Bekas eksekutif PlayStation Shuhei Yoshida berkongsi pandangan beliau tentang peranti gaming terbaharu Steam Machine keluaran Valve. Walaupun memuji operasinya yang senyap, UI yang mesra pengguna, serta kemudahan menggunanya di ruang tamu, beliau menyifatkan prestasinya sebagai sekadar “biasa-biasa sahaja” dan menyimpulkan bahawa perkakasan itu susah disyorkan kepada rata-rata pemain biasa.
Dilancarkan pada 30 Jun 2026, Steam Machine merupakan langkah terbaharu Valve untuk membawakan koleksi game Steam terus ke ruang tamu. Berbentuk kiub kompak bersaiz enam inci, peranti ini dikuasakan oleh pemproses enam core AMD Zen 4 dan kad grafik Radeon RDNA 3.
Namun, harga permulaannya yang mencecah $1,049 (RM4,267+) menimbulkan tanda tanya kerana lebih mahal berbanding PlayStation 5 Pro. Menurut Valve, harga premium ini disebabkan oleh keputusan mereka untuk tidak menjual perkakasan tersebut pada harga subsidi. Situasi ini diburukkan lagi oleh ketidaktentuan dalam pasaran memori global, apabila pembinaan pusat data AI telah melonjakkan kos komponen RAM dan storan sejak setahun lalu. Sungguhpun mahal, PC bersaiz konsol ini habis dijual dalam sekelip mata di kedai rasmi Valve, lalu mendorong golongan scalper menjualnya semula di eBay pada harga melambung tinggi.

Selepas membeli peranti tersebut, Yoshida (yang bersara daripada Sony tahun lalu selepas berdekad-dekad memimpin studio PlayStation serta pembangunan game indie) berkongsi pengalamannya menerusi media sosial.
Kritikan utama tertumpu pada prestasi grafik 3D sistem itu yang dianggap “biasa-biasa sahaja”. Beliau mendedahkan bahawa resolusi default Steam Machine dilaraskan pada 1080p, yang membuatkan beliau tertanya-tanya, “Adakah saya kembali ke zaman PS4?”
Walaupun pemasaran Valve menjanjikan pengalaman gaming 4K, syarikat itu baru-baru ini mengemas kini halaman kedai rasmi. Kemas kini tersebut menjelaskan bahawa resolusi 4K hanya boleh dicapai melalui teknologi upscaling AMD FSR (FidelityFX Super Resolution) bagi game tertentu.
Selain itu, Yoshida mendapati beberapa game mengambil masa boot dan loading yang agak lama. Kelewatan ini agak mengejutkan bagi sebuah peranti moden yang menggunakan SSD. Beberapa analisis teknikal menjelaskan bahawa Steam Machine mengalami kekangan prestasi kerana menggunakan konfigurasi RAM DDR5 16GB single channel, yang mengehadkan bandwidth keseluruhan. Walau bagaimanapun, Yoshida berharap agar para pembangun akan mengoptimumkan tajuk-tajuk mereka untuk sistem ini pada masa hadapan.

Di sebalik pelbagai kelemahan tersebut, bekas ketua PlayStation itu masih menemui banyak perkara menarik tentang Steam Machine.
Beliau mengetengahkan beberapa ciri mesra pengguna, antaranya kebolehan boot up sistem secara terus menggunakan butang pada Steam Controller, yang disifatkannya sebagai “killer feature”. Beliau turut memuji UI SteamOS yang ringkas dan mudah digunakan.
Dari segi fizikal, Yoshida suka reka bentuk faceplate yang boleh ditukar ganti, video boot-up yang rawak, serta sistem penyejukan yang senyap walaupun saiz peranti itu kecil. Bagaimanapun, beliau merasakan analog stick pada Steam Controller agak longgar, manakala bahagian touchpad pula sedikit terlalu sensitif.
Akhir sekali, beliau percaya tanda harga $1,049 menjadikannya susah untuk disyorkan kepada orang ramai (kecuali bagi tujuan kajian industri). Namun beliau tetap berhasrat untuk menyimpan peranti tersebut. Baginya, kemudahan bermain koleksi game Steam di televisyen ruang tamu sudah “cukup alasan untuk menyimpannya.”








Discussion about this post