Sebagai salah satu laptop yang didedahkan pada awal tahun ini, ramai yang ingin tahu lebih lanjut tentang laptop gaming MSI Crosshair 15 varian B12U. Walaupun spec-nya nampak canggih dengan 12th Gen Intel Core i7 dan kad grafik Nvidia RTX 3060, penampilan Crosshair 15 merupakan highlight utama dengan reka bentuk bertemakan sci-fi futuristik. Walaupun penampilannya nampak mengancam, adakah laptop ini mempunyai kuasa untuk menyokong selera gaming kita? Inilah review saya untuk MSI Crosshair 15 B12U!
Reka bentuk & port I/O

Diperbuat daripada bahan plastik kukuh, MSI cipta reka bentuk laptop edisi khas ini supaya serasi dengan tema sci-fi gaming. Di bahagian luar, kita boleh lihat reka bentuk hitam yang menyerupai pintu masuk dalam kapal atau bangunan futuristik bersama logo MSI tepat di tengah serta jalur kuning di bahagian engsel.
Mengapa saya kata reka bentuknya nampak mengancam sebenarnya kerana isi di dalam. Perkara pertama yang saya nampak adalah warna gradient kuning/hijau dari atas ke bawah bersama dengan logo ‘Aim To Perform’ yang terletak di bahagian bawah kanan.

Satu perkara lagi yang saya nak tambah adalah laptop ini mempunyai edisi istimewa yang dibuat khusus untuk game Rainbow Six Extraction. Reka bentuk di laptop ini lebih menyerlah dan cantik supaya mengikut seluruh tema game tersebut. Malangnya, ini bukan laptop yang saya sedang review untuk artikel ini.
Kembali ke topik reka bentuk, laptop ini mudah meninggalkan cap jari, jadi ia mungkin nampak agak ‘kotor’ jika tidak dijaga.
Bagi aspek mudah alih, Crosshair 15 mempunyai berat sekitar 2.3kg dan kenipisan hanya 2.69 cm. Nama pun gaming laptop, jadi tidaklah ringan seperti yang korang fikirkan tetapi masih cukup selesa untuk bawa ke kerja atau belajar.
Di bahagian kanan laptop, terdapat satu port USB 3.2 Type-A, satu port HDMI 2.0 yang menyokong 4K 60Hz, kombo 3.5mm audio jack headphone/mikrofon dan USB 3.2 Gen 2 Type-C. Di sebelah kiri pula, terdapat satu USB 2.0 Type-A dengan satu lagi port USB 3.2 Gen 2 Type-A dan port RJ45 LAN. Port nampak lengkap, cuma tidak menyokong SD Card Reader – jadi saya sarankan korang pakai adapter untuk isu ini.


Untuk bahagian wayarles, Crosshair 15 mempunyai Intel Killer Wi-Fi 6E untuk sambungan internet dan Bluetooth 5.2 bagi media dan pemindahan fail yang lancar. Semuanya standard di situ.
Paparan dan audio

Crosshair 15 dilengkapi dengan paparan IPS 15.6″ beresolusi 2560×1440 (2K), sambil menawarkan refresh rate setinggi 165Hz dan response time serendah 2.5ms untuk pengalaman gaming yang lancar. Seperti yang korang dapat baca, laptop ini menggunakan resolusi 2K, memang bukan calang-calang.
Mungkin ada juga yang risau jika ia boleh handle ‘2K gaming’ pada tetapan maksimum, tetapi jangan risau. Persoalan korang akan dijawab kemudian di bawah.
Sesiapa yang ingin menggunakan laptop ini untuk tujuan produktiviti mungkin adalah masalah kerana paparan hanya mempunyai 45% NTSC Color Gamut. Memang susah untuk capai hasilkan yang korang inginkan tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menguruskan hal editing asas. Akhir sekali, laptop ini dilengkapi ciri ‘Anti Glare’ yang membantu menghalangi pantulan apabila bekerja di bawah cahaya yang terlalu terang.

Audio laptop ini dibekalkan oleh dua pembesar suara 2 Watt yang separuh sesuai untuk kedua-dua gaming dan menonton media/ mendengar muzik. Walaupun mempunyai sijil Audio Hi-Res, audio tidaklah bagus seperti yang saya sangkakan.
Kelantangan maksimum pun masih tidak kuat, dan bahagian bass tidak memberi efek “dentum” yang memuaskan. Seperti biasa, saya sentiasa mengesyorkan korang untuk menggunakan headset apabila gaming kerana itulah pengalaman paling definitif.
Keyboard

Saya menjelaskan awal tadi bahawa laptop ini mempunyai reka bentuk yang menarik. Ini termasuk keyboard sekali yang berbentuk saiz penuh termasuk ‘number pad’. Ciri paling menonjol pasti adalah lampu RGB ‘Spectrum Backlighting’ yang memberikan imej lebih eksklusif dan bergaya kepada laptop ini. Warna RGB di keyboard pun diilhamkan oleh R6 Extraction di mana kekekunci WASD diperbuat dari bahan lut sinar dan diserlahkan dengan warna kuning terang. Sangat-sangat bergaya!

Dari segi keselesaan, penambahan numpad memudahkan urusan kerja saya tetapi disebabkan jari saya besar, itu mengakibatkan beberapa masalah semasa menaip kerana majoriti butang agak kecil.
Prestasi dan keputusan benchmark
Kita akhirnya sampai ke bahagian yang paling ditunggu-tunggu sekali! Adakah laptop ini mampu menguruskan game AAA terkini pada tetapan maksimum?
Unit review MSI Crosshair 15 B12U kami dilengkapi dengan pemproses 12th Gen Intel Core i9-12700H, kad grafik RTX 3060 6GB, storan 1TB NVMe SSD dan memori 16GB DDR4. Untuk mereka yang kata “Itu je ke spec-nya?” Korang tersilap, sebab ada dua lagi varian yang menawarkan kad grafik hingga RTX 3070 Ti dan pemproses sehingga Intel Core i9.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah keputusan saya semasa menguji MSI Crosshair 15.


Setiap game telah diuji menggunakan mode Performance Boost, dan nampaknya ia tidak dapat memenuhi syarat 60 FPS di resolusi 2K dalam tetapan maksimum bagi game AAA. Hanya dengan menghidupkan ciri DLSS dan memilih tetapan grafik lebih rendah seperti ‘Medium’ atau ‘High’, barulah kita boleh mendapatkan frame rate yang lebih baik.
Rainbow Six Extraction: 79 FPS (Ultra Setting)

Biasanya kami akan memperolehi FPS sekitar 90 dalam kebanyakan game shooter – oleh itu, tiada masalah untuk menukar tetapan kepada Very High. Korang masih akan mendapat FPS sekitar 90+. Tetapi kalau anda gamer sejati, kita tahu yang kebanyakan orang tidak akan main game tembak-tembak pada resolusi tinggi dan lebih mementingkan resolusi 1080p untuk prestasi dan frame rate yang lebih stabil.
Assassin’s Creed Valhalla: 41 FPS (Ultra Setting)

Prestasi yang agak mengecewakan di resolusi 2K. Saya tidak akan capai 60 FPS melainkan jika menukar resolusi ke 1080P atau mengurangkan tetapan grafik hingga ke paling minimum.
Dying Light 2: 30 FPS(Ultra Setting, DLSS On)

Saya tidak mengesyorkan sama sekali untuk aktifkan ray tracing kerana kadar penggunaan GPU terlalu tinggi.
Secara keseluruhan, MSI Crosshair 15 sebenarnya dapat menguruskan kebanyakan game tanpa masalah tetapi korang kena faham limitasi grafik. Jika semua nak main pada Ultra Setting, al-kisahnya memang meletup lah laptop ini. Bab urusan produktiviti dan multitasking, memang tiada masalah di mana saya buka lebih 10 tab di Chrome tanpa mengalami sebarang lag.
Jangka hayat bateri dan isu pemanasan

Solusi ‘thermal’ dijaga oleh teknologi Cooler Boost 5 yang menampilkan setup dua kipas bersama 6 heatpipe. MSI mereka semula heatpipe ini dan menjadikan setiap satu lebih nipis berbanding generasi sebelum supaya kipas dapat menghilangkan haba dengan lebih cepat dari sistem. Selain itu, radiator terletak di tiga sisi laptop untuk memudahkan penyejukan yang kemudian dibantu lagi oleh reka bentuk honeycomb di bahagian bawah.
Satu lagi perkara yang saya suka adalah kita tidak akan rasa kesan haba pada tempat letak tangan. Itu pernah menjadi masalah pada ketika dahulu sehingga saya terpaksa berhenti main game kerana tidak tahan haba di bahagian letak tangan. Nasib baik lah Crosshair 15 tidak mempunyai isu ini dan saya boleh teruskan gaming dengan selesa.

Disebabkan ini adalah laptop gaming, jangan pula korang harapkan bateri yang tahan lama. Crosshair 15 mempunyai bateri 53.5 Whr dan jika digunakan untuk kerja biasa seperti menonton video atau menaip, ia boleh bertahan selama kira-kira 3-4 jam (jika disambungkan ke internet).
Untuk gaming, bateri tidak akan bertahan walaupun sejam tetapi sudah tentu, ini adalah perkara biasa untuk laptop gaming. Pesanan saya adalah untuk sentiasa menyambung laptop kepada sumber kuasa eksternal setiap kali melakukan tugasan intensif seperti gaming atau mengedit video.
Pendapat

MSI sentiasa mengutamakan prestasi tetapi nampaknya mereka kini cuba mencuri perhatian dengan penampilan serba baru. Bersama keyboard yang bergaya dan skema warna ala-ala sci-fi, rasanya ini akan menjadi rebutan di kalangan gamer yang suka nilai estetika.
Prestasi pun boleh tahan dan dapat menjalankan pelbagai game atau aplikasi editing tanpa masalah. Cuma, jangan lah terlalu mendesak laptop ini seperti ‘main Cyberpunk 2077 di tetapan maksimum’. Secara keseluruhan, MSI Crosshair 15 adalah laptop gaming berbaloi yang korang boleh beli pada tahun ini.
Buat masa ini, terdapat tiga model di Malaysia, termasuk RTX 3070 Ti, RTX 3070 dan RTX 3060 manakala CPU boleh dinaik taraf hingga ke 12th Gen Intel Core i9. Kalau inginkan yang paling istimewa, pilihan paling jelas sudah tentu adalah edisi Rainbow Six Extraction.
Untuk belajar lebih lanjut tentang MSI Crosshair 15 B12U, korang boleh layari halaman produk di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post