combat menjadi lebih dinamik dan pantas, kerana pemain tidak perlu lagi menunggu giliran, sebaliknya hanya perlu menunggu masa cooldown bagi skil untuk tamat.

Di luar combat, pemain digalakkan untuk bergerak secara senyap dan memerhati Pokémon musuh atau Pokémon liar terlebih dahulu. Taktik ini sangat penting apabila berhadapan dengan trainer lain, kerana jika dikesan, lawan akan mendapat kelebihan untuk melancarkan serangan pertama.
Ada pelbagai tempat untuk bersembunyi seperti di dalam rumput tinggi dan semak, selain menggunakan dinding dan persekitaran untuk mengelak daripada dikesan.

Walaupun tidak menampilkan Pokémon Gym seperti biasa, game ini menggantikannya dengan sistem Z-A Royale. Dalam mod ini, pemain perlu mengumpul mata dengan mengalahkan trainer lain di Battle Zone, seterusnya melayakkan diri untuk Promotion Match bagi meningkatkan ranking dari Z ke A.
Walaupun kemajuan hingga ke ranking A adalah sebahagian daripada jalan cerita utama, mekanik ini masih menghiburkan dan dilanjutkan melalui Infinite Z-A Royale, yang membolehkan pemain menikmati mod battle royale ini tanpa had.

Berbeza dengan sistem lama yang memerlukan pemain ke Pokémon Center untuk mengakses PC, kini kotak simpanan Pokémon boleh diakses di mana-mana sahaja.
Ini membolehkan pemain menukar ahli pasukan pada bila-bila masa di luar pertarungan, memberikan fleksibiliti untuk menyusun strategi dan mengoptimumkan pasukan sebelum berhadapan dengan mana-mana lawan.
Kelancaran Bermain di Switch 2

Dari segi visual, Pokémon Legends: Z-A mempersembahkan Lumiose City dengan wajah moden berbanding penampilannya dalam judul terdahulu. Malangnya, tekstur bangunan kelihatan ‘leper’, dan tidak banyak butiran pada persekitaran (contohnya, tingkap yang sekadar imej ditampal dan bukannya elemen interaktif).
Sekilas pandang, suasana bandar tersebut terasa kosong, dan tidak bernyawa. Namun, susun atur bandar terasa intuitif, menyediakan ruang yang luas untuk penerokaan di setiap sudut dan ceruk, terutamanya apabila mencari peti harta karun atau barangan koleksi.

Dengan Nintendo Switch 2, game ini mampu beroperasi pada kadar 60 FPS, dengan hanya sedikit isu kemunculan NPC secara tiba-tiba (pop-in). Masa loading juga sangat pantas; saya sering terlepas membaca petua pada skrin pemuatan kerana ia selesai terlalu cepat.
Ini merupakan satu pencapaian yang cemerlang, dan diharapkan judul-judul akan datang dapat mengekalkan prestasi sebegini.

Runut bunyi Pokémon Legends: Z-A secara keseluruhan agak memuaskan, dengan kebanyakan lagu bersesuaian dengan pelbagai situasi dalam gameplay.
Muzik latar ketika meneroka bandar sangat menenangkan, manakala runut bunyi semasa combat penting seperti menentang musuh Promotion Match dan Rogue Mega Evolution benar-benar membangkitkan semangat juang. Namun, ketiadaan lakonan suara dalam babak penceritaan adakalanya boleh menjejaskan penghayatan.

Animasi pengenalan untuk combat Pokémon dan kemunculan trainer musuh kebanyakannya direka dengan unik. Walaupun begitu, sesetengah animasi mungkin terasa berulang, seperti watak Ivor yang terlalu kerap menunjukkan Judoka-nya dalam setiap babak yang melibatkannya.
Namun, melihat Pokémon kegemaran anda muncul dengan animasi pengenalan yang gah pastinya akan menyemarakkan lagi semangat untuk bertarung.

Satu info penting; pemain diberi kebebasan untuk mengubah suai penampilan watak pada bila-bila masa, merangkumi bentuk dan warna rambut, bentuk dan warna mata, serta banyak lagi. Pelbagai pilihan pakaian juga boleh dibeli di butik-butik dalam bandar, membolehkan pemain menggayakan watak mengikut cita rasa fesyen masing-masing.
Pendapat

Pokémon Legends: Z-A adalah sebuah game yang menghiburkan dengan pendekatan yang terus terang. Ia menawarkan gameplay yang menyeronokkan, disokong oleh jalan cerita yang mudah diikuti.
Walaupun ada kekurangan dari segi nilai produksi seperti animasi yang kadangkala ringkas, ketiadaan lakonan suara, dan tekstur bangunan yang kelihatan rata, game ini masih berjaya menyampaikan pengalaman menjadi seorang trainer Pokémon yang berjuang menyelamatkan sebuah bandar.

Game ini juga sesuai untuk pemain baharu yang belum pernah menyentuh siri Pokémon. Walau bagaimanapun, peminat tegar yang lebih gemarkan sistem combat turn-based mungkin sedikit kecewa.
Walaupun begitu, bereksperimen dengan gameplay baharu ini merupakan satu usaha yang sangat berbaloi, kerana ia seolah-olah menjadi langkah ke arah penghasilan game Pokémon generasi baharu, terutamanya jika sistem sedia ada ini terus ditambah baik dan digilap.

Rentak penceritaan juga diuruskan dengan baik; ia memperkenalkan pemain kepada Lumiose City yang moden secara berperingkat, sebelum membongkar misteri demi misteri untuk mengekalkan minat pemain. Walaupun ada kalanya terasa pantas, penceritaannya cukup mendalam untuk membuatkan pemain terus terikat tanpa terasa meleret.
Secara keseluruhan, Pokémon Legends: Z-A ialah satu kemajuan yang berjaya menghubungkan pengembaraan Pokémon klasik dengan cita-cita open world yang lebih besar, walaupun ia masih memerlukan beberapa penambahbaikan untuk mencapai gelaran ‘mahakarya’.

Game ini kini tersedia untuk Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Pokémon Legends: Z-A
Pokémon Legends: Z-A membawa pemain ke Lumiose City dengan perubahan terbesar, iaitu sistem combat aksi masa nyata yang menggantikan sistem turn-based tradisional. Pemain akan meneroka bandar secara menegak, menyertai Z-A Royale, sambil membongkar misteri di sebalik kemunculan Pokémon Mega Liar dan watak misteri, AZ. Walaupun game ini mempunyai gameplay yang menyeronokkan, prestasi teknikal yang lancar di Nintendo Switch 2, dan mekanik penerokaan yang segar, ia mempunyai beberapa kelemahan lain seperti tekstur bangunan yang kelihatan rata, peta yang terhad kepada satu bandar sahaja, dan ketiadaan lakonan suara. Secara keseluruhan, Z-A dianggap sebagai satu evolusi yang berani untuk francais Pokémon, menawarkan pengalaman moden walaupun dengan beberapa kekurangan.
PROS
- Judul yang mudah diakses dengan kawalan intuitif, di mana pemain veteran dan baharu boleh menikmati game ini bersama-sama
- Pengalaman yang menyeronokkan, kerana gelung gameplay menangkap Pokémon di Wild Zone dan bertarung dengan trainer di Battle Zone adalah satu keseronokan yang santai
- Elemen menegak dan kebolehan pergerakan tambahan seperti memanjat dinding dan Rotom Glide menjadikan penerokaan lebih baik daripada yang dijangkakan
- Jumlah kandungan sampingan dan pos-game yang banyak untuk dinikmati
CONS
- Walaupun Lumiose City menawarkan visual yang menakjubkan dari jauh, tekstur bangunan kelihatan agak rata apabila dilihat dari dekat
- Walaupun Lumiose City mungkin menawarkan banyak perkara untuk diterokai, pengembaraan yang terhad kepada satu lokasi sahaja boleh terasa agak terhad berbanding judul Pokémon sebelumnya
- Game ini tidak mempunyai lakonan suara, yang terasa seperti satu peluang yang terlepas untuk meningkatkan penghayatan dan penceritaan









Discussion about this post