Peminat My Hero Academia sudah lama menantikan sebuah permainan video yang benar-benar menangkap tenaga luar biasa dalam pertarungan-pertarungan klimaksnya. Melalui MY HERO ACADEMIA: All’s Justice, Bandai Namco tampil dengan game fighter arena 3D serba baharu yang menghidupkan arc Final War melalui penceritaan dan juga gameplay.
Setelah berpeluang mencubanya lebih awal di konsol PS5, saya boleh katakan ini adalah entri paling bercita-cita tinggi dalam francais ini setakat ini. Fokus utama kami dalam previu ini adalah pada dua mod utama: Story Mode yang sinematik dan Mod Team Battle 3v3 yang penuh aksi.
Menghayati Semula Final War dalam Story Mode
Story Mode meletakkan pemain terus ke tengah-tengah arc Final War.
Ia lebih daripada sekadar penceritaan semula siri anime—melalui gabungan antara babak penceritaan sinematik dan pertarungan yang boleh dimainkan, anda akan berasa seolah-olah sedang berada di barisan hadapan dalam pertembungan antara Izuku Midoriya dan Tomura Shigaraki.

Bab pembukaan bermula dengan Midoriya dan juga berfungsi sebagai tutorial yang bijak, membiasakan pemain dengan sistem kawalan sambil membuka tirai untuk konflik yang lebih besar.
Untuk menjadikannya lebih menarik, Bandai Namco telah mengesahkan bahawa Story Mode ini akan merangkumi babak-babak eksklusif dalam game yang tidak pernah dilihat dalam siri anime, memberikan peminat bahan baharu untuk dinikmati di samping detik-detik dramatik yang sudah biasa ditonton.
Ini adalah cara yang imersif untuk menghayati semula saga ini sambil menemui plot-plot baharu.
Pertarungan Berpasukan 3v3: Tag, Kombo, dan Atur Strategi
Mod kedua yang kami cuba, Team Battle 3v3, adalah di mana game sebenar terserlah. Setiap perlawanan mempertemukan dua pasukan yang dianggotai tiga orang ahli, dan kemenangan akan berpihak kepada pasukan yang berjaya menewaskan ketiga-tiga watak lawan.

Pada mulanya, sistem kawalan mungkin terasa sedikit rumit. Terdapat banyak kombinasi untuk dipelajari, merangkumi counter, serangan jarak dekat, guard break, unblockable, dan dodge. Namun, apabila anda sudah biasa dengannya, sistem ini membuka pelbagai kemungkinan untuk gameplay yang kreatif.
Sudah tentu, tarikan utama mana-mana game My Hero Academia ialah aksi Quirk. Kebolehan istimewa ini bukan sahaja berkuasa—ia direka untuk kelihatan dan dirasai seolah-olah diadaptasi terus daripada anime.
Menggabungkan serangan Quirk bersama rakan sepasukan bukan sahaja menghasilkan damage yang besar, tetapi juga mencipta gaya sinematik yang pastik disukai oleh peminat.

Satu lagi lapisan taktikal ditambah melalui Mod Rising yang baharu. Apabila diaktifkan, ia akan meningkatkan semua statistik anda—kuasa serangan, kelajuan pergerakan, dan kelajuan pemulihan.
Lebih menarik lagi, jika anda hanya tinggal watak terakhir, Mod Rising akan diaktifkan secara automatik, memberikan anda peluang untuk mengubah nasib perlawanan. Ia adalah mekanik hebat yang menjadikan setiap pertarungan sentiasa saspens hingga ke penghujungnya.

Anda juga boleh menukar watak pada bila-bila masa, satu ciri yang menjadi kunci kepada serangan dan pertahanan. Ada pemasa ‘cooldown’ untuk mengelakkan spamming, jadi ‘timing’ pertukaran watak adalah penting.
Jika dilakukan dengan betul, pertukaran watak membolehkan anda memanjangkan kombo, melarikan diri daripada bahaya, atau mengubah keadaan dengan ‘assist’ yang tepat pada masanya. Hasilnya ialah sistem combat yang terasa pantas tetapi masih taktikal, memberi ganjaran kepada refleks pantas dan juga perancangan yang teliti.

Berdasarkan pengalaman saya, sistem combat terasa pantas, lancar, dan setia kepada sumber asalnya. Setiap watak menghidupkan Quirk mereka dengan kesan visual yang menakjubkan dan animasi yang lawa.
Serangan penamat Plus Ultra pula adalah sajian visual yang hebat—gerakan sinematik dan luar biasa yang menangkap semangat My Hero Academia dengan sempurna. Apa yang paling mengagumkan saya ialah bagaimana game ini mengimbangi antara ‘accessibility’ dan ‘depth’.
Sistem kawalannya cukup mudah untuk dikuasai oleh peminat kasual, manakala mekanik berpasukan dan Sistem Rising memberi banyak ruang untuk pemain berpengalaman mendalami dan menguasai strategi.
Senarai Watak yang Padat dengan Sistem Baharu
Salah satu pengumuman paling menarik ialah buat pertama kalinya dalam judul konsol, All’s Justice akan menampilkan setiap ahli Kelas 1-A sebagai watak yang boleh dimainkan. Selain itu, pemain boleh memilih Hero Profesional dan Villain dalam bentuk terhebat mereka seperti yang muncul dalam pertarungan kemuncak arc Final War.
Pelbagai kemungkinan untuk membina pasukan menjadikan mod 3v3 ini lebih menyeronokkan.

Menambah satu lagi lapisan ialah Sistem Rising yang serba baharu. Mekanik ini membolehkan watak melepaskan Kuasa Quirk mereka pada tahap maksimum, memperkuat kebolehan mereka untuk melancarkan serangan dahsyat.
Secara praktikalnya, ia terasa seperti satu cara untuk membawa setiap pertarungan ke tahap intensiti kemuncaknya—mencerminkan bagaimana para hero dan penjahat bertarung sehabis baik dalam siri ini.
Pendapat Setakat Ini
Dengan penceritaan sinematik, senarai watak yang luas, dan combat 3v3 yang strategik, MY HERO ACADEMIA: All’s Justice bakal menjadi game MHA yang terunggul. Dengan meliputi arc Final War serta menawarkan perspektif hero dan penjahat, ia bukan sekadar menceritakan semula kisah, malah mengembangkannya.
Mekanik seperti Sistem Rising dan kemasukan semua ahli Kelas 1-A terasa seperti hadiah istimewa buat para peminat.

Berdasarkan previu ini, selamat untuk mengatakan bahawa All’s Justice menyasarkan untuk menjadi lebih daripada sekadar satu lagi game adaptasi anime.
MY HERO ACADEMIA: All’s Justice akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC. Walaupun belum ada tarikh pelancaran yang tetap, game ini disenaraikan sebagai “Akan Datang,” dengan pra-tempah dan wishlist sudah pun tersedia. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post