Sejak daripada kecil lagi saya memang peminat game Naruto dan selepas Bandai Namco mengumumkan Naruto X Boruto: Ultimate Ninja Storm Connections – kompilasi daripada game-game sebelum – membuat saya sangat teruja sekali lagi.
Apabila game ini pertama kali diumumkan, majoriti tumpuan adalah jumlah watak baharu yang lebih banyak; mode naratif baharu yang menampilkan Boruto, dan mekanik pertempuran yang nampaknya menerima perubahan besar.
Untuk review ini, saya tidak akan membincangkan gameplay umum sebaliknya saya akan menyentuh tentang ciri-ciri tambahan dan mode baharu.
History Mode

Pertama sekali saya ingin menerangkan tentang History Mode, pengalaman naratif yang membolehkan kita memainkan semua sejarah hidup Naruto daripada kecil sehingga dia menjadi Hokage dan termasuk cutscene animasi dan lakonan suara original anime daripada dubbing Jepun.

Mode ini terdiri daripada lapan bab secara keseluruhan, di mana kita perlu menyelesaikan satu bab untuk meneruskan bab yang seterusnya. Secara am, Main Episode terdiri daripada Episode Scene dan Episode Battle; dan setelah menyelesaikan satu Main Episode, kita boleh memainkannya semula dari mana-mana babak atau pertarungan. Pertarungan pula dibahagikan kepada berikut:
- Boss Battle
- Free Battle

Gameplay teras daripada entri-entri sebelum kekal sama dalam mode ini, kerana setiap bab mengandungi beberapa cabaran optional. Di sini kita juga memperoleh cutscene bonus (khas untuk pertarungan itu) bergantung pada jumlah cabaran yang kita selesaikan.
Daripada segi visual, adegan cerita di dalam game, seperti pendahulunya, tidak benar-benar dianimasikan dan lebih seperti slideshow yang menunjukkan peristiwa penting dalam anime. Quick Time Event (QTE) juga wujud dan memainkan peranan penting dalam History Mode. Ia membolehkan kita mengalami beberapa adegan gempak daripada anime atau manga, dan juga membantu mengekalkan keseronokan pemain semasa adegan pertarungan yang lebih panjang.

Satu-satunya aduan yang saya ada ialah visual slideshow akan menjadi membosankan sekiranya semakin lama kita bermain. Adegan animasi pun tidak banyak malah jumlah QTE juga dikurangkan, sedangkan itu bahagian saya rasa paling menarik.

Walaupun begitu, mode ini masih ada daya tarikannya dan berfungsi sebagai ‘recap’ bagi mereka yang ingin mengalami semula jalan cerita anime ikonik ini atau sebagai cara unik bagi peminat baharu belajar tentang salah satu anime paling hebat sepanjang zaman tanpa perlu menonton semua episod atau baca semua bab manga.
Special Story Mode

Sekarang biar saya terangkan tentang Special Story Mode pula, sebagai mode naratif kedua dalam game, ia menampilkan “kisah istimewa” yang tidak pernah dilihat dalam anime mahupun manga. Berbeza dengan History Mode, ini adalah cerita original dimana Boruto menjadi watak utama bersama dua watak baharu, iaitu Nanashi dan Merz.
Plot berlaku semasa peristiwa BORUTO, apabila Dunia Ninja kembali aman dengan Naruto sebagai Hokage. Boruto menemui game online yang popular, “Ninja Heroes,” dan berjumpa dengan Nanashi, NPC dari game itu.
Walaupun hubungan mereka hanyalah pemain dan pembantu, mereka secara beransur-ansur membina ikatan istimewa. Pada masa yang sama, angkara jahat di dunia sebenar telah menyebabkan ancaman Perang Dunia Shinobi Kelima. Ketika dunia ninja sedang dilanda huru-hara, Boruto menyedari seorang lelaki misteri, Merz, mungkin dalang disebalik semua itu.
Apakah peranan yang dimainkan oleh Nanashi dan Merz dalam kisah ini, dan bagaimana Boruto akan menyelesaikan misteri yang mengancam Dunia Ninja?

Semasa maju melalui Special Story, kita akan menghadapi pertarungan yang berlaku dalam dunia Ninja Heroes. Sebelum permulaan setiap pertarungan, kita akan dibawa ke skrin pemilihan watak. Di sini kita boleh menggunakan sesiapa sahaja yang diingini, jadi teruskan dan pilih kegemaran anda! Setelah pertarungan tamat, kita akan muncul semula sebagai Boruto untuk meneruskan jalan cerita.

Ini berita baik untuk peminat Naruto seperti saya, yang sentiasa mencari content baharu. Tetapi malangnya, saya tidak sangka mode ini lama-kelamaan akan menjadi membosankan. Saya membandingkan pengalaman ini dengan sebuah novel visual di mana adegan bercakap hampir 90% manakala adegan lawan hanya berlaku sekali-sekala. Nasib baiklah mode ini menjadi lebih menarik di penghujung, lagi-lagi apabila orang jahat berjaya mengawal minda Naruto.

Daripada slideshow, Special Story Mode menampilkan cutscene animasi 3D dengan lakonan suara penuh. Jadi itu satu tambahan yang saya suka, walaupun, animasi kelihatan agak kekok dan ganjil pada sesetengah bahagian.
Battle System Yang Lagi Mudah Tapi Sama Menyeronokkan

Bagi saya, bahagian terbaik dari keseluruhan game ialah sistem pertempuran (atau Battle dalam istilah game Naruto).
Seperti yang awak semua tahu, Naruto X Boruto: Ultimate Ninja Storm Connections adalah fighting game. Walaupun ia tidak begitu teknikal seperti Street Fighter atau atau Tekken, Connections masih menawarkan sistem pertempuran yang seronok dengan gabungan visual hebat dan “” yang memudahkan pemain baharu untuk akses.

Walaupun sesetengah peminat siri Ultimate Ninja Storm mungkin tidak suka dengan skema kawalan ini, saya sebenarnya suka tambahan ini kerana ia membolehkan pemain baharu untuk memahami pertarungan dengan sistem kawalan yang dipermudahkan
Sebagai contoh, mereka boleh melakukan kombo yang rumit dengan hanya menekan satu butang. Komuniti perlu faham bahawa tidak semua gamer adalah sama, jadi Simple Control Mode menawarkan pengalaman pertempuran yang sesuai untuk pemain kurang berpengalaman.

Terdapat dua jenis sistem kawalan untuk dipilih:
Normal: Pilihan ini disyorkan untuk pemain yang biasa dengan siri ini dan ingin bermain dengan skema kawalan yang sama seperti game sebelum.
Simple: Kawalan ini adalah pilihan yang user-friendly untuk gameplay yang lebih mudah. Ia menampilkan Fungsi Bantuan Assist. Apabila menggunakan kawalan Simple, tekan [butang bulat] berulang kali untuk menyerang musuh secara automatik dan melakukan kombo. Dengan menekan [butang bulat] secara berterusan, kita akan melakukan Secret Technique di penghujung kombo.

Anda boleh customize tahap bantuan automatik agar sesuai dengan gaya permainan melalui tetapan Assist Functions.
Apabila kemahiran anda bertambah baik, jenis bantuan tertentu mungkin tidak lagi diperlukan, jadi anda boleh menutup pilihan tersebut supaya sepadan dengan tahap anda.

Connections, pada terasnya, adalah sama untuk sesiapa sahaja yang pernah bermain game Naruto yang lama – anda masih melaksanakan serangan kombo sambil menguruskan chakra untuk melancarkan jutsu istimewa. Semua itu masih ada dalam game ini, tetapi perubahan kecil yang membuat perbezaan drastik kepada gameplay.
Perubahan yang paling ketara ialah kehilangan ciri Chakra Shuriken (melemparkan banyak shuriken berbanding satu, manakala beberapa watak mempunyai senjata khas) dan Tilt Move (‘flick’ kayu analog ke mana-mana arah, untuk melaksanakan kombo lebih rumit); yang digantikan dengan jutsu kedua untuk setiap watak.

Bagi mereka yang tidak pernah bermain game Naruto, mungkin anda kurang faham, tetapi ini bermakna pihak pembangun telah membuang dua mekanik pertempuran yang paling tidak berguna dalam game dan menggantikannya dengan sesuatu yang semua orang boleh faham dan gunakan.
Bersama perubahan ini, ia menyediakan lebih banyak variasi serangan dengan jurus kedua, kerana pentingnya dalam game ini untuk mencampur aduk jenis serangan lain ke dalam kombo pada titik-titik tertentu.

Itulah perubahan yang paling ketara, tetapi yang lebih kecil seperti pemulihan nyawa untuk kedua-dua pemain pada setiap pusingan, kadar mengisi chakra yang lebih pantas, dan item yang tidak lagi dihadkan; semuanya menyumbang kepada gameplay yang paling lancar dalam siri ini. Connections jauh lebih fast-pace dan kurang bergantung pada satu kombo dan jutsu yang sama, dan secara tidak langsung tidak membuatkan pertarungan rasa repetitif dan lagi menyeronokkan.
Setakat ini, satu-satunya perkara yang saya boleh mengadu adalah tentang stage (lokasi di mana kita berlawan), kerana tiada satu pun yang ditambahkan dalam game. Walaupun siri Ultimate Ninja Storm mempunyai banyak stage, lokasinya masih sama dan ini boleh menjadi agak membosankan.

Kebolehan untuk berlari di atas dinding juga tidak ditambahkan, yang agak mengecewakan memandangkan betapa mekanik ini sangat popular dalam game dahulu.
Pengalaman Connections juga sepatutnya berada pada tahap yang paling ‘smooth’, dengan 60 FPS pada konsol dan PC moden.
Senarai Watak Yang Luas & Elemen Replayability Tinggi

Naruto x Boruto: Ultimate Ninja Storm Connections mengumpul watak dan jalan cerita daripada empat entri utama Ultimate Ninja Storm dan dedikasi pembangun untuk mencipta roster terbesar dalam sejarah Ultimate Ninja Storm amat mengagumkan. Ashura dan Indra Otsutsuki, dua watak yang sebelum ini terhad kepada beberapa panel Shippuden dan filler anime, kini menjadi watak yang boleh dimainkan, lalu membuka pintu untuk mana-mana watak baru dalam dunia Naruto dan Boruto.

Game ini memperkenalkan 7 watak baharu serta versi baharu untuk beberapa watak lain. Watak baharu ialah Kawaki, Ashura, Indra, Jigen, Delta, Boro, dan Kashin Koji, manakala Naruto, Sasuke, Boruto, Sarada, dan Mitsuki mempunyai perubahan pada watak Storm sedia ada.
Watak yang diubah suai juga sangat menyeronokkan untuk bermain. Naruto Baryon Mode adalah yang paling menonjol, dan benar-benar hebat untuk bermain tetapi yang lain, seperti Mitsuki, yang dahulu mempunyai set pergerakan yang sangat lemah dalam Storm 4, kini mempunyai corak serangan yang lebih unik dan kuat.
Secara keseluruhan, ada lebih 130 watak untuk dipilih.

Oleh kerana gaya permainan dan interaksi masing-masing, roster watak yang besar ini membuka potensi untuk elemen replayability yang tinggi. Bermain sebagai Naruto, Kushina dan Minato akan menunjukkan adegan pendek di mana seluruh keluarga bekerjasama untuk melakukan Rasegan besar. Melihat interaksi ini dan mencari watak yang berkaitan sudah pasti akan menambahkan banyak elemen replayability pada Naruto X Boruto dan membantu pemain dalam mencipta pasukan “unik” sendiri.

Anda juga boleh menggunakan menu Character Customization untuk memperibadikan item Substitution , Secret Technique Finish Scene dan aksesori watak berbeza. Anda boleh mendapatkan item ini melalui pelbagai game mode. Perubahan yang dilakukan pada watak akan mempengaruhi penampilan mereka dalam mode Free Battle dan Online Battle.
Pendapat

Sama ada anda peminat lama Naruto, peminat fighting game, atau ingin belajar tentang salah satu siri anime paling popular sepanjang masa, Naruto X Boruto: Ultimate Ninja Storm Connections ialah pengalaman definitif untuk francais game Naruto.
Dengan gameplay yang boleh tahan rumit dan intuitif, pilihan kawalan lebih mudah, berbilang mode menarik, dan kombinasi watak yang lagi banyak, game ini akan adalah pakej lengkap untuk peminat lama dan pendatang baru.

Satu-satunya kekurangan ialah visual keseluruhan, yang termasuk History Mode yang membosankan dan penuh dengan slideshow serta Special Story Mode ala novel visual yang banyak bercakap. Kedua-duanya tidak begitu menarik bagi saya tetapi ia mungkin sesuai peminat baru. Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah grafik tidak banyak dipertingkatkan. Terdapat beberapa penambahbaikan, tetapi tiada apa yang benar-benar impresif.

Itu sahaja untuk unboxing ini – Naruto x Boruto Ultimate Ninja Storm Connections akan dilancarkan pada 16 November 2023 di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One dan Nintendo Switch. Peminat boleh dapatkan game ini sekarang di platform pilihan di SINI!
@gamersantaimy
The Review
Naruto X Boruto: Ultimate Ninja Storm Connections
PROS
- Sistem pertempuran ditambah baik dan lebih menyeronokkan untuk bermain
- Kesan visual semasa kombo dan Jutsu sangat hebat
- Banyak watak untuk dicuba - yang bermaksud replayability tinggi
- Cara terbaik untuk memahami sejarah Naruto
CONS
- Tiada peningkatan dramatik pada grafik
- History Mode boleh dianggap sebagai slideshow
- Special Story Mode lebih kurang sama dengan novel visual dengan cerita yang mula dengan perlahan
Discussion about this post