JRPG klasik tidak selalunya mampu bertahan mengikut peredaran zaman, tetapi sesi uji cuba selama 30 minit dengan Tales of Eternia Remastered baru-baru ini membuktikan bahawa karya ini menerima pembaharuan sewajarnya.
Walaupun versi ‘preview build’ tersebut hanya mendedahkan sebahagian kecil daripada keseluruhan pengembaraan, ia memberi pendedahan jelas tentang cara Bandai Namco menyegarkan pengalaman untuk citarasa pemain masa kini.

Sesi kami bermula di sebuah dungeon yang berakhir dengan pertarungan boss melawan Undine sebelum watak tersebut berjaya direkrut. Struktur ‘core gameplay’ original tidak dirombak secara total… dan memang tiada perlu untuk melakukan perubahan radikal sedemikian.
Sebaliknya, tarikan utama terletak pada longgokan penambahbaikan quality-of-life (QoL) yang dimasukkan. Sentuhan moden ini memudahkan sesi permainan, khususnya buat golongan yang kurang serasi dengan JRPG era lama, tanpa menutup ruang bagi peminat lama.
Rentak Lebih Pantas dan Mesra Pemain

Aspek paling ketara sebaik sahaja kita mula bermain adalah peningkatan kelajuan secara keseluruhan. Pilihan melajukan combat boleh diakses secara langsung, termasuk ketika menyerahkan kawalan kepada AI menerusi AUTO mode.
Fungsi ini menyelamatkan banyak masa ketika berdepan musuh kecil, menghapuskan keperluan melawan setiap ‘mob’ pada kadar original yang meleret.

Pergerakan peta juga lebih pantas berkat kehadiran mod dash. Gabungan dua elemen ini membuang rasa lesu yang sinonim dengan RPG retro. Sekiranya anda inginkan kawalan lebih terperinci ke atas sesi grinding, menu utama menyediakan Boost Function untuk melaras kadar kemajuan watak mengikut keselesaan anda.
Penerokaan Bijak Tanpa Kekeliruan

Reka letak peta masih setia pada resipi original di mana kita melalui koridor bersimpang-siang, mencari laluan sebenar, sambil menepis ancaman raksasa di sepanjang jalan. Namun begitu, aspek navigasi terasa lebih lancar kerana kehadiran beberapa panduan visual pilihan.
Objektif utama dipetakan dengan tanda seru kuning (!), manakala barangan bernilai serta peti harta karun diletakkan ikon bintang (★). Penunjuk jarak ke arah sasaran turut disertakan bersama amaran visual bagi mengesan babak ‘timed scene’ atau lokasi penting untuk memahirkan diri dengan skil serta teknik baharu.

Bagi pemain yang gemar mencari laluan sendiri, kesemua penunjuk ini boleh ditutupkan sepenuhnya. Namun, jika matlamat anda sekadar ingin menikmati cerita tanpa tersasar terlalu lama, fungsi bantuan tersebut berkesan meredakan rasa jengkel.
Combat Lancar dan Mekanik yang Lebih Memaafkan

Walaupun sistem real-time combat mengekalkan auranya yang tersendiri, pelbagai ciri sokongan yang disertakan dapat mengurangkan rasa penat akibat pertarungan berulang-ulang. Keupayaan melajukan pertarungan dalam AUTO battle menjadi penyelamat apabila kita perlu berdepan kumpulan musuh lemah buat beribu kalinya.
Pendekatan pembangun juga lebih bertolak ansur apabila berlaku kesilapan. Jika watak kita tewas di tengah jalan, anda tidak perlu lagi diheret ke kawasan jauh ke belakang kerana sistem membenarkan retry serta-merta.

Fungsi autosave turut diaktifkan sebaik anda melangkah ke peta baharu atau menamatkan babak penting, sekaligus mengelakkan pemain daripada risiko hilang kemajuan.
Lebih memudahkan, satu sentuhan pada butang Quick Recovery memulihkan HP sepasukan serta-merta bersama penawar ‘negative status effect’, lantas memotong masa mengurus menu yang merumitkan selepas tamat sesebuah pertarungan.
Beralih Antara Rupa Moden dan Retro

Satu lagi kelainan menarik ialah kebebasan menukar gaya visual antara Remastered dan Original mengikut citarasa. Kita bebas menukar daripada paparan visual tajam masa kini kepada sprite asal, memberikan dimensi hiburan tersendiri semasa memerhatikan evolusi grafik di samping mengembalikan rasa nostalgia buat peminat lama.
Pendekatan serupa turut diabadikan pada elemen audio, di mana pemain boleh beralih antara bunyi kontemporari dan susunan runut bunyi klasik. Daripada memaksa pemain menerima satu bentuk standard baharu, pendekatan ini membuka peluang seluas-luasnya buat peminat menilai sendiri perbezaan kedua-dua generasi tersebut.
Bantuan Berguna untuk Pemain Baharu

Walaupun hanya menghabiskan masa selama setengah jam, pelbagai inisiatif kecil terserlah bagi memudahkan pendatang baharu. Versi remaster memuatkan panduan butang, tip gameplay dalaman, serta menu Help yang tersusun.
Pakej tersebut dilengkapkan lagi dengan sarikata penuh untuk klip ‘skit movies’, beberapa pilihan mini-game, serta rakaman suara tertentu ketika bertarung. Kesemua penambahan ini tidak mengubah identiti asal tajuk tersebut, sebaliknya meratakan lengkung pembelajaran agar pengalaman yang dirasai lebih mesra kepada pemain baharu.
Kandungan Tambahan dan Nilai Main Semula

Di luar kisah utama, remaster ini padat dengan pelbagai tarikan ekstra serta insentif untuk mengulangi pengembaraan. Kemudahan Skit Player dan Sound Player memberi laluan kepada pemain untuk menonton semula gelagat dialog watak yang telah dibuka atau sekadar menikmati koleksi runut bunyi.
Sesi playthrough kedua pula menjadi lebih berbaloi kerana ia membenarkan fungsi carry over dipindahkan, merangkumi data watak, skill, inventori, koleksi lens, resipi masakan, battle command, sehinggalah rekod ensiklopedia.

Tahap cabaran turut diberi fleksibiliti sejak awal permainan tanpa memaksa kita menamatkan pengembaraan terlebih dahulu demi merasa kesukaran sebenar. Mod Mania boleh diakses pada playthrough pertama, sementara tahap Unknown yang lebih menguji kesabaran menanti pada percubaan seterusnya.
Malah, pihak studio membawakan kandungan endgame lebih awal, membolehkan anda meneroka dungeon pilihan Nereid’s Labyrinth seawal playthrough pertama sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Balir Castle.
Pendapat
Sesi singkat bersama Tales of Eternia Remastered meninggalkan kami dengan satu konklusi. Projek ini bukan sekadar naik taraf biasa. Sebaliknya, sebuah usaha pemodenan yang teliti berdasarkan rasa hormat terhadap semangat asal.
Aksi dungeon dan pertarungan bersama Undine membuktikan bahawa sistem combat serta eksplorasi masih bertahan dengan baik, manakala tambahan elemen seperti gerakan pantas, kelajuan AUTO battle, menu Boost, Quick Recovery, dan autosave membuang segala kekangan era retro.

Ditambah dengan kebebasan menukar mod visual, media player, serta tetapan ulangan, peminat setia mempunyai banyak sebab untuk bergembira.
Game ini akan datang ke PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, Nintendo Switch, dan PC (Steam) bermula 15 Oktober 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] Previu Tales of Eternia Remastered – Sebuah Klasik PS1 Diberi Nafas Moden](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/Tales-of-Eternia-Remastered_PREVIU_FI-750x375.jpg)



![[TGS2026] Hampir Sebaya Game Original, Produser Tales of Eternia Remastered Kongsi Cabaran Menghidupkan JRPG Retro Ini](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/Tales-of-Eternia-Remastered_QA_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post