Konsert Kandungan Digital ASEAN bakal menjadi platform yang menyatukan para penggemar muzik orkestra, animasi, serta permainan video dalam satu persembahan berskala besar pada 20 dan 21 Disember akan datang.
Konsert Kandungan Digital ASEAN, yang dianjurkan oleh Orkestra Kuala Lumpur (OKL) dengan kolaborasi bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menawarkan kemasukan percuma dan menjanjikan sebuah pengalaman unik yang menggabungkan harmoni muzik orkestra dengan paparan visual daripada francais animasi dan permainan video terkemuka dari Malaysia serta negara-negara ASEAN.
Konsert ini akan mengambil tempat di Auditorium Bandaraya DBKL, dengan dua sesi persembahan iaitu pada hari Sabtu, 20 Disember, bermula jam 8 malam, dan pada hari Ahad, 21 Disember, pada jam 4 petang. Masyarakat umum dialu-alukan untuk datang dan menyaksikan sendiri bagaimana runut bunyi yang ikonik daripada 19 harta intelek (IP) popular digubah semula dan dipersembahkan dengan penuh kemegahan oleh orkestra.
Para hadirin akan dihidangkan dengan persembahan yang penuh bertenaga, merangkumi runut bunyi daripada siri animasi yang sangat digemari ramai seperti Ejen Ali, BoBoiBoy, dan Mechamato.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan konsert, akan turut dipersembahkan pilihan lagu daripada permainan video yang dibangunkan oleh pembangun tempatan dan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Antara yang terlibat adalah GigaBash dan Rhythm Doctor.

Di samping jenama-jenama terkenal ini, konsert tersebut juga akan menampilkan muzik daripada pelbagai harta intelek yang lain, termasuklah Didi & Friends, Papazola, dan Pada Zaman Dahulu. Tidak ketinggalan juga adalah karya-karya dari negara jiran, seperti Out of Nest yang berasal dari Thailand, serta beberapa judul daripada Robot Playground Media yang berpangkalan di Singapura.
Orang awam yang berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada konsert yang bersejarah ini boleh mendapatkan tiket secara percuma dengan membuat tempahan melalui Tempah KL. Setiap pengguna dihadkan untuk menempah maksimum dua tiket sahaja. Oleh kerana bilangan tempat duduk adalah terhad, orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan mereka seawal mungkin.









Discussion about this post