Dari David Ayer, pengarah di sebalik Suicide Squad, muncullah ‘A Working Man,’ sebuah filem aksi yang dibintangi Jason Statham sebagai Levon Cade—seorang pekerja pembinaan yang terpaksa menjalani misi berisiko tinggi.
Apabila anak perempuan bosnya, Jenny Garcia, diculik, Levon memulakan pencarian untuk menyelamatkannya, lalu membongkarkan sebuah organisasi perdagangan manusia.
Dipenuhi adegan lawan, tembak-menembak, meletup-letup, dan kejar-mengejar, filem ini menjanjikan aksi penuh adrenalin untuk penonton—cuma sekadar filem aksi tipikal?
Babak Aksi Tidak Kurang
Kekuatan utama A Working Man terletak pada babak aksinya—yang memang puas hati! Setiap adegan lawan begitu padu hingga terasa seolah-olah anda sendiri dapat merasakan impaknya.
Adegan kejar-mengejar kereta pula penuh dengan debaran, manakala aksi motosikal menampilkan realisme. Babak tembak-menembak? Cukup huru-hara, dan diwakilkan oleh Mafia Rusia serta geng motosikal yang ganas.

Filem ini juga mempamerkan pelbagai jenis senjata yang terasa autentik, dengan satu adegan menonjol apabila Levon bersiap sedia untuk pertarungan terakhirnya.
Semasa melawat seorang rakan buta, dia diberikan simpanan senjata yang penuh—adegan ini bukan sahaja menyerlahkan kepakarannya tetapi juga menjadi isyarat kepada klimaks penuh aksi yang bakal tiba.

Namun, detik paling mendebarkan datang daripada pertarungan “hand-hand combat.”
Cukup brutal dan dikoreografi dengan begitu teliti, setiap serangan benar-benar mencengkam perhatian kami—sama ada pertarungan satu lawan satu yang sengit atau besar-besaran, filem ini menyajikan aksi tanpa henti yang pasti membuatkan penonton terpaku dari awal hingga akhir.
Tetapi Plot Mudah Dilupakan
Sekarang, mari kita sentuh tentang jalan cerita—dan di sinilah A Working Man mula goyah. Filem aksi tak semestinya memerlukan plot yang mendalam untuk menonjol, tetapi dengan David Ayer sebagai pengarah dan Jason Statham yang baru sahaja mencuri perhatian dalam The Beekeeper, harapan untuk naratif yang sama kuat dengan aksinya sememangnya tinggi.
Malangnya, ia tidak cukup menyengat. Jalan ceritanya terasa hambar dan kurang impak, dengan rentak yang tidak konsisten. Beberapa momen penting berlalu begitu cepat tanpa cukup pembinaan untuk memberi kesan, manakala adegan lain terasa terlalu panjang hingga menghilangkan “tension.”
Ia seperti rollercoaster tanpa tujuan—tergesa-gesa di satu bahagian, kemudian meleret di bahagian lain—menjadikan pengalaman menonton kurang memuaskan.

Kisah ini menceritakan tentang usaha Levon memburu penculik, dengan sedikit fokus kepada Jenny Garcia, anak perempuan bos yang menjadi mangsa, serta rancangan pihak antagonis. Namun, pembangunan watak antogonis utama terasa janggal, malah mengecewakan.
Filem ini cuba menggambarkan mereka sebagai ancaman besar, tetapi apabila tiba saat berlawan, Levon menewaskan mereka dengan begitu mudah, membuatkan kita tertanya-tanya kenapa mereka uar-uarkan sejak awal. Mafia Rusia, khususnya, gagal memberikan impak.
Anda mungkin mengharapkan perlawan sengit antara Levon dan seluruh mafia, tetapi yang muncul hanyalah dua pembunuh “elit” yang tidak memberi cabaran. Bukannya pertarungan epik, klimaks filem ini terasa seperti percikan bunga api yang kecil.

Di samping itu, ada ramai watak sampingan yang mudah dilupakan. Mereka muncul tanpa personaliti atau tujuan yang jelas, sekadar menjadi sasaran Levon sebelum hilang begitu sahaja. Namun, satu kelebihan filem ini adalah ia tidak membuang masa dengan penerangan berlebihan.
Dalam tempoh 15 minit pertama, ia terus melonjak ke aksi utama tanpa perlu memaparkan latar belakang panjang tentang Levon. Fokus yang lebih ketat ini memastikan momentum terjaga, membiarkan aksi menjadi tarikan utama tanpa terganggu oleh elemen yang tidak perlu.
Pendapat
A Working Man hadir dengan kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Jason Statham menampilkan karismanya yang tersendiri, menjadikan Levon seorang wira aksi yang mengagumkan di tengah segala babak tembak-menembak, adegan kejar-mengejar, dan pertarungan sengit.
Aksi yang dipamerkan adalah tarikan utama—dilaksanakan dengan cemerlang dan tanpa henti—ditambah dengan penggunaan senjata serta rentak cerita yang memenuhi selera peminat genre ini.

Namun, jalan ceritanya yang mendatar, watak antagonis yang kurang meyakinkan, serta aliran penceritaan yang tidak konsisten menghalangnya daripada mencapai kehebatan.
Mafia Rusia yang sepatutnya memberi ancaman terasa sia-sia, manakala barisan watak sampingan yang mudah dilupakan menjadikan pengalaman menonton kurang memberi impak.
Jika berminat, filem ini kini ditayangkan di Malaysia.
@gamersantaimy
The Review
A Working Man
A Working Man hadir dengan kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Jason Statham menampilkan karismanya yang tersendiri, menjadikan Levon seorang wira aksi yang mengagumkan di tengah segala babak tembak-menembak, adegan kejar-mengejar, dan pertarungan sengit. Aksi yang dipamerkan adalah tarikan utama—dilaksanakan dengan cemerlang dan tanpa henti—ditambah dengan penggunaan senjata serta rentak cerita yang memenuhi selera peminat genre ini.
PROS
- Bakak lawan dan kejar-mengejar yang sengit serta dikoreografi dengan baik mengekalkan adrenalin
- Terjun ke aksi dengan pantas, mengelak plot yang tidak perlu
- Pelbagai senjata api dan adegan persiapan yang hebat meningkatkan keseronokan
- Persembahan mantap Jason Statham menjadi tunjang filem ini
CONS
- Cerita yang hambar dan kurang memberi kesan, gagal memenuhi jangkaan naratif
- Kehadiran penjahat yang lemah
- Pertarungan akhir yang mengecewakan
- Jalan cerita yang mengelirukan, rentak tidak konsisten mengganggu naratif
- Terlalu banyak watak yang mudah dilupakan
Discussion about this post