Remake penuh bagi The Legend of Zelda: Ocarina of Time akan dilancarkan di Nintendo Switch 2 pada 5 November 2026. Versi digital di Nintendo eShop akan dijual pada harga RM280.00.
Bagi pemain generasi baharu yang memulakan pengembaraan Zelda mereka di Breath of the Wild atau Tears of the Kingdom, Ocarina of Time merupakan game legenda tahun 1998 yang menjadi antara asas kepada game aksi 3D moden.
Kisahnya berpusat pada Link, seorang budak lelaki yang dibesarkan dalam kalangan kaum Kokiri di dalam hutan, yang dibimbing oleh seekor pari-pari bernama Navi. Di Hyrule Castle, dia bertemu Princess Zelda yang berkongsi firasat buruk; Ganondorf, ketua suku gurun Gerudo yang licik, sedang merancang untuk mencuri Triforce demi menakluki seluruh alam tersebut.

Demi melindungi kerajaan, Link memulakan misi mengumpulkan batu-batu purba dan mendapatkan Master Sword di Temple of Time. Tindakan mencabut pedang tersebut menghantar Link tujuh tahun ke masa hadapan… di mana Ganondorf telah pun berkuasa dan memusnahkan Hyrule.
Berbekalkan Ocarina of Time, Link perlu berulang-alik antara era kanak-kanak dan dewasa, menyelesaikan pelbagai teka-teki antara dua garis masa berbeza, serta membangkitkan para “Sage” bagi mengunci dan menewaskan raja yang jahat itu.

Pengembaraan klasik ini dibangunkan semula bagi memanfaatkan keupayaan perkakasan baharu. Setiap tekstur, model watak , dan persekitaran telah dinaik taraf, lengkap dengan tindak balas aksi yang lebih responsif, masa loading yang lebih pantas, serta runut bunyi orkestra simfoni. Buat pertama kali, adegan sinematik menyokong lakonan suara bersama dialog yang dikembangkan.
Eksplorasi dan pergerakan turut diperbaharui mengikut standard moden. Pemain boleh berlari dan melompat, di samping kawalan kamera 360 darjah menggunakan right analog stick. Dunia Hyrule juga lebih lancar, memandangkan kitaran siang dan malam sekarang berjalan secara real time walaupun kita berada di dalam bandar atau perkampungan.
Untuk memastikan pemain tidak sesat, ciri quality-of-life yang dinamakan “Threads of Time” membolehkan anda menyemak objektif pada bila-bila masa. Setiap kali mencapai peristiwa penting, sebuah permaidani interaktif dalam game akan terisi sedikit demi sedikit bagi memaparkan perjalanan anda.
Elemen muzik masih memainkan peranan penting, tetapi sekarang hadir dengan integrasi yang menarik. Menggunakan mikrofon Switch 2, pemain hanya perlu mendengungkan sebarang melodi yang telah dipelajari, dan Link akan memainkan lagu tersebut menggunakan ocarina di dalam game.
Enjin audionya juga mampu mengecam alat muzik dunia sebenar. Sempena pelancaran, dua jenis ocarina replika akan diperkenalkan pada hujung tahun ini; model akustik biasa bagi peminat muzik, dan versi elektronik daripada HORI yang mampu memainkan nota individu mahupun lagu penuh hanya dengan menekan butang.

Game ini turut dihubungkan dengan ciri ZELDA NOTES menerusi aplikasi Nintendo Switch di peranti pintar. Melalui aplikasi ini, pemain boleh menyemak “Today’s Record” untuk melihat statistik harian seperti jumlah musuh yang ditewaskan, atau menyahut cabaran “Gossip Quests” berasaskan gambar untuk mendapatkan helaian muzik ocarina. Aplikasi ini turut menyediakan ocarina maya untuk berlatih melodi, mencipta muzik sendiri, dan berkongsi lagu bersama rakan melalui kod QR. Jika mahu menguji pengetahuan tentang game ini, ciri kuiz harian menyediakan lebih 2,000 soalan trivia, dengan percubaan tambahan boleh ditebus menggunakan Rupees yang diperoleh dalam game.

Golongan pengumpul juga mempunyai beberapa patung figura amiibo baharu untuk dinantikan. Figura Mineru’s Construct daripada Tears of the Kingdom yang diumumkan sebelum ini bakal dilancarkan pada 17 September ini. Pada 2027 pula, Nintendo akan melancarkan amiibo Young Link dan Young Zelda, di mana mana kedua-duanya mampu membuka topeng bergaya retro di dalam versi remake ini.
Bagi meraikan ulang tahun ke-40 francais, Nintendo turut memperkenalkan perkakasan bertema seminggu lebih awal sebelum pelancaran game. Konsol “Nintendo Switch 2 – The Legend of Zelda 40th Anniversary Edition” akan mula berada di pasaran pada 29 Oktober 2026.
Turut dilancarkan bersama konsol tersebut ialah barisan aksesori padanan dengan rekaan Triforce, termasuk carrying case bertema bersama pelindung skrin, serta edisi ulang tahun Switch 2 Pro Controller yang boleh didapati sama ada secara berasingan atau berpakej bersama display stand khas.









Discussion about this post