Selepas memperkenalkan siri laptop ASUS Vivobook S terbaharu untuk tahun 2024, kini datang giliran kami untuk reviu ASUS Vivobook S16 OLED (S5606M). ASUS mendakwa bahawa peranti ini direka untuk gaya hidup yang bergaya, di mana laptop ini bukan sahaja berkuasa tetapi juga ringan, lantas membuatkannya sesuai untuk individu yang memerlukan kedua-dua produktiviti dan hiburan semasa dalam perjalanan.
Adakah kata-kata itu semua betul? Mari kita usya sama-sama.
Reka Bentuk
ASUS Vivobook S16 OLED datang dalam dua warna: Mist Blue dan “Neutral Black,” yang memenuhi pilihan estetika individu yang berbeza. Selepas membuka kotak, reka bentuknya yang sangat nipis memang terserlah, dengan berukuran hanya 13.9mm tebal dan berat kira-kira 1.5kg.
Walaupun skrin 16-inci mungkin besar untuk kebanyakan beg galas, ia adalah pilihan yang ideal untuk profesional yang kerap berjalan dan memerlukan skrin yang lebih besar.
Laptop ini mempunyai penutup logam dengan logo ASUS minimalis, untuk melengkapkan reka bentuk keseluruhan yang kemas dan anggun. Badan aloi aluminium pula mengurangkan kesan cap jari berbanding model terdahulu dan termasuk struktur alur di hadapan untuk kita membuka penutup dengan mudah menggunakan satu jari.
Daripada segi port, Vivobook S16 OLED menawarkan pelbagai pilihan sambungan, termasuk 2x port Thunderbolt 4, 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x HDMI 2.1 TMDS, 1x pembaca kad microSD dan 1x bicu Combo Audio Jack 3.5mm.
Keyboard dan Touchpad
Laptop ini dilengkapi dengan keyboard bersaiz penuh yang menampilkan backlighting RGB zon tunggal dan numeric keypad, dengan kekunci Copilot khusus tambahan.
Menekan butang ini membolehkan interaksi dan perbualan segera dengan pembantu Windows AI, yang membantu dalam tugas seperti meringkaskan maklumat, menyerlahkan kandungan utama daripada laman web Microsoft Edge dan menjawab apa-apa sahaja pertanyaan.
Semasa mencuba laptop ini, keyboard menawarkan pengalaman menaip yang selesa dengan tekanan kekunci yang memuaskan. Pad sentuh yang lebih besar pada Vivobook juga sangat lancar dan responsif, dan sesuai bagi mereka yang perlu multitasking dengan pantas.
Malangnya, ia tidak mempunyai pembaca cap jari, yang saya anggap adalah sesuatu yang normal dalam laptop berbentuk bisnes pada zaman moden.
Paparan
Vivobook S16 OLED menampilkan paparan OLED Lumina 16-inci 3.2K dengan resolusi 3200 x 2000 piksel dan refresh rate 120Hz, dengan aspect ratio 16:10. Paparan menyokong 100% gamut warna DCI-P3 dan disahkan Pantone untuk ketepatan warna profesional. Reka bentuk nipis di bahagian sisi juga meningkatkan daya tarikan estetik komputer riba.
Sama ada digunakan untuk menyunting video atau menonton filem dan rancangan TV, skrin amat cemerlang dengan warna-warna terang dan kejelasan tinggi. Dengan kecerahan puncak 600 nits, ia kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari langsung.
Paparan diperakui VESA DisplayHDR 600 True Black, untuk memastikan warna yang tepat dan terang. Selain itu, ia mengurangkan pelepasan cahaya biru sebanyak 70% berbanding skrin tradisional, yang mengurangkan ketegangan pada mata dengan berkesan dan meningkatkan kualiti tidur.
Prestasi, Bateri dan Pengalaman Gaming
Dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 5 125H terkini, Vivobook S16 OLED termasuk 16GB memori LPDDR5x, SSD 512G PCIe 4.0 dan menyepadukan grafik Intel Arc dan Intel AI Boost NPU. Semasa penggunaan harian, laptop ini dapat mengendalikan pelbagai tugas dengan mudah, termasuk multitasking dan penukaran antara aplikasi.
Daripada segi bateri, ia mempunyai bateri 75Wh dengan pengecas 90W, yang menawarkan masa pengecasan kira-kira 1.5-2 jam dan jangka hayat bateri sehingga 16 jam.
Kami menguji tiga game di Vivobook S16: “Honkai: Star Rail,” “Monster Hunter Stories,” dan “Apex Legends.”
“Honkai: Star Rail” berjalan lancar pada tetapan grafik medium, terutamanya dalam adegan pertempuran dengan frame drop yang minimum. “Monster Hunter Stories” juga menunjukkan prestasi yang sama baik pada grafik medium, mengekalkan frame rate yang lancar semasa penerokaan dan pertempuran.
“Apex Legends” majoriti berjalan pada 60-70 FPS pada tetapan medium (HD), memberikan pengalaman lancar dengan stuttering minimum. Walau bagaimanapun, pada resolusi 4K, frame rate menurun kepada sekitar 30 FPS, yang terus mempengaruhi pengalaman bermain.
Pendapat
Secara keseluruhan, ASUS Vivobook S16 OLED agak mengagumkan dengan skrin OLED 16 inci yang cantik, reka bentuk nipis, keyboard RGB, touchpad yang besar dan bateri yang tahan lama. Ia cemerlang dalam hampir setiap aspek, menjadikannya laptop yang sangat disyorkan.
Walaupun tidak akan menarik minat para gamer, Vivobook S16 OLED masih adalah pilihan yang menarik, dan sesuai untuk para profesional yang memerlukan laptop boleh dipercayai dan mudah alih semasa kerap berjalan.
ASUS Vivobook S16 OLED tersedia sejak 29 April 2024, dan bernilai sebanyak RM 4,699. Jika berminat, anda boleh membeli produk di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post