Bersiap sedia untuk memulakan perjalanan berbahaya bagi memulihkan World Tree dan meneroka dunia penuh keajaiban apabila Ark of Charon tiba di Steam pada hari ini.
Diterbitkan oleh SUNSOFT dan dibangunkan oleh Angoo Inc., game ini merupakan kombinasi antara genre “colony simulation” dan “tower defense” di mana pemain berperanan sebagai penjaga kepada sejenis makhluk pokok gergasi yang menyerupai haiwan.
Di sini, kami berpeluang menguji Ark of Charon lebih awal bagi tujuan reviu, jadi adakah game ini seronok seperti yang disangkakan, atau sekadar idea besar yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya? Jom baca reviu kami untuk Ark Of Charon.
Pengenalan Umum
“World Tree suci telah layu, dan bersamanya, umat manusia pun berkurangan. Setelah anak pokok baru telah tumbuh, kini anda mesti menjadi penjaganya dan membimbingnya supaya kehidupan aman dahulu boleh kembali. Hanya dengan membimbing anak pokok World Tree ke tujuannya, barulah ia dapat membesar dan memulihkan keseimbangan kepada dunia yang terumbang-ambing di ambang bencana.”
Seperti saya jelaskan di intro, ini adalah game yang menggabungkan genre colony simulation dan tower defense, di mana pemain perlu membimbing anak pokok gergasi menyerupai haiwan ke destinasi, khususnya tapak semaiannya.
Bersama bantuan golem-golem kecil, anda perlu mengubah pokok itu menjadi kubu yang kuat semasa meneruskan perjalanan kerana tidak semuanya indah di dunia itu dan pelbagai ancaman bahaya sedang menanti.
Gameplay dibahagikan kepada dua mode: iaitu Peaceful Journey yang disyorkan untuk beginner – tanpa had masa, anda boleh mempelajari asas gameplay tanpa tekanan masa dan meneroka dunia baharu secara santai; dan New World, yang direka untuk pemain berpengalaman dan menawarkan tahap kesukaran lebih mencabar. Di sinilah mode anda menguji strategi dan kemahiran.
Persediaan Sebelum Memulakan Perjalanan
Bahagian berbatu di atas makhluk sebenarnya bertindak sebagai platform untuk World Tree, di mana kita perlu membina semua yang diperlukan dan bergerak bersama ke kawasan seterusnya. Pintu teleportasi di tengah platform adalah core (teras) kepada World Tree.
Apabila mengalahkan musuh dalam perjalanan dan memperoleh mata yang mencukupi, kami boleh mendapatkan golem baharu, yang akan menjadi pekerja anda.
Jika teras World Tree diserang dan HP-nya habis, game akan tamat. Jadi, matlamat utama adalah untuk melindungi teras World Tree sehingga kami sampai ke tapak semaian.
Di permulaan game, kami diberi tiga golem, dan perlu memberikan tugas kepada masing-masing untuk membangunkan platform World Tree. Pertama, kita perlu fokus kepada pengumpulan sumber.
Sumber boleh diperoleh melalui “mining” (perlombongan) dan “harvesting” (penuaian) kerana golem memerlukan makanan untuk mengekalkan tenaga kerja, manakala membina apa sahaja bangunan dan barang memerlukan sejumlah besar sumber, jadi pengumpulan sumber adalah penting pada permulaan game.
Di sini, kita menggunakan fungsi Zone untuk menyediakan Storage Zone, supaya golem mengumpulkan sumber yang bertaburan di satu tempat. Ini memudahkan mereka mengakses dan juga untuk kita membawa segala-galanya apabila bergerak.
Kita juga perlu menyediakan Farming Zone di atas tanah, dan sebaik sahaja meletakkan tanaman untuk setiap bidang tanah, golem akan secara automatik bercucuk tanam dan menuai, lantas menyelesaikan masalah kekurangan makanan.
Apabila mempunyai sumber mencukupi, langkah seterusnya adalah membina bilik. Bilik mempunyai dua tujuan: pertahanan dan bengkel. Semasa bergerak, kami akan menghadapi pelbagai raksasa, jadi bilik digunakan sebagai ruang pertahanan.
Bengkel, seperti meja kerja, periuk masak dan dapur, perlu diletakkan di dalam bilik untuk berfungsi. Bilik boleh dibuat daripada pelbagai bahan, di mana yang paling asas ialah kayu, dan kemudian dinaik taraf kepada batu, simen, besi, hingga logam berharga.
Selepas membina bilik, datanglah giliran untuk membina struktur pertahanan untuk berlindung daripada ribut yang datang secara berkala. Jika dibiarkan, ribut akan memusnahkan teras World Tree. Kami boleh membina tembok pertahanan dan senjata untuk menghalang dan menghapuskan raksasa yang ditemui dalam perjalanan.
Pada masa yang sama, membina meja kerja dapat menghasilkan bahan penting lain, seperti peluru untuk pelbagai turet, periuk untuk memasak makanan, dan relau untuk mencairkan bijih logam.
Jangan lupa untuk memanfaatkan bantuan Golem, yang boleh ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja ini.
Kita boleh menugaskan golem kepada tugas yang masing-masing mahir, yang bukan sahaja mempercepatkan kerja tetapi membenarkan Golem berbeza bekerjasama dalam pelbagai tugasan sekaligus.
Akhir sekali adalah sistem pilihan Technology, yang digunakan untuk meningkatkan tahap ciptaan kami. Semua upgrade dicapai dengan mengumpul technology point, yang membolehkan kami mempelajari teknologi baharu, seperti menaik taraf daripada kayu ke batu.
Walaupun kita mempunyai sejumlah besar sumber batu, kita masih tidak dapat menggunakan sumber itu selagi tidak maju dalam Tech Tree. Technology point diperoleh secara natural semasa menjalankan operasi harian.
Barulah Boleh Memulakan Perjalanan
Anda tidak boleh tinggal lama di satu tempat yang sama. Apabila ribut gelap menghampiri, golem dan bangunan sekitar akan beransur-ansur dirosakkan.
Untuk memulakan perjalanan, buka “World Map”, pilih destinasi pada peta dunia. Apabila bersedia, tekan butang “Ready to Depart” untuk memulakan perjalanan.
Seperti saya kata tadi; dalam perjalanan, anda akan menghadapi pelbagai ancaman termasuk ribut, dan raksasa yang boleh membawa kepada pertempuran.
Susun senjata dan tembok pertahanan dengan strategik untuk menghadapi serangan raksasa. Pertempuran berlangsung secara automatik, tetapi anda juga boleh mengendalikan senjata secara manual untuk menembak musuh.
Menyelesaikan satu perjalanan akan memberi ganjaran “souls” daripada musuh yang dikalahkan, yang berguna untuk melahirkan golem baharu dari teras World Tree. Jenis dan jumlah souls yang digunakan juga menentukan kekuatan Golem dan tugas pilihan mereka.
Apabila semakin jauh, musuh yang kita hadapi akan menjadi lebih kuat, jadi pemain perlu mengumpul lebih banyak sumber berkualiti tinggi secepat mungkin untuk menaik taraf kubu dan melindungi teras semasa maju ke hadapan.
Pendapat
Dari segi gameplay, Ark of Charon tidaklah begitu inovatif dan serupa dengan game survival lain. Satu elemen unik yang saya boleh puji ialah penambahan genre tower defense, yang memberi rasa cemas dan terdesak kerana kita mesti melengkapkan pertahanan sebelum ribut gelap tiba.
Namun, rentak dan intensiti keseluruhan gameplay terasa tidak seimbang. Terutama pada mid-game, apabila bangunan pertahanan yang lebih berkualiti diperlukan untuk menghalang musuh yang lebih kuat.
Golem kadangkala tidak dapat bekerja dengan cukup pantas untuk mengumpulkan bahan yang diperlukan. Ini memaksa kami untuk meneruskan perjalanan sebelum betul-betul bersedia, yang membawa kepada kemusnahan besar kepada bangunan kami.
Apabila mendarat, kami bukan sahaja perlu membaiki bangunan tetapi juga perlu mencari sumber di kawasan baharu, lantas mewujudkan kitaran yang kurang adil.
Gaya seni game ini diinspirasikan sepenuhnya oleh fantasi Barat, dengan grafik yang cantik tetapi tidak luar biasa. Pemain yang mempunyai standard grafik tinggi mungkin menganggapnya terlalu simple manakala reka bentuk UI keseluruhan pun tidaklah begitu gah.
Tetapi saya boleh puji bahawa efek bunyi dilakukan dengan baik, dengan muzik santai semasa tugasan harian, muzik saspen semasa ribut dan pertarungan musuh, dan efek bunyi berbeza ketika mendapatkan pelbagai sumber.
Secara keseluruhan, saya anggap game ini sekadar lulus dahulu. Walaupun ada banyak ruang untuk penambahbaikan dari pelbagai aspek, game ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang kelemahan besar. Oleh itu, saya tidak akan kata game ini betul-betul bagus, atau betul-betul teruk.
Jika berminat, Ark of Charon boleh didapati sekarang di Steam!
@gamersantaimy
The Review
Ark of Charon
Secara keseluruhan, saya anggap game ini sekadar lulus dahulu. Walaupun ada banyak ruang untuk penambahbaikan dari pelbagai aspek, game ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang kelemahan besar. Oleh itu, saya tidak akan kata game ini betul-betul bagus, atau betul-betul teruk. Cuma, ia perlu menambahkan lagi banyak faktor untuk membuatkan gameplay keseluruhan lebih menarik lagi.
PROS
- Gabungan unik antara elemen colony simulation dan tower defense
- Strategi mendalam yang memerlukan kita mengurus sumber dan tugas sekaligus
- Efek bunyi imersif dengan muzik latar belakang dan kesan bunyi yang sesuai
- Dua mode berbeza untuk pemain baru dan pengalaman
CONS
- Isu pacing yang membuatkan gameplay tidak seimbang, terutamanya pada mid-game
- Keseluruhan reka bentuk UI adalah biasa dan tidak begitu menarik
- Kualiti grafik bagus tetapi tidak luar biasa
Discussion about this post