Selepas mengeluarkan game pertama pada 7 tahun lepas, Techland kembali dengan Dying Light 2 Stay Human – entri dan sekuel terbaru dalam francais ‘zombie action parkour’ popular. Oleh itu, saya faham mengapa ramai yang teruja untuk bermain. Dying Light 2 sudah dikeluarkan sejak awal bulan Februari, jadi saya agak lambat untuk memberi review. Walaupun begitu, saya tetap ingin berkongsi pendapat saya tentang game ini secara keseluruhan.
Tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk Dying Light 2 Stay Human!
Jalan cerita yang boleh berubah
Game ini berlaku beberapa tahun selepas peristiwa game pertama. Walaupun Global Relief Effort (GRE) berjaya menamatkan ancaman virus dengan membangunkan vaksin kuat, mereka tetap melakukan eksperimen rahsia untuk membangunkan senjata bio, yang secara langsung, mengakibatkan pandemik kedua apabila virus tersebut berjaya melarikan diri daripada makmal. Vaksin dan Antizin terbukti tidak berguna, di mana virus itu merebak dengan pantas ke seluruh dunia sehingga populasi dunia hampir dihapuskan.
Tahun semasa ialah 2023, 15 tahun selepas kejadian ‘The Fall’. Tamadun manusia hampir pupus tetapi terdapat satu bandar fiksyen di Eropah bernama Villedor yang berjaya menghalang ancaman itu berkat tembok kuarantin besar. Villedor bukanlah tempat yang aman untuk didiami, kerana kehadiran konflik antara puak berbeza yang ingin mengawal bandar seperti ‘Peacekeepers’ yang bersifat ketenteraan, ‘Survivors’ yang bebas dan ‘Renegades’ yang ganas.
Kisah Dying Light 2 mengisahkan Aiden Caldwell, seorang lelaki yang mengembara ke dunia luar untuk mencari Mia, adiknya yang telah lama hilang. Selepas melihat beberapa adegan ‘flashback’, kita dapat tahu bahawa kedua-dua Aiden dan Mia pernah menjadi subjek ujian makmal GRE sebelum kemalangan memisahkan mereka.
Disebabkan Aiden adalah orang luar, dia perlu membuktikan nilainya dan memilih pihak mana yang patut dibantu. Sama ada membantu atau fokus pada misi sendiri, pilihan di tangan korang.
Berbanding game pertama, Dying Light 2 lebih tertumpu kepada jalan cerita. Ia bukan sahaja ada lebih banyak cutscene, malah mekanik “memilih jawapan” memainkan peranan penting dan boleh mempengaruhi penamat game. Walaupun saya bukan peminat tegar kepada jalan cerita, Dying Light 2 melakukan kerja yang cukup bagus semasa mempersembahkan dirinya dan boleh menarik gamer yang suka game jenis bercerita dengan temanya yang gelap.
Dunia open-world: Apa kita boleh buat?
Villedor merupakan kawasan fiksyen yang luas dan terdiri daripada pelbagai aktiviti menarik seperti ‘menerima misi sampingan dari NPC’, ‘mengaktifkan kincir angin untuk membuka ‘safe zone’ baru’, atau bersiar-siar di sekitar bandar untuk mengumpul barang dan bahan berguna. Kita juga boleh memeriksa bumbung untuk mengumpul ‘Honey’ dan ‘bunga Chamomile’ demi membuat ubat. Pendek kata, macam-macam kita boleh buat di Villedor, jadi ia terpulang kepada korang untuk mengisi masa lapang.
Selain itu, salah satu perubahan paling ketara antara game pertama dan sekuelnya adalah cara mereka menghasilkan reka bentuk persekitaran di dalam game. Setiap puak mempunyai kawasan sendiri dan kita boleh memilih puak mana untuk berpihak. Dalam beberapa misi penting, korang boleh menugaskan ‘Peacekeepers’ atau ‘Survivors’ untuk menjaga zon di sekitar ‘facility’.
Banyak perkara yang perlu kita mempertimbangkan semasa memilih siapa untuk menjaga ‘facility’ ini, kerana setiap puak mempunyai struktur unik sendiri. Geng Peacekeepers boleh memasang perangkap khusus untuk melawan musuh, manakala Survivors boleh membina kemudahan parkour yang memudahkan cara kita bergerak. Sistem ini dipanggil ‘City Alignment’, dan ia jatuh kepada kita untuk menentukan puak mana yang layak untuk menjadi lebih kuat dan menerima sokongan.
Pada masa yang sama, saya harus puji dunia Dying Light 2 yang lebih realistik untuk memandang. Selain daripada penambahbaikan grafik, dunia dalam game nampak semakin seram dan lebih menyerupai bandar yang terkena bencana apokaliptik. Saya juga suka konsep zombie yang bersikap nokturnal. Ini bermaksud kita boleh menemui banyak zombie dalam bangunan apabila hari sedang siang, tetapi mereka akan mula berkeliaran di luar apabila malam tiba.
Dying Light juga terkenal dengan gameplay ‘malam’ di mana zombi lebih berbahaya dan akan mengejar kita sampai dapat. Mekanik ini masih wujud dalam Dying Light 2 tetapi tidak semenakutkan. Saya rasa sekarang lebih senang untuk mengelak zombie kerana sistem parkour yang optimum dan ketiadaan Volatile (salah satu zombie paling kuat dalam siri).
Untuk mengekalkan kesukaran semasa meneroka pada waktu malam, developer memperkenalkan sistem ‘immunity’ yang berfungsi seperti ‘countdown’ untuk berapa lama kita boleh berada di luar sebelum bertukar menjadi zombie.
JAP JAP, bertukar jadi zombie?
Ini kerana Aiden sebenarnya dijangkiti virus dan boleh bertukar menjadi zombie jika tidak terdedah kepada cahaya matahari atau cahaya UV. Itulah sebabnya game ini dinamakan Dying Light 2 “Stay Human”.
Seronok ber-parkour
Tak perlu kata, Parkour adalah mekanik terbaik dan paling seronok dalam game ini. Dying Light 2, entah bagaimana, berjaya melebihi jangkaan saya pada sistem parkour dan menjadikannya lebih immersive dengan mengubah pergerakan dan reka bentuk dunia. Bukan itu sahaja, sekarang ada lebih banyak skil parkour yang boleh kita belajar dan semuanya boleh digabungkan untuk membuat kombo semasa meneroka dunia.
Parkour dalam game ini memang ‘perfect’ sampai saya pun jarang guna ‘Fast Travel’. Nak pergi ke lokasi seterusnya pun pantas, dan kita dapat kumpul sumber tambahan. Jika digabungkan dengan alat Nightrunner seperti Paraglider dan Grappling Hook, perjalanan korang akan bertambah lagi menarik.
Bagaimana untuk membunuh zombie?
Untuk ‘combat system’ atau sistem pertempuran, ada perubahan kecil yang menjadikannya sedikit lebih bagus. Musuh sekarang mempunyai ‘health bar’ dan ‘penunjuk level’ supaya kita boleh menilai tahap mereka. Ini amat diperlukan apabila melawan zombie, kerana ramai mengadu dalam game pertama bahawa zombie tidak pernah mati walaupun mereka dah beribu-ribu kali pukul. Sama seperti parkour, para developer menambah sejumlah skil baru untuk bantu kita melawan musuh.
Satu-satunya benda yang saya nak mengadu adalah sistem senjata, yang kini akan pecah selepas mencapai had ‘durability’. Nasib baiklah, kita boleh memperbaikinya dan pada masa yang sama, memasang mod untuk menguatkan senjata. Sistem ini serupa dengan The Legend of Zelda: Breath of the Wild, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mengalami kesusahan untuk mencari senjata bagus dan sekurang-kurangnya terdapat pilihan untuk membetulkan sambil menjadikan senjata lebih kuat dalam Dying Light 2.
Sistem Customization
Satu lagi perubahan besar dalam Dying Light 2 terletak pada keseluruhan sistem customization. Saya sekarang boleh ‘dress up’ Aiden dengan pakaian dan aksesori berbeza, masing-masing dengan statistik bonus sendiri.
Biasanya kita akan memilih stat yang terbaik kan? Tetapi bagi saya, tidak ada perbezaan yang besar antara equipment, jadi gamer yang lebih suka ‘style’ berbanding ‘statistik’ boleh terus maju tanpa perlu risau jika watak mereka lemah.
Apa yang lebih penting adalah korang perlu memberi perhatian kepada ‘Skill Tree’ yang kini hanya terdiri daripada Combat dan Parkour. Keputusan untuk membuang ‘Survivor Skill Tree’ adalah idea yang bagus, kerana kebanyakan orang lebih suka untuk mendapatkan skil yang penting dalam pertempuran dan penerokaan.
Malangnya, untuk mendapatkan EXP bukanlah mudah dan boleh mengambil masa yang lama, jadi melakukan misi sampingan dan beberapa aktiviti semasa waktu malam adalah antara tips berguna yang saya boleh beri. Selain itu, korang juga perlu mencari ‘Inhibitor’ (collectable) sebanyak mungkin. Ia bukan sahaja diperlukan untuk meningkatkan HP dan stamina, malah beberapa skil hanya boleh unlock apabila HP dan stamina korang sampai ke had tertentu.
Secara tidak langsung, game ini menggalakkan kita untuk meneroka lebih banyak, dan jangan sahaja bergantung pada story mode untuk naik level.
Pendapat
Walaupun berkali-kali delay dan ramai keraguan tentang kualiti gameplay, sejujurnya saya anggap Dying Light 2 Stay Human sebagai sekuel yang bagus. Ia berjaya menambah baik beberapa bahagian yang sebelum ini sudah solid seperti sistem parkour “immersive” dan mengoptimumkan sistem pertempuran. Walaupun jalan ceritanya biasa-biasa sahaja, ia masih adalah satu kemajuan, terutamanya kerana kita boleh mempengaruhi dunia dan juga pengakhiran berdasarkan pilihan jawapan.
Walaupun banyak memuji, masih ada beberapa kekurangan dalam Dying Light 2 seperti cara mereka mengendalikan sistem senjata yang lebih menyusahkan dan mengurangkan tahap ancaman zombie sehingga tidak menakutkan lagi.
Jika korang suka game zombie, suka genre open world, dan suka parkour, Dying Light 2 Stay Human adalah pilihan yang bagus. Game ini kini tersedia di PC, PS4, PS5, Xbox One, dan Xbox Series X.
@gamersantaimy
Discussion about this post