Ramai peminat Spider-Man menunggu ketibaan Spider-Man: Across the Spider-Verse, dan saya pun faham mengapa. Ansuran pertama, Spider-Man: Into the Spider-Verse, telah dipuji dan disambut dengan positif oleh para pengkritik dan peminat kerana gaya seninya yang inovatif dan jalan cerita yang menyentuh hati. Memang susah untuk mencari apa-apa ulasan negatif tentang filem kerana bagi saya, ia adalah sebuah karya agung.
Lima tahun telah berlalu, dan kini sekuel yang dinanti-nantikan, Across the Spider-Verse ditayangkan di pawagam Malaysia. Ulasan saya? Ternyata sekuel ini tidak mengecewakan dan saya sendiri anggap sekuelnya lebih baik daripada filem pertama.
Mungkin ada yang kata ulasan ini bias (kemungkinan ya sebab saya peminat Spider-Man), tetapi sejujurnya saya menikmati Across the Spider-Verse. Filem 2018 telah menetap standard yang sangat tinggi untuk sekuel ini, jadi saya tidak tahu bagaimana susulan ini akan mengatasinya.
Akhirnya, Across the Spider-Verse telah keluar dan pendapat peribadi saya dalah filem ini mengalahkan setiap filem Spider-Man. Cukup layak untuk masuk ke senarai saya bagi “Filem Spider-Man Terbaik” setakat ini. Jadi apa yang membuatkan saya terlalu jatuh cinta dengan Across the Spider-Verse? Jom baca lebih lanjut dalam review ini.
Sinopsis
Across the Spider-Verse bermula lebih setahun selepas peristiwa filem pertama.
Gwen Stacy (Hailee Steinfeld) kembali ke universe-nya, dan masih merahsiakan identitinya daripada bapanya, George (Shea Whigham). Apabila penjahat Vulture versi alternatif (Jorma Taccone) tiba-tiba ke dalam realitinya, penjahat itu dikalahkan oleh Spider-Man 2099 (Oscar Isaac) dan Spider-Woman (Issa Rae).
Gwen dapat tahu bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat Spider-People rahsia yang menyelesaikan kekacauan antara multiverse, dan menangkap penjahat yang muncul di universe salah lalu menghantar mereka pulang ke dunia asal. Apabila ayah Gwen akhirnya tahu identiti anak perempuannya, Gwen meminta untuk menyertai geng Spider-People, untuk membetulkan kesilapan multiverse.
Buat mereka yang masih ingat, Miles Morales (Shameik Moore) adalah salah satu daripada kesilapan multiverse tersebut. Peter Parker dari universe-nya mati apabila cuba menyelamatkan Miles, manakala labah-labah yang menggigit dan memberi kuasa kepada Miles sebenarnya tidak patut wujud di sana. Jadi apakah yang sebenarnya terjadi? Apa kaitan multiverse dengan Miles? Anda perlu tonton untuk tahu lebih lanjut kerana saya tidak akan memberi spoiler.
Miles, kini berusia 15 tahun, semakin selesa dengan tugasnya sebagai Spider-Man tetapi itu tidak cukup untuk menyelamatkan kehidupan sosialnya. Kami belajar ada sedikit konflik antara Miles dan ibu bapanya, Jefferson (Brian Tyree Henry) dan Rio (Luna Lauren Vélez). Sudah tentu, ibubapa itu tidak tahu anak mereka adalah Spider-Man. Oleh itu, mereka menganggap Miles sebagai remaja berahsia yang mempunyai masalah tersembunyi (walaupun cuba membantunya sedaya upaya).
Seorang penjahat kemudian muncul – bernama The Spot, a.k.a. Jonathan Ohnn (Jason Schwartzman), dia merupakan bekas ahli saintis yang dahulu bekerja untuk Alchemax tetapi mengalami perubahan genetik akibat letupan “collider” yang disebabkan oleh Miles dalam filem pertama. Ohnn kini bertubuh serba putih dengan tompok lubang hitam di badannya tetapi lubang itu rupanya adalah portal kepada multiverse. Pada mulanya, agak kelakar semasa melihat dia cuba mencuri ATM, tetapi the Spot menjadi lebih berbahaya apabila kuasanya semakin kuat, sehingga boleh membuka portal yang dapat memusnahkan dunia.
Selepas itu, Miles berjaya memasuki multiverse — mula-mula ke versi alternatif Mumbai, di mana dia bertemu dengan beberapa rakan Spider-Man baharu, termasuk Spider-Man India (Karan Soni), dan Spider-Punk (Daniel Kaluuya). Sebaik sahaja kisah Mumbai tamat, Miles dibawa ke ibu pejabat Spider-Society. Rupanya ada ratusan Spider-Man dan Spider-Woman di mana semuanya berkumpul untuk memerangi masalah yang sama. Malah, Peter B. Parker (Jake Johnson) juga kembali, tetapi bukan keseorangan kerana dia membawa anaknya May Parker yang juga memiliki abiliti Spider-Man.
Banyak perkara berlaku selepas itu, banyak rahsia yang didedahkan, dan banyak kejutan misteri menanti. Saya tidak akan memberi apa-apa spoiler tetapi boleh mengatakan bahawa Spider-Man: Across the Spider-Verse berakhir secara cliffhanger.
Belajar erti menjadi Spider-Man
Tak perlu saya jelaskan lagi; Spider-Man adalah ikon dunia dan saya yakin semua orang mengenalinya. Walaupun ada banyak variasi, setiap Spider-Man menceritakan kisah yang sama. Seperti biasa, seorang budak lelaki digigit oleh labah-labah radioaktif, pakciknya mati akibat kesilapan budak lelaki tersebut, dan budak lelaki itu belajar untuk menjadi hero supaya tidak mengulangi kesilapan masa lalu.
Kisahnya sama untuk mana-mana Spider-Man tetapi Miles Morales merupakan watak/individu yang enggan terperangkap dalam cerita klise dan perkara lazim.
Daripada awal lagi, kita tahu ini adalah Spider-Man berbeza daripada yang biasa kita lihat. Mengalihkan fokus daripada Peter ke Morales telah menghasilkan plot baharu kerana remaja itu mempunyai ujian, dugaan, cabaran dan cita-cita sendiri. Hal ini diterokai dengan lebih intim dalam Across The Spider-Verse di mana Morales berjuang untuk menceritakan kisahnya sendiri, yang berbeza daripada skrip tipikal Spider-Man.
Apabila melihat peristiwa klise tidak berlaku mengikut skrip yang kita bayangkan, ia mengukuhkan mesej filem ini; iaitu untuk mentakrifkan semula pandangan penonton tentang Spider-Man dan menunjukkan kepada kita “apa yang sebenarnya diperlukan untuk menjadi Spider-Man.”
Tema utama untuk jalan cerita adalah tentang menolak sesuatu yang konvensional atau sudah ditetapkan dan maju ke hadapan sambil mengharungi setiap cabaran. Ia tentang mengawal nasib anda sendiri dan bukan sedar mengikut naratif berskrip. Ini bukanlah filem superhero tipikal dengan plot biasa, ia tentang melepaskan diri daripada dirantai dan bukannya menyerah kepada takdir semata-mata.
Jika filem pertama tentang bagaimana untuk menjadi seorang hero, sekuel ini bertanya kepada kita “tentang apa yang mendefinisikan seorang hero”. Adakah latar belakang setiap hero perlu sama? Adakah setiap superhero perlu melalui kisah tragedi untuk menjadi wira? Itulah nilai terkuat yang saya dapat rasakan dalam Spider-Verse.
Visual paling pelbagai, unik dan lain daripada lain dalam animasi
Satu lagi aspek yang membuatkan Across the Spider-Verse sangat seronok ialah pengalaman visualnya yang menakjubkan. Jika anda terpesona dengan filem pertama, anda pasti akan terpesona semasa menonton filem kedua.
Tidak ada cara lain untuk menggambarkan gaya seni luar biasa dalam filem ini. Seperti filem pertama, Across the Spider-Verse mengekalkan gaya animasinya yang unik termasuk titik-titik bulat ikonik yang digunakan dalam buku komik, “speech bubble”, kapsyen buku komik untuk monolog dalaman dan pameran pelbagai panel dalam satu skrin.
Itu sudah cukup untuk menggembirakan hati mana-mana peminat komik tetapi hidangan visual tidak tamat di situ.
Sebilangan besar Spider-People juga dibuat dalam art style original mereka. Seperti yang saya ceritakan tadi dan mengikut trailer, Morales akan memasuki multiverse dan bertemu dengan Spider Society. Setiap watak ini mempunyai gaya seni tersendiri dan mudah dibezakan antara satu sama lain. Sebagai contoh, ada yang datang daripada siri animasi, ada yang datang daripada game, ada yang datang daripada komik, macam-macam yang korang akan lihat.
Malah watak-watak utama pun ada gaya tersendiri seperti Spider-Gwen yang dunianya seakan pastel cat air; dunia Spider-Man 2099 yang menyerupai seni futuristik dengan garisan halus; Spider-Man India yang dunianya lebih bersifat budaya negara India dan Spider-Punk dengan gaya rebel metal/punk rock.
Daripada awal lagi, juruanimasi menggunakan segala kemahiran mereka untuk melakukan perkara yang tidak mungkin dilakukan dalam MCU untuk mewujudkan satu gabungan atau kolaborasi visual yang memukau mata, berwarna-warni dan gila. Kebebasan ini digunakan secara artistik dan hasilnya, walaupun agak berlebihan, masih terasa sesuai dengan tema Spider-Verse yang mencantumkan banyak dunia.
Seterusnya, koreografi aksi juga lebih akrobatik dan menyerlahkan lagi kelincahan dan ketangkasan setiap watak. Juruanimasi dan skrip juga membuatkan aksi lebih mudah untuk diikuti dan saya tidak pernah keliru tentang apa yang mereka membuat walaupun semua orang sedang beraksi serentak atau menembak sawang mereka sekaligus.
Selain adegan aksi, ada satu lagi adengan yang menangkap perhatian saya iaitu semasa Miles dan Gwen bertemu semula setelah lama berpisah, Mereka berdua membuat keputusan untuk “bersiar” dan menghayun melalui bandar, di sebalik kota raya New York yang sibuk. Adegan ini berakhir apabila pasangan itu duduk secara terbalik di atas bangunan tinggi sambil melihat bandar yang “terbalik”.
Ini menunjukkan kehebatan dan keyakinan visual di dalam filem, dan membukti filem ini masih dapat mengagumkan penonton tanpa meletakkan aksi sebagai fokus. Jika berpeluang, saya mengesyorkan anda untuk tonton filem ini di teater IMAX untuk kepuasan maksimum.
Pendapat
Sekuel yang hebat selalunya menambah baik kepada elemen-elemen yang membuatkan ansuran original begitu popular dan disayangi. Di situ, Across the Spider-Verse tidak mengecewakan peminat kerana berjaya menetapkan satu lagi standard baharu untuk sesuatu karya yang sudah pun sangat bagus.
Bagi saya, Across the Spider-Verse adalah “masterpiece” dalam dunia animasi dan jauh berbeza daripada filem superhero lain yang biasa saya tonton. Saya jarang memberikan skor yang tinggi tetapi filem ini cukup sempurna.
Ini adalah jenis filem superhero yang melangkaui genre, dan dapat menarik penonton dari semua peringkat umur dengan kisahnya yang memecahkan tradisi, sambil memberi penghormatan kepada legasi Spider-Man selama beberapa dekad dalam semua bentuk media.
Oleh itu, saya akan beri skor 9.5 untuk filem ini.
Spider-Man: Across the Spider-Verse kini ditayangkan di Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post