Setelah sekian lama menunggu, akhirnya Diablo IV akan dilancarkan tidak lama lagi pada 6 Jun 2023. Setelah menunggu lebih 10 sejak game sebelum, adakah sekuelnya sama menarik seperti pendahulu? Izinkan saya menjelaskan apa yang membuat game ini seronok dan mengapa anda patut mencuba game ini dalam review saya untuk Diablo IV!
Sebelum saya pergi lebih dalam, lebih elok saya kenalkan apa itu “Diablo IV”. Merupakan ansuran keempat dalam francais Diablo. ini juga adalah game pertama dalam francais untuk menampilkan struktur open-world. Latar belakang utama game ini berlaku 30 tahun selepas peristiwa Diablo III: Reaper of Souls, di alam yang dipanggil Sanctuary.
Game ini bermula di mana pemain mengembara melalui pergunungan bersalji dan mencari kawasan selamat untuk melindungi diri daripada ribut salji yang dahsyat. Pemain kemudian terjumpa sebuah perkampungan kecil, yang ternyata mempunyai beberapa masalah syaitan dan kita ditugaskan untuk membasmi kejahatan ini untuk mereka.
Sebagai protagonis, sudah tentulah kita kembali dengan kemenangan ke kampung, dan sambutan yang meriah menanti kita penuh dengan muzik dan minuman. Rupanya, pemain telah ditidurkan oleh penduduk kampung dan dibawa ke bangsal di mana mereka melakukan ritual ke atas anda, yang membangkitkan kuasa baru dalam diri iaitu, keupayaan untuk melihat masa lalu melalui Blood Petals (yang juga bertindak sebagai cara untuk pemain mengalami jalan cerita melalui flashback).
Ternyata, Lilith kembali ke Sanctuary dan dia mempunyai rancangan jahat. Dibantu oleh orang yang tidak dikenali, pemain kemudian berusaha mencari jawapan untuk menghentikan rancangan jahat Lilith.
Jalan cerita yang memaksa pemain beremosi
Tanpa memberi spoiler tentang apa-apa peristiwa selepas Prologue dan Act I, saya merasakan bahawa jalan ceritanya – walaupun memberi penghormatan dengan membawa watak-watak ikonik daripada francais Diablo seperti Inarius dan Lilith – masih berasa agak hambar secara keseluruhan. Sepanjang cerita, terdapat banyak masa di mana saya dipaksa beremosi selepas Diablo memaparkan adegan yang “sedih”.
Umum tahu bahawa francais Diablo terkenal dengan ceritanya yang suram dan menyedihkan, tetapi ada banyak peristiwa besar yang membuatkan saya berasa janggal, lagi-lagi dalam Act kemudian. Sekali lagi, saya tidak boleh menyelami lebih mendalam tentang hal ini tanpa memberi spoiler, jadi anda perlu bermain game ini dahulu untuk faham maksud saya.
Bagi saya, game ini memaksa kita mengambil berat tentang watak-watak. Jangan salah faham dengan ayat saya, Blizzard melakukan kerja yang cukup baik dengan menunjukkan tujuan dan niat watak, tetapi kebanyakan masa saya tidak rasa ia begitu impak sehingga saya perlu ambil kisah tentang mereka.
Satu contoh yang saya boleh beri adalah dalam Act I dengan saga Neyrelle di mana ibunya berada di bawah pengaruh Lilith. Saya tidak tahu sama ada saya kurang sensitif, tetapi saya tidak begitu tertarik dengan jalan ceritanya. Namun, personaliti Neyrelle sangat berkembang maju selepas peristiwa itu, jadi itu pengakhiran yang bagus.
Saya rasa keseluruhan tempo jalan cerita – walaupun bermula dnegan baik dalam Act I hingga Act III – terasa sangat tergesa-gesa dalam Act kemudian. Semasa melakukan story quest selepas Act III, pantas saya menyelesaikan Act lain tanpa sedar.
Pengakhiran kempen pun agak mengelirukan, kerana tidak benar-benar berakhir dengan kesimpulan yang konkrit, dan membuatkan pemain berfikir tentang apa yang telah atau akan berlaku kepada watak selepas itu.
Ia berakhir dalam cara yang memberi kesinambungan kerana ia adalah game live service (game yang menerima kandungan baharu berterusan selepas pelancaran). Jika anda seorang yang lebih suka cerita berakhir dengan konsep tipikal seperti ” baik menang atas jahat”, anda mungkin tidak begitu menikmatinya kerana ia tidak memberi kepuasan itu.
Rupa dan Visual
Salah satu aduan umum tentang Diablo III ialah nada keseluruhannya tidak cukup gelap, tetapi Diablo IV kembali ke tema asal untuk mempersembahkan dunia lebih mengerikan dan lebih kelam, demi menepati nada gothic zaman pertengahan yang suram.
Saya menyukai aspek ini kerana saya merupakan peminat estetika gelap, dan Diablo IV berjaya menangkapnya dengan tepat. Terdapat banyak contoh lokasi dalam Diablo IV di mana anda dapat melihat beberapa visual yang brutal seperti usus manusia, badan yang terputus, sungai yang dipenuhi darah, dan seumpamanya.
Bukan untuk kata bahawa setiap sudut di Diablo IV adalah gelap dan menyedihkan, terdapat juga pemandangan lain yang saya anggap cantik di peta Diablo IV yang sangat luas, seperti padang pasir kering tulang dan dataran bersalji.
Game ini sentiasa memberi rasa seperti anda mungkin temui sesuatu yang menarik apabila keluar menerokai alam Sanctuary dan sememangnya banyak aktiviti untuk dilakukan semasa bermain, dungeon untuk diselesaikan, world event untuk disertai, side quest untuk menyiap, dan itu baru sedikit.
Satu lagi aspek yang sangat saya suka dengan Diablo IV ialah adegan cutscene in-game, yang merupakan tambahan baharu dalam francais Diablo. Terdapat momen tertentu dalam jalan cerita di mana game beralih daripada gameplay kepada cutscene dengan lancar, untuk mempamerkan adegan lebih berkesan dalam cara yang mengasyikkan.
Sebagai contoh, dalam satu cutscene Act I, anda bertemu Inarius buat kali pertama, dan sinematografi dari saat watak anda memasuki bilik, hingga ke perspektif kamera yang perlahan-lahan menunjukkan keagungan Inarius menjadikan keseluruhan pemandangan 10 kali lebih atmosfera.
Satu lagi perkara yang saya suka ialah customisation watak dalam game. Ia tidak fleksibel seperti game Street Fighter 6 akan datang, tetapi masih cukup banyak fungsi. Pilihan customisation yang umum adalah seperti memilih warna rambut atau kulit, tetapi terdapat juga pilihan yang lebih spesifik seperti memilih tatu watak. Gayakan watak ikut kehendak anda, tiada siapa yang menghalang.
Tetapi, satu keluhan kecil yang saya ada tentang customisation adalah setiap kelas sudah mempunyai jenis badan tetap untuk mereka. Itu agak masuk akal kerana ia mengikuti konsep lebih “standard” tentang archetype kelas fantasi, tetapi sebagai game RPG, saya masih mahukan aspek role-play yang membolehkan saya mengubah watak saya kepada sesiapa sahaja yang saya mahu.
Gameplay
Sistem Pertempuran
Untuk meringkaskan hal ini, premis utama sistem pertempuran dalam Diablo IV boleh dipecahkan kepada menjaga dua sumber utama iaitu, nyawa dan Spell Casting (yang berbeza antara kelas). Health cukup jelas, di mana anda perlu pastikan ia tidak jatuh kepada 0 atau anda akan mati.
Anda bermula dengan sejumlah potion (yang anda boleh tingkatkan potensinya berdasarkan checkpoint tertentu) di mana anda boleh menyembuhkan diri dengan meminumnya. Kadangkala musuh juga akan menjatuhkan potion, jadi ia bagus untuk bermain dengan lebih agresif daripada defensif kerana kebanyakan masa anda akan berhadapan dengan gerombolan musuh.
Perkara lain yang perlu anda jaga adalah Spell Casting. Skil dalam Diablo IV memerlukan kita menjaga bar Spell Casting untuk melakukan Spell yang hebat. Bergantung pada kelas yang anda mainkan, pengurusan sumber amat berbeza-beza.
Sebagai contoh, untuk Druid dan Necromancers, basic attack mereka selalunya mempunyai efek kedua yang membolehkan mereka mengisi semula bar Spell Casting, jadi kebanyakan masa anda akan beralih antara membelanjakan Spell dan kemudian bertukar kepada basic attack untuk mengisi semula Spell.
Kemudian ada Sorcerer yang basic attack-nya tidak mengisi semula Spell Casting tetapi mempunyai keupayaan natural untuk mengisi semula secara beransur-ansur. Babrbarian pula bermula dengan bar kosong yang akan diisi dengan setiap basic attack, yang bermakna anda perlu berlawan untuk melakukan serangan khasnya.
Satu mekanik pertempuran baru yang mereka tambahkan ke dalam Diablo IV (yang saya rasa membuat tempo pertarungan lebih baik) ialah mekanik Evade. Bunyinya sangat tipikal; jika anda bermain pada mouse dan keyboard, tekan space bar dan watak anda akan berlari ke arah yang dipandang. Tetapi mekanik ini menambah banyak lapisan kepada pertarungan.
Sebagai seseorang yang bermain FFXIV, mekanik evade dalam Diablo IV membuatkan saya teringat ketika melakukan dungeon raid dan ada Boss tertentu yang anda perlukan mekanik ini untuk mengalahkan pertarungan. Begitu juga, kebanyakan Boss dalam Diablo IV akan mempunyai situasi tertentu di mana pemain perlu mengelak daripada mereka atau risiko terkena serangan dahsyat. Mekanik evade memberikan tempo dan intensiti tertentu untuk menjadikan pertempuran berasa lebih memuaskan daripada biasa.
Dan dalam pertempuran, terdapat keadaan tertentu di mana beberapa skil kelas memainkan peranan dalam persekitaran. Sebagai contoh, Barbarian mempunyai skil tertentu seperti charge di mana mereka boleh menolak musuh ke hadapan, dan jika musuh terlanggar dinding, mereka akan terkena stun. Ini menjadikan pertempuran terasa lebih interaktif dan membuatkan pemain sentiasa berjaga-jaga terhadap persekitaran.
Untuk pertarungan Boss, kesemuanya mempunyai penunjuk nyawa dan bar berbeza. Sebaik sahaja anda mengosongkan satu segmen HP mereka, Boss bukan sahaja akan menjatuhkan Health Potion, malah mereka akan mempunyai corak serangan berbeza, di mana kadangkala mereka akan melancarkan serangan tertentu dengan lebih kerap. Ini menjadikan pertarungan Boss lebih susah secara progresif semakin lama anda berlawan lantas menambahkan intensiti dan dinamik.
Kelas
Terdapat lima kelas yang boleh anda mainkan dalam Diablo IV (Necromancer, Druid, Rogue, Barbarian, Sorcerer) yang terasa sangat berbeza antara satu sama lain, dari segi penampilan dan gaya permainan. Selain daripada pengurusan sumber yang saya nyatakan sebelum ini, setiap kelas mempunyai gaya permainan mereka sendiri yang boleh memenuhi selera semua jenis pemain.
Anda ada Rogue yang lincah dan tangkas dan boleh bergerak masuk dan keluar dari pertempuran di mana anda boleh memasang perangkap dan menggabungkan serangan dengan pelbagai jenis elemen. Jika anda mahu bermain seorang watak yang gemar mengubah bentuk, cubalah Druid, yang boleh mengubah dirinya menjadi Werewolf atau Werebear. Dia juga mempunyai akses kepada kebolehan alam semula jadi dan dapat memanggil “teman” dalam pertarungan.
Adakah anda malas bertarung dan lebih suka meminta orang lain untuk melakukan kerja anda? Tiada masalah, anda boleh bermain sebagai Necromancer yang mempunyai keupayaan untuk memanggil minion seperti skeleton atau golem yang mati di medan perang.
Selain itu, semua kelas juga membuka gaya permainan yang berbeza-beza untuk diri sendiri, seperti Sorcerer; jika anda memilih Lightning build, anda lazim melakukan damage Critical kerana itu akan melakukan banyak kesan tambahan setiap kali. Itu hanya salah satu daripada banyak elemen yang ada pada Sorceror. Saya berpendapat ada satu kelas untuk semua orang tidak kira apa jenis gaya permainan yang anda cari.
Skil
Gameplay lebih terserlah dengan Skill Tree yang sangat luas. Ada banyak pilihan untuk anda memikirkan dari segi skil, di mana ada semacam kepuasan apabila kita berjaya menemui satu skill build yang berfungsi dengan gaya permainan. Pemain boleh berasa OP apabila mendapat build “sempurna” dengan kemahiran yang bersinergi antara satu sama lain.
Katakan anda pemain baharu dan Diablo IV adalah game pertama untuk cuba. Pasti ramai yang berasa keliru dengan semua pilihan yang ada tetapi Diablo IV bagus membimbing pemain baru untuk memahami isi kandungan yang ditawarkan dalam game. Dari level 1 hingga level 8, anda boleh reset balik skil pada bila-bila masa (biasanya ia menelan gold untuk reset) dan mencuba pelbagai spell yang kelas itu memiliki, tanpa risau jika melabur secara tidak sengaja kepada skil yang salah.
Dari situ, anda boleh perlahan-lahan memahami apa untuk buat dan jumpa skill build tertentu yang anda suka, dan merasakan perkembangan watak semasa anda perlahan-lahan menjadi lebih kuat dalam game.
Aspek itu juga ditekankan apabila anda mencapai level 50 dan membuka Paragon Board (yang saya tidak akan jelaskan terlalu mendalam) di mana anda akan diberi akses kepada banyak lagi pilihan customisation dan menghabiskan berjam-jam meneliti dan memilih semua nod supaya ia seragam dengan skill build anda.
Customisation termasuk Loot, Gear, Transmog
Mengenai topik customisation, Diablo IV menawarkan pemain banyak fleksibiliti daripada perspektif visual dan gameplay. Apa yang menjadikan game Diablo sangat menarik ialah sistem Loot. Loot bukan sahaja menjadikan watak kita nampak lebih bergaya, malah ia berkait rapat dengan skill build anda.
Sebaik sahaja membuka Occultist, lebih banyak pilihan customisation dibuka di mana anda kini mempunyai keupayaan untuk mengekstrak efek Legendary daripada item Legendary lain lalu meletakkannya pada item berbeza. Anda boleh meletakkan efek itu pada hampir mana-mana item, yang membuka kepada pilihan customisation yang tidak berkesudahan.
Sebagai contoh, salah satu efek membolehkan anda mempunyai 70% peluang untuk melakukan Vulnerability (mungkin adalah efek paling kuat dalam game) apabila membekukan musuh.
Dari segi customisation visual untuk gear, terdapat ciri Transmogrification. Bagi mereka yang tidak biasa dengan mekanik ini, ia mengubah rupa sesuatu gear kepada gear lain, melalui proses Salvaging di Blacksmith. Anda boleh menukar rupa dan warna di Wardrobe, yang merupakan proses yang sangat mudah.
Item peringkat Legendary jatuh dengan lebih kerap semakin tinggi World Tier yang anda hadapi, terutamanya dari World 3 dan seterusnya. Ini bermakna terdapat lebih banyak efek Legendary yang anda dapat ekstrak daripada item, dan lebih banyak peluang untuk menbina build kuat.
Dungeon dan sebagainya
Kebanyakan masa di Diablo IV, anda akan habiskan waktu di dungeon, sama ada untuk jalan cerita, Overworld Dungeon atau hanya Cellar. Terdapat lebih 110 dungeon di dalam Diablo IV dan sama seperti game lalu, setiap satu dijana secara rawak dalam erti kata di mana objektif dan raksasa di dalam dungeon itu berbeza-beza, selain daripada yang berkaitan dengan jalan cerita.
Overworld Dungeon mempunyai objektif yang berbeza antara satu sama lain di mana kadangkala anda perlu mengalahkan semua raksasa di dungeon itu, atau ada kalanya anda perlu menyelamatkan banduan – semuanya tamat apabila kita perlu mengalahkan Boss dungeon tersebut. Objektif berbeza-beza daripada dungeon banyak membantu dengan faktor replayability kerana seperti yang saya katakan, anda akan menghabiskan banyak masa di dalamnya.
Cellar (yang merupakan tambahan baharu untuk francais Diablo), adalah dungeon “bersaiz kecil” di mana ia hanya mempunyai satu bilik, dan anda perlu membersihkan gerombolan raksasa dan beberapa musuh Elite.
Apabila selesai, ia akan menjatuhkan harta karun. Saya rasa penambahan dungeon ini sememangnya dialu-alukan kerana ia membantu di mana anda boleh masuk dan keluar dengan cepat jika memerlukan sedikit EXP tambahan untuk menaik taraf di checkpoint seterusnya supaya boleh memakai gear lebih kuat.
Pendapat
Jika anda seorang pemain yang sedang mencari game “looter” dengan customisation yang meluas dan rasa sistem progression wataj yang memuaskan, Diablo IV ialah game AAA terbaik di pasaran sekarang. Teramat luas kebebasan yang diberikan oleh game ini untuk kita mencipta watak yang sesuai tidak kira apa sahaja gaya permainan yang anda inginkan dengan sistemnya yang banyak dan bervariaso.
Diablo IV tidak mengorbankan DNA original untuk mencuri perhatian orang ramai, ia hanya perlu mengekal intipati asal sambil memperkenalkan beberapa ciri jumlah baru – dan itu semua dilaksanakan dengan bagus. Terdapat pelbagai elemen MMO dalam game seperti World Boss dan World Event, tetapi ia berjaya mengekalkan daya tarikan original yang membuatkan siri Diablo popular.
Diablo IV bakal keluar di PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Battle.net pada 6 Jun. Baca segala liputan kami tentang game ini di SINI.
@gamersantaimy
The Review
Diablo IV
PROS
- Customisation yang meluas
- Cutscene dalam game yang cantik
- Kandungan yang tidak berkesudahan
- Setiap kelas adalah sangat unik antara satu sama lain
CONS
- Pacing cerita, terutamanya dalam Act kemudian berasa sangat tergesa-gesa
Discussion about this post