Tales of Arise adalah entri terbaru kepada siri JRPG ikonik oleh Bandai Namco, dan nampaknya adalah perubahan terbesar pada formula klasik di dalam francais. Dengan menggunakan estetika baru, mekanik pertempuran yang lain daripada lain, dan beberapa upgrade kecil, Tales of Arise adalah usaha Bandai untuk membawa siri ini ke era moden. Kami sudah membuat dua preview untuk game ini berdasarkan versi demo, jadi saya tidak akan mengulangi perkara-perkara yang sudah dibincangkan. Tanpa melengahkan masa, inilah review ikhlas saya untuk Tales of Arise!
Kisah naratif

Kalau nak jujur, pada mulanya saya fikir jalan cerita tidaklah istimewa sangat. Kita ada misi untuk membebaskan planet Dahna dengan menewaskan kelima-lima Renan Lord, dan hingga saat itu, plot cerita masih mudah untuk ramal. Memang nampak seperti jenis cerita tipikal yang kita selalu lihat dalam mana-mana game Tales. Tiba-tiba, saya teringat yang Bandai ingin mencipta “permulaan” baru untuk francais, dan secara tidak sangka, betul mereka buat apa yang mereka. Saya tidak akan memberi apa-apa spoiler besar, tetapi ada satu ketika saya fikir game sudah habis, tetapi rupanya Bandai Namco akan memberi satu kejutan besar.
Selain itu, saya rasa aspek terbaik tentang jalan cerita adalah kerana watak. Walaupun rakan-rakan yang kita bakal temui sepatutnya kerana menghadapi pelbagai dugaan bersama, hubungan mereka tidak semestinya akrab. Sebagai contoh, Rinwell memang benci pada orang Renan dan ada masalah untuk bergaul dengan Shionne dan Dohalim, manakala Kisara agak janggal bersama Dohalim kerana insiden yang pernah berlaku di antara mereka.

Ini termasuk Alphen, yang korang boleh anggap sebagai “alat” untuk Shionne menyelesaikan misi rahsia. Berita baik, hubungan ini lambat laun akan beralih ke arah yang lebih romantik. Bagaimana pula dengan Law? Ada satu peristiwa yang membuat saya betul-betul bersimpati dengannya, tetapi selepas itu, dia pun akan berubah kepada watak dengan prinsip yang kuat dan mudah disukai.
Pendek kata, naratif game ini nampak lebih bersemangat sebab personaliti watak. Tujuan mereka tidak generic, dan latar belakang setiap satu pun sebenarnya ditulis dengan baik. Berkat itu, kita dapat melihat sisi “gelap” kepada setiap watak yang biasanya tidak dapat melihat. Pada masa yang sama, bahagian “Skit” juga memberi naratif tambahan dan merupakan interaks i atau dialog antara watak yang boleh kita lihat selepas mencapai bahagian tertentu dalam permainan.
Satu-satunya benda yang saya nak mengadu ialah watak penjahat agak lemah. Apa yang saya maksudkan tentang lemah adalah mereka tidak mempunyai karisma yang sama seperti watak utama kita, jadi memang mudah untuk pemain lupa tentang kewujudan antagonis.
Sistem pertempuran
Aksi RPG dengan sentuhan tradisional – Seperti yang saya beritahu dalam preview sebelum ini, sistem pertempuran Tales of Arise masih sama dengan entri lama dalam francais, tetapi ada beberapa penambahan baru yang membuat game kali ini lebih seronok.

Apa yang berbeza tentang Tales of Arise adalah ia menerapkan konsep action RPG aksi di mana kita boleh melakukan serangan kombo asas bersama Arte (anggap sebagai kemahiran istimewa). Game ini memberi lebih banyak tumpuan kepada aspek “dodging” dan “countering”, jadi “guard” atau “block” tidak lagi menjadi pilihan utama (kecuali jika kita bermain sebagai Kisara). Ia juga lebih strategik kerana anda tidak dapat spam skill dan perlu mengisi Arte Gauge (AG) dengan melakukan kombo atau menunggu sehingga meter isi semula. Seterusnya, kita boleh mengawal satu watak atau bertukar antara tiga watak lain dalam parti pada bila-bila masa, manakala yang lain dapat bertindak sebagai “support” dengan menyembuhkan sesiapa yang HP rendah atau melaksanakan arahan spesifik seperti Boost Attack dan Boost Strike.
Boost Attack merupakan arahan di mana kita seru ahli parti pada bila-bila masa untuk melakukan serangan unik masing-masing, dengan syarat jika Boost Gauge (BG) sudah dipenuhi. Boost Strike pula adalah serangan “1-hit kill” yang dilakukan bersama ahli parti lain dan lebih bergaya sinematik. Untuk arahan khusus ini, kita hanya dapat melakukan Boost Strike ketika musuh dalam keadaan “down” (ala-ala seperti Stun) atau hampir mati dan apabila perkataan “STRIKE” muncul.

Walaupun sedang menghadapi lebih daripada satu musuh, semua yang ada di sekeliling pasti akan mati. Berbeza dengan bos, arahan ini hanya muncul ketika nyawa mereka sekitar 50%. Kadang-kala, musuh akan memasuki status “Break” (sama seperti Stun) dan ini satu-satunya masa bila kita dapat melakukan kombo tanpa gangguan. Selain dua yang saya sebutkan tadi, terdapat juga Boost Strike istimewa ketika bertarung dengan bos yang kuat, di mana ia boleh diaktifkan apabila kita melakukan serangan balas (counterattack).
Untuk peminat tegar, korang pasti tahu tentang Mystic Artes, betul? Ini merupakan skil istimewa yang hanya dapat dilakukan oleh watak apabila mereka mencapai Over Limit. Over Limit pula merupakan status sementara di mana watak dapat melakukan serangan Arte tanpa memakan AG. Mystic Artes dapat dilakukan dengan menahan dua butang Arte pada masa yang sama.

Setiap watak adalah unik – Setiap watak mempunyai keistimewaan tersendiri ketika bertarung. Alphen dapat mengorbankan HP untuk menggunakan Flaming Edge yang merupakan serangan pedang berapi, Shionne lebih sukar untuk diramal kerana melemparkan bom dengan kesan elemen yang berbeza, Rinwell dapat membatalkan tenaga astral musuh, dan Law dapat menembus pertahanan musuh dan sebagainya.
Keistimewaan ini sebenarnya berkait rapat dengan Boost Strike mereka, jadi sangat penting untuk mempertimbangkan “timing” ketika guna skil ini. Contohnya, kalau ada sekumpulan musuh yang sibuk menyerang kita dengan Elemental Arte (skil berunsur elemen) yang kuat, korang boleh membatalkan serangan ini dengan mengaktifkan Boost Strike milik Rinwell. Malangnya, ia mempunyai cooldown, jadi ada sebab untuk jangan terlalu spam Boost Attack dan menilai situasi terlebih dahulu.

Serang titik kelemahan musuh – Setiap musuh ada titik kelemahan, dan ini boleh dikesan dengan mudah kerana bahagian kelemahan itu akan bersinar pada badan mereka. Seperti Monster Hunter, bahagian itu boleh pecah, jika sentiasa fokus pada titik tersebut untuk melakukan jumlah damage tinggi. Saya belum pernah mati lagi dalam game, tetapi keadaan itu tidak sama untuk ahli parti saya. Mereka terlalu kerap tetapi nasib baiklah keadaan ini boleh diselamatkan jika kita membawa cukup barang “healing” atau mempunyai watak yang dapat menggunakan “Healing Artes” seperti Shionne atau Dohalim.
Pastikan barang dan sumber semua lengkap – “Consumable” merupakan sesuatu yang korang perlu ada pada setiap masa, terutama sebelum melawan musuh yang kuat. Beberapa barang yang boleh anda gunakan adalah Apple Gel untuk menyembuh HP, Life Bottle untuk menghidupkan semula watak, dan juga Orange Gel untuk memulihkan Cure Point (CP). CP dalam game ini hampir sama dengan Mana yang diperlukan untuk melakukan skil berasaskan sihir, seperti “Healing Artes” yang memastikan kita dapat bertahan hidup.

Menyusun senarai Artes dan Skill Panel – Supaya pertarungan tidak terasa repetitif atau menjadi lebih sukar, anda perlu sentiasa memeriksa senarai Artes dan Skill Panel. Seperti yang saya sebutkan tadi, setiap watak mempunyai kemahiran pertempuran sendiri yang digelar sebagai “Artes”. Ini dibahagikan kepada jenis Ground dan Aerial, di mana korang boleh menggunakan tiga kemahiran untuk setiap bahagian. Kita hanya akan belajar Artes baru apabila menaikkan level dan meningkatkan abiliti dari Skill Panel. Ketika menaikkan level, watak akan memperoleh Skill Point (SP) yang kemudian dapat digunakan untuk membuka Artes dan skil baru.
Seterusnya, ada satu bulatan besar di menu Skill Panel yang mengandungi lima slot. Ini dipanggil Emblem dan berfungsi sebagai set kemahiran yang diperolehi setelah memenuhi syarat berbeza (sama ada dari memajukan kisah utama, menaikkan level, atau menyelesaikan misi sampingan tertentu). Terdapat juga menu Strategy yang menentukan bagaimana anggota parti akan bertindak dalam pertempuran. Kita sama ada boleh buat mereka bertarung dengan lebih agresif, jangan menggunakan sumber, jimatkan CP, atau fokus pada penyembuhan. Semuanya boleh ditentukan oleh kita.

Menyusun senarai Artes pun sebenarnya agak menyeronokkan, kerana banyak skil menarik untuk kita cuba dalam game. Sampai sahaja satu tahap, kita boleh menyusun kemahiran dengan lebih bebas apabila set kedua Artes dibuka. Ini bermaksud kita akan ada enam Ground dan enam Aerial Arte pada satu masa yang sama. Bayangkanlah, korang ada 12 skil istimewa yang dapat dilakukan dalam pertempuran bagi setiap watak. Ini tidak termasuk serangan kombo asas dan Boost Skill. Bahagian buruknya pula adalah “learning curve” untuk memahami setiap mekanik ini sebenarnya sangat susah, terutama lagi untuk pemain baru yang tidak biasa dengan siri Tales.
Aspek eksplorasi & kemudahan asas

Sistem semi open-world – Penerokaan dalam Arise tidak banyak beza dengan kebanyakan JRPG. Anda akan mengunjungi beberapa bandar atau penempatan menarik, dan kemudahan seperti “Inn” untuk berehat atau kedai “Blacksmith” untuk membeli dan menjual senjata juga tersedia. Walaupun game bersifat linear, tetapi peta terasa lebih luas. Barang yang boleh boleh dikutip sekarang pun tidak terhad kepada sumber daya atau peralatan, kerana kita mengutip bahan untuk memasak dan sebagainya. Anda pun boleh “fast-travel” pada bila-bila masa dan ini sangat membantu, kerana nak jelajah balik ke lokasi yang jauh memang memenatkan. Syukur syukur.
Bagi aspek eksplorasi, ia terasa lebih menarik kerana skala dunia yang semakin luas memiliki lebih banyak aktiviti untuk kita lakukan. Ini dikhususkan lagi apabila kita melawat setiap lokasi baru yang jelas boleh dibezakan mengikut reka bentuk tersendiri. Saya juga ada petua untuk pemain baru. Kadang-kala, ada beberapa lokasi di peta yang anda tidak dapat akses. Jangan risau, itu bukan jalan mati. Dengan menggunakan Map Action, contohnya Alphen dapat menyerap api yang menghalang jalan, Law dapat memecahkan batu besar dan sebagainya. Harus diperhatikan bahawa aksi ini memakan CP.
Camping – Kita boleh berehat di kem yang berfungsi untuk memulihkan HP dan CP. Semasa berehat, kita boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti memasak dan menonton “Skit”. Sebelum tidur, kadang-kala permainan membolehkan kita meluangkan masa dengan anggota parti yang ingin kita mengeratkan hubungan lagi. Ia masih tampil sebagai “Skit”, tetapi topik perbualan lebih ke arah serius. Di samping, seorang Merchant akan selalu muncul di kem dan menawarkan pelbagai barang sumber dan peralatan.

Inn – Sama seperti camping, kita boleh memulihkan HP dan CP di Inn. Cuma ia menambah beberapa kemudahan lain seperti “General Store, Blacksmith dan Metal Engraver” (pembuat aksesori). Ini menjimatkan banyak masa kerana anda hanya perlu mengunjungi satu tempat untuk mendapatkan barang yang diperlukan. Alang-alang saya sebut tentang Blacksmith dan Metal Engraver, ini adalah kemudahan yang membuat senjata atau aksesori untuk menguatkan lagi watak.
Visual

Salah satu permainan tercantik pada tahun ini – Game ini memang cantik. Daripada trailer, ia mungkin nampak seperti JRPG anime biasa, tetapi apabila korang benar-benar sudah menjelajah dunia Arise, saya yakin korang pun sama kagum. Memang visual grafik yang layak untuk keluar di konsol next-gen. Tahniah kepada Bandai sebab berjaya menghasilkan permainan yang cantik menggunakan Unreal Engine 4.

Skit 3D macam lagi bagus – Siri Tales sangat terkenal kerana unsur Skit di mana beberapa watak akan berinteraksi antara satu sama lain. Skit dalam Arise disajikan dalam gaya ala-ala manga, tetapi watak akan muncul dalam bentuk 3D dan masih dapat bergerak seperti dalam cutscene. Pada awalnya, saya sebenarnya tidak suka perubahan ini kerana sudah terlalu biasa dengan reka bentuk Skit lama yang selalunya dalam 2D tetapi lama-lama, “Eh, kelakar juga Skit 3D ni”. Mungkin ada peminat lama yang tidak setuju dengan apa yang saya nak kata, tetapi bagi saya Skit 3D macam lebih bagus. Ini kerana ia selalu disajikan dengan pose watak dan ekspresi berbeza yang menampakkan lagi realisme perbuatan mereka.
Aktiviti sampingan

Sub-Quest – Selain daripada jalan cerita utama, anda boleh berinteraksi dengan pelbagai NPC untuk melakukan Sub-Quest (misi sampingan). Misinya pun tidaklah susah sangat, dan boleh lah menghiburkan kita. Apa yang membuatkan Sub-Quest sangat berbaloi adalah kita boleh menerima pelbagai ganjaran seperti SP dan Emblem untuk menjadikan watak lebih kuat. Antara contoh Sub-Quest termasuk mengumpulkan barang tertentu, jadi saya mengesyorkan korang untuk selalu mengutip apa-apa barang ketika menjelajah supaya dapat menyelesaikan misi dengan cepat.
Memasak – Anda boleh memasak resepi yang memberi buff sementara. Bergantung pada siapa yang memasak, tahap dan tempoh buff juga adalah berbeza.
Penternakan – Korang boleh menternak haiwan untuk menjadikan bahan memasak dengan meletakkannya di dalam kandang. Ternakan boleh diserang oleh Zeugle atau tikus, yang menghalang perkembangan haiwan peliharaan. Untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi, kita boleh meminta bantuan anjing untuk mengurangkan serangan Zeugle liar atau bantuan kucing untuk menghalang tikus dari datang.

Memancing – Ini adalah mini-game yang berasaskan pada aktiviti memancing. Untuk aktiviti ini, anda hanya boleh menggunakan Kisara kerana dialah satu-satunya yang berpengalaman dalam memancing. Terdapat banyak lokasi memancing yang dapat anda temui di kawasan tertentu, jadi pastikan diri meluangkan masa dan menangkap ikan untuk tambah ke koleksi.
Mencari “Owl” – Salah satu aktiviti paling comel adalah kita perlu mencari Owl tersembunyi di seluruh dunia. Kadang kala, Hootle (haiwan peliharaan Rinwell) akan muncul dan bertindak sebagai radar untuk memberi amaran sekiranya ada Owl yang berdekatan. Setiap Owl yang anda jumpa akan memberi satu bahagian daripada sejenis aksesori. Owl yang ditemui akan berkumpul di Owl Forest, di mana anda juga dapat bertemu Owl King dan Owl Queen. Anda boleh bercakap dengan Owl King untuk mendapatkan ganjaran berdasarkan jumlah burung hantu yang ditemui.
Pendapat

Saya tidak mahu bersikap berat sebelah, tetapi Tales of Arise mungkin adalah game kegemaran saya pada tahun ini dan sekarang pun masih lagi bulan September. Dengan grafik yang lebih baik, mekanik pertempuran bersifat aksi RPG bebas dan naratif yang “agak” bagus, memang ada banyak daya tarikan kepada permainan. Saya terkejut Bandai dapat mengekalkan begitu banyak elemen dari game lama, tetapi pada masa yang sama menawarkan begitu banyak penambahan sehingga terasa seperti game baru. Ia seolah-olah mereka mencapai keseimbangan sempurna yang dapat menarik perhatian peminat lama dan peminat baru kepada siri.
Itu yang bagus-bagus. Untuk keburukan, ia lebih kepada masalah kecil seperti kualiti visual di PS5, penterjemahan teks untuk bahasa Inggeris, atau isu teknikal (bug) yang membuat watak tersekat. Walaupun saya kata sistem pertempuran amat mantap, kita juga tidak boleh menafikan bahawa pemain baru mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Terdapat beberapa masalah lain seperti sistem lock-on dalam pertempuran yang kekadang lari atau kawalan kamera yang berterabur tetapi ini semua isu yang boleh dibetulkan dalam update akan datang. Secara keseluruhan, saya akan mencadangkan game ini 100% untuk mana-mana peminat JRPG tegar!

Itu sahaja untuk review saya bagi Tales of Arise yang secara rasmi akan dikeluarkan hari esok (9 September 2021) di PC, PS4, PS5, Xbox One, dan Xbox Series X/S. Untuk segala liputan kami tentang Tales of Arise termasuk panduan Beginner dan petua watak, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Tales of Arise
Dengan grafik yang lebih baik, mekanik pertempuran bersifat aksi RPG bebas dan naratif yang "agak" bagus, memang ada banyak daya tarikan kepada permainan. Saya terkejut Bandai dapat mengekalkan begitu banyak elemen dari game lama, tetapi pada masa yang sama menawarkan begitu banyak penambahan sehingga terasa seperti game baru.
PROS
- Naratif hebat dengan satu kejutan yang tidak dijangka
- Watak yang tidak dapat dilupakan dan mudah disukai
- Sistem pertempuran tradisional dan aksi RPG baru
- Grafik dan reka bentuk dunia yang menakjubkan
CONS
- Sistem lock-on dan kamera agak bermasalah
- Watak penjahat agak lemah dan mudah dilupakan
Discussion about this post