Dalam temu bual bersama Bloomberg baru-baru ini, Strauss Zelnick selaku CEO Take-Two Interactive akhirnya menghuraikan sebab di sebalik keputusan syarikat untuk melancarkan Grand Theft Auto VI (GTA 6) di konsol terlebih dahulu; lantas memaksa komuniti peminat PC untuk bersabar menanti giliran mereka.
Game ini dijadualkan keluar pada 19 November 2026. Tarikh tersebut merupakan hasil anjakan jadual setelah perancangan asal untuk melancarkannya pada awal tahun terpaksa diubah. Walaupun dua trailer rasmi sudah cukup untuk memberikan gambaran awal, peminat masih tertanya-tanya: Mengapa versi PC sering kali dilewatkan?
Menurut Zelnick, segala-galanya berpunca daripada strategi syarikat yang mengutamakan “nadi utama” francais berkenaan. Beliau menjelaskan bahawa Rockstar Games sejak dahulu lagi menganggap pemain konsol sebagai audiens utama mereka.
Bagi projek berskala gergasi seperti GTA 6, syarikat percaya adalah sangat penting untuk mereka memuaskan hati kumpulan utama ini terlebih dahulu sebelum mula meluaskan capaian ke platform lain.
“Kejayaan sesuatu pelancaran besar biasanya dinilai berdasarkan sejauh mana ia mampu memenuhi kehendak kumpulan audiens utama ini,” kata Zelnick kepada Bloomberg.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya pelancaran awal di PlayStation dan Xbox tidak mencapai tahap sempurna, ia bakal menjejaskan reputasi game tersebut apabila dilancarkan di platform lain nanti.
Dengan memfokuskan segala sumber kepada konsol buat masa ini, pasukan pembangunan berharap dapat menghasilkan satu “pengalaman mantap” yang akan menjadi standard tinggi untuk versi PC port nanti.
Zelnick juga mengambil kesempatan untuk menepis khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu kononnya Sony telah mengikat perjanjian “eksklusif mengikut tempoh” (timed exclusivity) bagi menghalang GTA 6 daripada memasuki pasaran PC atau platform pesaing lain.
Beliau mengesahkan bahawa tiada sebarang perjanjian pemasaran rahsia yang wujud.
Sebaliknya, pendekatan ini hanyalah mengikut “tradisi Rockstar.”
Studio tersebut memang mempunyai sejarah panjang mengutamakan konsol (seperti yang dilakukan pada GTA V dan Red Dead Redemption 2) bagi membolehkan mereka meluangkan masa berbulan-bulan (malah bertahun-tahun) untuk mengoptimumkan game agar sesuai dengan kerumitan perkakasan PC yang pelbagai.









Discussion about this post