Nintendo Switch pertama pernah mencetuskan fenomena dengan konsep hibridnya, membolehkan pemain menikmati game sama ada secara mudah alih atau di rumah melalui mod docked. Kini, selepas lebih lapan tahun, Nintendo Switch 2 hadir bukan untuk merombak sepenuhnya formula itu, tetapi untuk memperkukuh asas yang telah terbukti berjaya.

Sekilas pandang, ia mungkin kelihatan seperti tiada banyak perbezaan. Namun, selepas menggunakannya seketika, peningkatan yang dibawa mula terasa.
Daripada kemasan matte hitam yang tampak lebih premium, skrin bersaiz 7.9 inci yang lebih luas, rekaan Joy-Con 2 yang lebih ergonomik, hinggalah kepada prestasi keseluruhan yang jauh lebih baik hasil daripada penggunaan cip NVIDIA tersuai serta teknologi DLSS upscaling.
Tetapi adakah Switch 2 benar-benar sempurna? Di manakah kelemahannya? Teruskan membaca ulasan penuh kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Rekaan Matang, Pengalaman Selesa
Nintendo Switch 2 menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan peningkatan fungsi. Sekali pandang, ia masih mengekalkan bentuk asal Switch yang boleh digunakan secara mudah alih atau disambungkan ke TV, tetapi setelah beberapa minit digunakan, perbezaannya mula terserlah.

Casis kini hadir dengan kemasan matte bertekstur halus yang kelihatan lebih “clean” dan tidak terlalu terasa seperti plastik. Perubahan paling ketara adalah pada skrin yang kini lebih besar dan benar-benar memberikan impak ketika digunakan dalam mod handheld.
Kickstand yang diperbaharui juga wajar diberi pujian: sama ada digunakan di meja makan atau ketika bermain semasa penerbangan, stand ini teguh, stabil, dan tidak goyah seperti versi asal.

Susun atur butang masih dikekalkan, menjadikan pengalaman penggunaan kekal intuitif.
Butang kuasa dan kelantangan kini lebih responsif, manakala saluran udara di bahagian atas telah diperbaiki untuk membebaskan haba dengan lebih cekap tanpa meniupkannya ke arah jari pengguna… satu peningkatan kecil yang sangat dihargai ketika sesi panjang dalam mod handheld.

Bicu fon kepala masih disertakan, manakala slot microSD kekal tersembunyi di bawah kickstand. Slot kartrij pula kini dilengkapi penutup getah baharu yang lebih lembut dan mudah dibuka. Dari segi berat, Switch 2 mencatatkan 401g (lebih berat sedikit berbanding model OLED (320g)) namun ia tidak terasa membebankan di tangan.
Malah, berat tambahan itu memberi sensasi premium, seakan memegang peranti sebenar berbanding mainan ringan.
Joy-Con 2 Terasa Ergonomik dan Pintar
Joy-Con 2 mungkin tidak membawa revolusi besar, tetapi ia memperhalusi pengalaman gaming ke tahap yang lebih memuaskan. Reka bentuk ergonomiknya telah diubah sedikit, dengan lengkungan yang lebih selesa dan permukaan belakang yang menggunakan kemasan sentuhan lembut.
Cengkaman terasa lebih baik tanpa rasa “melekat” seperti getah.

Salah satu perubahan terbesar terletak pada sistem penyambungannya. Switch 2 kini menggunakan mekanisme magnetik menggantikan sistem fizikal lama. Joy-Con 2 hanya perlu disambung dengan satu klik yang memuaskan dan kukuh berkat magnet dalaman.
Untuk menanggalkannya, hanya tekan butang di belakang dan pin kecil akan menolak Joy-Con keluar dengan lancar… reka bentuk yang terasa sangat praktikal.

Sistem magnetik ini menyelesaikan banyak isu lama seperti sambungan yang longgar atau Joy-Con yang mudah bergoyang. Kini, ia lebih pantas, lebih stabil, dan memberikan rasa binaan yang premium. Butang muka juga telah diperbaiki dengan mengekalkan gaya dan susun atur Nintendo, tetapi terasa lebih padat, responsif, dan tidak lembik.
Kayu analog pula memberikan input yang lancar dan konsisten tanpa sebarang dead zone yang menjengkelkan, sekurang-kurangnya dalam sesi gaming yang panjang setakat ini.

Satu peningkatan ketara lain ialah pada butang atas. Trigger dan bumper kini lebih kuat, tidak selembik sebelumnya, dan memberikan tekanan “tactile” yang memuaskan. Sudutnya turut dilaras sedikit untuk memudahkan tekanan tanpa perlu mengubah posisi jari secara tidak selesa dalam mod handheld.
Dari segi keserasian, berita baiknya ialah Joy-Con lama anda masih boleh digunakan pada Switch 2, walaupun anda perlu mengecasnya secara berasingan. Jadi, anda tidak perlu meninggalkan pasangan lama atau koleksi edisi khas anda.
Mouse Mode Menambah Dimensi Baharu
Nintendo Switch 2 memperkenalkan Mouse Mode, satu ciri baharu yang membolehkan anda menggunakan satu atau kedua-dua Joy-Con 2 seperti tetikus komputer. Hanya perlu putar Joy-Con ke sisi dan gerakkannya di atas permukaan rata untuk mengawal kursor. Permukaan itu boleh berupa meja, mousepad, pangkuan, malah seluar anda.
Kami mencubanya di atas kaca: ia boleh digunakan, tetapi penjejakan agak tidak konsisten kerana sensor optik sukar berfungsi di permukaan lutsinar.

Untuk prestasi terbaik, permukaan seperti kayu atau kain adalah pilihan lebih stabil. Nintendo juga menyatakan dalam laman sokongan rasminya bahawa permukaan seperti meja kaca, kulit, corak berulang atau yang terlalu reflektif boleh mengganggu prestasi Mouse Mode.
Fungsi ini diaktifkan secara automatik apabila kedua-dua Joy-Con ditanggalkan dan dipegang dalam posisi yang sesuai. Ia agak intuitif, dan menyemak eShop dengan ciri ini terasa lebih lancar berbanding penggunaan kayu analog — seolah-olah anda melayari di komputer.

Salah satu aplikasi paling menarik Mouse Mode ialah dalam game BRAVELY DEFAULT FLYING FAIRY HD Remaster, yang mempunyai dua minigame baru khas untuk mod ini.
Salah satunya ialah permainan rhythm ala Osu! di mana anda perlu tekan, menahan, atau menyentuh ikon pada skrin, manakala satu lagi ialah minigame pelbagai tugas yang melibatkan kawalan kapal udara.

Minigame kapal udara tersebut memerlukan ketepatan tinggi dan sedikit kekok kerana ia mensimulasikan kawalan gerakan dalam bentuk tetikus. Sebaliknya, permainan rhythm terasa jauh lebih menyeronokkan, menunjukkan potensi sebenar Mouse Mode sebagai kaedah input alternatif.

Namun, dari segi keselesaan jangka panjang, Joy-Con 2 dalam bentuk tetikus tidak begitu ergonomik. Ketiadaan sokongan telapak tangan menjadikannya kurang selesa, terutamanya selepas sesi penggunaan yang panjang.
Walaupun Mouse Mode bukan sekadar gimik, ia juga belum cukup praktikal untuk menggantikan tetikus sebenar secara menyeluruh. Masih ada ruang untuk evolusi dan inovasi, dan ciri ini pastinya mempunyai potensi besar jika dikembangkan dengan lebih mendalam.
Mampu Menyinar Sebagai Konsol Mudah Alih Generasi Baharu
Inilah bahagian di mana Nintendo Switch 2 benar-benar menunjukkan peningkatan ketara, membuktikan bahawa ia layak berada dalam era konsol moden.
Walaupun Nintendo tidak menyasarkan kuasa setanding PS5 atau Xbox Series X, lonjakan prestasinya cukup bermakna terutama bagi konsol yang sentiasa mementingkan mobiliti berbanding kuasa mentah.

Antara game yang kami uji termasuk Mario Kart World, BRAVELY DEFAULT FLYING FAIRY HD Remaster, Xenoblade Chronicles X, dan Pokémon Scarlet & Violet.
Tanpa sebarang kemas kini khas untuk Switch 2, beberapa game ini sudah terasa lebih lancar dengan kadar bingkai yang lebih stabil berbanding Switch asal, dan yang paling ketara — masa loading yang jauh lebih pantas.

Di sebalik tabir, Switch 2 menggunakan cip NVIDIA tersuai yang dibina untuk prestasi tinggi dan kecekapan tenaga dalam game mudah alih. Kelajuan ini dapat dirasai sejak awal: daripada boot time yang lebih singkat, navigasi UI yang pantas, hinggalah proses menyambung semula game dari sleep mode yang berlaku serta-merta.
Storan dalaman kini menggunakan teknologi UFS 3.1 menggantikan eMMC pada Switch asal, menjadikan masa loading jauh lebih pantas. Contohnya, Xenoblade Chronicles X kini hanya mengambil 13 saat untuk dimuat pada Switch 2 berbanding 17 saat pada Switch OLED.
Ia mungkin tidak menyamai SSD PS5, tetapi bagi pengguna Switch, ini satu peningkatan besar.

Kami juga menguji Pokémon Scarlet, yang terkenal dengan prestasi hambar di Switch original. Pada Switch 2, game ini kini berjalan hampir konsisten pada 60 FPS dalam mod handheld, berbanding 30 FPS (dengan penurunan ke 20 FPS) pada model lama.
Masa loading lebih singkat, lontaran Poke Ball terasa segera, dan grafik turut menerima peningkatan seperti anti-aliasing yang lebih baik serta garis model yang lebih licin. Kesan tepi bergerigi juga jauh berkurang, kemungkinan besar hasil resolusi handheld yang lebih tinggi dan teknologi DLSS upscaling.
Walaupun draw distance tidak terlalu berubah, pop-in kini lebih terkawal dan pergerakan objek jauh seperti Trainer dan Pokémon tampak lebih lancar.

Dari segi sistem penyejukan, Switch 2 dilengkapi kipas baharu dan sistem pelesapan haba yang lebih efisien. Ia kekal sejuk dan senyap walaupun dalam sesi panjang dalam mod docked, berbeza dengan Switch asal yang boleh menjadi agak panas dan bising.
Kualiti audio juga dipertingkatkan di mana speaker kini menghasilkan bunyi yang lebih kuat, lebih jelas, dan dengan pemisahan stereo yang lebih ketara, menjadikan pengalaman handheld semakin memuaskan.
Backwards Compatibility
Nintendo sebelum ini mempunyai sejarah yang tidak konsisten dalam aspek backwards compatibility, tetapi dengan Switch 2, mereka akhirnya berjaya melaksanakannya dengan cara yang memuaskan. Sama ada anda memiliki koleksi kartrij fizikal atau pustaka digital yang luas, berita baiknya ialah hampir semua game berfungsi dengan baik.
Malah, dalam kebanyakan kes, lebih baik daripada sebelumnya.

Untuk game fizikal, anda hanya perlu masukkan kartrij lama dan Switch 2 akan membacanya serta-merta tanpa masalah. Game digital pula boleh dimuat turun semula dengan mudah, dengan antara muka eShop pada Switch 2 yang kini tampil lebih kemas dan teratur.
Nintendo turut menyediakan alat pindahan pantas ketika persediaan awal konsol, membolehkan anda memindahkan game digital, fail simpanan, dan tetapan dengan lancar dari Switch asal.

Malah, kebanyakan game akan mendapat manfaat serta-merta daripada peningkatan perkakasan termasuk masa loading yang lebih singkat, kadar bingkai yang lebih stabil, dan tekstur yang kelihatan lebih tajam. Ia bukan sekadar mengekalkan keserasian, tetapi turut meningkatkan kualiti game yang sedia ada.
Jangka Hayat Bateri Kurang Menggalakkan
Hayat bateri sentiasa menjadi aspek penting bagi konsol Nintendo Switch, terutamanya kerana elemen mudah alihnya menjadi tarikan utama ramai pengguna.
Dengan Switch 2, walaupun baterinya kini berkapasiti lebih besar, penggunaan kuasa yang lebih tinggi menyebabkan jangka hayatnya secara keseluruhan terasa lebih pendek berbanding model sebelumnya.

Nintendo menganggarkan antara 2 hingga 6.5 jam masa permainan, bergantung kepada jenis game dan corak penggunaan. Angka ini agak rendah jika dibandingkan dengan Switch OLED, yang mampu bertahan antara 4.5 hingga 9 jam.
Game yang lebih berat sememangnya akan menghabiskan bateri lebih cepat, tetapi dalam ujian kami dengan beberapa judul Switch asal, sukar untuk mencapai lebih daripada tiga jam walaupun bermula dengan cas penuh.

Untuk game yang lebih ringan, anda mungkin boleh mendapatkan sehingga lima jam, tetapi kadangkala hanya berada di skrin utama pun sudah cukup untuk mengurangkan bateri dengan ketara.
Secara keseluruhan, walaupun prestasi meningkat, kompromi terhadap hayat bateri mungkin akan menjadi kebimbangan bagi pengguna yang sering bermain secara mudah alih.
Katalog Game Untuk Masa Depan Nampak Menjanjikan
Kekurangan game baharu yang memanfaatkan sepenuhnya keupayaan konsol mungkin membuatkan sesetengah pengguna ragu-ragu untuk menaik taraf dengan segera, dan itu wajar. Namun, beberapa tajuk akan datang dijangka mengubah persepsi ini.
Metroid Prime 4: Beyond, contohnya, dijangka akan menggunakan Mouse Mode Switch 2 untuk kawalan sasaran yang lebih tepat dan lancar… hampir menyerupai pengalaman shooter di PC.
Pokémon Legends: Z-A pula menjanjikan pendekatan baharu dalam siri ini, dengan dunia terbuka yang lebih padat dan kompleks di tengah suasana bandar yang sesak — sesuatu yang kemungkinan besar tidak dapat dijalankan dengan baik di perkakasan Switch lama.
Tidak ketinggalan juga ELDEN RING: Tarnished Edition dan The Duskbloods dari FromSoftware, dua tajuk mencabar yang bakal memanfaatkan sepenuhnya prestasi Switch 2 serta sokongan DLSS untuk visual dan skala permainan yang lebih besar.
Jadi, walaupun tawaran semasa mungkin belum cukup untuk meyakinkan semua orang, potensi Switch 2 dalam masa terdekat sangat meyakinkan.
Pendapat
Bagi mereka yang masih menggunakan Nintendo Switch asal sejak 2017, beralih ke Switch 2 terasa seperti satu lonjakan besar. Hampir setiap aspek konsol ini telah diperbaiki dari binaan lebih kukuh, skrin lebih besar dan cerah, Joy-Con lebih selesa serta lebih kukuh berkat sistem magnetik baharu, dan paling ketara, prestasinya jauh lebih tinggi.
Perkakasan baharu bukan sahaja membuat game dilancarkan lebih pantas dan berjalan lebih lancar, malah visual turut dipertingkat, termasuk untuk judul lama.

Bagi pengguna Switch generasi pertama, peningkatan ini menjadikan pengalaman harian terasa seperti menggunakan konsol baharu sepenuhnya iaitu lebih moden, lebih tangkas, dan lebih memuaskan untuk digunakan dalam jangka masa panjang.
Joy-Con 2 pula membawa peningkatan kecil tetapi signifikan, masih serasi dengan aksesori dan game sedia ada.

Namun, bagi pemilik Switch OLED, keputusan tidak semudah itu. Walaupun Switch 2 lebih pantas dan menawarkan kawalan yang lebih baik, OLED masih mempunyai kelebihan dari segi hayat bateri dan kualiti paparan yang masih sangat baik.
Tetapi Switch 2 tetap menawarkan nilai tambah yang sukar diabaikan terutamanya jika anda mula merasakan OLED tidak lagi dapat mengendalikan game baharu dengan lancar.

Dalam aspek yang paling penting (prestasi dan pengalaman penggunaan) Switch 2 tetap menyerlah. Ia adalah versi terbaik untuk mereka yang baru memasuki dunia Nintendo. Akhirnya, sama ada anda perlu menaik taraf atau tidak bergantung sepenuhnya kepada cara anda menggunakan konsol.
Jika anda hanya bermain game indie atau tajuk kasual, model lama mungkin sudah mencukupi. Tetapi jika anda kerap bermain game berskala besar seperti Zelda, Xenoblade, atau keluaran eksklusif Nintendo akan datang, dan anda mahukan pengalaman yang lebih pantas serta lancar — Switch 2 ialah langkah ke hadapan yang wajar dipertimbangkan.
Untuk beli, anda boleh melayari laman web rasmi Nintendo di SINI.









Discussion about this post