Diumumkan pada hujung tahun lepas, pengembaraan baharu bakal bermula dalam Visions of Mana—game terbaru dalam siri utama Mana selepas lebih 15 tahun! Dibuat oleh Square Enix dan diterbitkan oleh Bandai Namco Entertainment di Asia Tenggara, pemain dijemput untuk menggunakan sihir Elemental dan meneroka dunia yang luas sepuas hati anda!
Di sini, kami diberi peluang untuk mencuba versi previu bagi Visions of Mana. Adakah game ini dapat menepati jangkaan kami atau tidak? Teruskan membaca previu ini.
Dunia Fantasi Cukup Cantik dan Berwarna-Warni
Sama seperti kebanyakan game lain dalam francais, Mana Tree masih menjadi tumpuan utama sebagai “sumber tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan dunia dan semua kehidupan”.
Setiap game mempunyai penceritaan berbeza tetapi sentiasa meletakkan Mana Tree sebagai matlamat utama; dan untuk Visions of Mana, pemain akan dibawa ke pengembaraan untuk mengiringi kawannya dari kecil sebagai wakil “Alm” ke Mana Tree bagi menstabilkan aliran tenaga dan mengelakkan bencana besar yang mengancam dunia.
Jadi walaupun sudah hampir dua dekad tidak ada game baharu dalam siri utama, mereka tetap memastikan semua elemen distingtif dalam francais masih dikekalkan dalam game ini, terutamanya daripada konsep cerita.
Mereka juga mengekalkan gaya distingtif francais Mana yang sentiasa kelihatan berwarna-warni dan ala-ala dongeng fantasi. Arah seni dalam francais ini sentiasa menawan hati, tetapi berbeza daripada kebanyakan game dahulu, Visions of Mana berjaya merealisasikan dunia in-game yang kelihatan menakjubkan.
Sejak menonton trailer pertama, saya yakin Visions of Mana adalah game yang cantik, tetapi saya menjadi semakin kagum selepas bermain game ini secara langsung.
Setiap kawasan memberikan rasa dongeng fantasi yang mengasyikkan, seolah-olah saya diangkat ke dunia Final Fantasy IX, memandangkan game itu masih meninggalkan kesan yang begitu mendalam dan menetapkan standard tinggi bagi reka bentuk dunia fantasi.
Saya cukup kagum dan berani mengaku bahawa ini adalah salah satu reka bentuk dunia paling cantik pernah saya main, di mana tumpuan kepada nilai produksi, terutamanya untuk kualiti grafik, pasti memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan alam yang menawan ini.
Gameplay Klasik Yang Masih Terasa Lembap
Berkenaan gameplay, francais Mana sentiasa mempunyai kelemahan besar yang malangnya masih wujud dalam Visions of Mana, berkaitan dengan sensasi pertempuran.
Ini agak rugii kerana game ini mewujudkan banyak mekanik yang sangat menarik pada sistem pertempuran; contohnya setiap watak boleh mendapat akses ke kelas baharu bergantung pada Elemental Vessel yang digunakan, penambahan Elemental unik, sistem skill yang sangat fleksibel, dan banyak lagi.
Tetapi malangnya. pertempuran dalam game ini masih terasa agak kekok dan lembap walaupun saya dapat melihat beberapa penambahbaikan berbanding Trials of Mana.
Jika anda seorang peminat veteran yang sudah biasa dengan pertempuran francais Mana, maka game baharu ini akan memberikan lebih banyak kepuasan. Selain daripada beberapa sistem unik termasuk Elemental Vessel, keseluruhan gameplay Visions of Mana masih serupa dengan game-game dahulu.
Anda boleh membentuk parti dengan tiga watak dan bertukar pada bila-bila masa, sama ada semasa eksplorasi atau pertempuran, yang sangat penting apabila terlibat dalam pertarungan penting. Selain bergantung kepada Elemental Vessel, setiap watak juga mempunyai gaya tempur tersendiri seperti Careena yang ditemani seekor ‘divine beast’ bernama Ramcoh.
Fleksibiliti sistem skil membolehkan pemain mencipta pelbagai kombinasi playstyle untuk setiap watak. Malah, game ini menyediakan banyak slot shortcut untuk skil dan akses penting lain untuk memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemain supaya lebih selesa semasa bermain.
Dari segi sistem dan ciri, saya rasa game ini cukup kaya, ditambah dengan beberapa hal unik seperti elemen Moon dan Wood selain elemen tipikal seperti Api, Air, dan sebagainya.
Cuma, sensasi pertempuran, bagi kami, masih terasa agak kaku dan bagi sesetengah orang ini mungkin cukup untuk mempengaruhi keseronokan bermain, terutamanya bagi mereka yang menikmati RPG aksi dengan gameplay lebih pantas.
Eksplorasi Yang Benar-Benar Seronok
Beralih daripada topik pertempuran, saya sebenarnya lebih berseronok meneroka dunia dalam game. Seperti yang dinyatakan tadi, Visions of Mana ialah game yang sangat cantik dan ini bukan sahaja terhad kepada kualiti grafik, tetapi juga cara mereka cipta reka bentuk dunia yang kelihatan begitu ‘hidup’.
Setiap kali melawat kawasan baru, saya menghabiskan banyak masa merayau-rayau untuk menghargai keindahan pemandangan di sekeliling. Ditambah dengan muzik fantasi klasik, ini boleh menjadi game yang bagus untuk dimainkan apabila anda ingin menghilangkan tekanan atau mahu melarikan diri ke dunia fantasi dongeng.
Penerokaan Visions of Mana pun cukup menarik, kerana watak dilengkapi dengan double jump dan gerakan air dash, serta haiwan tunggang bernama Pikul. Anda boleh mencari bahan, peti harta karun, dan Grizzly Syrup yang boleh ditukar dengan pelbagai barangan penting di Dudbears.
Lokasi item yang boleh ditemui di dunia juga diselaraskan dengan lebih bijak. Bahan lebih mudah dicari, peti harta karun biasanya disembunyikan, manakala Grizzly Syrup kadangkala lebih sukar dicapai, dan memaksa pemain untuk melakukan sedikit aksi platforming .
Perhatian yang diberikan kepada susunan item ini menyumbang kepada keseronokan bermain, kerana game lebih memotivasikan pemain untuk meneroka dengan tekun. Walaupun tidak direka bentuk sebagai open-world, Visions of Mana mempunyai peta yang direka dengan sangat baik di mana anda boleh merasakan kawasan ini luas untuk meneroka, tetapi pada masa yang sama tidak membuatkan anda terasa bosan atau letih.
Pendapat
Sebagai game terbaharu yang berpotensi membawa satu kejayaan besar kepada francais, Visions of Mana setakat ini telah menjawab semua kekurangannya dengan kualiti terbaik.
Saya kagum dengan reka bentuk dunia yang indah, konsep jalan cerita dan hala tuju seni yang masih dikekalkan dengan baik daripada siri klasik, dan penambahan pelbagai ciri dan sistem gameplay unik.
Namun, saya tidak merasakan perasaan yang sama untuk sensasi pertempuran yang masih kaku/lembap. Lama-lama, saya mungkin akan terbiasa, tetapi sejujurnya, ini masih merupakan kelemahan terbesar untuk game.
Bagi mereka yang berminat, Visions of Mana akan dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4 dan PC melalui Steam dan Microsoft Store pada 29 Ogos di seluruh dunia. Untuk pre-order, sila tekan SINI! Buat masa ini, anda boleh mencuba versi demo yang tersedia sekarang.
@gamersantaimy
Discussion about this post