Disebabkan game pertamanya adalah salah satu JRPG terbaik di Nintendo 3DS, memang tidak menghairankan mengapa Square Enix ingin memperkenalkan semula francais Bravely Default, dalam cara yang lebih besar dan menarik untuk pengguna baru. Baru dilancarkan beberapa hari lepas, Bravely Default 2 membuat kemunculan rasmi di Nintendo Switch!
Seperti pendahulunya, Bravely Default 2 memberi fokus kepada daya tarikan JRPG klasik sambil menggambarnya dalam rupa dan persekitaran yang moden. Mekanik-mekanik asas untuk game ini pun memberi perasaan nostalgia semasa anda bertarung dengan pelbagai raksasa dan musuh melalui sistem pertempuran turn-based.
Walaupun jalan ceritanya tidak begitu gempak seperti game pertama, Bravely Default 2 adalah JRPG moden yang menggabungkan elemen terbaik dan “terburuk” daripada zaman RPG klasik. Mengapa saya kata begini? Biar saya terangkan dalam ulasan ini!
Jalan cerita & naratif
Tiada kaitan dengan game pertama dalam siri ini, jalan cerita Bravely Default 2 mengisahkan seorang pelayar bernama Seth yang terkandas di sebuah wilayah yang dia tidak tahu. Tidak lama kemudian, dia bertemu Gloria, Adelle, dan Elvis, tiga sahabat yang akan menemaninya dalam perjalanannya.
Walaupun tidak tahu bagaimana dia terkandas di situ, Seth dengan cepat terlibat dalam sejenis plot unik yang mengharuskan dia mendapatkan semula empat kristal yang dapat mengawal elemen-elemen dunia. Kristal ini nampaknya diambil oleh orang jahat, dan digunakan untuk menghasilkan beberapa malapetaka seperti ribut yang muncul di sekitar beberapa kerajaan yang kita akan anda lawat sepanjang permainan.
Walaupun saya amat suka genre JRPG, ada satu perkara yang boleh “turn-off” game seperti ini iaitu – mekanik “overgrinding“. Sebagai JRPG, sudah tentulah Bravely Default 2 mempunyai sejenis mekanik “grinding” tertentu. Malangnya, ada beberapa kali saya terasa seperti seluruh naratif seolah-olah terhenti kerana memaksa saya “grinding” di antara titik plot utama.
Jalan ceritanya – walaupun bukan antara yang paling unik – masih mampu menarik minat pemain dan sebagai seseorang yang suka naratif seperti ini, saya sentiasa ingin bermain sehingga habis untuk tahu kesimpulan akhir. Malangnya, Bravely Default 2 menghalang saya daripada menikmati jalan cerita dengan mencipta dungeon yang penuh dengan pertarungan bos sukar! Dungeon ini memerlukan saya untuk “grinding” selama berjam-jam hanya untuk mempersiapkan diri melawan bos baru.
Tempoh grinding ini menjadi semakin lama apabila kita perlu kembali ke bandar, atau mendirikan “Tent” untuk berehat. Memandangkan diri pun banyak membesar sejak zaman remaja dahulu, saya tidak mempunyai banyak masa dan ini membuat saya agak tertekan kerana perlu membuat banyak perkara hanya untuk tahu keseluruhan jalan cerita.
Sistem & mekanik pertempuran asas
Gameplay asas Bravely Default 2 tidak banyak berubah dari pendahulunya d mana sistem pertempuran merangkumi dua aksi bernama Brave dan Default. Seorang watak boleh melakukan sejenis aksi dengan menggunakan BP (Brave Points) dan mereka dapat meningkatkan nilai ini dengan menggunakan Default, yang memberikan BP tambahan dan meletakkan watak dalam posisi defensif.
Pemain juga dapat menghabiskan sejumlah BP sekaligus untuk melakukan beberapa aksi berturut-turut pada awal pertempuran, supaya dapat membunuh musuh sebelum mereka dapat bertindak. Tetapi, risikonya amat besar untuk strategi ini kerana watak hanya mendapat satu BP selepas setiap pusingan, jadi jika serangan itu gagal, maka raksasa tersebut akan mempunyai beberapa pusingan percuma untuk menyerang parti kita yang terdedah. Musuh juga dapat menggunakan sistem BP, di mana kebanyakan bos akan menghancurkan kita dengan sejumlah serangan kuat dalam satu pusingan.
Selain daripada sistem Brave/Default, Bravely Default 2 juga mempunyai sistem berasaskan kelas. Parti kita boleh memperoleh “job/kelas” baru sepanjang permainan, termasuk pekerjaan klasik seperti Black Mage dan Thief. Setiap watak juga dapat menggunakan abiliti tambahan, serta lima abiliti pasif dari mana-mana kelas. Seperti permainan pertama, sistem ini sentiasa seronok di mana kita dapat susun parti yang menarik dengan campuran abiliti yang unik!
Selain itu, terdapat satu perubahan besar untuk sistem pertempuran Bravely Default 2 yang meningkatkan kesukaran ke tahap yang sangat-sangat tinggi! Setiap musuh kini mempunyai abiliti “counter” yang akan aktif apabila sebuah kriteria tertentu ditunaikan. “Counter” ini adalah pergerakan percuma untuk musuh, di mana mereka boleh menyerang parti kita dengan serangan kuat atau menyembuhkan diri sendiri apabila nyawa rendah.
Terlalu susah?
Masalah terbesar dengan Bravely Default 2 terletak pada kesukaran yang tinggi. Ini adalah permainan yang sangat sukar kerana musuh dapat menghukum pemain setiap kali kita mencuba strategi tertentu. Setiap bos mempunyai teka-teki sendiri ketika kita cuba untuk mengenalpasti “counter” mereka. Ini bermaksud kita harus menggunakan strategi khusus untuk mengalahkan bos tertentu kerana kebanyakan kombinasi lain tidak akan berfungsi, lantas membuatkan keseluruhan sistem kelas watak seperti sia-sia.
Game ini mempunyai mod Casual tetapi jangan anggap fungsinya sama seperti nama, kerana mod Casual dalam Bravely Default 2 hanya memperlahankan jumlah pergerakan yang dapat dilakukan oleh musuh pada giliran mereka. Dalam kebanyakan game lain, mod Casual membolehkan pemain menikmati jalan cerita mengikut tempo mereka sendiri tanpa mengalami apa-apa halangan besar tetapi dalam game ini, ia hanya memudahkan pemain tanpa meminta mereka untuk grinding terlalu lama demi meningkatkan tahap.
Dalam beberapa jam pertama, itu adalah antara masa yang paling sukar kerana kita hanya diberi akses ke beberapa kelas asas, dan terpaksa bertarung dengan bos yang, bagi saya, terlalu sukar. Sekiranya pemain dapat bertahan hidup pada tempoh awal ini, maka pengalaman anda pasti akan menjadi lebih menyeronokkan selepas itu.
Pendapat
Bravely Default 2 adalah JRPG old-school, yang ingin kembali kepada zaman-zaman kegemilangan sistem turn-based. Ada banyak sebab untuk saya suka game ini tetapi ada juga banyak sebab untuk saya benci. Secara keseluruhan, Claytechworks telah melakukan kerja yang bagus dan berjaya menangkap ciri-ciri asas yang membuatkan JRPG seperti francais Final Fantasy dan Dragon Quest popular pada zaman dahulu.
Walaupun pemain baru boleh mencuba Bravely Default 2 tanpa banyak masalah, ia sememangnya direka secara khusus untuk peminat lama kerana sistem pertempurannya umpama teka-teki dan mungkin agak “turn-off” untuk orang yang lebih suka pengalaman santai. Untuk pemain lama, sekurang-kurangnya mereka sudah kenal mekanik asas dan tahu apa yang perlu dibuat dalam situasi tertentu.
Walaupun saya kata begitu, saya mohon agar pemain baru yang ingin cuba Bravely Default 2 tidaklah terlalu kecewa atau takut kerana sistem kelas watak watak dan jalan ceritanya yang menarik adalah tumpuan utama. Cuma, perjalanan anda agak sukar berbanding game lain pada tempoh awal.
Itu sahaja untuk ulasan ini, bagi sesiapa yang berminat, mari dapatkan Bravely Default 2 sekarang yang eksklusif hanya di Nintendo Switch! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Gameplay
@gamersantaimy
The Review
Bravely Default II
Bravely Default 2 adalah JRPG old-school, yang ingin kembali kepada zaman-zaman kegemilangan sistem turn-based. Ada banyak sebab untuk saya suka game ini tetapi ada juga banyak sebab untuk saya benci.
Discussion about this post