Manga Boruto telah berehat selama beberapa bulan, tetapi akhirnya kita dapat membaca bab terbaru yang dinanti-nantikan pada hujung minggu ini. Khususnya, Boruto bab 81 menandakan permulaan era baru untuk siri tersebut yang kini secara rasmi dipanggil Boruto: Two Blue Vortex, dan akan menceritakan apa yang berlaku kepada protagonis tersebut dan rakan-rakannya selepas timeskip. Ternyata, banyak yang berubah dalam manga Boruto termasuk penabalan Shikamaru sebagai Hokage terbaru Konoha – yang diceritakan melalui spoiler di media sosial!
Ingin tahu apa yang terjadi? Teruskan membaca!
AMARAN! ARTIKEL DI BAWAH MENGANDUNGI SPOILER BESAR UNTUK BORUTO BAB 81!

Sebagai rumusan, Uchiha Sasuke melarikan Uzumaki Boruto dari Kampung Konoha untuk menjalani latihan rahsia. Di penghujung saga pertama, sejenis jutsu misteri telah diletakkan di atas dunia yang mengubah realiti Boruto dan Kawaki. Kedua-dua rakan rapat (hampir seperti adik-beradik) tersebut kini bertukar kehidupan, dan Boruto dituduh membunuh Naruto (yang hanya dibawa ke dimensi lain oleh Kawaki.
Sarada adalah satu-satunya orang yang tahu kisah sebenar, jadi dia meminta tolong ayahnya, Sasuke untuk menyelamatkan Boruto dan melatihnya untuk melawan Kawaki pada masa hadapan.
Berikut adalah susunan peristiwa bab 81:

Disebabkan Naruto dan Hinata dikurung di dimensi lain, Kampung Konoha kini tidak ada lagi pemimpin. Oleh itu, salah satu perubahan terbesar yang kita akan lihat adalah Nara Shikamaru sebagai Hokage ke-8.
Dalam muka surat awal, Uchiha Sarada (dengan penampilan baru) bertengkar dengan Shikamaru di pejabat Hokage. Shikamaru memakai kot Hokage yang mengesahkan posisinya sebagai Hokage. Sarada membangkitkan isu bahawa Boruto tidak bersalah, bagaimanapun, Shikamaru enggan mendengarnya. Sarada kemudian menjelaskan bahawa dia sentiasa memandang tinggi kepada Naruto sebagai idola, dan tidak pasti sama ada Shikamaru boleh dipercayai untuk memimpin Konoha.

Kemudian, adegan berubah kepada Kawaki. Dia sedang berdiri di dalam dimensi sama yang mengurung Naruto dan Hinata. Memandangkan masa tidak berlalu dalam dimensi ini, kedua-duanya tidak berumur. Selain itu, Eida dan Daemon juga tidak akan menua memandangkan mereka adalah android.
Selepas itu, kami diperkenalkan dengan Sumire, yang berbincang dengan Eida dan Daemon jika ada kemungkinan untuk membalikkan “sejarah yang direka semula.” Eida menjawab “tidak” dan dalam hati – ingin tahu bagaimana Sarada dan Sumire dapat mengekalkan memori mereka sedangkan dia mengubah realiti.

Adegan berubah sekali lagi dan Mitsuki ditunjukkan, sedang berdiri di atas bumbung bersama Kawaki. Mitsuki masih “membenci” Boruto dan sanggup membunuhnya serta-merta jika Boruto muncul di Konoha. Pada masa yang sama, Kawaki juga telah mengasah kuasa Otsutsuki, kerana kini dia boleh terbang.
Seterusnya, Himawari dilihat sedang berlatih dengan Cho Cho dan kelihatan lebih kuat selepas timeskip bersama penampilan baharu. Dalam hati, Himawari masih percaya bahawa Boruto bukan lelaki yang jahat dan firasatnya kuat mengatakan bahawa ibu bapanya (Naruto dan Hinata) masih hidup tetapi tersembunyi di suatu tempat rahsia.


Di penghujung bab, Code akhirnya muncul dengan askar-askar Ten-Tail yang diarahkan untuk menyerang Konoha. Sarada turut membantu dan cuba menghalang mereka daripada menceroboh kampung, tetapi malangnya, musuh-musuh itu boleh sembuh semula dan teruskan berlawan.
Tiba-tiba, Boruto muncul. Sudah pasti, Sarada sangat terkejut melihat rakan karibnya setelah sekian lama tidak berjumpa. Pada masa itu, Kawaki turut muncul dan mendekati Boruto untuk memulakan pertarungan yang dinanti-nantikan.

Kini memasuki era baharu, saya tidak sabar untuk melihat bagaimana watak dan jalan cerita Boruto berkembang pada masa hadapan. Apakah pendapat anda tentang spoiler Boruto di atas? Jom kongsi pendapat di ruang komen!
Untuk membaca segala liputan kami tentang Boruto, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post