Pokémon Pokopia tampil sebagai salah satu perubahan paling berani dalam sejarah game Pokémon, dengan mempertaruhkan genre slow life dan sandbox. Hasil kolaborasi antara Game Freak, Koei Tecmo, dan The Pokémon Company, game ini membuang manusia sepenuhnya dan meletakkan Pokémon sebagai fokus utama.
Dengan menggabungkan elemen life-simulation, penerokaan alam sekitar, dan pembinaan dunia yang kreatif, judul ini mencabar kedua-dua pemain dan pembangun untuk mentafsir semula cara Pokémon berinteraksi, berkomunikasi, dan hidup.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, pasukan pembangun Pokopia berkongsi pelbagai aspek bermula daripada asal-usul projek, pemilihan Ditto sebagai protagonis, mekanik multiplayer, reka bentuk Pokémon, sehinggalah cabaran kreatif dalam membina semula francais ini dari peringkat asas.

Kami telah menemu bual Shigeru Ohmori dari Game Freak selaku pencipta konsep dan Pengarah Kanan Pokémon Pokopia; Takuto Edagawa dari Koei Tecmo Software sebagai ketua pengarah; Marina Ayano dari Koei Tecmo Software sebagai pengarah seni; serta Kanako Murata dari The Pokémon Company yang bertindak sebagai produser.
Setiap individu ini menyumbangkan kepakaran tersendiri dalam membentuk konsep, arahan, seni, dan produksi game ini.
Asal-usul Kerjasama

Kerjasama antara Koei Tecmo dan The Pokémon Company mungkin kelihatan agak pelik pada mulanya, lantas menimbulkan persoalan bagaimana Pokémon Pokopia boleh terhasil dan mengapa konsep ini mengambil masa yang lama untuk muncul.
Shigeru Ohmori menjelaskan bahawa idea ini sebenarnya telah berkembang secara senyap sewaktu penghasilan Pokémon Scarlet dan Violet. Beliau mengimbas:
“Untuk pembangunan game ini, saya telah memikirkannya semasa kami sedang mengusahakan Pokémon Scarlet Violet. Saya mahu membuat sesuatu yang berbeza daripada judul utama, memikirkan bagaimana kami boleh mempamerkan daya tarikan Pokémon dengan cara yang berbeza.”
Pada tahun 2022, beliau mula menguji sebuah prototaip. Apabila konsep tersebut semakin jelas, perbincangan dengan The Pokémon Company membawa kepada Koei Tecmo sebagai rakan kongsi. “Dan pada Januari 2023, keseluruhan pembangunan permainan bermula,” ujar Ohmori, menandakan permulaan rasmi projek tersebut.
Ditto sebagai Watak Utama

Menjawab persoalan mengapa game ini menampilkan Ditto dalam bentuk manusia serta Tangrowth yang berperanan sebagai profesor, Ohmori menyifatkan bahawa dunia yang dihuni hanya oleh Pokémon mempengaruhi keputusan kreatif tersebut.
Memandangkan tiada manusia untuk berkomunikasi dengan Pokémon, pasukan pembangun menjadikan Pokémon itu sendiri sebagai watak utama.
“Premisnya adalah, keseluruhan konsepnya adalah untuk menjadikan Pokémon sebagai protagonis,” katanya.
Watak Ditto yang unik serta kebolehannya berubah bentuk sangat selari dengan visi ini. Ohmori menambah:
“Apabila memikirkan tentang persekitaran di mana Pokémon muncul dari rumput, memanfaatkan pengalaman itu, mencipta habitat yang berbeza dan bertemu lebih banyak Pokémon, dan kemudian mempelajari move daripada mereka adalah sesuatu yang unik dan personaliti yang dimiliki Ditto, (jadi ia) adalah protagonis sesuai yang mereka pilih.”
Ketiadaan manusia turut memberi kesan kepada reka bentuk Pokémon, menghasilkan bentuk baharu yang eksklusif untuk dunia Pokopia.
“Sebagai contoh, Professor Tangrowth, kerana dia sedang mengkaji semua item dan perkara yang ditemuinya di dunia, dia secara semula jadi menjadi seorang profesor. Atau untuk Peakychu, Pikachu yang berwarna pucat, itu adalah bayangan seperti, ‘oh, saya tidak menggunakan begitu banyak elektrik, jadi ia menjadi sedikit pucat.’”
Reka bentuk Ditto yang seakan-akan manusia sengaja dibuat dengan rupa kepala besar yang sedikit ‘deformed’, bagi membangkitkan nostalgia game Pokémon 2D era awal sambil mencerminkan suasana dunia yang santai dan perlahan.
Transformasi Separa dan Penuh

Pemain mungkin akan perasan bahawa Ditto kadangkala berubah bentuk secara separa, seperti ketika menggunakan Leafage, dan pada masa lain berubah sepenuhnya, misalnya apabila menjadi Dragonite atau Lapras. Edagawa menjelaskan bahawa perbezaan ini bergantung terus kepada jenis move yang dilakukan.
“Jika ia sesuatu yang mengambil masa yang sangat singkat, seperti Leafage, jika ia move yang pantas dan mudah, ia akan menjadi separa. Walau bagaimanapun, jika ia sesuatu seperti Dragonite atau Lapras yang perlu ‘surf’ melalui air atau terbang di langit, itu memerlukan transformasi penuh,” katanya.
Namun, transformasi penuh mempunyai timbal baliknya: Ditto tidak boleh menggunakan gerakan lain secara serentak.
Latar Tempat dan Spekulasi Dunia

Para peminat telah membuat spekulasi bahawa Pokémon Pokopia mungkin berlatarbelakangkan wilayah Kanto, berdasarkan landskap yang menyerupai Pulau Cinnabar. Kanako Murata memberi respons terhadap teori ini tanpa mengesahkan atau menafikannya secara terus.
Beliau menyatakan bahawa walaupun seni pada bungkusan game mungkin mengingatkan kepada lokasi yang dikenali, game ini berkemungkinan besar ditetapkan dalam dunia uniknya sendiri.
“Semasa Ditto mengembara atau melakukan pengembaraannya dalam game, pemain boleh menemui beberapa petunjuk tentang apa yang berlaku dalam tetapan khusus yang anda lihat. Jadi, kami mahu pemain belajar melalui bermain,” jelasnya, sambil menekankan bahawa elemen penemuan adalah sebahagian daripada pengalaman bermain.
Pemilihan Pokémon

Dengan ribuan Pokémon yang ada, satu persoalan utama timbul bagaimana pasukan memutuskan Pokémon mana yang layak muncul dalam Pokopia. Ohmori mengakui bahawa proses ini adalah bahagian yang paling menyeronokkan namun juga paling mencabar.
“Apabila ahli pasukan pembangunan semuanya menyukai jenis Pokémon yang berbeza, mereka mempunyai semua perasaan istimewa ini untuk Pokémon kegemaran mereka, jadi agak mustahil untuk memilih Pokémon berdasarkan perkara itu,” katanya.
Oleh itu, pasukan tersebut berpegang kepada dua prinsip panduan. Pertama, mereka menyasarkan keseimbangan habitat di seluruh dunia Pokopia, memastikan setiap persekitaran mempunyai penghuni Pokémon yang sesuai. Kedua, mereka fokus kepada premis utama permainan: membina dunia bersama Pokémon itu sendiri.
“Pemilihan dibuat berdasarkan jenis Pokémon yang akan bekerjasama dengan anda untuk mencipta dunia tersebut,” jelas Ohmori.
Hasilnya adalah senarai watak yang pelbagai dan terasa sebati dengan ekosistem yang dibentuk oleh pemain.
Integrasi Simulasi Kehidupan

Pokémon Pokopia membawa kelainan daripada formula RPG tradisional dengan menyatukan mekanik life-simulation (seperti bercucuk tanam, membina pulau, dan crafting) dengan ciri-ciri klasik Pokémon. Edagawa membincangkan cabaran dalam menggabungkan sistem-sistem ini sambil mengekalkan identiti asal Pokémon.
“Sangat penting bahawa gameplay life-simulation menjadi teras kepada Pokémon. Bagaimana setiap Pokémon dikaitkan, adalah relevan dengan setiap move dan setiap reaksi, apa jua ciri yang ada dalam game,” ujarnya.
Pelbagai percubaan dilakukan untuk memastikan gerakan Pokémon boleh diserapkan ke dalam rangka kerja life-simulation.
“Cuba memikirkan bagaimana Pokémon boleh bekerjasama dengan Ditto untuk mencipta, mencipta semula, memulihkan dunia… Apakah jenis move yang perlu dipelajari oleh Pokémon? Bagaimana moves tersebut boleh digabungkan dalam game life-simulation? Walau bagaimanapun, kami percaya bahawa kami berjaya menyatukan kedua-duanya,” tambah Edagawa, menonjolkan keseimbangan teliti yang menjadi asas permainan ini.
Pengalaman kami semasa sesi hands-on mengukuhkan jawapan ini, di mana Pokémon membantu tugasan mengikut type masing-masing (sebagai contoh, jenis Fire menyalakan unggun api manakala jenis Fighting membantu dalam pembinaan) menjadikan sistem tersebut terasa logik dan menarik.
Eksklusif Nintendo Switch 2

Satu persoalan wajar timbul mengapa Pokémon Pokopia dipasarkan sebagai eksklusif untuk Nintendo Switch 2, terutamanya memandangkan game ini menyokong GameShare dengan konsol Switch asal.
Murata menjelaskan bahawa pemain di Switch asal hanya boleh merasai versi separa gameplay, terhad kepada kawasan tertentu seperti Pallet Town.
“Secara keseluruhannya, lebih baik untuk semua orang menikmatinya di Nintendo Switch 2,” katanya.
Edagawa menambah bahawa Nintendo Switch 2 menawarkan ciri-ciri yang meningkatkan pengalaman membina dan interaksi, khususnya mouse mode yang baharu.
“Walaupun bermain Pokopia dengan controller, anda juga boleh menggunakannya bersama dengan mouse mode. Sebagai contoh, memilih blok tertentu untuk dipecahkan—ia lebih mudah untuk memilih bahagian permainan tertentu. Itu adalah ciri lain yang, kerana ia adalah Nintendo Switch 2, akan menjadi lebih mudah bagi pemain untuk membina dunia mereka.”
Perlu juga dijelaskan bagaimana fungsi GameShare Nintendo beroperasi di peringkat platform. Menurut Nintendo, hanya sistem Nintendo Switch 2 yang mampu berkongsi game melalui GameShare, manakala Nintendo Switch biasa tidak boleh.
Oleh itu, sokongan GameShare tidak semestinya bermaksud ia mempunyai keserasian penuh dengan Nintendo Switch asal.
Kemajuan Pemain dalam Mod Multiplayer

Satu lagi perkara yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana ciri multiplayer berfungsi berhubung dengan kemajuan individu pemain. Edagawa menjelaskan bahawa tetamu dalam sesi multiplayer akan mengekalkan akses berdasarkan tahap mereka sendiri.
“Setiap pemain akan mempunyai tahap mereka sendiri tentang apa yang boleh mereka akses. Pemain lain tidak akan memadankan tahap untuk apa-apa pun. Sebarang ciri yang boleh anda gunakan di pulau sendiri juga boleh digunakan dalam ciri multiplayer,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan ada beberapa sekatan untuk tetamu berbanding hos: special move yang telah dibuka oleh hos mungkin tidak sentiasa tersedia untuk pemain yang melawat.
“Berbeza dengan tuan rumah yang boleh menggunakan semua ciri yang telah dibuka untuk orang tertentu itu, tetamu yang masuk mungkin mempunyai beberapa sekatan,” kata Edagawa, bagi memastikan kemajuan kekal bersifat peribadi namun pengalaman multiplayer masih terasa kolaboratif.
Shiny Pokémon di Pokopia

Memandangkan Pokémon Pokopia merupakan satu perubahan besar daripada game Pokémon tradisional, peminat tertanya-tanya sama ada Shiny Pokémon akan muncul dalam dunia tanpa manusia ini.
Apabila diajukan soalan mengenai ciri ini, Kanako Murata berhati-hati untuk tidak mendedahkan butiran khusus demi mengekalkan elemen kejutan. Beliau menyatakan:
“Malangnya, saya tidak akan mengulas apa-apa mengenai Shiny Pokémon hari ini.”
Walaupun butirannya masih dirahsiakan, jawapan beliau mengacah bahawa pasukan pembangun menyimpan mekanik Shiny Pokémon secara berasingan daripada perbincangan utama, membiarkan pemain menemui kejutan tersebut melalui gameplay dan bukannya melalui penjelasan pra-pelancaran.
Pereka Veteran Menyahut Cabaran Baharu

Bagi Shigeru Ohmori, Pokémon Pokopia menawarkan peluang yang jarang diperolehi untuk keluar daripada kebiasaan. Setelah terlibat dengan Pokémon sejak Generasi 3, beliau merenung bagaimana projek ini menguji naluri kreatifnya.
“Apabila saya mula bekerja untuk Pokémon, iaitu Ruby dan Sapphire, tugas pertama saya adalah untuk mencipta… Ia adalah 2D, tetapi tugas pertama adalah mencipta peta. Apabila saya mencipta rumput di peta, Pokémon muncul. Pengalaman itu sangat menyeronokkan dan menarik bagi saya.”
Ohmori menjelaskan bahawa rasa penerokaan inilah yang dibawa ke dalam Pokopia: membina habitat dan menemui Pokémon secara organik menjadi nadi permainan.
“Mencipta habitat dan bertemu Pokémon akan menjadi sesuatu yang berbeza daripada RPG. Saya mahu mencabar diri saya untuk mencipta jenis game yang berbeza daripada biasa. Selepas Scarlet Violet, saya mula mengusahakan konsepnya. Hari ini, kami mempunyai game ini.”
Arahan Artistik dan Pengalaman Lalu

Memandangkan Pokémon Pokopia memfokuskan kepada life-simulation, pasukan pembangun banyak bergantung pada pengalaman lalu dalam game berteraskan pembinaan. Marina Ayano, yang pernah bekerja untuk Dragon Quest Builders II, menyifatkan bagaimana pengalaman tersebut mempengaruhi reka bentuk permainan dan artistik.
“Ya, pengalaman game lalu sangat bermanfaat, terutamanya apabila memikirkan pelbagai jenis move dan ciri permainan yang disertakan dalam game ini. Pengalaman yang kami ada untuk game lalu sangat membantu untuk memikirkan reka bentuk yang paling cekap dan terbaik untuk semua perkara yang ada dalam game ini.”

Ayano turut menjelaskan bahawa watak Pokémon itu sendiri mempengaruhi gaya seni dan pembinaan dunia. Apabila Game Freak berkongsi filem konsep dan bahan rujukan, pasukannya menyerapkan elemen-elemen ini ke dalam reka bentuk mereka.
“Kami cuba mendapatkan vibe semua Pokémon pada reka bentuk berdasarkan filem konsep dan bahan rujukan yang disediakan oleh Game Freak.”
Beliau menonjolkan Ditto berbentuk manusia sebagai elemen utama:
“Ditto bentuk manusia mempunyai siluet kepala besar yang sepadan dengan perkadaran Ditto, memberikan dunia itu kedua-dua kecomelan dan santai dengan rupa yang kohesif. Untuk motion effect dan juga termasuk UI, kami sangat mementingkan rasa kelembutan, tekstur, dan memberikannya rasa yang menyenangkan.”
Tekstur dan bahan dipilih dengan teliti untuk membangkitkan rasa kebiasaan.
“Kami berpijak pada bahan dunia nyata. Ini termasuk petunjuk warna seperti gula-gula, corak, dan kualiti yang kelihatan lazat untuk membuatkan pemain serta-merta merasakan semacam kebiasaan yang menghubungkan dengan dunia nyata,” tambah Ayano, menekankan bagaimana isyarat visual dan sentuhan disepadukan untuk meningkatkan tahap imersif.
Varian Pokémon di Pokopia

Persekitaran unik di Pokopia telah mengilhamkan bentuk baharu bagi Pokémon yang dikenali ramai. Ohmori menjelaskan rasional kreatif di sebalik varian ini, menegaskan bahawa gaya hidup Pokémon membentuk penampilan mereka.
“Seperti yang anda lihat, ada pelbagai bentuk Pokémon yang muncul di Pokopia, jadi premis utamanya ialah ia adalah persekitaran yang berbeza. Meletakkan perkara itu ke dalam pemikiran… ini adalah slow life, ia adalah persekitaran yang santai, bagaimanakah rupa Pokémon itu?”
Beliau memberikan contoh bagaimana persekitaran mengubah ciri-ciri fizikal:
“Untuk Professor Tangrowth, kerana ia adalah slow life yang santai, dia tidak banyak perkara untuk dilakukan, dia banyak belajar, jadi apabila anda perasan, dia telah menjadi seorang profesor. Untuk Peakychu, Pikachu yang pucat, kerana ia adalah kehidupan yang perlahan, Pikachu tidak perlu bertarung, jadi ia santai, maka ia menjadi pucat.”
Muzik dan Tema Evolusi

Reka bentuk bunyi adalah satu lagi aspek di mana Pokémon Pokopia merapatkan pengalaman antara game Pokémon masa lalu dengan mekanik gameplay baharu. Edagawa menjelaskan sebab game ini menggunakan muzik latar evolusi Pokémon klasik apabila Ditto mempelajari gerakan baharu.
“Ia adalah cadangan Koei Tecmo untuk menggunakan tema khusus itu, BGM evolusi. Sebab penggunaan BGM evolusi adalah apabila Pokémon sedang berevolusi, anda mempunyai jangkaan tentang bagaimana ia akan berevolusi, dan kemudian kejutan bagaimana ia berevolusi. Ia sama seperti apabila Ditto mempelajari move baharu. Bagaimana ia akan mempelajari move baharu, dan apakah rupanya?”
Muzik juga menyesuaikan diri secara dinamik mengikut kemajuan pemain dalam membina dunia.
“Selain daripada evolusi, BGM tambahan… semakin hampir anda memulihkan dunia yang anda diami, BGM menjadi semakin hampir dengan bunyi yang anda tahu daripada judul utama. Pada mulanya, ia diubah sedikit dalam gaya yang berbeza untuk memadankan Pokopia. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja bandar yang anda diami semakin hampir dengan pemulihan, lagunya akan menjadi lebih dekat dengan apa yang semua orang pernah dengar sebelum ini daripada BGM judul utama.”
Langkah Ke Hadapan

Pokémon Pokopia mewakili satu eksperimen besar bagi francais ini, dengan menggabungkan mekanik simulasi kehidupan dengan elemen asas Pokémon sambil membuang watak manusia sepenuhnya.
Melalui reka bentuk yang teliti, penceritaan alam sekitar, dan mekanik adaptif, pasukan pembangun telah menghasilkan dunia di mana Pokémon benar-benar menjadi tumpuan utama.
Daripada bentuk Ditto yang unik berinspirasikan manusia hinggalah kepada varian Pikachu pucat dan professor Tangrowth, setiap butiran telah dipertimbangkan untuk mencerminkan dunia Pokopia yang santai dan imersif.
Pokémon Pokopia akan dilancarkan secara eksklusif untuk Switch 2 pada 5 Mac. Untuk maklumat lanjut, layari SINI.
※Imej permainan adalah daripada versi yang sedang dalam pembangunan.
Tajuk ini dirancang dan dibangunkan bersama oleh The Pokémon Company, GAME FREAK inc., dan KOEI TECMO GAMES.
©2026 Pokémon. ©1995-2026 Nintendo/Creatures Inc./GAME FREAK inc.
©2026 KOEI TECMO GAMES
Pokémon and Nintendo Switch are trademarks of Nintendo.









Discussion about this post