Life is Strange: Double Exposure oleh Deck Nine dan Square Enix sekali lagi membawa pemain dalam perjalanan penuh emosi, menggabungkan kisah misteri, persahabatan, dan penemuan diri.
Sebagai entri terbaru dalam siri naratif yang dihargai ini, Double Exposure memperkenalkan watak-watak baru sambil mengekalkan elemen penceritaan yang menyentuh hati serta pilihan moral yang kompleks, yang menjadi daya tarikan utama francais ini.
Dengan campuran elemen supernatural dan naratif peribadi, game ini cuba memikat peminat setia dan menarik minat pemain baru. Namun, adakah ia mampu menyambung legasi cemerlang siri ini, atau sebaliknya gagal memenuhi jangkaan tinggi? Jom kita lihat dengan lebih mendalam.
Kisah masih tentang Max
Life is Strange: Double Exposure mengikuti perjalanan Max Caulfield, kini seorang jurugambar terkenal yang diundang sebagai artis jemputan di sebuah universiti ternama di Vermont. Bertahun-tahun selepas peristiwa dalam game asal, Max terperangkap dalam sebuah misteri baru apabila rakannya, Safi, ditemui mati dalam keadaan yang mencurigakan.
Trauma ini menghidupkan kembali kuasa luar biasanya, namun kali ini dengan satu perubahan besar – Max kini boleh bergerak antara dua garis masa yang berbeza, di mana Safi sama ada masih hidup atau telah mati. Jalan cerita ini bergerak antara penyiasatan pembunuhan dan tema berat seperti trauma, kesedihan, dan usaha untuk meneruskan hidup.
Walau bagaimanapun, ada beberapa elemen plot serta tingkah laku watak yang kadangkala terasa tidak seimbang.
Gameplay yang tidak Membawa Padah
Dari segi mekanik gameplay, anda bermain sebagai “detektif supernatural,” menggunakan kebolehan melompat antara masa untuk menyelesaikan misteri pembunuhan Safi.
Pemain boleh membawa objek dari satu realiti ke realiti lain untuk menyelesaikan teka-teki atau mengatasi halangan – contohnya, mengambil tangga dari garis masa “mati” untuk digunakan dalam garis masa “hidup.” Walaupun konsep ini tidak sepenuhnya baru, ia tetap menarik untuk memberikan variasi dalam gameplay.
Formula asas Life is Strange masih dikekalkan: berjalan, memeriksa objek, dan membuat pilihan melalui dialog. Namun, impak pilihan dalam game ini terasa kurang mendalam berbanding entri-entri sebelumnya, menyebabkan keputusan yang diambil kurang memberikan kesan emosi yang signifikan.
Upgrade Besar pada Visual
Double Exposure dengan mudah menjadi game Life is Strange yang paling cantik setakat ini. Animasi wataknya sangat mengagumkan — anda boleh melihat perincian ekspresi wajah kecil yang menambah emosi kepada adegan tertentu.
Contohnya, bagaimana watak menggigit bibir ketika berfikir atau mata mereka sedikit menyipit dengan penuh keraguan. Semua ini membuatkan watak-watak terasa lebih hidup. Pemandangan bersalji di Vermont juga sangat memukau.
Walau bagaimanapun, saya menemui beberapa masalah visual semasa bermain. Kadang-kadang, watak tiba-tiba “T-Pose” dalam saat-saat serius, dialog dimainkan tanpa watak di tempat kejadian, atau objek interaktif hilang begitu sahaja. Apabila semuanya berjalan lancar, game ini kelihatan hebat, tetapi masalah teknikal ini kadangkala merosakkan pengalaman.
Apa yang Baik dan Buruk
Mari mulakan dengan kelebihannya: elemen emosi dalam game ini sangat kuat apabila ia disampaikan dengan baik. Ada adegan yang benar-benar menyentuh hati, ditambah pula dengan lakonan suara yang luar biasa (Hannah Telle dan Brian Landis Folkins sangat menyerlah dalam Episod 3). Runut bunyi oleh Tessa Rose Jackson juga begitu sedap sehingga layak dimasukkan ke dalam playlist anda.
Game ini membincangkan tema berat seperti trauma, kesedihan, dan usaha untuk bangkit semula. Namun, pelaksanaannya kadangkala kurang konsisten. Cerita mencapai puncaknya dalam Episod 3 dengan adegan konfrontasi watak yang sangat “drama”, tetapi selepas itu beberapa plot twist terasa kurang berkesan.
Mekanisme baharu “melompat antara garis masa” menambah peluang untuk teka-teki kreatif, walaupun ia agak ringkas. Tetapi, ini tidak bebas dari kelemahan — terdapat plot hole, keputusan watak yang kelihatan tidak logik, dan pengakhiran yang lebih terasa seperti “akan ada sekuel” berbanding penutup sebenar.
Masalah teknikal turut mencacatkan pengalaman, daripada gangguan audio hingga animasi yang rosak. Game ini juga bergelut dengan identitinya, cuba mengimbangi kesinambungan cerita Max sambil memperkenalkan elemen baharu, tetapi tidak sepenuhnya berjaya dalam kedua-duanya.
Jika dalam judul-judul lama pilihan anda benar-benar menentukan hidup atau mati watak utama, Double Exposure mengekalkan kebanyakan hasil yang serupa tanpa mengira apa yang anda pilih.
Malah, pilihan akhir, yang sepatutnya menjadi momen besar, hanya memberikan perubahan kecil kepada pengakhiran — contohnya, perpisahan yang berbeza dengan Safi. Walaupun begitu, game ini tetap menyeronokkan untuk dimainkan, tetapi jangan terlalu berharap pilihan anda akan membawa perubahan besar kepada jalan cerita.
Pendapat
Selepas menghabiskan masa dengan Double Exposure, perasaan saya bercampur-baur. Ia menunjukkan potensi besar dengan pelbagai elemen yang menarik, tetapi malangnya tidak mencapai standard yang dikatakan.
Bagi pemain baru, ada banyak perkara menarik untuk dinikmati — game ini sarat dengan emosi, adegan-adegan luar biasa, dan cukup misteri untuk membuat anda terus bermain. Puncak terbaiknya benar-benar mengesankan, dengan bahagian-bahagian yang akan buat saya ingat untuk masa yang lama.
Namun, kelemahannya juga sangat ketara, dan kekurangan konsistensi ini mengekang game daripada mencapai potensi sebenarnya.
Life is Strange: Double Exposure kini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series dan PC melalui Steam dan Microsoft Store serta Switch. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Life Is Strange: Double Exposure
Selepas menghabiskan masa dengan Double Exposure, perasaan saya bercampur-baur. Ia menunjukkan potensi besar dengan pelbagai elemen yang menarik, tetapi malangnya tidak mencapai standard yang dikatakan. Bagi pemain baru, ada banyak perkara menarik untuk dinikmati — game ini sarat dengan emosi, adegan-adegan luar biasa, dan cukup misteri untuk membuat anda terus bermain. Puncak terbaiknya benar-benar mengesankan, dengan bahagian-bahagian yang akan buat saya ingat untuk masa yang lama.
PROS
- Lakonan watak yang hebat, terutama Hannah Telle sebagai Max
- Animasi wajah dan motion capture yang sangat baik
- Mekanik "melompat antara masa" menambah elemen teka-teki yang menarik
- Visual yang lebih baik berbanding entri sebelumnya
- Adegan emosi yang kuat
CONS
- Pilihan pemain mempunyai kesan minimum pada cerita
- Masalah teknikal yang kerap (bug audio, gangguan animasi)
- Pengakhiran yang tiba-tiba, barangkali untuk sekuel
Discussion about this post