Dicipta oleh GSC Game World, STALKER 2: Heart of Chornobyl (ditulis secara rasmi S.T.A.L.K.E.R 2) akan dikeluarkan pada 20 November 2024. Dibina berdasarkan elemen teras daripada pendahulunya, ansuran kali ini didakwa menawarkan pengalaman lebih mengasyikkan dengan grafik canggih dan reka bentuk open-world.
Dengan sasaran untuk memberikan pengalaman baharu kepada semua orang, pemain akan memasuki Zone sekali lagi, menghadapi jalan cerita yang lebih kompleks dan misi yang mencabar sambil meneroka kawasan baharu dan mendedahkan misteri baharu.
Kami mendapat peluang untuk mencuba game ini menerusi sesi hands-on, jadi berikut adalah pendapat kami.
Narratif dan Gameplay Umum
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_eksplorasi.jpg)
Seperti pendahulunya, STALKER 2 menampilkan peta open-world, membolehkan pemain meneroka dan mencari sumber secara bebas, sambil berhati-hati dengan makhluk mutan yang boleh menyerang pada bila-bila masa.
Sebagai game FPS, mekanik senjata adalah penting. Pengalaman menembak dan recoil terasa autentik, seperti mengendalikan senjata sebenar. Dalam game sebelum, anda boleh customize senjata dengan pelbagai attachment berdasarkan keutamaan, dan saya teruja untuk melihat ciri menyeronokkan dikekalkan dalam sekuel.
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_sniper.jpg)
Jika dilihat dari demo, peringkat awal permainan tidaklah terlalu sukar. Walaupun memerlukan banyak peluru untuk membunuh musuh, terdapat banyak sumber untuk dicari, yang menyelesaikan isu ini.
Game ini juga menyediakan panduan yang cukup mudah untuk menggunakan item, membantu pemain baharu jika mereka mengalami isu tertentu semasa fasa permulaan.
Grafik dan Audio
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_open-world.jpg)
Memandangkan 15 tahun telah berlalu sejak ansuran sebelum, kemajuan teknologi boleh dilihat, di mana studio menggunakan Unreal Engine 5. Grafik sudah pasti lebih baik daripada game lama, menawarkan visual definisi tinggi, butiran yang sangat terperinci, dan kesan pencahayaan lebih realistik.
Reka bentuk alam persekitaran pun adalah sorotan. Terletak di Zone pasca-apokalips, game ini mencipta suasana bencana dengan bangunan usang dan runtuhan di sekeliling. Pada masa yang sama, Zone dipenuhi dengan pelbagai anomali seperti kilat, api dan puting beliung yang boleh muncul secara tiba-tiba.
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_waktu-malam-1024x576.jpg)
Selain visual, reka bentuk bunyi meningkatkan suasana dengan drastik. Majoriti masa, kita tidak akan mendengar muzik latar belakang, hanyalah bunyi tapak kaki kita, ataupun bunyi daripada objek sekitar.
Persekitaran yang senyap ini bermakna bunyi yang kecil pun sudah cukup untuk memeranjatkan kita, lalu mewujudkan rasa tension semasa menjelajah Zone secara bersendirian.
Legasi dan Inovasi
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_inventory.jpg)
Sebagai sekuel, STALKER 2 mengekalkan banyak sistem pendahulunya. Sistem backpack dan berat adalah beberapa contoh. Sama seperti Resident Evil, peluru, makanan, ubat dan senjata akan memenuhi slot dalam beg, dan juga meningkatkan berat yang dipikul oleh pemain.
Apa yang berlaku jika anda melebihi had berat? Ini berkaitan dengan sistem “stamina”. Berlari akan mengurangkan stamina, dan apabila jatuh di bawah separuh, anda akan mendengar protagonis mula tercungap-cungap. Jika stamina habis sepenuhnya, anda perlu berhenti dan tunggu sehingga pulih sepenuhnya sebelum boleh bergerak semula.
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_mutant.jpg)
Oleh itu, lebih bijak untuk tidak meletihkan stamina, kerana anda mungkin perlu pecut pada bila-bila masa untuk melarikan diri dari raksasa. Semakin berat badan anda, semakin banyak stamina yang akan diambil semasa berlari. Jika melebihi had berat, berjalan kaki pun akan mengurangkan stamina anda.
Artifact, satu elemen penting dalam siri, juga kembali. Batu anomali ini muncul di Zone disebabkan oleh radiasi, di mana setiap satu menawarkan abiliti unik seperti peningkatan HP, stamina atau damage. Artifact yang lebih kuat boleh ditemui di kawasan radiasi tinggi tetapi mempunyai kesan sampingan yang lebih berbahaya, seperti pemain lebih mudah terdedah radiasi.
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_PDA.jpg)
Sekarang, mari kita bincangkan tentang mekanik baharu.
Pertama sekali, sekuel telah membuang sistem “plot review”. Dalam game terdahulu, pemain boleh menyemak semula semua dialog melalui PDA (Personal Digital Assistant), walaupun perbualan itu sudah lama berlaku. Studio memilih untuk membuang ciri ini kerana jumlah teks yang banyak dan membebankan.
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_penunjuk-1.jpg)
Satu lagi perubahan ialah sistem peta. Sebelum ini, game menggunakan mini-map di sudut kiri atas untuk navigasi. Sekuel menggantikan ini dengan penunjuk arah vertical.
Apabila pemain menandakan titik pada peta atau memilih misi, penunjuk akan memberitahu jarak ke sasaran. Ini adalah peningkatan yang dialu-alukan kerana mengurangkan risiko untuk sesat atau hilang lokasi sasaran.
Pendapat
![](https://cdn.gamersantai.com/2024/09/STALKER-2_previu_malam.jpg)
Ternyata, STALKER 2 adalah sekuel yang berjaya mewarisi elemen penting daripada pendahulunya sambil membuat penambahbaikan ketara.
Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah reka bentuk visual dan audio dalam game. Menggunakan Unreal Engine 5, kesan visual telah mencapai tahap baharu, dengan persekitaran terperinci dan kesan pencahayaan realistik. Ditambah dengan reka bentuk bunyi yang teliti, game ini mewujudkan suasana tension dan seram, menjadikan penerokaan pengalaman lebih berhati-hati dan mendebarkan.
Daripada segi jalan cerita dan gameplay, reka bentuk open-world kekal sebagai salah satu sorotan utama dalam siri ini. Mekanik senjata juga dibuat dengan sangat baik, di mana setiap tembakan memberikan maklum balas yang realistik. Tahap sesukaran, setakat ini, agak seimbang, di mana sumber yang banyak memastikan pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan cepat tanpa berasa tertekan.
Secara keseluruhan, STALKER 2 bukan sahaja telah mengekalkan intipati siri ini dengan setia tetapi juga memperkenalkan beberapa peningkatan dan inovasi yang bermakna.
Sementara menunggu keluaran STALKER 2: Heart of Chornobyl pada 20 November, anda boleh pre-order game ini sekarang di SINI untuk platform PC (Steam, Epic Games Store, Microsoft Store, GOG), dan Xbox Series X|S!
@gamersantaimy
Discussion about this post