Peminat setia Dragon Quest V pasti akan teruja kerana Bianca dan Nera akan kembali… cuma kali ini mereka tampil dengan lebih comel berbanding sebelum ini. Baru-baru ini, kami berpeluang mencuba sesi hands-on dengan build awal versi PS5 Pro bagi Dragon Quest Monsters: The Withered World selama kira-kira 90 minit.
Kami mengikut pengembaraan duo ikonik ini meneroka dunia yang meriah dan dipenuhi pelbagai raksasa, bersesuaian dengan rekaan visual baharu yang menawan.

Raksasa-raksasa di dalam game ini juga tidak kurang comelnya. Dengan lebih 500 makhluk untuk dicari, dikumpul, dan dilatih, peminat genre monster-taming mempunyai banyak perkara untuk cuba.
(Jika mahu gambaran yang lebih mendalam, jangan lupa baca artikel temu bual kami, di mana pengarah dan produser game ini berkongsi lebih banyak maklumat tentang senarai raksasa dan mekanik utamanya.)
Sesi hands-on kami memberi peluang untuk mencuba dua bahagian utama iaitu Story Mode dan Synthesis Mode.
Kisah Bianca & Nera serta Cara Menjinakkan Raksasa

Kisahnya bermula apabila Bianca dan Nera tiba-tiba dihantar ke alam semesta Dragon Quest Monsters. Sebaik sahaja memulakan permainan, anda boleh memilih watak utama serta “starter monster” sebelum memulakan pengembaraan.
Dari situ, sesi pratonton beralih kepada elemen eksplorasi dan combat, yang menekankan cara kita merekrut sekutu baharu. Mengajak raksasa menyertai anda bukan sekadar menewaskan mereka dalam pertarungan.

Sebaliknya, anda menggunakan mekanik scouting sewaktu bertarung; semakin tinggi peratusan kejayaan yang dicapai, semakin cerah peluang untuk merekrutnya. Dalam sesetengah keadaan, ada raksasa mesra yang akan terus mendekati kita selepas pertarungan dan meminta untuk menyertai parti secara sukarela.
Dunia Hidup dengan Kitaran Waktu dan Pelbagai Rahsia

Meneroka peta merupakan antara bahagian paling menyeronokkan sepanjang sesi permainan kami. Ahli parti akan mengekor betul-betul di belakang semasa berjalan, membuatkan perjalanan terasa meriah dan mencuit hati.
Game ini turut menampilkan kitaran siang dan malam yang mengubah pemandangan serta suasana dunia mengikut peredaran masa. Memandangkan raksasa berkeliaran secara bebas di “overworld”, kita tidak boleh berlari melulu dari satu objektif ke objektif seterusnya. Anda perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Ada juga banyak interaksi menarik di seluruh peta, termasuk peti harta karun tersembunyi, biji benih yang boleh dikutip, checkpoint perjalanan, dan tumbuhan layu yang boleh kita siram.
Combat Klasik Tanpa Perlu Kawal Setiap Serangan
Sistem combat masih mengekalkan format klasik Dragon Quest Monsters; kita memainkan peranan sebagai “monster wrangler” (penjinak raksasa), manakala pasukan anda yang akan bertarung di medan lawan.

Daripada mengawal setiap serangan atau sihir secara terperinci, pemain menetapkan taktik umum kepada raksasa untuk menentukan cara mereka bertindak dalam combat.
Ini memberi penekanan tinggi kepada team building dan pemilihan komposisi parti yang tepat, terutamanya apabila berdepan dengan bos dan musuh elit yang lebih mencabar. Dengan lebih 500 raksasa dalam game, pemain mempunyai ruang yang sangat luas untuk mencuba pelbagai kombinasi pasukan dan gaya permainan.

Game ini turut menyediakan ciri auto-battle yang sangat memudahkan, terutamanya apabila kita menentang gerombolan musuh yang lemah atau sedang grinding dalam pertembungan biasa.
Gabung Dua Raksasa Menjadi Satu Sekutu Luar Biasa

Separuh masa kedua sesi pratonton menumpukan kepada sistem Synthesis, yang membolehkan kita menggabungkan dua raksasa untuk menghasilkan raksasa baharu sepenuhnya.
Di sinilah kitaran “mengumpul raksasa” menjadi penting. Mencuba pelbagai gandingan berbeza membolehkan kita mewariskan “traits”, membiak sekutu yang lebih kuat, dan menyusun barisan kuat secara terperinci. Anda malah boleh membuka raksasa “rare” dan lebih berkuasa, yang tidak boleh diperoleh melalui scouting biasa.

Jika gemar melakukan theorycrafting untuk membina pasukan serta menggabungkan makhluk demi menghasilkan skuad terhebat, Synthesis pasti akan menjadi tarikan utama bagi anda.
Pendapat
Dragon Quest Monsters: The Withered World mengekalkan segala keistimewaan yang menjadikan siri spin-off ini begitu digemari. Rekaan raksasa yang menawan, dunia yang warna-warni, serta sistem rekrut yang sangat mendalam.
Senarai lebih 500 raksasa memberi banyak ruang untuk penerokaan, sistem Synthesis menawarkan pilihan customization tanpa had untuk membina parti, dan ciri auto-battle merupakan penambahan quality-of-life yang sangat dialu-alukan bagi memudahkan combat.

Walau bagaimanapun, rentak permainannya masih boleh diperbaiki lagi. Beberapa bahagian dalam sesi pratonton terasa agak perlahan, dan combat pasti akan menjadi jauh lebih baik jika disediakan pilihan “fast-forward battle speed” supaya pertembungan berjalan dengan lebih cepat.
Walau apa pun, ada banyak perkara menarik yang boleh dinantikan, terutamanya bagi peminat tegar Dragon Quest dan penggemar genre “creature-collector”.

Gabungan raksasa yang comel, eksplorasi terbuka, sistem scouting, dan mekanik cantuman membuktikan bahawa The Withered World mempunyai potensi yang sangat cerah, dan kami tidak sabar untuk melihat bagaimana versi penuhnya nanti.
Game ini akan tersedia di Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam dan Microsoft Store bermula 3 Disember 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
(Notis: Semua gambar diambil daripada versi pembangunan awal / in-development build PS5.)









Discussion about this post