Saya pertama kali menyentuh game “skating platformer” ini pada Jun 2021. Tanpa diduga, kami dapat menulis preview untuk OlliOlli World buat kali kedua sementara menunggu versi akhir. Walaupun gameplay utama masih sama, tetapi kali ini pihak developer memberi akses kepada SEMUA kandungan. Agak “wow” di situ tetapi memandangkan ini masih preview, saya hanya dibenarkan memberi info berdasarkan pengalaman dari tiga zon pertama iaitu Sunshine Valley, Cloverbrook dan Burntrock.
Tanpa melengahkan masa, inilah preview kedua saya untuk OlliOlli World!
Jalan cerita
Kempen OlliOlli World sebenarnya agak linear. Pada permulaan game, kita diberi sinopsis tentang dunia Radlandia, sebuah utopia skating yang dicipta oleh lima Skate Godz. Dengan kemahiran tahap dewa, merekalah yang membentuk kawasan-kawasan yang kita bakal lihat sebelum akhirnya membahagikan Radlandia kepada lima zon, masing-masing dengan persekitaran unik sendiri. Selesai sahaja semua itu, Skate Godz membuat keputusan untuk pulang ke Gnarvana. Di sini, mereka menunggu pemain yang boleh menguasai lima skil utama bagi mengekalkan keseimbangan di Radlandia.
Secara lebih khusus, skater berbakat ini akan digelar sebagai Skate Wizard, tetapi insan-insan seperti ini sukar untuk dicari dan setakat ini hanya ada seorang skater bernama Chiffon yang memegang gelaran tersebut. Dia pun tidak boleh memegang tanggungjawab itu selama-lamanya dan ingin mencari seseorang untuk menggantikannya. Bersama Suze, Mike dan seorang lelaki bernama Dad (memang namanya gini), Chiffon mengadakan ujian untuk mencari Skate Wizard seterusnya iaitu kita, si Pemain.
Apa yang membuatkan kisah OlliOlli World begitu menarik semasa saya mencuba preview ini adalah bagaimana studio memastikan segala-gala yang berlaku sentiasa kekal relevan dengan tema. Semuanya berkait dengan tema skating, seperti reka bentuk dunia yang membolehkan kita meluncur di pokok, dan konsep “keseimbangan hanya boleh dicapai dengan skating”. Ke mana sahaja korang pergi, akan sentiasa ada orang yang gemar skating dan bagi mereka, ia sama penting seperti bernafas.
Customization
Sebelum memulakan pengembaraan untuk menjadi Skate Wizard, jelas sekali kita perlu mencipta watak sendiri terlebih dahulu. Tidak banyak yang perlu saya jelaskan tentang ciri ini selain bahawa anda boleh menukar penampilan, pakaian dan skateboard untuk watak. Cuma, aspek customization sangat padat! Terdapat begitu banyak pakaian dan kosmetik yang boleh anda padankan walaupun baru sahaja mulakan game. Oleh itu, walaupun ciri customization agak simple, kelebihannya adalah kita boleh memadankan pelbagai kosmetik sehingga jumpa gaya idaman.
Radlandia
Seperti saya jelaskan tadi, Radlandia ialah sebuah benua besar yang terbahagi kepada lima zon. Setiap zon ini sangat berbeza antara satu sama lain, bukan sahaja dari segi reka bentuk persekitaran dan halangan yang perlu anda hadapi, tetapi bagaimana ia berkait kepada jalan cerita utama. Setiap zon ini mewakili seorang Skate Godz berbeza, di mana reka bentuk level juga mewakili keistimewaan Skate Godz yang pernah menghuninya.
Sebagai contoh, Technicolas memakai baju renang dan mempunyai wajah tapak sulaiman. Berasal dari kawasan pertama iaitu Sunshine Valley, zon ini mempunyai banyak pantai indah di sekeliling. Pada masa yang sama, kita akan bertemu dengan skaters lain yang juga bertindak sebagai “rival” di mana anda perlu mengalahkan markah mereka dalam setiap level. Selain itu, ada beberapa NPC yang memberikan akses ke level bonus (Side Quest) untuk kandungan dan cabaran ekstra.
Setiap kali memulakan level baru, akan ada perbualan pendek antara Chiffon dan gengnya di mana mereka memberi beberapa petua, panduan atau hanya sembang santai untuk menceriakan mood. Selain daripada menjadi watak sampingan, mereka memastikan kita akan memahami game. Oleh itu, masing-masing mempunyai peranan khusus seperti Chiffon yang bertindak sebagai “checkpoint” dan Mike yang memberi kita tiga cabaran berbeza dalam setiap level.
Matlamat untuk mengalahkan setiap level dalam game ini bukan sahaja untuk pergi ke peringkat seterusnya, tetapi juga memberi kita peluang untuk bertambah baik daripada segi kemahiran dengan bersaing dengan “rival” yang sebelum ini tidak dapat dikalahkan atau sekadar menyelesaikan cabaran Mike untuk mendapatkan kostum/kosmetik tambahan. Pendek kata, kita ada insentif untuk kembali ke level lama demi menguasai mekanik tertentu atau menyelesaikan 100% semua cabaran. Satu lagi perkara yang saya suka adalah game ini sangat pantas dan “straightforward”. Apa yang saya maksudkan adalah kita boleh restart seluruh level atau melompat terus ke checkpoint tanpa sebarang load time. Jadi dari segi “replayability”, game ini tiada masalah.
Skating
Memang jelas sekali, skating adalah bahagian yang paling penting dan menyeronokkan dalam game. Daripada mengikut konsep simulator ala-ala Tony Hawk’s Pro Skater, gameplay OlliOlli World masih tertumpu kepada platformer (genre sama seperti game klasik Mario). Skating cuma adalah cara untuk kita mengawal watak, jadi untuk melepasi satu level sambil mengelakkan halangan merupakan keperluan utama untuk maju dalam game. Mungkin ada yang fikir “oh, kacang je ni”.. Jangan tertipu dengan imej OlliOlli World, ia bukan platformer yang mudah.
Menguasai aksi skating sebenarnya agak mencabar dan kadangkala boleh membikin stress terutama apabila kita perlu menggunakan semua skil yang dipelajari untuk melepasi level. Namun, pada masa yang sama ia juga adalah bahagian paling menyeronokkan. Tidak seperti demo pertama yang saya cuba, demo kali ini memberi lebih banyak akses dan selepas beberapa jam, jumlah skil yang boleh saya pelajari ternyata sangat banyak. Malah ada satu menu khusus bernama Tricktionary yang menyenaraikan semua skil ke dalam kategori berbeza seperti Basic Tricks, Advanced Tricks, Special Tricks, Grinds, dan beberapa skil tambahan seperti Grabs dan Wallrides.
Secara beransur-ansur, mekanik akan menjadi lebih susah, malah reka bentuk level juga menjadi lebih kejam dengan halangan yang lebih sukar untuk ditewaskan. Satu perkara penting yang saya rasa semua perlu mahir secepat mungkin ialah kita perlu sentiasa mengekalkan momentum yang baik sambil tentukan masa terbaik untuk melompat. Nama pun game platformer kan? Dalam Mario, itu tidak mengapa sebab kita boleh patah balik. Dalam OlliOlli World, kita akan sentiasa bergerak ke depan jadi bayangkan betapa susahnya untuk buat semua yang saya sebutkan tadi.
Secara tidak langsung, ini mewujudkan keseimbangan yang baik antara platformer dan aksi skating, di mana kita perlu menumpukan perhatian untuk melepasi sesuatu halangan dengan menjaga momentum, sambil menggunakan semua peluang yang ada untuk melaksanakan skil dan trik sebanyak mungkin demi mendapatkan markah maksimum.
Multiplayer & mode tambahan
Disebabkan kempen single-player berlangsung di Radlandia, korang boleh jumpa mode tambahan di Gnarvana yang merupakan tempat kediaman para Skate Godz.
Gnarvana League – Mode multiplayer di mana korang boleh bersaing dengan pemain lain untuk mendapatkan skor terbaik dalam level tertentu. Awalnya, saya fikir “Aku macam pro dah ni. Boleh bantai orang lain”. Aduh sungguh saya tersilap! Kesemua top player handal-handal belaka. Kalau korang bersifat kompetitif, inilah tempat idaman.
Gnarvana Portal – Mode yang menawarkan kebebasan sepenuhnya kepada kita untuk bermain mana-mana level di mana anda boleh menukar gaya, tahap kesukaran dan juga tempoh level.
Ada juga satu fitur tambahan bernama Mastery yang bertindak sebagai sistem “achievement” dalam game. Setiap Skate Godz mempunyai set cabaran sendiri yang kita perlu selesaikan. Sesetengah daripada cabaran ini agak basic seperti melakukan Push atau Grind sebanyak 2,000 kali, manakala ada beberapa yang susah seperti menyelesaikan semua cabaran Mike. Ia akan bertambah lebih susah apabila kita capai kawasan yang lebih jauh. Setiap kali menyelesaikan cabaran, kita akan diberi ganjaran termasuk pakaian dan kosmetik, tetapi ia lebih “istimewa” kerana kita siap boleh mengubah penampilan supaya sama dengan setiap Skate Godz.
Pendapat
Pendapat keseluruhan saya untuk OlliOlli World semakin positif selepas mencuba preview kedua kerana ia hampir sama dengan versi akhir. Kombinasi yang sangat unik antara platformer dan skating dapat dicapai dan siapa sangka ia berfungsi dengan baik. Walaupun game ini mengikut mekanik yang sama seperti mana-mana game platformer, ia bukan sekadar bermain untuk maju ke level seterusnya. Itu bukanlah cara yang betul untuk bermain OlliOlli World, dan dengan cepat, ia akan menjadi membosankan.
Sambil bermain, kita perlu mempelajari skil baru dan cuba menguasainya 100%. Ia bukanlah proses yang mudah, tetapi akan menjadi pengalaman yang memuaskan sebaik sahaja kita menguasai satu skil yang sebelum ini gagal berkali-kali. Game ini juga memiliki daya tarikan tersendiri, berkat jalan cerita, watak yang menyeronokkan untuk berinteraksi, gaya seni comel ala kartun, dan muzik jenis lo-fi santai.
Saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang isu besar semasa mencuba preview, tetapi ada beberapa kali ia tidak bertindak balas mengikut apa yang saya tekan. Lebih banyak bug akan dijumpai oleh pemain apabila game ini dilancarkan secara rasmi, tetapi buat masa ini, masalah teknikal nampaknya sangat minimum.
Maka itu tamatlah preview kedua saya bagi OlliOlli World. Game ini akan keluar pada 9 Februari 2022 di Nintendo Switch, PlayStation 4, Xbox One, Microsoft Windows, PlayStation 5, Xbox Series X dan Series S. Jangan lupa ikuti Twitter mereka untuk info paling terkini!
@gamersantaimy
Discussion about this post