Saya sendiri tidak terkejut melihat Tiny Tina mendapat game spin-off sendiri, mula-mula dengan Assault on Dragon’s Keep dan sekarang game ‘standalone’ bernama Tiny Tina’s Wonderlands. Bakal dilancarkan pada 25 Mac 2022 di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC secara eksklusif di Epic Games Store, 2K Games memberi saya peluang untuk preview Tiny Tina’s Wonderlands versi demo! Oleh itu, saya akan cuba menerangkan sebaik mungkin tentang apa korang bakal hadapi apabila main game ini nanti.
Gameplay ala Borderlands tetapi dengan unsur magic
Secara ringkas, Tiny Tina’s Wonderland ialah “fantasy looter shooter” yang memakai semua sistem ikonik Borderlands lalu menambah beberapa mekanik unik, seperti spellcasting dan fokus lebih khusus kepada melee combat. Aksi memang fast-paced, pertempuran sangat huru-hara, dan ada banyak senjata aneh untuk kita guna.
Walaupun terdapat banyak senjata yang boleh digunakan, suatu senjata yang hilang ialah bom tangan. Menurut developer, ini kerana mereka berharap “spellcasting” dapat mengambil alih. Spellcasting bukan sahaja menjadi penambahan yang menarik, malah sejumlah daripada magic yang kita boleh buat menghasilkan damage yang sama besar seperti mana-mana senjata OP dalam Borderlands 3.
Antara sihir yang boleh kita cuba adalah seperti mengubah musuh kepada “makhluk kecil”, membina dinding api untuk menghalang jalan, menyeru hujan bebola gelap dari langit dan lain-lain. Disebabkan ada macam-macam untuk cuba dan setiap satu sangat menyeronokkan untuk digunakan, spellcasting mungkin akan menjadi pilihan yang lebih popular berbanding senjata api.
Bagi senjata lain yang bukan senapang, nampaknya terdapat lebih banyak penekanan pada pertempuran jarak dekat. Kita boleh mengayunkan tukul berapi yang besar, pedang yang besar, dan lain-lain. Senapang bukan satu-satunya barang untuk dikumpul lagi dan melee combat kini menjadi pilihan yang “boleh diharap” bersama spellcasting. “Stat modifier” juga boleh dilengkapi dan berfungsi seiring dengan loadout kita untuk memaksimumkan keberkesanan dalam pertempuran. Sebagai contoh, beberapa peralatan melee boleh mengurangkan tempoh cooldown untuk spellcasting.
Walaupun senapang amat penting dalam Borderlands, Tiny Tina’s Wonderlands melakukan sesuatu yang berbeza dan mengutamakan magic supaya tidak menjadi satu lagi entri tradisional dalam siri utama Borderlands.
Watak yang saya cuba
Buat pertama kali dalam francais, kita tidak perlu memilih antara Vault Hunter yang telah ditetapkan. Korang kini boleh customize watak sendiri yang dipanggil Fatemaker. Seperti biasa, kita boleh memakai kelas berbeza tetapi penampilan watak boleh diubah suai sepenuhnya.
Setiap kelas mempunyai kelebihan dan kekurangan memasing. Disebabkan gameplay Tiny Tina’s Wonderlands lebih bebas,ia membuka jalan kepada kita untuk mencuba semua dan bukannya terikat kepada satu playstyle tunggal. Terdapat enam kelas dalam game penuh, tetapi untuk demo ini, saya hanya boleh cuba dua sahaja: Graveborn dan Stabbomancer. Berikut adalah gambaran ringkas:
Stabbomancer: merupakan kelas “rogue” dan fokus pada pembunuhan senyap/Critical. Kelas ini boleh menyeru sejenis bilah berputar untuk menyerang musuh, dan juga boleh menyorok dalam bayang-bayang untuk melindungi HP mereka yang sedikit. Disifatkan sebagai “jack of all trades” tetapi tidak menguasai satu aspek khusus, Stabbomancer merupakan pakar dalam mengeksploitasi kelemahan dan menyerang pada saat yang tepat.
Graveborn: ialah kelas yang mempunyai teman berguna bernama Demi-Lich. Apabila Graveborn menggunakan sejenis spell, Demi-Lich juga akan menggunakan spell sendiri, serta menyeru konco-konco lain untuk bantu menentang musuh. Kelas ini boleh melakukan jumlah damage yang besar, tetapi kebanyakan abiliti mereka memakan HP sendiri, lantas membahayakan diri sendiri jika digunakan secara cuai.
Pendapat
Daripada preview ini, saya faham bahawa gameplay Tiny Tina’s Wonderlands hampir sama seperti Borderlands, tetapi ditambah dengan beberapa mekanik baru untuk memastikan game terasa baru dan menarik. Walaupun saya kata begitu, itu tidak bermakna ia membosankan. Saya masih merasa seronok sebab jumlah fleksibiliti yang diberi semakin banyak dan kita dapat mencuba mekanik yang lain daripada lain seperti spellcasting.
Harap-harap, kita dapat bereksperimen dengan macam-macam lagi apabila game dilancarkan secara! Jika korang tidak pernah bermain mana-mana game dari francais Borderlands sebelum ini, saya rasa itu tidak menjadi masalah dan korang masih boleh berseronok main game ini.
Sebelum menamatkan preview Tiny Tina’s Wonderlands ini, saya ingin berkongsi spesifikasi minimum untuk kita menjalankan game ini di PC:
- CPU – AMD Ryzen 5 2600 / Intel i7-4770
- GPU – AMD Radeon RX 590 8GB / NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB
- RAM – 16GB
- STORAGE – 75GB
Tiny Tina’s Wonderlands akan dilancarkan pada 25 Mac 2022, untuk Xbox Series X/S, Xbox One, PS5, PS4 dan PC melalui Steam dan Epic Games Store.
@gamersantaimy
Discussion about this post