Diumumkan pada 2022, francais animasi popular Kung Fu Panda kembali dengan filem baharu oleh DreamWorks Animation. Sudah pasti kita akan melihat aksi baharu daripada Panda kegemaran ramai, Po yang disuarakan oleh Jack Black. Dragon Warrior kita nampaknya berada dalam krisis yang baru malah dia juga perlu mencari penggantinya. Jom kami ceritakan lebih lanjut dalam review penuh kami untuk Kung Fu Panda 4.
Kung Fu Panda 4 kembali dengan menampilkan barisan pelakon lama seperti Jack Black, Dustin Hoffman, James Hong, Bryan Cranston dan Ian McShane. Sudah tentu terdapat juga pelakon baharu seperti Viola Davis, Awkwafina, Ke Huy Quan, Ronny Chieng dan Lori Tan Chinn.
Sejujurnya kami rasa premis untuk Kung Fu Panda 4 ini biasa-biasa sahaja. Tetapi itu tidak bermakna kami tidak enjoy menonton filem ini. Seperti yang didedahkan dalam trailer, filem ini membawa kita melihat perjalanan Po dalam mencari penggantinya sebagai Dragon Warrior. Walaupun begitu, dia sebenarnya tidaklah begitu suka dengan idea tersebut kerana dia sudah biasa menjadi pahlawan itu dan tidak bersedia untuk ke tahap seterusnya iaitu menjadi Spiritual Leader di Valley of Peace. Walaupun diperkenalkan dengan pelbagai calon hebat, dia masih tidak mahu melepaskan posisinya sebagai Dragon Warrior sehingga Master Shifu pun stres dengannya.
Tidak lama selepas itu, dia telah berjumpa dengan musang licik bernama Zhen yang ingin mencuri barang di Jade Temple. Elok sahaja dia ditangkap, Po digemparkan dengan satu lagi penjenayah bernama “Chameleon”, seekor reptilia yang menggunakan sihir untuk menyamar dan membuat huru hara di bandar sekitar. Tidak tahu bagaimana dia mahu mencari penjenayah itu, Po telah percaya kepada Zhen untuk ke lokasi Chameleon berada “Juniper City”.
Kami tidak akan terangkan lebih lanjut tentang apa yang berlaku di Juniper City kerana anda perlu tonton sendiri filem ini! Seperti biasa, filem Kung Fu Panda padat dengan aksi serta jenaka yang pasti membuatkan anda ketawa. Lebih-lebih lagi dengan Po yang sedang melatihkan dirinya untuk mencipta peribahasa yang baik sebelum mengambil alih tugas Spiritual Leader. Perjalanan mereka juga tidaklah begitu lancar, ada sahaja benda buruk yang berlaku. Tetapi itulah yang membuatkan perjalanan tersebut menyeronokkan.
Kami suka melihat bagaimana watak Zhen dikembangkan sepanjang filem ini. Walaupun ia agak pantas, ia terasa normal kerana dia telah meluangkan masa bersama Po, seseorang yang moralnya begitu tinggi, sangat baik dan boleh dikatakan seseorang yang naif. Chemistry-nya dengan Po memang terbaik sepanjang filem malah dia sedikit demi sedikit berubah menjadi lebih baik dan anda mungkin terkejut dengan apa yang dia lakukan dalam filem nanti.
Di sepanjang perjalanan menuju ke Juniper City, Po telah bertemu dengan pelbagai watak tetapi watak-watak yang kami rasakan begitu menarik adalah tiga arnab kecil dan Armadillo yang juga merupakan outcast seperti Zhen. Kami pasti anda akan suka melihat tiga arnab kecil itu setiap kali mereka muncul di skrin.
Oh ya, bapa-bapa Po turut ke Juniper City dengan harapan untuk menghentikan Po daripada melawan Chameleon. Perjalanan mereka berdua ini juga boleh tahan kelakar juga. Memang parent yang supportive habis antara satu sama lain. Yang pasti mereka memang sayangkan anak mereka itu. Kita juga akan bertemu semula dengan musuh-musuh lampau Po yang telah dikeluarkan daripada Spirit Realm. Tetapi mereka tidaklah memainkan peranan yang begitu besar malah mereka juga benci kepada Chameleon kerana dia telah mencuri sesuatu daripada kami, malah mengurung mereka. Rindu juga apabila melihat Tai Lung semula di skrin besar. Ada sedikit redemption part untuk harimau bintang ini pada hujung filem. Kena tengoklah kalau nak tahu.
Bercerita tentang villain kita kali ini, Chameleon sememangnya dilakonkan dengan sangat baik oleh Viola Davis. Dengan sikapnya yang sangat jahat dan tamak kepada kuasa, tidak peliklah mengapa ramai master tidak mahu mengajarnya Kung Fu. Boleh tahan licik juga cara dia untuk membuka pintu Spirit Realm. Tidak peliklah mengapa perantisnya juga seorang yang cukup licik. Tetapi agak mudah juga dia dikalahkan selepas itu walaupun mempunyai ultimate form tersendiri. Rupa ultimate form-nya agak menyeramkan juga. Kalau anda tengok, anda juga pasti merasakan benda yang sama. Walaupun begitu, Po masih kagum melihatnya.
Bercerita tentang animasi, nampaknya DreamWorks Animation ada menyelitkan beberapa gaya daripada filem sebelum ini. Sebagai contoh gaya animasi daripada Puss in Boots: The Last Wish, yang memaparkan gaya animasi 2D dan 3D pada penceritaannya. Kami paling suka scene aksi Po yang hanya berbentuk silhouette. Ia nampak kemas dan anda boleh tahu pergerakan Po dengan cukup baik tanpa melihat form sebenarnya. Ia Mengingatkan kami kepada filem-filem kung fu yang juga menggunakan silhouette untuk aksi pertarungan mereka. Sudah tentu aksi fast paced filem akan membuatkan anda berasa teruja menontonnya.
Kesimpulan
Walaupun filem ini bukanlah sesuatu yang diminta peminat, tetapi kehadiran Kung Fu Panda 4 ini diterima dengan tangan yang terbuka. Ia berjaya mengekalkan animasi dan naratif yang menarik dan juga lawak jenakanya. Mungkin ada antara anda yang mungkin kecewa dengan kehilangan watak tertentu, walaupun begitu ia masih menyampaikan cerita aksi yang baik dengan hanya beberapa watak sahaja. Kami juga seperti berasa kembali ke masa lalu dengan melihat kemunculan watak-watak lama seperti Tai Lung yang telah muncul dalam filem pertama, 16 tahun yang lalu. Seperti biasa, filem ini mempunyai happy ending, jadi memang dunia kembali aman. Pengakhirannya juga seperti membuka peluang untuk universe Kung Fu Panda dikembangkan lagi pada masa akan datang.
Jadi buat anda yang minat kepada Panda hebat ini dan tidak sabar untuk melihat perjalanan baharunya, cepat-cepat beli tiket pawagam untuk menontonnya nanti. Filem ini ditayangkan seawal 5 Mac 2024!
@gamersantaimy
Discussion about this post