Bagi sesiapa yang terlepas, manga Digimon Eggs telah rasmi dilancarkan di MANGA Plus milik Shueisha. Merupakan karya terbaharu daripada francais popular tersebut, manga ini agak viral sehingga naik ke kedudukan No. 1 dalam carta trending platform tersebut.
Karya ini dihasilkan oleh pelukis Ayumu Minato bersama pencipta asal francais, Akiyoshi Hongo. Anda boleh membacanya secara rasmi dalam bahasa Inggeris secara percuma melalui aplikasi atau laman web MANGA Plus.
Kisahnya berlatarkan musim panas tahun 2026 di Pekan Shiroto, dalam Bandar Tatenoki. Pada mulanya, ia nampak seperti cuti sekolah biasa. Namun, keadaan mula jadi misteri apabila ramai penduduk di pekan itu tiba-tiba hilang tanpa sebarang jejak.
Cerita ini fokus kepada Izumo Rindo, seorang budak sekolah menengah rendah yang tinggal bersama kakaknya, Kushina. Disebabkan kakaknya sibuk bekerja separuh masa untuk menyara hidup mereka berdua, Izumo banyak menghabiskan cuti musim panasnya di rumah. Namun, segalanya berubah apabila dia cuba menghidupkan komputer lama milik mendiang ibunya.

Bukannya skrin biasa yang keluar, sebaliknya ada sebiji telur digital yang pelik keluar dari monitor komputer itu. Bila Izumo cuba menyentuh telur tersebut, tangannya tiba-tiba bertukar jadi bentuk data digital dan mula bercahaya. Beberapa saat kemudian, telur itu retak dan menetas, lalu keluarlah seekor Digimon kecil yang pelik bernama Suzumon.

Sebab baru sahaja menetas, Suzumon ini masih belum pandai bercakap dan cuma asyik sebut “Maga”. Izumo suka dengan bunyi itu dan buat keputusan untuk menamakan makhluk kecil itu Maga. Supaya orang lain tak tahu tentang tetamu rahsianya ini, Izumo mula mencatat aktivitinya bersama Maga dan menjadikannya konon-konon sebagai projek kajian cuti sekolah.
Namun, kejadian aneh di Bandar Tatenoki makin kerap berlaku dan tenaga digital pula masih mengalir pada tangan Izumo. Projek cuti sekolah yang asalnya disangka biasa ini nampaknya bakal jadi lebih rumit dan mencabar.

Seperti kami kata tadi, anda boleh membaca bab pertama secara percuma di laman web rasmi MANGA Plus atau melalui aplikasi MANGA Plus di iOS dan Android. Bab-bab baharu dijadualkan keluar secara bulanan.









Discussion about this post