Football Manager 2022 (FM22) ialah entri terbaru dalam francais simulasi bola sepak oleh Sports Interactive dan SEGA. Dibina dengan pendekatan yang kompleks dan realistik terhadap sistem dan mekanik, kita perlu mengambil peranan sebagai seorang pengurus kelab bola sepak dan membuat setiap keputusan penting untuk membawa pasukan kepada arah kemenangan. Saya pun taknak panjang cerita lagi, inilah review kami untuk Football Manager 2022!
Latar belakang permainan

Seperti namanya, ini adalah game di mana anda perlu berperanan sebagai pengurus untuk pasukan bola sepak impian. Harap maklum, ini bukan game bola sepak tradisional seperti FIFA atau PES kerana anda perlu sentiasa mengawal seluruh pasukan di atas padang. Seperti pengurus yang anda lihat di kaca TV, kerja kita adalah untuk bijak menguruskan pasukan bagi mencapai prestasi maksimum mereka sambil mengatasi segala cabaran dan halangan untuk memperoleh kejayaan besar di dalam liga. Untuk pemain baru, anda mungkin akan banyak keliru kerana ada terlalu banyak mekanik yang perlu kita belajar tetapi jangan risau, semuanya boleh dihadam secara beransur-ansur semasa bermain.
Apa sebenarnya yang perlu kita buat?

Sebagai pengurus pasukan bola sepak, terdapat banyak tugas yang perlu kita lakukan untuk memimpin pasukan ke arah kejayaan. Sebahagian daripadanya termasuk mencari kelab yang sempurna untuk mengurus, mencari bakat yang belum ditemui untuk menjadi aset yang hebat dalam jangka masa panjang, memajukan pasukan dengan pertolongan pihak pengurusan untuk membuat keputusan bijak dan taktikal, dan akhirnya menyaksikan pasukan beraksi di atas padang. Ini hanyalah rumusan kasar tentang kerja-kerja yang anda sering perlu lakukan dalam permainan, tetapi sebenarnya ada banyak lagi perkara yang perlu kita tahu.

Game ini direka untuk menawarkan pengalaman yang paling realistik sebagai pengurus bola sepak, jadi aspek itu benar-benar difokuskan supaya kita mendapat pengalaman menyeluruh dalam peranan “bos besar” seperti kehidupan sebenar. Selain daripada membina pasukan terbaik, anda perlu memberi perhatian kepada aspek-aspek yang sama penting seperti status kewangan atau kakitangan pengurusan, kerana segala keputusan yang kita buat perlu memberi manfaat kepada pasukan sama ada dari aspek prestasi, populariti, atau hasil pada masa akan datang.
Ciri-ciri penting
Ada banyak ciri-ciri penting, tetapi saya hanya akan membincangkan tentang apa yang baru:
Data Hub

Ini ialah ciri baharu untuk maklumat berkaitan dengan data dan analisis prestasi. Dari sini, kita boleh menyelidiki prestasi pasukan sepanjang 90 minit perlawanan dan melihat sama ada boleh membuat penambahbaikan atau tidak. Kita juga boleh melihat keputusan analisis bagi setiap pemain individu dalam skuad. Ini membolehkan anda mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka yang boleh ditambah baik di pusat latihan.
Beberapa penambahan baru termasuk “momentum graph, zone map dan pass map” yang direka semula supaya lebih jelas dan mudah untuk menguruskan pasukan, terutamanya apabila melihat kawasan yang bermasalah dan menilai siapa yang membuat sumbangan paling besar di kalangan ahli skuad. Data Hub pada dasarnya ialah satu sistem besar di mana anda boleh menyelidik lebih mendalam. Mungkin akan mengambil sedikit masa untuk pemain menghadam segala-galanya, tetapi sebaik sahaja mula membiasakan diri, pengalaman anda pasti akan menjadi lebih mengasyikkan.
Match Engine

Match Engine adalah ciri lama, tetapi kali ini pemaju membuat beberapa penambahbaikan besar untuk mencipta aksi simulasi terbaik di atas padang. Pertama sekali, sistem animasi ditambah baik untuk mempamerkan pergerakan pemain yang lebih natural. Terdapat juga peningkatan AI ketara yang membawa kepada “match flow” yang lebih realistik sepanjang perlawanan. Sistem “pressing” baru pula membolehkan kita tahu tentang keadaan pemain dan ketepatan sepakan. Dari situ, anda boleh memantau keadaan pemain secara langsung yang memberi kesan kepada prestasi keseluruhan dan ketepatan mereka semasa melakukan hantaran atau menjaringkan gol.
Transfer Deadline Day

Satu lagi ciri penting ialah “transfer deadline day” yang sepatutnya akan mereplikasikan drama dan keseronokan semasa membeli atau menjual pemain. Kini anda akan dimaklumkan tentang tawaran terkini, khabar angin dan tawaran daripada ejen di hab Deadline Day. Ia juga lebih mudah untuk melihat pasaran perpindahan dalam urusan membeli-menjual kerana terdapat skrin khusus untuk memantau pemain daripada kelab lain.
Sebagai contoh, kita boleh mengutamakan pemain yang potensinya besar tetapi kontrak hampir tamat. Ciri ini juga mendapat UI yang diubah suai dengan penambahan pemasa untuk hari terakhir transfer window, di mana anda boleh mengikuti berita terbaharu tentang perpindahan pemain.
Selain daripada ciri-ciri di atas, terdapat banyak lagi yang kita perlu belajar tetapi semuanya sudah wujud dalam game-game sebelum. Antara contoh seperti berinteraksi secara aktif melalui Staff Meeting, pasaran perpindahan, dan sidang akhbar -semua ini bukan ciri-ciri baru.
Pendapat

Saya menulis review Football Manager 2022 ini daripada perspektif seorang gamer yang jarang main game simulasi, terutamanya untuk game yang memberi penekanan berat pada pengalaman realistik. Apa yang pelik adalah Football Manager 2022 agak “addicting” tetapi ini mungkin kerana saya memang peminat bola sepak.
Pengalaman keseluruhan memang menarik dan memang saya dapat mengalami tanggungjawab berat sebagai seorang pengurus yang perlu melakukan begitu banyak tugas demi membentuk pasukan impian. Jika dibandingkan dengan entri-entri sebelum, memang sangat jelas bahawa Sports Interactive bekerja keras untuk mencipta pengalaman yang lebih baik untuk peminat bola sepak di seluruh dunia.

Afak susah untuk saya mencari kelemahan sebab FM22 benar-benar memenuhi tujuannya sebagai game simulasi bola sepak yang realistik dan kompleks. Tetapi jika saya perlu berfikir secara kritikal, terdapat beberapa bug jelas. Maklumat pemain pada Data Hub kadangkala boleh bertindih antara satu sama lain dan kita kadang-kadang perlu mengklik lebih daripada sekali untuk membuka beberapa menu, jadi permainan tidak begitu responsif apabila datang ke soal UI/UX. Game ini masih dalam fasa beta dan pembangun juga mengakui semua bug yang diketahui setakat ini, jadi itu bukan masalah.
Seperti yang saya kata di atas, FM22 boleh menjadi agak mengelirukan dan memang mudah untuk kita lupa apa yang perlu dilakukan seterusnya. Disebabkan produktiviti sangat penting dalam game ini, kita tidak boleh membuang masa melakukan satu perkara sahaja dan mengabaikan aspek lain. Saya tidak akan cadangkan game ini kepada pemain baru, tetapi bagi peminat game simulasi dan juga peminat bola sepak, Football Manager 2022 adalah satu game yang wajib anda cuba kalau berkesempatan.
Itu sahaja review saya bagi Football Manager 2022 yang kini boleh didapati di PC, Mac & Android. Kami juga menulis beberapa review tentang game lain seperti FIFA 22, yang anda boleh baca di sini.
@gamersantaimy
The Review
Football Manager 2022
Saya tidak akan cadangkan game ini kepada pemain baru, tetapi bagi peminat game simulasi dan juga peminat bola sepak, Football Manager 2022 adalah satu game yang wajib anda cuba kalau berkesempatan.
PROS
- Beberapa ciri baru yang sangat berguna seperti Data Hub
- Lebih realistik berbanding entri sebelum
CONS
- Masih ada beberapa bug
Discussion about this post