Berbaki beberapa hari sebelum pemain dapat merasai sendiri buat kali pertama, Perfect World Games dan pembangun Hotta Studio telah melancarkan trailer “Prologue Gameplay” berdurasi 12 minit untuk RPG urban open-world mereka, Neverness to Everness (NTE).
Video terbaharu ini berfungsi sebagai pengenalan sebelum game ini memulakan ujian teknikal pertamanya (Co-Ex Test), yang dijadualkan berlangsung dari 6 Februari hingga 20 Februari.
Dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5, Neverness to Everness sedang membina identiti unik dalam pasaran free-to-play. Mengambil tempat di metropolis Hesperia, trailer gameplay mempamerkan sebuah dunia di mana kehidupan biasa bertemu dengan “Anomaly”; iaitu fenomena supernatural yang mengganggu rutin harian warga kota tersebut.
Pratonton 12 minit tersebut memfokuskan kepada sistem combat “Esper” yang fast-paced serta pengenalan kepada jalan ceritanya.
“Co-Ex Test” akan datang bakal menjadi ujian bagi sistem game tersebut. Menurut pihak pembangun, ujian ini akan merangkumi naratif awal yang berakhir pada episod bertajuk “Deal? Deal!”
Walaupun ujian ini bersifat “tertutup” dan terhad kepada peserta yang terpilih sahaja, Hotta Studio menyediakan akses yang agak luas dari segi perkakasan. Versi beta boleh dimainkan di PlayStation 5, PC, iOS, dan Android.
Meskipun “Co-Ex Test” ini merupakan fasa baharu bagi projek tersebut, peminat perlu menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui tarikh pelancaran yang pasti. Setakat hari ini, Perfect World Games masih belum mengumumkan tarikh pengeluaran rasmi.
Neverness to Everness kini sedang dalam fasa pembangunan untuk PlayStation 5, PC, dan peranti mobile.









Discussion about this post