Tidak perlu apa-apa pengenalan, francais Assassin’s Creed sememangnya terkenal di seluruh dunia. Game pertama dikeluarkan pada tahun 2007, dan sehingga sekarang ia masih bertahan kuat dengan kemunculan Assassin’s Creed Mirage tidak lama lagi.
Asalnya bermula sebagai game yang mengutamakan gameplay menyelinap/stealth, francais ini lama-lama berubah kepada genre aksi. Assassin’s Creed Mirage ingin mengembalikan formula itu semula – jadi bagi peminat lama, mungkin entri ini yang anda tertunggu-tunggu.
Kami berpeluang untuk mencuba Assassin’s Creed Mirage secara hands-on melalui “remote play” oleh Ubisoft dan oleh itu, di bawah adalah pengalaman saya semasa bermain game ini!
Naratif berkisarkan Basim
Menurut sinopsis rasmi:
“Pada abad kesembilan CE, Baghdad berada di puncak dunia sebagai salah satu pakar dalam sains, seni, inovasi dan perdagangan. Di tengah bandar yang sibuk itu, ada seorang anak yatim muda dengan masa lalu tragis yang harus mengharungi pelbagai cabaran untuk teruskan hidup.
Anak muda itu bernama Basim Ibn Ishaq, seorang pencuri jalanan yang licik dengan visi menakutkan yang sedang mencari keadilan dan jawapan.
Selepas “membalas dendam”, Basim tinggalkan Baghdad dan sertai organisasi misteri yang digelar The Hidden Ones (kini dipanggil Assassin Brotherhood’s). Dibawah bimbingan seorang pahlawan Parsi bernama Roshan, Basim ditugaskan untuk mencari ahli Order of the Ancients lain (kini dipanggil Templar Order).
Maka, itulah sinopsis untuk kisah kali ini di mana naratif digambarkan sebagai “kisah masa lalu yang tragis”. Seperti yang saya terangkan tadi, pemain akan mengambil peranan sebagai Basim, yang sebelum memainkan peranan yang besar dalam Assassin’s Creed: Valhalla.
Disebabkan game ini berlaku pada abad ke-9, ini meletakkan kisah Mirage sebelum Valhalla dan juga sebelum peristiwa game pertama dalam francais. Mungkin ramai yang mengenali Basim sebagai antagonis rahsia dalam Valhalla tetapi apa sebenarnya yang terjadi kepadanya? Memang penuh tanda soal, dan saya pun tidak sempat melihat kebenaran itu dalam preview ini.
Dari perspektif ini, Mirage sepatutnya akan menjadi entri yang sangat-sangat menarik kerana memberi lebih banyak penjelasan tentang Basim, seorang watak yang tidak begitu kita kenal, dan latar belakang sejarah Assassin Brotherhood’s sebelum organisasi itu dikalahkan oleh para Templar.
Fakta tambahan: Supaya tiada siapa salah sangka, anda tidak boleh pilih antara dua jantina dalam Mirage (berbeza dengan game Assassin’s Creed yang moden) dan kita tidak boleh membuat pilihan dialog sendiri. Semuanya sudah ditentukan oleh naratif.
Lebih fokus pada stealth berbanding lawan bersemuka
Berbeza dengan beberapa game awal dalam francais, siri Assassin’s Creed berkembang ke genre aksi-RPG yang terdiri daripada peta yang luas dan pelbagai tugas yang mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Tetapi Ubisoft kini berhasrat untuk menarik perhatian peminat lama dengan menawarkan game yang lebih kecil tetapi padat.
Satu perbezaan paling drastik yang saya dapat rasa adalah Assassin’s Creed Mirage tidak menampilkan dunia besar dan luas sama seperti Origins, Odyssey dan Valhalla.
Sebaliknya, Mirage dibahagi kepada beberapa kawasan kecil berbeza di mana Baghdad akan berfungsi sebagai latar belakang utama untuk game ini. Sebagai tambahan, kita juga dapat pergi ke Anbar dan Alamut (antara beberapa lokasi yang sempat saya teroka semasa sesi hands-on ini).
Selain daripada menjadi lebih padat, Mirage memberi penekanan yang lebih kuat pada elemen stealth dan parkour. Misi jenis Black Box akhirnya kembali, di mana Basim dapat menggunakan pelbagai cara -baru dan lama- untuk mendekati dan membunuh sasaran.
Sangat berlainan dengan Bayek, Kassandra, dan Eivor; Basim bukanlah seorang “fighter” yang boleh melawan banyak musuh sekaligus secara terbuka. Apabila cuba membunuh sasaran, anda mesti fikir pendekatan secara strategik, pasang perangkap secara rahsia dan bersembunyi. Jika ditemui, lebih baik untuk anda merlarikan diri dan mencuba lagi kerana bertarung secara berdepan boleh mengakibatkan kematian yang tidak disengajakan.
Jika anda membayangkan gameplay Mirage sama seperti Valhalla, saya yakin anda akan mati lebih cepat. Jadi nasihat saya adalah untuk bersabar, lihat keadaan sekeliling, bermain secara pintar, bergerak cepat, bunuh sasaran, dan kemudian hilang.
Taktik stealth baru turut ditambah, yang merupakan salah satu upgrade terpenting dalam Mirage. Anda kini memiliki lebih banyak pilihan untuk jadi pembunuh senyap selain bersembunyi di sebalik dinding atau gunakan orang ramai untuk elakkan pengesanan. Paling praktikal sekali ialah Assassin Focus, yang membolehkan kita “tanda dan bunuh sasaran dengan cepat”.
Bernama Chain Assasination, skill ini boleh digunakan apabila anda ingin membunuh berbilang sasaran, secara ideal tanpa dikesan. Walau bagaimanapun, abiliti ini tidak akan menyelesaikan segala masalah. Pemain masih perlu menyusun strategi dan memanfaatkan beberapa alatan lain untuk membunuh semua musuh secara berkesan.
Antara alatan yang diberi pada Basim adalah seperti blowpipe yang dapat menidurkan musuh atau pasang perangkap bagi meracuni musuh. Selain daripada apa yang saya sebutkan tadi, kita juga boleh memakai throwing knives, noisemaker dan bom asap yang akan membantu dalam situasi lain. Semua alat ini menggalakkan pemain untuk berfikir secara strategik dan menyerang daripada bayang-bayang.
Dalam Valhalla, kita ditemani oleh burung gagak tetapi dalam Mirage, pemain akan ditemani oleh burung helang bernama Enkidu yang membantu anda memantau dan mengawasi persekitaran sekililng serta menandakan musuh, objek atau lokasi tertentu.
Sejujurnya, helang ini banyak membantu. Namun, disebabkan AI musuh kini lebih pintar, hal itu akan memberi beberapa masalah. Disebabkan helang kita terdedah di langit, ia boleh diserang oleh pemanah musuh. Selagi pemanah itu masih hidup, selagi itu anda tidak dapat memakai Enkidu. Bagi peminat stealth, ini memberikan lapisan strategi baru pada game dan menjadikannya lebih menarik.
Saya juga sempat merasa sistem Wanted ala GTA di dalam game ini. Ubisoft benar-benar membuatkan “pertempuran” sebagai pilihan terakhir di mana mereka memaksa pemain untuk memahami akibat daripada menyelesaikan misi jika tidak memakai cara yang lebih sulit.
Jika tahap Wanted terlalu tinggi, orang awam akan mula memanggil askar-askar untuk menangkap kami, lantas membuatkan pergerakan kita lebih terbatas dan lebih mudah untuk dikesan. Sudah tentu, itu menjadikan game lebih mencabar. Untuk menurunkan tahap Wanted, kita boleh membuaag poster Basim (yang ditampal di seluruh kota) atau merasuah aksar untuk “mengampunkan” kesalahan kita.
Seterusnya adalah Skill Tree yang perlahan-lahan akan diisi mengikut kemajuan pemain di dalam game. Skill Tree ini dibahagikan kepada tiga bahagian: Phantom (fokus pada Stealth), Trickster (fokus pada penggunaan Item), Predator (fokus pada pertempuran dan kemahiran lain yang berkaitan).
Aksi Parkour menepati ‘Assassin‘
Boleh diakui sebagai salah satu protagonis terpantas dalam siri, Basim mempunyai pelbagai abiliti yang membolehkannya meneroka Baghdad dengan cepat, Berbanding dengan game dahulu, ciri parkour terasa lebih lancar dan tidak kekok.
Dengann kepulangan corner swing, pemain boleh menukar arah di sudut mana-mana bangunan sambil mengekalkan momentum dan kelajuan yang sama. Di samping itu, pole vault membolehkannya melepasi jurang yang jauh dengan pantas semasa lari. Pendek kata, ia mengggabungkan kedua-dua mekanik lama dan baru, tetapi ia bukanlah sesuatu yang begitu inovatif.
Bukan itu sahaja, kota Baghdad telah dibina khusus untuk menggalakkan parkour. Seluruh kota penuh dengan balkoni dan tiang yang pasti membantu diri anda dalam misi. Saya menggunakan Valhalla lagi sebagai perbandingan.
Dalam Valhalla, saya menyifatkan game itu sebagai luas manakala Mirage lebih kecil daripada segi dimensi. Disebabkan keluasan game tidak boleh dikembangkan. Ubisoft membuatkan game ini lebih besar daripada segi vertikal. Pemain bukan terhad kepada tanah sahaja, jadi jangan lupa untuk meneroka bahagian atas bandar juga.
Bukan itu sahaja, setiap bangunan boleh dipanjat dan majoriti daripadanya juga boleh dimasuki dan keluar. Oleh itu, terokalah Baghdad puas-puas daripada bawah hingga ke atas.
Assassin Bureau – tempat rehat sementara
Beberapa Assassin Bureau (\dianggap sebagai safe house) akan terletak di kota. Di sini, anda boleh singgah untuk jumpa rakan-rakan, beli senjata dan alat baru atau upgrade peralatan yang sudah ada. Lokasi ini juga ada papan siasatan yang membolehkan kita memilih misi sampingan. Misi ini merangkumi pelbagai jenis cabaran dan akan bertambah sukar mengikut kontrak spesifik.
Walaupun melakukan misi sampingan tidak memajukan jalan cerita, ia membantu Basim dengan menghadiahkan pelbagai ganjaran yang boleh digunakan untuk menguatkan dirinya.
Fakta tambahan: anda boleh mengubah penampilan Basim termasuk warna pakaiannya.
Game Assassin’s Creed paling islamik setakat ini
Seperti yang ditunjukkan dalam trailer, Mirage janji untuk bawa pemain ke perjalanan yang menarik melalui budaya timur tengah dan islam bersejarah. Daripada apa yang saya faham, peristiwa game ini berlaku pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah sebelum pembinaan Masjid Besar Cordoba.
Dari segi grafik dan visual, Mirage sangat-sangat cantik. Persekitaran dalam game dicipta dengan sangat jelas dan terperinci dengan grafik yang menakjubkan dan reka bentuk audio yang menarik. Jika anda menikmati game AC original (protagonis Altaïr Ibn-LaʼAhad) dan persekitaran Timur Tengah-nya, anda akan menikmati game ini kerana perhatian Ubisoft terhadap butiran pada elemen seni bina, pakaian dan budaya.
Game ini pun menerima banyak pujian perhatian kerana gambarannya yang agak tepat tentang agama dan budaya Islam.
Antara contoh bagus termasuk pakaian yang autentik pada waktu itu seperti hijab, taqiyah dan sebagainya; laungan azan sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu, bahasa Arab yang diucapkan dengan tepat (sahabat akan mengucapkan Assalamualaikum) dan sebagainya.
Ini sebenarnya mungkin game pertama di mana saya lihat budaya Islam digambarkan dengan sangat tepat dalam platform hiburan Barat, jadi saya cukup kagum.
Assassin’s Creed Mirage juga akan jadi entri pertama dalam siri ini yang disuarakan sepenuhnya dalam bahasa Arab, jadi anda boleh memakai dubbing itu jika inginkan pengalaman yang lebih autentik. Dalam bahasa Arab, Basim disuarakan oleh pelakon terkenal Eyad Nassar dari Jordan.
Walaupun Ubisoft mengambil berat untuk menghasilkan gambaran yang tepat tentang sejarah suatu masa dan tempat, ia tidaklah sepenuhnya 100% tepat. Saya faham bahawa pasukan tidak mengubah sepenuhnya sejarah dan budaya era, tetapi mereka telah mengubah beberapa aspek supaya mudah dimuatkan dalam konteks game ini. Antara contoh adalah beberapa senjata tidak sepatutnya wujud pada era itu.
Pendapat
Ikhlas daripada hati; saya menikmati setiap masa dalam sesi hands-on Assassin’s Creed Mirage ini. Sudah lama saya tidak main game Assassin’s Creed bergaya seperti ini (yang lebih stealthy) jadi saya cukup gembira apabila mendapat tahu francais ini kembali ke sumber asalnya. Walaupun hampir menyerupai reka bentuk dan suasana game pertama, Mirage menggabungkan pelbagai elemen dari beberapa game Assassin’s Creed terkini bagi membuatkannya terasa lebih moden.
Secara keseluruhan, game ini mempunyai banyak potensi dan sepatutnya menjadi entri yang unik dan menarik kepada siri Assassin’s Creed berkat sistem stealth yang lebih diketengahkan, latar belakang dunia yang berbudaya Timur Tengah Islam, dan penghormatan kepada gameplay yang membuatkan francais ini popular.
Assassin’s Creed Mirage akan dikeluarkan pada 12 Oktober di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, PC melalui Ubisoft Connect, dan juga tersedia dengan langganan Ubisoft+.
Untuk membaca segala liputan kami tentang game ini, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post