Sebut “cheese” kerana wartawan a.k.a pemburu zombie kegemaran semua, Frank West, akan kembali beraksi di ‘Dead Rising Deluxe Remaster!’
Dianimasikan semula dengan RE ENGINE ciptaan Capcom, Dead Rising Deluxe Remaster ialah remaster definitif bagi game klasik Dead Rising pada 2006, yang menyampaikan perspektif baharu kepada genre zombie dengan aksi luar biasa, pertarungan gila-gila, pelbagai pilihan senjata, kostum yang lebih aneh, dan jalan cerita yang komedi namun masih menarik.
Di sini, kami mendapat peluang untuk mencuba Dead Rising Deluxe Remaster, dan untuk previu ini, kami akan lebih fokus untuk menerangkan ciri baharu berbanding menerangkan tentang gameplay spesifik. Berikut adalah isinya:
Jalan Cerita
Dead Rising meletakkan pemain dalam peranan Frank West, seorang wartawan yang tidak sabar-sabar untuk menangkap berita besar seterusnya. Naratif game ini dipacu oleh keazaman Frank untuk mendedahkan kebenaran di sebalik wabak zombie misteri di bandar fiksyen Willamette, Colorado.
Premis Dead Rising terletak di Willamette Parkview Mall, sebuah kompleks membeli-belah luas yang penuh dengan beribu-ribu zombie.Pusat beli-belah itu, dibahagikan kepada beberapa kawasan bertema (seperti medan selera, kedai perkakasan dan pasar raya), serta berfungsi sebagai medan pertempuran dan tapak penyiasatan untuk Frank.
Setiap kawasan dihasilkan dengan teliti, di mana setiap kedai dan lokasi menawarkan beberapa item dan senjata unik.
Gameplay Umum
Gameplay umum bagi Dead Rising Remaster menggabungkan aspek penerokaan open-world, misi yang bergantung pada masa dan pertempuran kreatif dalam pusat membeli-belah yang penuh dengan zombie.
Remaster ini meningkatkan semua elemen ini dengan grafik, dan prestasi yang dikemas kini serta dimuatkan dengan kandungan tambahan, yang memberikan gameplay yang moden tetapi masih autentik kepada versi klasik.
Pemain mesti menguruskan masa, sumber dan tindakan mereka secara strategik untuk mendedahkan kebenaran di sebalik wabak dan mencapai keputusan yang terbaik.
Seperti saya kata tadi, Willamette Parkview Mall ialah persekitaran open-world luas yang dibahagikan kepada bahagian yang berbeza, masing-masing dengan kedai, tema dan barangan yang unik. Salah satu ciri yang menonjol ialah keupayaan untuk menggunakan hampir semua objek sebagai senjata.
Daripada senjata tradisional dan senjata jarak dekat kepada lebih banyak barangan tidak konvensional seperti pasu bunga, boneka pakaian dan CD — kreativiti pemain dalam pertempuran amat digalakkan. Malah, walaupun anda mengambil buku, buku itu boleh menguatkan anda dengan ATK+ atau Heal+.
72HOUR Mode
Mekanik berasaskan masa menambah unsur saspen kepada naratif. Frank mempunyai 72 jam dalam game (kira-kira 6 jam di dunia sebenar) untuk mendedahkan kebenaran dan mengumpulkan bukti yang mencukupi sebelum helikopter kembali.
Tempoh masa yang berdetik ini bakal mempengaruhi keputusan pemain, di mana anda perlu mengutamakan misi tertentu untuk memaksimumkan masa yang semakin terhad.
Seperti biasa, game ini mempunyai misi utama yang penting untuk memajukan naratif dan mendedahkan konspirasi di sebalik wabak itu. Biasanya berkait dengan masa, beberapa misi tertentu hanya boleh dimulakan dan disiapkan pada waktu spesifik.
Ini dibahagikan kepada Case 1 hingga Case 8. Anda perlu melengkapkan setiap satu, tetapi dalam previuini, saya hanya boleh bermain sehingga Case 3.
Bagi saya, jika saya bukan peminat genre ini atau baru sahaja bermain Dead Rising buat kali pertama, mungkin saya akan berasa agak gementar dengan setiap perkara yang dibuat. Kerana selain melawan zombie, saya juga “dikejar” oleh masa.
Sejujurnya, ini boleh menjadi pengalaman yang mencabar malah lebih menakutkan daripada game soulslike. Tetapi saya agak lega hati kerana dapat tahu Capcom telah menambah baik pelbagai ciri QoL (Quality-of-Life).
Ciri QoL Baharu
Salah satu ciri QoL yang paling membantu dalam versi remaster ialah kami kini boleh menembak sambil menyasar. Ini penting kerana pemain sebenarnya tidak boleh bergerak semasa menyasar dalam versi original.
Selain itu, setiap senjata kini mempunyai “visual value” untuk menunjukkan daya ketahanan semasa. Sebagai contoh, apabila memegang pisau, saya akan tahu bila senjata itu perlu diganti supaya tidak terkejut apabila pisau itu tiba-tiba pecah.
Selain itu, kini terdapat ciri auto save jika anda telah menyelesaikan misi atau berjaya menemui sesuatu yang penting. Dalam game original, anda hanya boleh save di lokasi tertentu seperti tandas.
Penambahbaikan ini amat melegakan dan menjadikannya game kurang menyusahkan bagi pemain baru yang mungkin sudah terbiasa dengan game moden.
Visual
Juga sudah dijelaskan di atas, Dead Rising Remaster kini menggunakan RE Engine. Saya berani kata bahawa kualiti grafik kini 100% lebih bagus.
Saya kini boleh melihat butiran terperinci untuk setiap watak; daripada cara mereka bercakap, rambut, mata, darah, segala-galanya. Ini termasuk kawasan persekitaran yang kelihatan lebih realistik dan penuh dengan objek berbanding versi original.
Namun, walaupun watak model lebih terperinci, pergerakan watak kadangkala agak kaku, seolah-olah ini bukan game moden yang dibuat dengan RE Engine seperti biasa kita lihat.
Contohnya, cara Frank bergerak, melompat atau memukul masih serupa dengan game original, dan hal ini mungkin tidak menghairankan memandangkan Capcom menganggapnya sebagai remaster, bukan remake.
Oleh itu, saya dapat memainkan Dead Rising Remaster dengan tetapan maksimum pada PC (spesifikasi Ryzen 5 3600, 32GB RAM dan RX 6800). Tiada penurunan framerate dan game berjalan dengan lancar.
Namun, saya memang mengalami sedikit stuttering apabila bertemu dengan banyak zombie sekaligus. Tetapi masalah seperti ini semestinya akan dibaiki dalam patch masa depan.
Ini juga adalah berita baik untuk pemain PC kerana Dead Rising Remaster sudah menyokong pelbagai ciri untuk meningkatkan prestasi. Ciri ini termasuk NVIDIA DLSS, AMD FSR dan Intel XeSS.
Bagi sayam ciri-ciri ini sudah menjadi satu kemestian dalam game moden zaman ini dan Capcom telah melakukan kerja yang baik dengan meletakkan semua itu dalam game remaster ini.
Pendapat
Secara keseluruhan, Dead Rising Deluxe Remaster mengekalkan intipati game original sambil menambah baiknya untuk pemain moden.
Game original pun dianggap sebagai game yang bagus dengan banyak potensi, tetapi kini ia lebih baik dengan macam-macam penambahbaikan — bukan sahaja dari segi visual, tetapi juga penambahan ciri QoL yang memudahkan pemain baru untuk mencuba.
Bagi mereka yang berminat, Dead Rising Deluxe Remaster akan dikeluarkan pada 19 September 2024 secara digital untuk Xbox Series X|S, PlayStation 5 dan PC melalui Steam, dan 8 November 2024 secara fizikal untuk PlayStation 5. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post