Kebanyakan game cyberpunk meminta pemain jatuhkan syarikat gergasi yang kejam guna senjata canggih dan aksi berani mati. Tapi Nivalis Nights tanya soalan yang lebih mudah: sempat tak anda beli daun bawang untuk kedai makan sendiri?
Daripada fokus pada konspirasi kiamat dunia, game ini tukar kepada perjuangan harian uruskan kedai mi, membawakan simulator slice-of-life yang santai di celah bangunan pencakar langit berlampu neon.

Tapi, walaupun angan-angan cari rezeki di bandar distopia nampak seronok, nak jadikan impian itu satu pengalaman yang lancar dan puas sebenarnya lebih susah daripada yang disangka.
Ambil Alih Kedai Mi & Hadapi Tekanan CorpSec

Game ini bawa kita ke Nivalis, sebuah bandar cyberpunk yang luas, penuh lampu neon, dan ada tarikan endiri di setiap lorong. Kita bangun tidur seorang diri dalam apartmen yang lengkap dengan perabot, dan tiba-tiba ada suara asing bercakap dalam kepala.
Suara itu milik AVA, Automata peribadi anda; iaitu sebuah AI canggih dan antara yang paling pintar di bandar ini. Watak kita pula kosong terus: tiada latar belakang, tiada sejarah silam, dan nama pun tak ada. Tanpa buang masa, AVA suruh kita pergi jumpa lelaki bernama Thaddeus, dan dari situlah perjalanan bermula.

Bila jumpa Thaddeus Carminus, dia beritahu yang dia nak bersara dan tinggalkan Nivalis. Tiba-tiba saja dia serahkan kunci kedai mi miliknya, Ramen Noir, kepada anda. Disebabkan kita langsung tak kenal dia, babak serah kedai ini memang sengaja dibuat biar nampak misteri, tapi anda tak ada pilihan selain terima saja dan teruskan hidup.
Dari situ, misi kita adalah untuk kembangkan perniagaan, buat untung, dan naikkan pangkat dalam dunia korporat bandar itu. Tapi tugas ini tak mudah: CorpSec kawal semua benda dengan ketat (termasuk restoran anda) dan pesaing lain yang licik langsung tak peduli anda masih budak baru.
Bebas Meneroka Waktu Siang, Elak Polis Bila Malam

Game ini guna putaran waktu siang dan malam yang tetap. Waktu siang memberi pemain banyak kebebasan. Kita boleh selesaikan pelbagai quest, siapkan pesanan restoran, jaga pokok dalam greenhouse, memancing ikan pelik atau cari harta karun karam, teroka kawasan baru, atau tolong polis buru pembunuh bersiri.
Loop gameplay ini sangat fleksibel. Kita bebas pilih sama ada nak fokus besarkan kedai makan, cari bahan masakan, jalan-jalan tengok bandar, atau bersembang dengan orang tempatan… tak ada satu pun sistem yang paksa atau sekat jadual pemain.

Tapi bila malam, keadaannya jadi lain. Bila waktu berkurung bermula, kita kena balik apartmen dan tidur untuk tamatkan hari. Kalau anda degil duduk luar, bandar ini akan jadi kawasan bahaya. Anda kena lari celah lorong sunyi sambil elak kamera litar tertutup dan dron peronda untuk cari tempat menyorok sementara.
Tempat berteduh susah nak jumpa, dan kalau kantoi, CorpSec akan saman kita dengan denda yang mahal.
Seronok Berniaga, Tapi Pengurus Pula ‘Sapu’ Semua Untung

Urus restoran adalah tarikan paling utama dalam game ini. Kita mula dari bawah di Ramen Noir dengan seorang tukang masak, seorang pelayan, dan menu yang cuma ada dua jenis makanan ringkas. Bila selesaikan quest, kita akan dapat buka resipi baru yang lebih mahal dan istimewa.
Rating pelanggan sangat penting: bila pelanggan puas hati, skor naik. Kita boleh buat mereka gembira dengan bagi diskaun, belanja makanan percuma, atau bersembang saja dengan mereka. Rating yang tinggi akan naikkan level kedai, buka pelbagai kelebihan (perk), dan bagi peluang ambil lebih ramai pekerja, termasuklah seorang pengurus.
Lama-lama nanti, kita boleh beli premis baru dan buka kedai yang lebih besar sampai ke tahap kelab malam.

Upah pengurus memang melegakan pada mulanya sebab mereka akan restock bahan secara automatik; jadi kita tak payah kelam-kabut lari balik tengah-tengah buat quest semata-mata sebab bawang habis. Sistem pengurusannya agak teliti; kita kena urus pengambilan pekerja, tentukan gaji, susun jadual kerja, dan jaga hubungan dengan staf.
Untuk beberapa jam awal, benda ini memang rasa pening sikit, terutamanya untuk pemain kasual. Cara dapatkan bahan mentah pun berkait elok dengan dunia game, di mana kita boleh beli di kedai, petik dari greenhouse, atau pancing sendiri di air.

Tapi, sistem pengurusannya ada masalah besar. Lepas ambil pengurus dan tambah staf, kos operasi dan restock automatik sapu bersih hampir semua duit jualan, sampai tak ada untung langsung. Buang pekerja pun tetap tak ubah apa-apa.
Tak pasti sama ada ini bug atau silap balancing, tapi isu ini buatkan kemajuan kita tersangkut sebab duit tak cukup nak beli perkakas penting kedai. Cara terbaik nak atasi masalah ini? Pecah masuk kedai pesaing lepas waktu curfew dan curi barang mereka. Cara ini bahaya, tapi memang jalan pintas yang sangat puas hati.
Masalah Quest & Navigasi

Lepas habis tutorial, game ini terus lambakkan banyak quest pada pemain. Semua quest tak ada had masa, jadi kita boleh buat bila-bila masa saja. Masalahnya, game ini memberi sampai dua puluh kerja serentak bertubi-tubi, sampai jadi serabut.
Kebanyakan quest ada cerita yang panjang dan banyak peringkat, di mana arahan seterusnya cuma keluar lepas tunggu beberapa hari dalam game . Tengah tunggu pula, kita dapat lagi quest baru. Sedar tak sedar, senarai tugasan dah bertimbun. Ada yang tengah jalan, ada yang dah siap, dan ada yang baru mula sekerat jalan.
Walaupun tak ada kiraan masa berdetik, lambakan quest ini boleh membuatkan pemain rasa tertekan, sampai rasa waktu siang terlalu pendek untuk buat semua perkara.

Sistem cari jalan pula buat keadaan makin serabut. Map game ini jenis side-scrolling yang cuma guna untuk fast travel dan tengok tempat penting saja. Bila jalan kat luar, anda terpaksa harap pada palang kompas, tapi kompas itu tunjuk semua quest yang belum siap serentak.
Tanda waypoint bagi kerja lain asyik bertindih dengan quest yang kita sedang buat, sampai ikon jadi berserabut. Ditambah lagi bila tak ada mini-map yang jelas, nak cari tempat quest atau peniaga memang boleh buat hilang sabar.
Kalau anda jenis suka redah cari sendiri, mungkin tak kisah, tapi kalau kompas itu boleh tunjuk quest yang kita pilih saja, tentu jauh lebih senang. Lagi teruk, ada fungsi penting dan aktiviti sampingan yang kena buka melalui quest NPC tertentu, tapi game langsung tidak beritahu awal-awal.
Bandar Neon Yang Memukau dan Kisah Hidup Orang Biasa

Watak dalam game ini ada macam-macam ragam. Skripnya santai, sinis, dan ‘grounded’ di mana ia fokus pada orang biasa yang cuma nak cari makan dan teruskan hidup hari demi hari.
Gayanya lebih dekat dengan Disco Elysium berbanding cerita kiamat dan konspirasi besar macam Cyberpunk 2077; fokusnya betul-betul pada kesusahan hidup orang biasa. Kita akan jumpa orang yang hari mereka serba tak kena, susah nak bayar sewa, atau takut hilang kerja.
Ada watak yang kelakar, ada yang sedih, dan ada yang pelik macam si Miso Baron. Kalau anda suka game macam VA-11 Hall-A (yang mana kita sembang dengan pelanggan pelik sambil buat kerja sim yang santai), anda mesti suka game ini.
Dialog yang bersahaja ini buatkan babak emosi terasa sampai ke hati bila kita dah mula rapat dengan sesebuah karakter.

Sayangnya, lambakan quest rosakkan kelebihan ini. Bila jurnal kerja asyik penuh, nama dan kisah watak jadi senang lupa, dan susah nak ambil peduli masalah mereka sebab kita sendiri sibuk kejar masa nak siapkan kerja sebelum waktu curfew. AVA saja satu-satunya watak yang betul-betul lekat dalam ingatan.
Walau macam tu, pilihan kita tetap ada kesan: ikut apa yang anda cakap dan buat, NPC boleh jadi kawan, musuh, atau pasangan cinta. Tapi kena beringat… tersalah pilih dialog boleh buat quest itu gagal terus tanpa peluang kedua. Jadi, biasakan diri untuk selalu save game, lebih-lebih lagi sebelum mula borak tentang hal penting.

Bandar Nivalis itu sendiri adalah kekuatan paling besar game ini. Pandangannya memang lawa, penuh dengan bangunan tinggi, limpahan lampu neon, dan kereta terbang yang lalu-lalang di langit.
Banyak aktiviti boleh buat: jalan kaki ronda bandar, naik bot pergi memancing atau pusing terusan, jaga greenhouse, makan di kedai, atau masuk pertandingan catur. Bila nak rileks, anda boleh hias apartmen, ubah suai bilik untuk diri sendiri atau orang lain, dan usaha untuk buka kawasan daerah baru.
Semua ini sedap dinikmati dengan muzik latar yang kena betul dengan suasana bandar berhujan, ditambah pula dengan lakonan suara yang mantap sepanjang permainan.
Masalah Teknikal
Prestasi teknikal adalah masalah paling besar dalam game ini. Framerate selalu jatuh dan game kerap stuttering, terutamanya dekat kawasan yang ramai orang dan sibuk—memang potong stim untuk game yang patut kita nikmati sambil jalan-jalan tengok pemandangan.

Sistem quest pun satu hal lagi. Game bagi terlampau banyak quest panjang serentak, ditambah pula kena tunggu berhari-hari untuk arahan baru sampai senarai kerja jadi serabut dan susah nak pantau. Nak ikut satu-satu cerita pun rasa terbeban, dan setiap hari rasa macam berlumba kejar masa sebab takut curfew.
Kompas pula makin menyemakkan keadaan sebab tunjuk semua quest yang belum siap serentak, sampai tutup penanda quest yang kita betul-betul nak pergi. Tanpa map bandar yang jelas, nak cari peniaga biasa atau tempat mula quest pun guna masa dan tenaga lebih daripada sepatutnya.

Bab restoran (yang sepatutnya jadi tarikan utama) pun ada masalah dia sendiri. Kos pengurus restock barang makan habis duit jualan sampai tak mampu beli perkakas penting, sementara lambakan quest pula buat anda asyik terabai kerja restoran.
Game ini pun kurang bagi penerangan yang jelas. Fungsi penting tiba-tiba terikat dengan quest NPC tanpa diberitahu, silap cakap sikit boleh gagalkan quest terus tanpa peluang cuba semula, dan awal-awal game dah humban menu pengurusan yang pening—ambil staf, bayar gaji, dan susun syif—sekaligus pada anda.

Quest yang terlalu banyak buat watak-watak susah nak ingat. Akhir sekali, ada sistem gameplay yang rasa kosong dan aktiviti harian cepat jadi bosan sebab berulang-ulang.
Rutin macam ini mungkin seronok untuk orang yang suka lepak santai tanpa kejar apa-apa, tapi rasa sangat lambat dan bosan untuk pemain yang nak tengok progres laju dan puas.
Pendapat
Nivalis Nights ialah game yang bercita-cita besar dan luas, dengan core loop yang memang boleh buat kita leka main berhari-hari. Dunia yang dibina, grafik, lagu latar, dan sistem urus restoran memang antara benda paling seronok, ditambah pula dengan kisah kehidupan biasa yang bagi nafas segar pada tema cyberpunk.
Tapi, quest yang terlampau banyak, isu teknikal yang tak stabil, dan navigasi yang menyusahkan dah rosakkan rasa santai yang dijanjikan oleh game ini.

Game ini memang ada jiwa dan pembangun pun tengah giat keluarkan patch kemas kini, tapi waktu ia mula keluar sekarang, ia rasa macam projek yang belum siap betul berbanding sebuah game yang dah digilap kemas.
Game ini tersedia sekarang di Steam dan akan datang ke Epic Games Store pada tarikh kemudian.
The Review
Nivalis Nights
Nivalis Nights memukau sebagai simulator kedai mi cyberpunk yang seronok dan bernyawa, tetapi potensinya terjejas akibat lambakan quest, navigasi berserabut, isu framerate, dan masalah ekonomi restoran yang masih memerlukan kemas kini untuk digilap sepenuhnya.
PROS
- Visual cantik penuh lampu neon dalam bandar cyberpunk yang memukau
- Sistem pengurusan bisnes yang teliti dan banyak pilihan
- Core loop gameplay yang seronok untuk uruskan kedai makan sendiri
- Banyak aktiviti sampingan: memancing, berkebun, hias bilik, main catur, dan bawa bot
- Dunia game yang menarik dengan watak dan NPC yang rasa hidup macam orang sebenar
CONS
- Quest terlalu banyak sampai watak dan cerita jadi senang lupa
- Masalah prestasi seperti framerate drop dan kerap stuttering
- Tiada map bandar yang terperinci dan compass bar semak sebab bertindih dengan penanda quest lain
- Jam-jam awal permainan rasa terlalu serabut dan memeningkan









Discussion about this post