Kami dengan gembira telah mendapat persetujuan Tom Heaton, Pengarah Permainan di Supermassive Games, untuk menjawab beberapa soalan interview berkenaan game seterusnya mereka iaitu The Devil in Me. Game ini, sama seperti yang lain dalam francais The Dark Pictures Anthology, adalah seram naratif sinematik di mana pilihan yang kita buat amat penting dan boleh mempengaruhi jalan cerita secara drastik. The Devil in Me merupakan game keempat dalam antologi, dan juga adalah finale untuk Dark Pictures Anthology: Season One.
Intro saya di atas agak pendek, kerana kami telah menceritakan pelbagai info lengkap bagi preview pertama yang korang boleh baca di sini.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah kandungan interview.
Diinspirasikan oleh karya klasik
Semua game lama dalam The Dark Pictures Anthology mengambil inspirasi daripada banyak filem. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh lah meniru 100%. Heaton mendedahkan mereka menonton filem-filem seram thriller, dan sumber lain, kerana tahu pemain sudah biasa dengan karya-karya itu.
Mereka fokus pada rentak jalan cerita dan menganalisisnya, lalu mencari adegan penting di mana mereka perlu memasukkan content seperti adegan pembunuhan, pendedahan penting atau mungkin plot twist.
Dengan mengenali bahan sumber, ini bermakna mereka boleh meminjam atau menukar unsur-unsur tersebut, serta memasukkan pelbagai rujukan untuk pemain arif yang memahami tentang subjek itu.
“Pada satu ketika, naratif akan mendapat nyawanya sendiri, dan kami mencari perkara menarik untuk dimasukkan.”
Perkembangan antologi telah membolehkan setiap game dalam siri ini untuk mempunyai jalan cerita, pelakon dan latar belakang sendiri yang unik, dengan mengambil daripada genre yang berbeza. House of Ashes dianggap sebagai kisah “raksasa”, berdasarkan mitos vampire. Masukkan watak tentera dan ia berkembang lebih besar daripada segi skop bercerita.
Dalam hal ini, The Devil in Me nampak lebih kecil. Heaton memanggilnya sebagai suasana yang lebih intim, dan melibatkan orang yang boleh kita temui dalam dunia sebenar, dengan masalah mereka sendiri. Mereka telah dilemparkan ke dalam situasi yang luar biasa, tetapi dalam genre gore dan slasher.
“Ancamannya adalah manusia, bukan raksasa. Bagi saya, manusia yang ingin membunuh awak adalah perkara yang sangat menakutkan.”
Memandangkan setiap game dalam antologi mempunyai genre/sub-genre seram yang berbeza, Heaton menganggapnya agak mudah untuk memastikan kandungan sentiasa segar. Dia menjelaskan bahawa mereka cari apa yang unik dari genre, dan menggabungkan jangkaan pemain ke dalam naratif mereka sendiri.
“Kami juga mempunyai pasukan yang telah bekerja, dalam beberapa kapasiti, untuk semua game,” tambahnya. Ini adalah untuk bantu mereka mengelak daripada mengulang perkara yang sama.
Walaupun mengekalkan sesuatu yang segar adalah “mudah”, proses sebenar tetap sukar. Proses pra-pengeluaran amat panjang supaya mereka boleh membuatkan cerita itu bagus, mengenal pasti semua cabang dan menghasilkan storyboard yang boleh dimainkan, demi memastikan kualiti cerita bagus dan tidak terlalu sama dengan game seterusnya.
The Dark Pictures Anthology memberi pemain keupayaan untuk membuat pilihan yang biasanya kita akan lihat dalam filem seram. “Kami rasa ada penonton untuk itu. Ternyata ada, kerana kami telah meningkatkan khalayak peminat yang sangat menyukai game. Tidak banyak game yang didorong oleh naratif, jenis bercabang-cabang di luar sana, lebih-lebih lagi jenis seram.”
Mereka sedang mencari cara untuk mengembangkan jangkauan mereka, dengan ciri baharu yang boleh membawa masuk pemain baharu.
“Anda masih akan mendapat semua perkara yang bagus tentang game kami. Penambahbaikan game hanyalah – peningkatan, bukan penggantian.”
Entri paling interaktif dalam antologi
Kita juga tidak boleh lupa tentang sistem yang dikembangkan daripada segi penerokaan dan “immersion”. Kita sebagai pemain, akan dapat peranan yang lebih aktif dalam menemui rahsia dan mencari alatan serta mempelajari cara dan masa untuk menggunakannya.
Pasukan telah menjadikan persekitaran lebih kompleks dan menarik, dengan pelbagai rahsia untuk dicari sekiranya anda berani. Siapa tahu, anda mungkin dapat menemui rahsia yang boleh menyelamatkan watak daripada bahaya.
“Ia sangat sesuai dengan tema, kerana H.H. Holmes adalah seseorang yang cuba mengelirukan mangsanya. Pembunuh kami belajar daripada Holmes,” dedah Heaton. “Dia mahu membunuh orang dengan cara yang menarik dan inovatif, dengan cara kematian khusus untuk orang tertentu.
Dia mahu mereka dalam merana, di mana teka-teki berfungsi sebagai cara untuk membuat watak rasa terdedah dan mengacaukan kepala mereka.”
Membina sebuah naratif
Motion capture telah menjadi kunci semasa membuat The Dark Pictures Anthology. Sama seperti The Devil in Me, teknologi berubah sepanjang masa. Face capture telah menjadi lebih baik, dan kurang mengganggu pelakon.
“Mereka tidak perlu mempunyai banyak lukisan di muka mereka, kit itu mudah dipakai dan ditanggalkan… semua itu bermakna pelakon boleh memberikan persembahan yang lebih semula jadi.”
Mereka juga telah berusaha untuk membuat set supaya mereka yang berlakon bersama satu sama lain untuk membolehkan reaksi semula jadi dan natural. Bagi menguji mocap, mereka juga mempunyai sut yang tidak memerlukan lantai yang besar, memudahkan orang ramai untuk masuk atau menguji mengikut keperluan.
Di samping memudahkan penggunaan, ia juga lebih cepat untuk mendapatkan data yang telah mereka tangkap di mana apa-apa isu boleh dibetulkan dengan lebih cepat.
Apabila menambah ciri-ciri, accessibility boleh menjadi isu. House of Ashes telah menambah beberapa pilihan ini, dan berita baik, ia akan akan dikembangkan lagi dalam The Devil in Me. Pertama sekali, game akan ada sari kata dengan pilihan untuk kapsyen tertutup besar untuk menerangkan peristiwa audio.
Satu lagi adalah pilihan untuk mematikan perkara yang mungkin sukar oleh pemain, termasuk QTE (Quick Time Event) secara automatik, menahan butang untuk menyelesaikan peristiwa yang memerlukan kita menekan butang banyak kali, pilihan untuk tahap kesukaran dan seumpamanya.
“Kami tidak mahu accessibility menghalang sesiapa yang menikmati game ini.”
Perlu diingatkan bahawa The Devil in Me mempunyai teka-teki. Heaton meyakinkan kita bahawa walaupun teka-teki boleh menjadi mencabar, ia tidak bertujuan untuk membuatkan anda terperangkap selama-lamanya. “Dari segi skala dan skop, ia serupa dengan jenis teka-teki yang biasa anda temui dalam Resident Evil, atau Silent Hill,” katanya.
“Kadang-kadang teka-teki itu memberi kesan besar kepada cabang jalan cerita, tetapi masih ada banyak masa. Ia bukan tentang kepantasan, ia tentang jalan cerita.”
Maka, tamatlah interview kami tentang The Devil in Me! Terima kasih kepada Tom Heaton kerana sudi menjawab soalan kami! Bagi sesiapa yang berminat, The Devil in Me akan dilancarkan pada 18 November 2022 di Xbox Series X | S, Xbox One, PS5 / PS4 dan PC.
@gamersantaimy
Discussion about this post