Dunia Cursed Energy dan Jujutsu Sorcerer kini kembali dalam cara yang tidak dijangka. Majalah Weekly Shonen Jump terbitan Shueisha secara rasmi telah melancarkan Jujutsu Kaisen Modulo, sebuah sekuel kepada siri manga yang sangat popular, Jujutsu Kaisen.
Siri baharu ini ditulis oleh pencipta asal Gege Akutami dengan seni oleh Yuji Iwasaki.
Siri ini pertama kali didedahkan kepada umum dalam keluaran ke-40 majalah Weekly Shonen Jump pada 31 Ogos 2025, kira-kira setahun selepas siri asal melabuhkan tirainya. Pengumuman awal itu menjanjikan tentang sebuah siri manga pendek yang akan menyusul pada minggu berikutnya.
Seminggu kemudian, pada 7 September, ia dilancarkan dengan nama rasmi Jujutsu Kaisen Modulo, yang membawa para pembaca ke sebuah latar masa 68 tahun selepas peristiwa Culling Game.
Penghasilan Modulo terhasil daripada campur tangan peribadi Akutami sendiri dalam menentukan hala tuju francais ini.
Beliau sebelum ini telah menolak cadangan untuk sebuah siri spin-off oleh penulis lain, dan tindakan itu telah mencetuskan ilham untuk beliau menggarap idea-idea segar, seperti melanjutkan kisah utama dan mengubah latar masanya.
Gabungan konsep-konsep inilah yang akhirnya direalisasikan sebagai Modulo, sebuah siri terhad yang dirancang Akutami untuk berjalan selama enam bulan dan dijangka akan meliputi kandungan sebanyak tiga jilid.

Kisah Modulo mengambil tempat di negara Jepun pada tahun 2086. Puluhan tahun selepas Ryomen Sukuna ditewaskan, ancaman yang mendatang bukan lagi berbentuk sumpahan, tetapi datang dari angkasa lepas.
Sebuah kaum makhluk asing bernama Simurian telah mendarat di Bumi, dan mereka mempunyai kuasa yang hampir serupa dengan sihir jujutsu. Kini, takdir dunia menjadi tanggungjawab dua orang penyihir jujutsu generasi baharu, iaitu Yuka dan Tsurugi Okkotsu.

Bab pertama memperkenalkan watak-watak utama baharu, yang merupakan cucu kepada pasangan watak kegemaran peminat, Yuta Okkotsu dan Maki Zenin.
Walaupun Yuta dan Maki telah meninggal dunia, kita dapat melihat mereka melalui babak flashback yang memberi pemahaman kepada kepada kedua-dua wira baharu ini, yang jelas mewarisi sifat datuk dan nenek mereka.

Yuka Okkotsu, seorang gadis berusia 16 tahun, mewarisi cursed energy yang besar dan semangat juang datuknya.
Sebaliknya, abangnya Tsurugi yang berusia 17 tahun, dilahirkan dengan Heavenly Restriction; dia tidak mempunyai cursed energy tetapi dianugerahkan keupayaan fizikal luar biasa dan mahir menggunakan cursed tool, sama seperti neneknya, Maki.
Konflik cerita diperkenalkan dari awal lagi melalui persaingan antara dua beradik ini, yang berpusat pada perebutan cincin sumpahan milik Yuta—sebuah pusaka berharga dari simpanan keluarga Gojo.

Melengkapkan trio protagonis ini ialah Marulu Val Vol Yelvori, atau lebih mesra dikenali sebagai “Maru”. Dia adalah seorang penyihir dari kaum Simurian yang diutuskan ke Bumi dengan misi untuk mengkaji teknik-teknik sumpahan.
Maru kemudiannya berganding bahu dengan Yuka dan Tsurugi untuk merungkai misteri kehilangan penduduk tempatan, yang didapati telah diculik untuk dijadikan sumber tenaga oleh kaumnya.

Bagi mereka yang tidak sabar untuk mengikuti kisah ini, bab pertama Jujutsu Kaisen Modulo kini tersedia untuk baca secara percuma melalui platform Manga Plus milik Shueisha.









Discussion about this post