Shueisha Games bersama pembangun Metronomik dari Malaysia telah melancarkan trailer baharu untuk No Straight Roads 2 sempena Southeast Asian Games Showcase di Summer Game Fest 2026. Bakal dilancarkan pada tahun 2026, sekuel kepada game rhythm-action ini akan meneruskan pengembaraan kumpulan rock Bunk Bed Junction melangkaui sempadan Vinyl City.
Trailer baharu memperkenalkan Vanessa Lyte, watak bergaya yang mengacarakan rancangannya sendiri, Vanessa’s Hi-Lytes. Dalam siaran tersebut, beliau melaporkan kekacauan yang melanda seluruh Peninsula selepas Grand Qwasa (sumber kuasa utama daripada game pertama) pecah berkecai.

Dengan serpihannya kini bertaburan di merata tempat, ahli Bunk Bed Junction ditugaskan untuk mengembara demi mengumpul semula sisa-sisa Grand Qwasa tersebut. Kali ini, gandingan watak utama asal iaitu Mayday dan Zuke akan disertai oleh keyboardist baharu mereka, Casey. Bersama, mereka akan menaiki van untuk melawat pelbagai komuniti unik bertemakan muzik.

Selain memperkenalkan Vanessa, trailer ini turut mengesahkan kepulangan beberapa watak kegemaran daripada game pertama. Pemain boleh menjangkakan kemunculan semula DJ kosmik, DJ Subatomic Supernova, serta ketua NSR sendiri, Tatiana.
Tidak ketinggalan, seteru lain seperti Rama Irama turut ditunjukkan. Lebih menarik, penghujung video sempat mengacah kehadiran “Sayu 2.0”, yang mungkin adalah versi naik taraf atau rekaan semula bagi bos mermaid idol daripada game pertama.

Dari segi gameplay, No Straight Roads 2 bakal menampilkan lebih banyak watak utama yang boleh dimainkan. Pada tahun lalu, Metronomik telah mendedahkan Casey, seorang keyboardist yang menyertai Mayday dan Zuke sebagai ahli ketiga band tersebut. Walaupun watak keempat juga sedang dirancang, identitinya masih lagi dirahsiakan. Pemain boleh bertukar antara watak-watak ini pada bila-bila masa untuk menyelesaikan teka-teki serta menggabungkan kombo serangan yang unik.
Setakat hari ini, No Straight Roads 2 sudah boleh dimasukkan ke dalam wishlist di Steam. Walaupun versi PC disahkan, maklumat lanjut tentang platform konsol yang bakal disokong masih belum diumumkan oleh pihak pembangun.


![[Eksklusif] Temu Ramah Bersama LiSA: Ratu Anisong Kongsi Segalanya, “Janji Akan Kembali Ke Malaysia!”](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/LISA_KL-INTERVIU_FI-350x250.jpg)






Discussion about this post