Seperti semua peminat Marvel di Malaysia tahu, Guardians of the Galaxy 3 kini ditayangkan di pawagam. Walaupun ini hanya projek kedua dalam MCU Phase 5, ia memegang banyak kepentingan kerana ia merupakan filem terakhir James Gunn untuk Marvel dan juga kali terakhir Dave Bautista dan Zoe Saldana akan berlakon sebagai Drax dan Gamora.
Jika anda belum menonton Guardians of the Galaxy 3, saya sarankan anda untuk tonton sekarang! Daripada jalan cerita, muzik, visual dan persembahan pelakon, semuanya bagus dan melebihi jangkaan saya. Saya sendiri akan beri rating 10/10! Memang sangat memuaskan hati jika dibandingkan dengan Ant-Man and the Wasp: Quantumania.
Satu lagi sebab kenapa saya suruh anda tonton Guardians of the Galaxy 3 adalah kerana artikel ini penuh dengan spoiler untuk penamat (ending) dan dua adegan post-credit bagi filem itu. Di sini saya akan jelaskan apa yang berlaku di penamat filem? Cuma hati-hati, banyak SPOILER!
AMARAN! Spoiler Guardians of the Galaxy 3 bermula di bawah!
Pasukan Guardians of the Galaxy (GotG) telah diserang di ibu pejabat mereka di planet Knowhere oleh Adam Warlock, seorang pahlawan Sovereign ciptaan ‘High Priestess Ayesha’. Dalam pertarungan itu, Rocket mengalami kecederaan parah dan berada di ambang kematian.
Malangnya, para Guardian lain tidak dapat merawat luka Rocket kerana dihalang oleh sejenis mekanisme di jantungnya yang akan membunuh rakun itu kalau orang membuka badannya. Mekanisme itu dibuat oleh syarikat Orgocorp, jadi semua orang memutuskan untuk pergi ke ibu pejabat Orgocorp demi mencari kod akses.
Ketika Rocket tidak sedar diri, dia teringat masa lalunya. Ketika inilah kita dapat tahu asal usulnya. Semasa bayi, dia dijadikan bahan uji kaji kejam oleh High Evolutionary, seorang saintis yang berusaha untuk membentuk haiwan menjadi spesies paling ‘sempurna’ bagi mendiami Counter-Earth (planet buatan sendiri mirip bumi).
Kembali ke masa nyata, para Guardian meminta bantuan Gamora yang berasal daripada timeline lain untuk membantu dalam operasi ini. Apabila tiba di Counter-Earth, Star Lord bertekak dengan High Evolutionary tentang tamadunnya dan menunjukkan ia tidak sempurna seperti yang disangka.
High Evolutionary pun sedar akan kesilapan ini lalu mulakan pelan untuk menghancurkan Counter-Earth serta membunuh semua kehidupan di planet ini sambil melarikan diri di atas kapal angkasanya. Dalam proses, Star Lord berjaya mendapatkan kod lalu menyelamatkan nyawa Rocket yang kembali sihat.
Dalam kapal angkasa High Evolutionary, geng GoTG terserempak dengan ratusan kanak-kanak (ciptaan High Evolutionary selaku spesis sempurna) yang dipenjarakan. Bukan kanak-kanak sahaja, Rocket juga menemui haiwan pelbagai yang dipenjarakan. Ketika itu, dia tiba-tiba diserang oleh High Evolutionary, tetapi rakan-rakan lain tiba dan bersama, mereka berjaya mengalahkannya.
Selepas itu para Guardian menyelamatkan semua kanak-kanak dan haiwan lalu membawa mereka menaiki Knowhere. Star Lord hampir mati semasa kejadian ini, tetapi diselamatkan oleh Adam Warlock, yang berubah hati menjadi baik.
Di penamat filem, Star Lord membubarkan pasukan semasa Guardian, lalu melantikkan Rocket sebagai kapten sebelum berangkat ke Bumi untuk bersatu semula dengan datuknya. Mantis pula memulakan perjalanan baharu, Gamora kembali ke pasukan Ravager, dan Nebula dan Drax kekal di Knowhere untuk membesarkan kanak-kanak yang diselamatkan.
Apa yang berlaku di post-credit?
Post-credit pertama:
Post-credit pertama menunjukkan Rocket di planet asing sebagai ketua baharu Guardians of the Galaxy yang kini terdiri daripada: Groot yang dewasa, Cosmo the Spacedog, Kraglin Obfonteri, Adam Warlock, dan Phyla, salah seorang kanak-kanak yang terselamat (juga mempunyai nama dengan seorang lagi wira Marvel, Phyla-Vell, yang pernah menggunakan alias Captain Marvel, Quasar dan Martyr).
Post-credit kedua:
Star Lord kembali ke Bumi, dan kini tinggal bersama datuknya Jason. Mereka borak santai semasa sarapan pagi manakala Jason membaca surat khabar, di mana muka depan artikel merujuk kepada kejadian The Guardians of the Galaxy Holiday Special. Selepas itu, adegan bertukar hitam dan kita dapat melihat ayat “The Legendary Star-Lord will return.”
Adakah ini bermaksud Chris Pratt akan berlakon semula sebagai Star-Lord? Adakah Star Lord akan kembali dalam filem Avengers? Saya pun tidak pasti.
Buat mereka yang berminat, Guardians of the Galaxy 3 kini ditayangkan di pawagam Malaysia. Baca segala berita kami tentang Guardians of the Galaxy di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post