Sebagai model terkini dalam siri POCO F, POCO F8 Pro hadir dengan satu tujuan utama: untuk memukau pengguna. Keyakinan peranti ini jelas terpancar sebaik sahaja ia dikeluarkan dari kotak.
Pada bungkusannya, POCO dengan megahnya memaklumkan bahawa telefon ini dijana oleh Snapdragon 8 Elite, salah satu set cip terunggul di pasaran semasa, yang dipadankan bersama bateri berkapasiti 6210 mAh dengan sokongan HyperCharge sehingga 100W.

Kombinasi ini sahaja sudah cukup untuk memberi gambaran tentang apa yang ditawarkan oleh F8 Pro—prestasi tulen, ketahanan bateri yang mantap, dan keupayaan bertaraf flagship, semuanya dibawakan dalam sebuah pakej yang serta-merta terasa lebih premium berbanding jangkaan harganya.
Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan kami.
Reka Bentuk & Kualiti Binaan
Unit ujian kami, varian Titanium Silver, tampil menonjol dengan kemasan matte metalik yang kelihatan anggun pada panel belakangnya. Permukaan matte ini memberikan warna perak yang sedikit ke arah kelabu, manakala bahagian bingkainya pula lebih berkilat dengan tona perak yang lebih terang.
Gabungan dua-tona ini menghasilkan visual yang unik pada telefon, terutamanya apabila terdedah kepada cahaya semula jadi. Kawasan kamera yang sedikit terangkat dihiasi dengan panel plastik, mencipta rekaan seakan tingkap di bahagian atas telefon.

Reka bentuk ini menjadi lebih menarik apabila digabungkan dengan sarung pelindung yang direka khas untuk menyerlahkan efek “tingkap” tersebut.
Walaupun modul kameranya terbonjol, ia tidaklah keterlaluan dan jauh lebih minimalis berbanding kebanyakan peranti pesaing, membolehkan telefon ini diletakkan di atas permukaan rata dengan stabil tanpa bergoyang.

Sekali imbas, F8 Pro mungkin kelihatan lebih kecil berbanding peranti “Pro” lain, namun saiznya ini sebenarnya satu kelebihan. Ia senang disimpan di dalam poket, terasa ringan untuk kegunaan harian, dan sangat selesa digenggam tanpa meletihkan tangan.
Kebanyakan peranti flagship yang nipis mengorbankan aspek ergonomik untuk rekaan yang menawan, tetapi F8 Pro mencapai keseimbangan antara kekukuhan binaan dan keselesaan, sekaligus menjadikannya lebih sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang.
Kualiti Paparan
POCO F8 Pro menampilkan skrin AMOLED bersaiz 6.59 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Meskipun saiz skrinnya agak kompak untuk sebuah telefon bergelar “Pro”, panel paparannya pantas membuktikan saiz bukanlah segalanya.
Dengan tahap kecerahan puncak mencecah 3500 nit, paparan skrin tetap jelas dan terang walaupun di bawah cahaya matahari terik.

Teknologi AMOLED memastikan penghasilan warna yang hidup, tepu dan penuh kontras, menjadikannya amat sesuai untuk menonton video beresolusi tinggi 4K. Perlindungan Corning Gorilla Glass 7i yang terkenal dengan ketahanan calar dan lasak turut memberikan lebih ketenangan fikiran kepada pengguna.

Salah satu ciri paparan yang paling menarik ialah Wet Touch Display 2.0. Ciri ini memastikan skrin tetap responsif walaupun dalam keadaan lembap.
Sama ada jari anda sedikit basah atau skrin terkena titisan air, ketepatan sentuhan kekal pada tahap yang sangat baik. Ini bukanlah sekadar gimik pemasaran, tetapi satu ciri praktikal yang amat berguna, terutamanya bagi pengguna di negara beriklim lembap atau mereka yang gemar membawa telefon semasa bersenam.
Prestasi
Kuasa utama POCO F8 Pro ialah cip Snapdragon 8 Elite, yang dibina menggunakan teknologi proses 3nm. Ia dipadankan dengan CPU lapan teras, merangkumi dua teras utama berkelajuan sehingga 4.32GHz dan enam teras prestasi sehingga 3.53GHz.
Keupayaan peranti ini dipertingkatkan lagi dengan GPU Adreno dan enjin Qualcomm AI, membolehkannya mengendalikan gaming, multitasking, dan beban kerja berat dengan lancar.
Peranti ini juga didatangkan dalam konfigurasi 12GB RAM dengan pilihan storan UFS 4.1 sama ada 256GB atau 512GB, serta memori LPDDR5X untuk menjamin prestasi yang sangat pantas.

Dalam ujian gaming, POCO F8 Pro membuktikan kemampuannya untuk mengendalikan judul-judul popular pada tetapan grafik tinggi.
- PUBG Mobile menggunakan kira-kira 16% bateri selepas satu jam bermain (dua perlawanan) pada tetapan Ultra Graphics dan Ultra Framerate, dengan prestasi kekal lancar pada 60 FPS tanpa sebarang isu pemanasan yang ketara.
- Untuk Wuthering Waves, sebuah game yang terkenal berat disebabkan cara rendering, penggunaan bateri adalah sekitar 40% dalam sejam pada Tetapan Low dengan kadar bingkai dikunci pada 45 FPS. Walaupun secara teknikalnya game ini boleh dimainkan pada tetapan tinggi dan 60 FPS, suhu peranti akan meningkat dengan mendadak. Dengan bermain pada tetapan lebih rendah, ia masih menawarkan pengalaman 40 FPS yang stabil dan lancar dengan suhu peranti yang terkawal.
- Bagi Zenless Zone Zero, ia menggunakan kira-kira 28% bateri dalam sejam pada tetapan maksimum, sambil mengekalkan prestasi lancar 60 FPS. Peranti mula terasa sedikit hangat selepas 45 minit, namun tidaklah terlalu panas sehingga tidak selesa, sekadar isyarat untuk berehat seketika.
- Seterusnya, Honkai: Star Rail pula menggunakan sekitar 26% bateri selepas sejam pada tetapan tertinggi, dengan prestasi 60 FPS yang kemas, transisi yang lancar, dan masa loading yang terasa sangat pantas. Menariknya, suhu peranti kekal stabil sepanjang sesi bermain.
- Genshin Impact mencatatkan penggunaan bateri sekitar 30% dalam sejam pada tetapan tertinggi dan beroperasi dengan sangat baik, hanya terasa sedikit hangat selepas 30 minit.
- Delta Force juga menunjukkan prestasi yang padu, menggunakan 25% bateri untuk dua perlawanan dalam sejam pada grafik HD dan 120 FPS tanpa sebarang penurunan kadar bingkai, walaupun peranti kekal hangat sepanjang permainan.

Kecekapan peranti ini turut terserlah dalam tugasan bukan gaming. Menonton video 4K selama sejam pada tahap kecerahan maksimum dan kadar segar semula 120Hz hanya menggunakan sekitar 20% bateri.
Secara keseluruhan, POCO F8 Pro menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai senario penggunaan berat, mengesahkan keupayaannya untuk menjalankan hampir semua game moden dengan penuh keyakinan.
Walaupun tetapan grafik yang lebih rendah membantu dalam pengurusan haba dan memanjangkan hayat bateri, tahap prestasi maksimum yang mampu dicapai oleh telefon ini sememangnya amat mengagumkan untuk kategorinya.
Sistem Kamera
Konfigurasi kamera POCO F8 Pro terdiri daripada kamera utama 50MP yang dikuasakan oleh sensor imej Light Fusion 800, membolehkan penghasilan gambar yang tajam dan beresolusi tinggi. Ia digandingkan dengan kanta telefoto 50MP dan kamera sudut ultra-lebar 8MP. Untuk swafoto, ia dilengkapi kamera hadapan 20MP.
Dalam pelbagai keadaan pencahayaan, sistem penstabilan imejnya berfungsi dengan sangat baik, menjadikannya amat berguna untuk merakam video sambil bergerak atau mengambil gambar spontan tanpa risau hasilnya akan kabur. Secara keseluruhan, sistem kamera ini berfungsi dengan baik dan melengkapkan lagi pakej serba boleh telefon ini.
Audio

Salah satu ciri paling istimewa pada F8 Pro adalah sistem audionya yang ditala oleh Bose. Pembesar suara stereo simetri yang digabungkan dengan teknologi Dolby Atmos menghasilkan kualiti bunyi yang kaya, terperinci dan mengasyikkan. Sama ada ketika menonton video atau bermain game, bunyinya terasa penuh dan jelas.
Dalam game shooter seperti PUBG dan Delta Force, isyarat posisi audio menjadi sangat membantu. Judul dengan runut bunyi yang hebat seperti Genshin Impact dan Honkai: Star Rail juga mendapat manfaat daripada kejelasan audio yang ditawarkan.

Kualiti audio kekal jernih dan tidak pecah walaupun pada tahap kelantangan tertinggi, menjadikannya sesuai untuk menonton video bersama rakan atau memainkan muzik di dalam bilik.
Prestasi mikrofon juga tidak kurang hebatnya hasil penggunaan sistem 3-mikrofon, yang membolehkan rakaman suara yang jelas, panggilan telefon yang lancar, dan audio yang terang walaupun dalam persekitaran bising.
Gabungan pembesar suara dan mikrofon berkualiti tinggi ini pastinya memberi kelebihan besar untuk panggilan video dan mesyuarat dalam talian.
Hayat Bateri & Pengecasan

Bateri berkapasiti 6210 mAh merupakan salah satu kekuatan utama POCO F8 Pro. Apabila digabungkan dengan teknologi HyperCharge 100W, ia menjadi satu ciri bertaraf flagship sebenar. Proses pengecasan dari 6% hingga penuh mengambil masa sekitar 50 minit.
Seperti bateri litium lain, POCO turut menyertakan beberapa pilihan untuk menjaga keselamatan dan memanjangkan jangka hayat bateri.
Ciri Smart Charging akan mempelajari corak penggunaan anda untuk menghentikan pengecasan pada 80%, manakala mod Battery Protection pula akan sentiasa mengehadkan pengecasan pada 80% untuk kesihatan bateri jangka panjang.
Keupayaan pengecasan berbalik sehingga 22.5W menambah lagi fleksibiliti, membolehkan F8 Pro berfungsi sebagai power bank apabila diperlukan.
Ada juga mod charge boost, namun penggunaannya akan menyebabkan telefon menjadi agak panas, jadi ia lebih sesuai digunakan hanya ketika waktu kecemasan. Selain daripada itu, ketahanan bateri secara keseluruhannya adalah sangat baik untuk semua jenis penggunaan, sama ada bermain game, menonton video, atau tugasan harian.
Pengalaman Perisian

Dengan sistem operasi HyperOS 3, POCO F8 Pro menawarkan pengalaman perisian yang kemas dan lancar. Ia didatangkan dengan beberapa aplikasi sedia pasang seperti YouTube, Gmail, Google Maps, Instagram, Facebook, Mi Store, dan POCO Community, serta beberapa game ringan.
Aplikasi-aplikasi ini tidak menggunakan ruang storan yang besar, tidak memudaratkan, dan boleh dibuang jika pengguna tidak mahukannya. Sepanjang tempoh ujian kami, tiada sebarang iklan yang mengganggu muncul, satu perkara yang sering merisaukan pengguna peranti kategori bajet dan pertengahan.
UI direka dengan ciri-ciri pintar seperti leretan ke bawah yang berasingan untuk pusat kawalan dan notifikasi, menjadikan interaksi lebih teratur. Fungsi pelbagai tugas juga sangat lancar—menonton YouTube sambil bermain game atau menjalankan dua game serentak juga boleh dilakukan bergantung pada tahap penggunaan.
Ciri-ciri seperti Floating Windows dan Memory Extension turut meningkatkan lagi pengalaman penggunaan dengan menyediakan akses pantas kepada aplikasi dan RAM maya tambahan.
Sambungan Komunikasi

Dari segi sambungan, POCO F8 Pro dilengkapi dengan segala yang diperlukan. Ia menyokong dua-SIM dalam pelbagai kombinasi—Nano + Nano, Nano + eSIM, atau dwi-eSIM—memberikan fleksibiliti maksimum kepada pengguna.
Dengan sokongan WiFi 7, keserasian 5G, dan liputan isyarat yang kuat, peranti ini menjamin kelajuan dan kestabilan sambungan yang konsisten. Pengimbas cap jari ultrasonik di dalam skrin berfungsi dengan pantas dan tepat, manakala penarafan IP68 memberikannya perlindungan daripada habuk dan air.
Ciri NFC berfungsi dengan baik walaupun dengan sarung telefon, Bluetooth beroperasi tanpa masalah, dan modul GPS pula memberikan penjejakan lokasi yang pantas dan tepat.
Nilai & Pesaing

Faktor yang menjadikan POCO F8 Pro benar-benar unik dalam kelasnya adalah pakejnya yang serba lengkap. Walaupun ia tidak dicipta untuk mendominasi satu kategori khusus seperti “telefon gaming” atau “telefon kamera”, ia cemerlang dalam hampir semua aspek tanpa sebarang kelemahan yang ketara.
Bagi pasaran Malaysia, tambahan pengecas di dalam kotak menambahkan lagi nilainya. Nilai POCO F8 Pro bermula RM 2,499 (bukan harga promosi), menjadikannya sebagai satu tawaran yang sangat luar biasa jika mengambil kira kuasa, ciri, dan pengalaman yang ditawarkannya.
Beberapa kekurangan kecil seperti ketiadaan bicu fon kepala atau suhu yang perlu dipantau semasa sesi gaming yang panjang hanyalah kompromi kecil berbanding prestasinya yang begitu hebat merangkumi kualiti paparan, pembesar suara, kamera, hayat bateri, dan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
Dalam lingkungan harganya, ia bakal menjadi salah satu pesaing paling sengit di pasaran.
Pendapat

Ringkasnya, POCO F8 Pro ialah sebuah telefon pintar yang cemerlang, dan kami tidak teragak-agak untuk menyarankannya kepada sesiapa sahaja memandangkan ia telah pun membuktikan kehebatannya dalam pelbagai aspek.
Ia menawarkan prestasi setaraf flagship tanpa perlu membayar harga flagship, mampu mengendalikan game berat, menghasilkan gambar yang baik, memberikan kualiti audio yang hebat, dan dilengkapi dengan ciri-ciri yang benar-benar berguna—tanpa perlu bergantung pada gimik pemasaran seperti “telefon gaming” atau “telefon kamera”.
Sebaliknya, POCO F8 Pro menyerlah dengan keupayaannya untuk melakukan segalanya dengan baik, malah cemerlang dalam banyak perkara.
Jika anda sedang mencari telefon pintar yang berkuasa, boleh diharap, serba boleh, dan menawarkan nilai wang yang hebat, POCO F8 Pro semestinya wajar diberi perhatian dan layak menjadi pilihan anda.
POCO F8 Pro ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Titanium Silver, Biru, dan Hitam. Untuk model dengan konfigurasi 12GB RAM dan storan 256GB, ia dijual pada harga runcit RM 2,499, manakala harga promosinya ialah RM 2,199.
Bagi varian yang lebih tinggi dengan 12GB RAM dan storan 512GB pula, harga runcitnya adalah RM 2,699 dengan harga promosi istimewa RM 2,299.
Untuk maklumat lanjut, layari SINI.








![[Eksklusif] Sejarah di Sebalik Penubuhan Massive Monster Bersama Co-Founder Jay Armstrong](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Jay-Armstrong_IWX-2026_FI-350x250.jpg)







Discussion about this post