Bersedia untuk menyelami pengalaman penuh adrenalin dengan Aetherdrift, set terbaru Magic: The Gathering (MTG), yang akan dilancarkan pada 14 Februari 2025.
Dalam expansion kali ini, pemain dibawa ke dunia perlumbaan penuh aksi—Ghirapur Grand Prix (GGP)—di mana risiko tinggi dan strategi pintar menjadi kunci kejayaan. Set ini memperkenalkan mekanik gameplay yang segar, seni visual yang memukau, dan naratif yang pasti memikat hati peminat MTG.
Mari lihat apa yang menanti anda dalam pengembaraan ini!
Latar Naratif
Ghirapur Grand Prix (GGP) bermula sebagai perlumbaan haram di Ghirapur, ibu kota Avishkar (dahulunya dikenali sebagai Kaladesh). Namun, dengan pembukaan Omenpaths, perlumbaan ini berkembang menjadi acara antara dimensi, menonjolkan kehebatan teknologi dan keupayaan organisasi Avishkar.
Kini memasuki edisi antara dimensi yang kedua, GGP menampilkan persaingan sengit antara sepuluh pasukan dari pelbagai dimensi, semuanya berjuang untuk meraih hadiah agung—Aetherspark, sebuah artifak legenda yang memberi kebebasan mutlak untuk merentas dimensi.

Asal-usul GGP bermula daripada “Ghirapur Sprint,” perlumbaan haram tahunan semasa Inventors’ Fair. Dianjurkan oleh New Culture Collective (NCC), acara ini menjadi simbol penentangan terhadap pemerintahan zalim kerajaan Consulate.
Perlumbaan ini disertai oleh kurier, penyeludup aether, artis kinetik, dan jurutera berani yang bersatu dalam menentang kuasa autoriti. Selepas revolusi Avishkar dan pencerobohan Phyrexia, Sprint berkembang menjadi Ghirapur Grand Prix moden, acara sukan rasmi yang mencerminkan ketahanan dan kemajuan masyarakat Avishkar.

Hadiah utama, Aetherspark, adalah sebuah artifak misteri yang dipercayai mengandungi Planeswalker spark. Ia mampu memberikan kebolehan merentas dimensi tanpa perlu menjadi Planeswalker semula jadi.
Walaupun fungsinya masih belum terbukti sepenuhnya, Aetherspark melambangkan warisan teknologi Avishkar dan menjadi trofi yang paling didambakan oleh pelumba dari seluruh Multiverse.
Perlumbaan ini merangkumi tiga dimensi utama:
- Muriganda: Sebuah dimensi liar dan primitif yang penuh dengan cabaran. Walaupun tidak memiliki pasukan rasmi, ia menjadi lokasi untuk salah satu peringkat perlumbaan paling berbahaya—gunung berapi yang meletus, dinosaur yang agresif, dan rupa bumi yang sentiasa berubah menjadi ujian ketahanan pelumba.
- Avishkar: Sebuah dimensi pascarevolusi yang kini diperintah oleh People’s Assembly. Dahulu di bawah kawalan konsulat, Avishkar kini menggunakan GGP untuk mempamerkan kekuatannya serta aspirasi diplomatiknya.
- Amonkhet: Sebuah dimensi yang sedang bangkit semula selepas era penindasan Nicol Bolas dan serangan Phyrexia. Pasukannya, yang terdiri daripada rakyat yang masih hidup dan zombi, membawa semangat harapan dan perpaduan dalam usaha pembinaan semula masyarakat mereka.
Sepuluh Pasukan Aetherdrift
Setiap pasukan perlumbaan dalam Aetherdrift membawa gaya, latar belakang, dan tujuan unik, menjadikan pertandingan ini penuh warna dan aksi:
1. Cloudspire Racing Team: Juara bertahan dari Kylem, mereka menggunakan sihir khas dimensi mereka untuk menggerakkan kenderaan berkelajuan tinggi. Dengan Kolodin dan Chandra Nalaar sebagai ketua bersama, pasukan ini memadukan profesionalisme dengan kemahiran luar biasa yang sukar ditandingi.
2. Guidelight Voyagers: Pasukan ini tersesat ke perlumbaan dari dimensi misteri dan bertanding sambil mencari jalan pulang. Kenderaan mereka, binaan mistik yang anggun dan dikuasakan oleh aether tidak stabil, mencerminkan asal-usul mereka yang penuh teka-teki.
3. Speed Demons: Melambangkan estetika gelap era 1980-an Amerika, pasukan ini dipimpin oleh Winter, seorang entiti spektrum. Dengan kenderaan yang dikuasakan tenaga hantu, mereka meninggalkan jejak menyeramkan di litar perlumbaan, lengkap dengan lampu neon dan suasana misteri.
4. Endriders: Mangsa dari dimensi yang dilanda peperangan sumber, pasukan ini berlumba demi mendapatkan bekalan air untuk tanah air mereka yang kering. Kenderaan mereka yang tahan lasak dan diubah suai mencerminkan daya tahan serta kebijaksanaan mereka.
5. Goblin Rocketeers: Sekumpulan goblin yang menyembah “The BOOSTGOD.” Kenderaan mereka, bertenaga roket yang tidak stabil, hadir dengan reka bentuk yang terang dan penuh ledakan, mencerminkan gaya hidup mereka yang serba gila.
6. Alacrian Quickbeasts: Pasukan ini berasal dari dimensi Alacria, di mana pelumba bergabung dengan binatang berperisai. Kombinasi elemen fantasi dan perlumbaan memberi pasukan ini gaya unik yang melambangkan kesatuan dan kekuatan daerah mereka.
7. Champions of Amonkhet: Melambangkan perpaduan antara hidup dan mati, mereka berlumba dengan kereta perang yang ditarik zombi serta senjata berhias mewah. Dipimpin bersama oleh Zahur dan Basri Ket, pasukan ini berdiri sebagai simbol harapan dan kesinambungan budaya Amonkhet.
8. Speedbrood: Makhluk serangga humanoid dari dimensi yang tidak dikenali, mereka mampu berubah menjadi kenderaan biomekanikal. Estetika mereka menggabungkan unsur organik dengan keanehan alien, menjelmakan kelajuan dalam bentuk yang paling tulen.
9. Aether Rangers: Sebagai kebanggaan Avishkar, pasukan ini memanfaatkan teknologi canggih untuk mencipta kenderaan apungan yang lincah dan pantas. Dengan Spitfire dan Pia Nalaar sebagai pemimpin, mereka mengutamakan inovasi, ketepatan, dan kelajuan.
10. Chordatan Keelhaulers: Lanun jerung antara dimensi yang terkenal dengan kenderaan air bertema laut. Reka bentuk mereka yang menakutkan dan efisien mencerminkan gaya perlumbaan yang sukar dijangka, menyerlahkan kehebatan taktik mereka di litar.
Mekanik Baru dan Cara Bermain
Dalam expansion ini, pemain akan diperkenalkan dengan mekanik inovatif yang membawa dimensi baharu kepada strategi dan pertarungan. Antaranya termasuk:
Start Your Engines: Mekanik ini meningkatkan “kelajuan” pemain setiap kali lawan kehilangan nyawa. Apabila pemain mencapai tahap “kelajuan maksimum” pada level 4, mereka akan membuka pelbagai bonus unik yang disesuaikan dengan kad dalam dek mereka.

Exhaust: Keupayaan sekali guna yang sangat berkuasa, berfungsi seperti pecut turbo untuk kenderaan. Kad dengan keyword Exhaust boleh menetapkan semula kesannya jika ia meninggalkan medan permainan dan kembali semula, memberikan peluang strategik tambahan.
Saddle: Mekanik yang diperkenalkan semula dari expansion dahulu, ia membolehkan makhluk “menunggang” makhluk lain, memberikan pelbagai kelebihan unik. Dengan menggabungkan sinergi antara makhluk dan fleksibiliti strategi, Saddle memperkayakan elemen perlumbaan yang lebih dinamik dalam permainan.

Turut diperkenalkan adalah beberapa Commander Deck baharu. Kami dapat mencuba Saheeli, Radiant Creator, yang menggalakkan permainan kreatif dan strategik melalui penggandaan artifak, dan Temmet, Vizier of Naktamun, yang menekankan sinergi zombi, menawarkan kelebihan secara beransur-ansur melalui interaksi buang kad dan graveyard.
Sebagai tambahan, MTG Arena memperkenalkan sistem pencapaian baharu, memberikan pemain matlamat dan ganjaran yang berharga.
Sorotan Seni Visual
Ke soal visual, tidak hairan memang set ini memberikan pengalaman yang penuh warna dan butiran. Pertama sekali, kita ada “Gold Foil Box Topper,” yang hadir dengan kemasan logam premium yang melambangkan prestij trofi serta pingat perlumbaan.
Kedua, kita ada “Driver Seat Land.” Kad ini menampilkan seni penuh yang menggambarkan litar perlumbaan serta landskap ikonik dari pelbagai dimensi, membawa pemain menyelami dunia perlumbaan berisiko tinggi.
Ketiga adalah “Borderless Treatments” yang mempersembahkan seni unik mencerminkan identiti setiap pasukan perlumbaan. Akhir sekali adalah “Revved-Up Frames” yang menyerlahkan tenaga dinamik pelumba dan kenderaan dalam aksi, selari dengan tema yang ditampilkan dalam set ini.
Untuk maklumat lanjut tentang MTG Aetherdrift, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post