Pihak Comic Fiesta telah mengesahkan bahawa Naoki Hamaguchi, iaitu pengarah yang menerajui siri permainan video popular Final Fantasy VII Remake, akan menjadi salah seorang tetamu jemputan istimewa mereka.
Konvensyen mega ini akan berlangsung pada 20 dan 21 Disember 2025, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Peminat yang hadir bakal diberi kesempatan unik untuk menyertai sebuah sesi eksklusif yang memfokuskan kepada siri Final Fantasy VII Remake.
Dalam sesi ini, Hamaguchi akan mengupas dengan lebih mendalam tentang proses pembikinan game tersebut serta berkongsi wawasan beliau mengenai dunia Cloud Strife dan rakan-rakannya yang telah diberi nafas baharu.

Sorotan segmen ini adalah sesi interaktif soal jawab yang akan memberi ruang kepada para peminat untuk mengemukakan “soalan-soalan panas” mereka dan mendapatkan jawapannya secara terus daripada pengarah itu sendiri.
Bagi mereka yang tidak mahu melepaskan peluang ini, soalan boleh dihantar terlebih dahulu melalui portal rasmi Comic Fiesta di ffvii.comicfiesta.org.

Naoki Hamaguchi merupakan seorang tokoh yang amat penting di Square Enix, syarikat di sebalik siri Final Fantasy. Penglibatan beliau dalam francais ini bermula sebagai seorang pengatur cara untuk trilogi Final Fantasy XIII.
Selepas itu, beliau menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bersama untuk Final Fantasy VII Remake, sebelum seterusnya dilantik sebagai pengarah utama bagi judul-judul akan datang dalam siri tersebut, termasuk Final Fantasy VII Rebirth yang sangat dipuji.
Cinta beliau terhadap siri ini sudah berputik sejak usia remajanya lagi, di mana beliau menyatakan bahawa Final Fantasy VI dan Final Fantasy VII versi asal adalah sumber inspirasi terbesarnya untuk menceburi bidang pembangunan permainan video.

Turut menyertai barisan tetamu adalah dua komposer muzik anime legenda, iaitu Yuki Hayashi dan Yasuharu Takanashi. Hayashi merupakan komposer terkenal di sebalik runut bunyi epik siri popular seperti My Hero Academia, Haikyuu!!, dan Jujutsu Kaisen.
Takanashi pula dikenali ramai melalui skor ikoniknya untuk anime popular seperti Fairy Tail dan Naruto Shippuden.
Bukan itu sahaja, Comic Fiesta juga bakal menjadi tuan rumah kepada konsert “hololive STAGE World Tour ’25 -Synchronize!-“. Konsert ini akan dihiburkan oleh persembahan daripada bakat-bakat maya seperti Momosuzu Nene (hololive), Kureiji Ollie (hololive Indonesia), serta Mori Calliope, IRyS, dan Nerissa Ravencroft (hololive English).
Lebih istimewa lagi, akan ada dua tetamu kejutan yang tampil secara eksklusif hanya untuk persembahan di Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post