Penantian hampir berakhir untuk Moonrise, sebuah anime sci-fi original dari WIT Studio, studio hebat di sebalik Attack on Titan dan Spy x Family. Siri yang dinanti-nantikan ini rasmi akan mula ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada 10 April 2025.
Diarahkan oleh Masashi Koizuka (Attack on Titan Season 2 & 3), Moonrise hadir dengan barisan kreatif yang luar biasa. Rekaan watak asal dihasilkan oleh Hiromu Arakawa, mangaka legenda di sebalik Fullmetal Alchemist, manakala jalan cerita dan skrip diadaptasi daripada novel karya Tow Ubukata (Psycho-Pass).
Ryou Kawasaki pula bertanggungjawab menggubah muzik latar, di mana AiNA THE END menyanyikan lagu penutup, “Daijoubu” (“It’s All Right”).

Mengambil latar masa hadapan, anime Moonrise menggambarkan dunia di mana manusia hidup di bawah kawalan AI bernama Sapientia. Demi mengekalkan keamanan di Bumi, penjenayah dan pencemar dihantar ke Bulan, mewujudkan jurang sosial yang semakin membara.
Akhirnya, golongan pelarian di Bulan mula memberontak, mencetuskan peperangan besar antara dua dunia.

Kisah ini mengikuti Jacob “Jack” Shadow (disuarakan oleh Chiaki Kobayashi), seorang pemuda yang menyertai tentera Bumi sebagai scout selepas keluarganya terbunuh dalam serangan pengganas oleh pemberontak Bulan.
Namun, setibanya di Bulan, dia terkejut apabila mendapati rakan zaman kecilnya, Phil Ashe (disuarakan oleh Yuto Uemura), kini merupakan salah seorang pemimpin gerakan pemberontakan.
Dengan kedua-duanya berada di pihak berlawanan dalam perang yang kejam, Moonrise menyentuh tema dendam, kesetiaan, dan kebaikan serta kejahatan dalam dunia yang terpecah belah.

Jumlah episod masih belum disahkan, tetapi Netflix akan menayangkan kesemua episod serentak, membolehkan peminat menonton keseluruhan siri tanpa perlu menunggu episod baru setiap minggu.
@gamersantaimy
Discussion about this post